Monday, 30 December 2013

Sejauh manakah akhbar dan majalah mempengaruhi kesedaran kebangsaan di Tanah Melayu!!

PENGENALAN
[1]Menurut Anthony Smith, beliau mendefinisikan nasionalisme sebagai satu gerakan ideologikal yang bertujuan untuk mencapai dan mengekalkan autonomi, perpaduan dan juga identiti bagi sesebuah populasi yang mana sebahagian daripanya mereka mempunyai potensi dalam sesebuah negara. Manakala Hans Kohn pula mentakrifkan nasionalisme sebagai satu keadaan fikiran yang menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian rakyat serta didakwa menyerap masuk ke dalam kalangan anggotanya.
Di samping itu, [2]nasionalisme juga dapat diertikan iaitu semangat nasionalisme atau kebangsaan terhadap perasaan cinta dan taat setia kepada negara dan bangsa yang mendalam yang seharusnya wujud di dalam setiap jiwa manusia. Malah semangat inilah yang begitu mendorong seseorang itu untuk bangkit dan memperjuangkan hak-hak sesama manusia dan mendapatkan kemerdekaan daripada penjajahan bangsa asing.
Hal ini telah diperlihatkan pada awal abad ke 19 dan awal abad ke 20 yang membawa banyak perubahan yang telah berlaku di negeri-negeri Melayu terutamanya dengan adanya campur tangan daripada kuasa asing seperti Inggeris. Melalui pentadbiran yang telah dijalankan oleh Inggeris sedikit sebanyak telah banyak mengubah corak  kehidupan sosial dan juga ekonomi para penduduk terutamanya golongan miskin seperti para petani. Perubahan demi perubahan yang dilakukan itu adalah bertujuan untuk kepentingan bangsa asing semata-mata sedangkan kepentingan rakyat tempatan tidak dijaga dan tidak dipedulikan.
Akhirnya, segala penderitaan dan penyeksaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat tempatan telah menimbulkan satu kesedaran di dalam diri mereka. Maka atas kesedaran itulah yang menyebabkan segolongan orang Melayu mula merancang untuk menjalankan beberapa gerakan dan juga tindakan untuk mengembalikan maruah dan juga hak-hak rakyat tempatan yang sepatutnya dimiliki. Kewujudan kesedaran kebangsaan di Tanah Melayu telah pun bermula sebelum 1941 yang dipengaruhi oleh beberapa faktor. Atas beberapa faktor tersebut telah mendorong semangat yang kuat dalam kalangan rakyat tanah melayu untuk bangkit dan mendapatkan semula tanah melayu hidup dalam keadaan yang aman tanpa adanya kuasa luar.
Antaranya ialah melalui pengaruh daripada pelbagai media seperti akhbar dan majalah. Akhbar dan majalah ini dijadikan sebagai salah satu wadah perjuangan dalam gerakan kesedaran kebangsaan di tanah melayu dengan dibantu oleh elemen-elemen lain dalam membantu pergerakan kesedaran. Maka daripada situ akan memperlihatkan bahawa semangat dan kebijaksanaan dalam kalangan rakyat tanah melayu yang berpendidikan seperti golongan muda dengan membawa perubahan yang besar dan juga pemodenan seperti pendidikan untuk mengubah pemikiran rakyat sekali gus mencapai kemerdekaaan.

1)      AKHBAR DAN MAJALAH
[3]Pada awal abad ke-20, bidang kewartawanan Melayu yang menerbitkan akhbar dan juga majalah Melayu telah memainkan peranan yang penting dalam menyemarakkan semangat orang Melayu agar rajin bekerja, bersatu dan berusaha memajukan nasib bangsa Melayu pada ketika itu. Antara golongan yang berpengaruh pada masa itu misalnya golongan agama yang berfahaman Kaum Muda dan golongan guru dengan menggunakan akhbar, majalah dan juga buku sebagai alat untuk menyedarkan orang Melayu agar memperoleh kejayaan dalam segala bidang terutamanya dalam bidang yang melibatkan pendidikan.
Sepanjang tahun 1930 sehingga tahun 1940 dikatakan telah terdapat kira-kira [4]80 buah akhbar dan majalah yang telah diterbitkan. Secara umumnya, isi kandungan dan berita-berita utama yang dimuatkan dalam akhbar-akhbar sepanjang tahun 1930-an lebih berkisar kepada masalah politik tempatan. Antara sebab faktor utama yang membawa kepada kejayaan akhbar dalam mempengaruhi kesedaran kebangsaan pada ketika ini adalah disebabkan sesetengah akhbar memang secara sedar digunakan oleh satu kumpulan intelektual yang baru iaitu kebanyakannya terdidik di Asia Barat dan pada masa yang sama dipengaruhi juga oleh gerakan pembaharuan Islam.
Kumpulan-kumpulan ini telah menjadikan akhbar sebagai salah satu medium yang utama dalam melahirkan cita-cita mereka yang mendorong kepada kefahaman ajaran Islam yang murni sebagai satu bentuk untuk menghadapi cabaran sosial dan ekonomi yang telah ditimbulkan pada awalnya oleh kehadiran orang asing. [5]Antara akhbar-akhbar mahu pun majalah yang begitu berpengaruh adalah misalnya Utusan Melayu, Fajar Sarawak, Pengasuh, al-Ikhwan, Saudara, Warta Malaya dan juga Majlis.
[6]Manakala majalah al-Imam pula telah diterbitkan pada 23 Julai 1906 di Singapura. Antara tujuan penerbitan ini telah diperjelaskan sekali dalam rencana pengenalan yang telah ditulis oleh Sheikh Mohd Salim al-Kalali iatu dengan menyebut bahawa ‘mengingatkan mana yang lalai dan menjaga mana yang tidur dan menundukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan mereka itu’. Malah akhbar ini diterbitkan juga dengan tujuan menyampaikan pandangan dan fikiran baru mengenai agama Islam untuk kemajuan masyarakat di samping membangkitkan kesedaran orang Melayu mengenai kemunduran dan menggesa mereka supaya berusaha mencapai kemajuan sosial dan ekonomi. Kebanyakan pembacanya terdiri daripada golongan yang terpelajar dan lebih maju kedudukan sosialnya di kota-kota serta orang yang berpelajaran agama dan mendapat didikan polemik Islam di Makkah.
Selain daripada kaum Melayu, [7]penerbitan akhbar seperti Sin Chew Jit Poh, Nan Yang Siang Pau, Tamil Murasu dan Tamil Nesan turut sedikit sebanyak mempengaruhi semangat kebangsaan dalam kalangan kaum Cina dan India. Akhbar-akhbar tersebut banyak memuatkan mengenai isu dan peristiwa yang berkiar tentang keadaan ekonomi dan sosial kaum Cina dan India serta peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara mereka masing-masing iaitu China dan India.
2)      PENGARUH LUAR
Pergerakan kesedaran kebangsaan turut dipengaruhi oleh [8]pengaruh luar terutamanya dari Timur Tengah, Indonesia, Filipina, India dan China juga turut memainkan peranan yang penting dalam mencambahkan gerakan kebangsaan. Pada awalnya pengaruh luar ini telah menyemarakkan semangat rakyat untuk bersatu dan mengkritik penjajah melalui akhbar, majalah dan persatuan-persatuan. Oleh itu, daripada pengalaman negara tersebut yang turut pernah dijajah dan memperoleh kemerdekaan, ianya telah mempengaruhi gerakan kebangsaan di tanah melayu untuk berjuang mencapai kemerdekaan.
Misalnya iaitu kejayaan kuasa Jepun mengalahkan Rusia pada tahun 1905 dalam Perang Rusia-Jepun telah membawa kesan yang lebih mendalam ke atas perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu bahawa rakyat Asia juga mampu berlawan dan mengalahkan kuasa-kuasa yang besar seperti kuasa Eropah. Kejayaan tersebut telah memberi ilham dan juga menguatkan keazaman rakyat Asia terutamanya kaum nasionalis Melayu.
Selain itu, Revolusi China yang berlaku di negara China sedikit sebanyak telah mempengaruhi kebangkitan semangat nasionalisme dalam kalangan orang melayu. Pada ketika itu, Dr. Sun Yat Sen iaitu pemimpin Revolusi China telah berjaya dalam menjatuhkan kerajaan Manchuria dan seterusnya menubuhkan Republik China pada tahun 1911. Malah ketika itu juga [9]gerakan pemulihan Islam atau pun turut dikenali sebagai Gerakan Islah yang telah berlaku di Mesir telah membangkitkan semangat nasionalisme kaum Melayu. Hal ini adalah lantaran daipada Gerakan Islah yang telah berlaku disebabkan oleh penjajahan Barat di Mesir pada tahun 1882 dan melaluinya telah disebarkan di Tanah Melayu oleh pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di Mesir.
Di samping itu, nasionalisme di Tanah Melayu juga turut dipengaruhi oleh nasionalisme Indonesia terutamanya daripada Sarekat Islam Indonesia yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme di Indonesia dan seterusnya berjaya membangkitkan semangat kaum Melayu di Tanah Melayu. Hal ini adalah disebabkan adanya hubungan yang rapat antara penduduk Bumiputea Tanah Melayu dengan penduduk Indonesia seperti agama, bahasa dan juga satu keturunan darah. Pada permulaannya nasionalisme kedua-dua buah negara ini memperjuangkan ajaran agam Islam yang sebenar dan kemudiannya telah beralih kepada perjuangan radikal Parti Nasionalis Indonesia yang telah mempengaruhi pemimpin-pemimpin politik radikal Tanah Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British.
3)      BAHASA DAN KESUSASTERAAN
SITC telah ditubuhkan dalam melatih bakal-bakal guru untuk ditempatkan di sekolah-sekolah Melayu di luar bandar. Malah pada tahun 1924, sebuah jabatan ditubuhkan untuk menterjemah, menerbit dan menyunting buku-buku sekolah Melayu. Daripada situ, timbul kesedaran yang lahir dalam kalangan para pelajar di SITC yang mendorong mereka untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap pentabiran British yang dijalankan di Tanah Melayu. [10]Akhbar-akhbar tempatan pula memuatkan puisi, cerpen dan novel untuk membangkitkan semangat kebangsaan.
[11]Misalnya puisi Omar Mustaffa yang tersiar dalam Utusan Melayu sebanyak 18 keluaran pada Januari 1913 yang menggesa orang Melayu supaya rajin bekerja dan jangan membiarkan kekayaan yang ada diambil oleh bangsa lain. Selain itu, puisi seperti Sedarlah oleh Mahmud Ahmadi, Semenanjung oleh Harun Aminurashid (1919), Seruan Kebangsaan oleh Melati Pahang (1937) dan juga Seruan Pujannga oleh Anum (1940) juga telah membangkitkan semangat kebangsaan. Dalam hal ini juga novel juga turut memainkan peranan yang penting iaitu sebagai contoh Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh al-Hadi pada tahun 1925 yang mencadangkan wanita perlu diberi pendidikan dan Anak Mat Lela Gila oleh Ishak Haji Muhammad pada tahun 1941 pula menyeru orang Melayu supaya berjuang untuk mencapai kemajuan.
Malah cerpen juga turut diusahakan pada ketikan itu iaitu cerpen yang merupakan cerita pendek dengan mempunyai nasihat juga tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi gerakan kesedaran kebangsaan di Tanah Melayu. Misalnya, Cerita Awang Putat oleh Abdul Rahim Jijai yang menyeru orang Melayu supaya rajin bekerja dan Anak Dibuat Denal pada tahun 1938, Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang pada tahun 1940 dan juga Siasat Yang Tiada Diminta pada tahun 1941 yang telah ditulis oleh Shamsuddin Salleh. Maka, sekali gus melalui cerpen yang telah disiarkan para pembaca akan mengetahui dasar perjuangan yang hendak disampaikan.
4)      PENDIDIKAN
Pengaruh gerakan kesedaran kebangsaan dari segi pendidikan juga turut tidak terkecuali dan tidak boleh dipandang kecil. Terdapat sekolah-sekolah pondok, madrasah, sekolah-sekolah melayu dan juga sekolah Inggeris yang disediakan bagi orang Melayu. Pendidikan agama yang dijalankan di sekolah-sekolah pondok dan madrasah telah mendapat sambutan yang hebat daripada penduduk tempatan. [12]Sekolah-sekolah agama yang penting yang telah didirikan ialah di Singapura iaitu Madrasah al-Iqbal al-Islamiyah, di Melaka ialah Madrasahal-Hadi, Pulau Pinang ialah Madrasah al-Mashor. Sistem persekolahan di situ adalah dengan mengikut sistem yang terdapat di Mesir dan juga di Barat. Malah melalui pembelajaran yang diterima oleh pelajar-pelajar yang menuntut di sekolah ini sedikit sebanyak mereka dapat mengetahui dan menyedari kelemahan mereka dalam agama Islam dan mendorong mereka untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh lagi supaya tidak terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.
Di samping itu [13]Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) juga turut bertanggungjawab dan memainkan peranan yang penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk. Malah guru-guru dari Maktab Perguruan Sultan Idris juga telah menyedari masalah yang dihadapi oleh orang Melayu dan melalui perkara tersebut mereka telah berazam untuk mengatasi masalah ini dan memperkenalkan satu generasi baru orang Melayu yang akan membela bangsa dan negara mereka. Hal ini jelas memperlihatkan bahawa semua pihak turut berganding bahu dalam memperjuangkan kebangkitan nasionalisme di tanah melayu.
5)      GOLONGAN INTELEKTUAL
Melalui perkembangan pendidikan di Tanah Melayu secara tidak langsung telah melahirkan satu golongan intelektual yang terpelajar. Golongan terpelajar ini telah dipengaruhi dengan idea-idea dan falsafah-falsafah politik seperti demokrasi, liberalism, sistem berparlimen, perlembangaan dan juga nasionaslisme. Golongan intelektual ini dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu yang berpendidikan Arab, Melayu dan Inggeris.
[14]Golongan intelektual Arab yang membawa perubahan dengan memulakan gerakan pemulihan iaitu berdasarkan ajaran al-Quran dan Hadis  dengan tujuan untuk membawa kemajuan kepada umat Islam. Antara tokoh yang terpenting dalam golongan ini ialah termasuklah Syeikh Mohammad Salim al-Kalali, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abbas Muhammad Taha dan Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi. Pergerakan kesedaran kebangsaan yang diteruskan oleh golongan yang berpendidikan Melayu ini bermarkas di Maktab Perguruan Sultan Idris. Graduan-graduan daripada Maktab Perguruan Sultan Idris telah menubuhkan Persatuan Sastera Melayu pada tahun 1923 untuk mengadakan pertumbuhan sastera Melayu. Malah karya-karya yang diterbitkan oleh ahli-ahli persatuan ini telah membangkitkan perasaan nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu.
Di samping itu, [15]seorang guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris iaitu Ibrahim Haji Yaakob telah memulakan perjuangan yang bersifat ala politik. Beliau pada ketika itu telah bersama-sama Ishak Haji Muhammad, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan juga Isa Mahmud telah menubuhkan parti politik yang bercorak kebangsaan pada tahun 1938 yang dikenali sebagai Kesatuan Melayu Muda (KMM). [16]Antara tujuan ditubuhkan Kesatuan Melayu Muda ini adalah berjuang untuk mencapai kemerdekaan tanah melayu daripada pihak British serta ideologi yang digunakan oleh mereka adalah tidak mahu bekerjasama dengan pihak kerajaan. Pergerakan yang dipimpin oleh golongan berpendidikan Inggeris juga telah wujud pada ketika itu akibat daripada kebimbangan orang Melayu terhadap penguasaan bangsa asing.
Golongan ini terdiri daripada Raja Chulan, Muhamad Eunos Abdullah dan juga Dato’ Onn bin Jaafar dan mereka ini telah diberi peluang untuk berkhidmat dengan kerajaan. Raja Chulan yang menjadi ahli Majlis Pusat telah memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu, manakala Dato Onn bin Jaafar pula telah mengkritik pedas terhadap penttadbiran British. Pada masa yang sama, Kesatuan Melayu Singapura telah dibentuk pada tahun 1926 yang dipimpin oleh Muhamad Eunos Abdullah akibat kesan daripada kesedaran tentang kehidupan orang Melayu yang merupakan golongan yang dlihat begitu lemah dengan kedudukan pada masa itu.
6)      PERTUBUHAN-PERTUBUHAN SEBELUM 1941
Seperti yang diketahui kesedaran kebangsaan di Tanah Melayu lebih bersifat kenegerian dan memperjuangkan kepentingan ekonomi dan sosial. Namun apabila Tanah Melayu mencapai kata sepakat maka hal ini telah memperkukuhkan kesedaran kebangsaan. Pertubuhan-pertubuhan yang wujud dilihat menjadi pendorong kepada kemunculan pertubuhan bersifat kebangsaan dan turut memainkan peranan penting dalam gerakan kesedaran kebangsaan. Antara pertubuhan kesedaran kebangsaaan yang ditubuhkan diTanah Melayu sebelum 1941 ialah [17]Kesatuan Melayu Muda yang ditubuhkan pada tahun 1938 di Kuala Lumpur oleh Ibrahim Haji Yaakob serta beberapa pemimpin yang lain seperti Mustapha Hussain dan Ahmad Boestamam.
[18]Antara tujuan kesatuan ini adalah untuk menanamkan semangat perpaduan dan kesedaran dalam kalangan orang Melayu dan juga mempertahankan hak-hak. Malah berjuang bagi membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British serta bercita-cita menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia untuk mewujudkan Melayu Raya. Kebanyakan anggotanya terdiri daripada guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Perjuangan Kesatuan Melayu Muda adalah bercorak radikal kerana mengamalkan dasar tidak bekerjasama dan menyuarakan penentangan secara terbuka terhadap British dan turut mengadakan pakatan sulit dengan Jepun untuk menentang British.
Selain itu, [19]pertubuhan yang lain turut ditubuhkan ialah Kesatuan Melayu Singapura yang dilihat menjadi perangsang kepada pemimpin di negeri-negeri melayu. [20]Kesatuan Melayu Singapura ini telah diasaskan oleh Mohamad Eunos Abdullah pada tahun 1926 dan dianggotai oleh golongan bangsawan, kakitangan kerajaan, wartawan dan juga peniaga. Antara tujuan penubuhan in adalah untuk menggalakkan ahli berperanan lebih besar dalam politik dan pentadbiran, memperjuangkan kemajuan orang melayu dlam bidang pendidikan dan menjadi waki melayu dalam berurusan dengan British iaitu hal yang berkaitan dengan hak dan kepentingan orang melayu. Pada akhir tahun 1930-an telah banyak persatuan yang bersifat kenegerian yang ditubuhkan seperti [21]Persatuan Melayu Perak (1937), Persatuan Melayu Pahang (1938), Persatuan Melayu Selangor (1938), Persatuan Melayu Negeri Sembilan (1938), Persatuan Melayu Pulau Pinang (1937) dan Persatuan Melayu Kelantan (1939). Di samping itu juga terdapat persatuan-persatuan lain seperti Persatuan Melayu Melaka (1937), Persatuan Melayu Sarawak (1939) dan Persatuan Melayu Johor (1939).
Antara tujuan penubuhan ialah untuk meningkatkan ekonomi dan sosial orang Melayu. Kebanyakan ahlinya terdiri daripada mereka yang cerdik pandai (Melayu) yang berpendidikan Inggeris dan berkhidmat dengan British. Perjuangannya bersifat sederhana dan mereka ini menunjukkan taat setia yang kuat kepada Raja-raja Melayu dan turut bekerjasama dengan British serta turut mendesak agar British memberi lebih banyak peluang kepada orang Melayu dalam pentadbiran kerajaan.  [22]Pertubuhan Persatuan Melayu Selangor juga tidak terkecuali iaitu yang telah dipimpin oleh Tengku Ismail bin Tengku Muhammad Yasin. Pada tahap ini, pertubuhan ini adalah lebih memperjuangkan dan mendesak lebih ramai pegawai Melayu dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Antaranya ialah keanggotan askar Melayu dan juga dengan menubuhkan angkatan laut dan udara di Tanah Melayu.
Seterusnya ialah pertubuhan Kongres Melayu Se-Tanah Melayu yang dilihat telah menjadi perangsang kepada pemimpin di negeri-negeri melayu. Kongres yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1939. Telah dianjurkan bersama oleh Kesatuan Melayu Singapura dan Persatuan Melayu Selangor. Antara tujuan kongres ini adalah untuk mewujudkan perpaduan kebangsaan dalam kalangan orang Melayu dan telah berjaya menghimpunkan wakil daripada semua persatuan Melayu untuk berbincang bagi memajukan bangsa Melayu. Kongres kedua telah diadakan di Singapura pada tahun 1940 dan pada ketika ini telah berjaya menarik lebih banyak penyertaan persatuan Melayu termasuk dari Sarawak dan Brunei. Menyarankan semua persatuan Melayu untuk memajukan orang Melayu di negeri masing-masing.
Pertubuhan yang lain juga turut ditubuhkan dengan namanya iaitu Paspam mahu pun turut dikenali sebagai Persaudaraan Sahabat Pena yang telah ditubuhkan pada tahun 1934. Persaudaraan Sahabat Pena telah dikendalikan oleh akhbar Saudara yang menyediakan ruangan untuk ahi-ahlinya untuk menulis dan mengemukakan pendapat.Antara cogan kata yang digunakan bagi PASPAM ialah ‘Hidup Bahasa Hidup Bangsa’. Malah Persaudaraan Sahabat Pena atau pun PASPAM ini lebih menggalakkan ahli-ahlinya dari Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah dalam bertukar-tukar pendapat, tujuannya ialah untuk meningkatkan semangat dan kesedaran kebangsaan dalam kalangan mereka.
7) AGAMA
Dalam gerakan kesedaran di tanah melayu, [23]agama merupakan faktor yang utama yang begitu mempengaruhi pergerakan ini dan melaluinya telah mengalami perubahan yang begitu ketara dalam pandangan dan fikiran yang bermula di Mesir dan Turki. Walaupun seperti yang telah ternyata sungguh pun orang Melayu tinggal di negeri-negeri yang berlainan dan berada di bawah kekuasaan pemerintah masing-masing namun agama Islam dilihat sangat berperanan sebagai penghubung sesama mereka. Ini jelas ternyata pada peringkat awal melalui kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu apabila agama Islam dijadikan mekanisme untuk menyedarkan orang melayu yang dilihat serba ketinggalan dalam pelbagai bidang serta berbagai-bagai [24]pembaharuan dan pandangan yang lebih moden dan sesuai dengan keadaan zaman telah diwujudkan di Mesir misalnya oleh Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaludin al-Afghani. Di Turki pula muncul Mustafa Kamal Attaturk dan di bawah pimpinan beliau negara Turki mengalami pembangunan dan pemodenan.
Malah mereka sedar bahawa Islam memerlukan perubahan-perubahan dan penafsiran baru serta yang sesuai untuk menghadapi cabaran dunia yang berkembang pesat. [25]Manakala penuntut-penuntut dari Tanah Melayu dan Indonesia yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah telah menerima pengaruh Pan Islamism di Mesir dan pemodenan dari negara Turki. Mereka telah menubuhkan persatuan yang dikenali sebagai Perkumpulan Pemuda Indonesia-Malaya serta bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Malaya-Indonesia yang merdeka dan juga berdaulat. [26]Antara pelajar yang terkenal pada ketika itu ialah Sheikh Mohammad Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Ahmad al-Hadi dan Sheikh Muhammad Salim dan mereka ini telah mendapat sokongan yang kuat daripada pelajar Islam yang masih menuntut di Timur Tengah walaupun mendapat tentangan daripada golongan tua dan dianggap telah menyeleweng. [27]Mereka ini telah menulis dalam majalah Seruan Azhar dan Pilehan Timour untuk mengadakan satu gerakan Pan Islamism yang bersifat anti penjajah dan penyatuan antara Tanah Melayu-Indonesia.
KESIMPULAN
Secara rumusannya apa yang dapat diperkatakan secara jelas ialah walaupun pergerakan sebelum Perang Dunia Kedua tidak berjaya dan tidak dapat membebaskan tanah melayu daripada belenggu penjajahan, namun pergerakan yang telah wujud untuk membangkitkan gerakan kesedaran kebangsaan di tanah melayu sedikit sebanyak telah meninggalkan beberapa kesan positif sebagai satu asas persediaan kepada kepada kemerdekaan pada tahun 1957. Malah pada awalnya gerakan nasionalisme sebelum tahun 1941 adalah lebih bercorak agama, sosioekonomi dan juga politik. Namun selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu ianya telah berubah kepada corak gerakan kesedaran ini telah berubah menjadi perjuangan secara berpelembagaan.
Selain itu, melalui gerakan kesedaran kebangsaan turut menunjukkan golongan para nasionalis cuba melepaskan tanah melayu daripada kuasa luar melalui perdamaian. Malah jelas memperlihatkan sebagai salah satu perjuangan yang dijalankan tanpa melalui pertumpahan darah dengan kebijaksanaan Kaum Muda walaupun pada hakikatnya golongan konservatif yang sepenuhnya menguasai pemikiran anak-anak Melayu dengan memberikan pengajaran al-Quran yang kurang dimengerti, serba sedikit mengenai tafsiran al-Quran dan lain-lain. Tetapi apabila golongan Kaum Muda telah mengalami begitu besar perubahan dan turut membawa perkembangan kepada anak-anak yang baru mula berkecimpung dengan dunia baru.
Hal ini ditambah lagi melalui mata pena yang terdiri daripada akhbar dan majalah yang dilihat sebagai faktor utama yang membawa kepada kesedaran kebangsaan serta ditambah dengan faktor-faktor lain. Malah daripada situ tercetusnya cita-cita pembaharuan yang semakin lantang dan tegas. Secara jelasnya gerakan nasionalisme ini dilihat bergerak secara aktif untuk mempertahankan tanah melayu.

BIBLIOGRAFI
1)      Abdul Rauf Mohd. Napis, Ramlah Muhmad, (1992), Politik dan Kerajaan di Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
2)      Ibrahim Yaacob, (1951), Nusa Dan Bangsa Melayu, Indonesia, Djakarta.
3)      Mohamed Salleh Lamry, (2006), Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
4)      Ahmad Boestamam, (2003), Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur, Universiti Malaya.
5)      Haji Buyong Bin Adil, (1983), Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
6)      Anthony D. Smith, (1971), Theories of Nationalism, London, Gerald Duckworth & Company Limited.
7)      Anthony D. Smith, ( 1998), Nationalism And Modernism, London & New York, Routledge.
8)      Vejai Balasubramaniam, (1998), Politik Nasionalisme Dan Federalisme Di Malaysia, Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.



[1]Anthony D. Smith, (1971), Theories of Nationalism, London, Gerald Duckworth & Company Limited, Hlm 215.
[2] Anthony D. Smith, (1998), Nationalism and Modernism, London and New York, Routledge, Hlm 29.
[3]Ahmad Boestamam, (2003), Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur, Universiti Malaya, Hlm 46-51.
[4]Ahmad Boestamam, Nasionalisme Melayu, Hlm 51-54.
[5]Ibid, Hlm 83-84.
[6]Ibid, Hlm 51.
[7]Ibid, Hlm 54.
[8]Vejai Balasubramaniam, (1998), Politik Nasionalisme Dan Federalisme Di Malaysia, Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Hlm 80.
[9]Vejai Balasubramaniam, ( 1998), Politik Nasionalisme Dan Federalisme Di Malaysia, Shah Alam Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Hlm 81-82.
[10]Ahmad Boestamam, (2003), Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur, Universiti Malaya, Hlm 80-83.
[11]Ahmad Boestamam, Nasionalisme Melayu, Hlm 83-84.
[12]Ibid, Hlm 71.
[13]Haji Buyong Bin Adil, (1983), Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Hlm 244.
[14]Ahmad Boestamam, (2003), Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur, Universiti Malaya, Hlm 64-65.
[15]Haji Buyong Bin Adil, (1983), Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Hlm 245.
[16]Mohamad Salleh Lamry, (2006), Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hlm 47-49.
[17]Mohamad Salleh Lamry, (2006), Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hlm 47.
[18]Abdul Rauf Mohd. Napis, Ramlah Muhamad, (1992), Politik dan Kerajaan di Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm 25-26.
[19]Abdul Rauf Mohd. Napis, Ramlah Muhamad, Politik dan Kerajaan di Malaysia, 26.
[20] Haji Buyong Bin Adil, (1983), Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Hlm 243.
[21] Ibrahim Yaacob, (1951), Nusa Dan Bangsa Melayu, Indonesia, Djakarta, Hlm 59.
[22]Ibrahim Yaacob, Nusa Dan Bangsa Melayu, Hlm 59-60.
[23]Ahmad Boestamam, (2003), Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur, Universiti Malaya, Hlm 85-86.
[24]Vejai Balasubramian, (1998), Politik Nasionalisme Dan Federalisme Di Malaysia, Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Hlm 80-82.
[25]Vejai Balasubramaniam, Politik Nasionalisme Dan Federalisme Di Malaysia, Hlm 82..
[26]Ahmad Boestamam, (2003), Nasionalisme Melayu, Kuala Lumpur, Universiti Malaya, Hlm 65.
[27]Ahmad Boestamam, Nasionalisme Melayu, , Hlm 87

No comments:

Post a Comment

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...