PENGENALAN
Nasionalisme
di Tanah Melayu adalah satu gerakan bersifat tempatan menuju ke arah
pembentukan negara bangsa. Gerakan nasionalisme Melayu satu gerakan mewakili
gerakan nasionalisme di Tanah Melayu yang menggunakan unsur-unsur dan ciri-ciri
serta berlandaskan politik tempatan sedangkan politik kaum lain berlandaskan
kepada negara asal mereka. Periodisasi 1946-1948, memperlihatkan corak kegiatan
nasionalisme yang pelbagai warna dan sangat lincah. Tempoh ini memperlihatkan
pertentangan sengit di antara dua kumpulan utama dalam kegiatan nasionalisme
iaitu kanan dan kiri atau radikal dengan konservatif dan juga pihak ketiga
iaitu orang bukan Melayu yang cuba mendapatkan kuasa politik dan kedudukan
tetap dalam politik di Semenanjung Tanah
Melayu. Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada Januari 1946
merupakan isu penting yang mencorakkan nasionalisme di Tanah Melayu.
RANCANGAN MALAYAN UNION
Sebelum
Jepun menyerah kalah, British telah merangka satu rancangan untuk melancarkan
sebuah kerajaan baru di Tanah Melayu. Rundingan mengenai rancangan ini telah
dibuat di antara Whitehall (Pejabat Tanah Jajahan) dengan Pejabat Perang sejak
bulan Febuari 1943.[1]
Kedua-dua bersetuju untuk menubuhkan unit perancangan yang dinamakan sebagai Malayan Planning Unit dalam Julai 1943
yang diketuai oleh Mejar Jeneral Ralph Hone. Rancangan ini dikenali sebagai Resconstruction of Malaya.[2]. Dalam
tahun 1944, kabinet perang telah mengeluarkan arahan-arahan tertentu berkaitan
dengan pentadbiran di Tanah Melayu, dengan itu jawatankuasa kabinet mengenai
Malaya dan Borneo telah dilantik pada 4 Januari 1944. Jawatankuasa ini telah
mengkaji berbagai perkara termasuk rancangan menyatukan Tanah Melayu sebagai
usaha membina semula negara ini. Perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat
yang diadakan pada 22 Mac 1944 yang dihadiri oleh Clement Attlee (selaku Lord
President) dan Edward Gent, Setiausaha Tanah Jajahan yang kemudiannya menjadi
Gabenor Malayan Union.[3]
Rancangan Malayan Union ini dirangka
oleh British kerana orang-orang British tidak berpuas hati dengan pentadbiran
yang ada di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, terdapat
tiga jenis pentadbiran iaitu Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu
Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Oleh itu, Hone telah
ditugaskan untuk merangka satu bentuk pentadbiran baru untuk Tanah Melayu dan
akhirnya usul untuk menggabungkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri
Melayu Tak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat kecuali Singapura menjadi Malayan
Union telah dibentangkan. Cadangan untuk Malayan Union ini telah dibentangkan
pertama kalinya oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah
Jajahan British pada Januari 1944 di Parlimen United Kingdom.[4]
Pada awalnya, Sabah dan Sarawak juga
telah dimasukkan ke dalam cadangan awal Malayan Union namun kemudiannya telah
dikeluarkan daripada cadangan terakhir kerana pihak British belum bersedia
ketika itu dan masih lagi berada dalam keadaan yang kurang stabil. Manakala Singapura
pula tidak dimasukkan ke dalam Malayan Union tetapi dijadikan sebagai tanah
jajahan mahkota British yang berasingan.[5] British berhasrat untuk
membentuk sebuah bangsa Malayan Union yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh
itu penubuhan Malayan Union ini adalah bertujuan untuk melahirkan semangat
cintakan Tanah Melayu terutamanya di kalangan orang-orang Cina dan India kerana
taat setia mereka masih lagi kepada negara asal mereka. Dengan penubuhan
Malayan Union, British berharap bangsa ini akan melupakan negara asal mereka
dan menumpukan taat setia sepenuhnya terhadap Malayan Union dengan kaedah
pemberian kerakyatan yang longgar kepada mereka. Malayan Union memberikan
kewarganegaraan terbuka kepada orang bukan Melayu, ia dianggap sebagai hadiah
atau penghargaan yang diberikan kepada orang bukan Melayu kerana kesetian
mereka semasa semasa perang.[6]
Selain itu, ia juga dilaksanakan untuk memastikan wujudnya sumber tenaga buruh
Cina dan India disamping pelaburan yang berterusan untuk memajukan ekonomi
Tanah Melayu.
Selain itu, pembentukan Malayan
Union adalah disebabkan kerana British terikat dengan Piagam Atlantik pada 14
Ogos 1941 yang mengisytiharkan hak negara-negara untuk berkerajaan sendiri.
Sebelum hasrat ini tercapai pentadbiran yang stabil perlu diwujudkan. Oleh itu,
menurut pihak British, Malayan Union perlu ditubuhkan. Selain itu, Tanah Melayu
sememangnya terkenal sebagai pengeluar bijih timah dan getah terbesar di dunia
ketika itu.[7] Keadaan
ini menyebabkan Tanah Melayu menjadi sumber ekonomi terbesar bagi tanah jajahan
Britis, Oleh itu, British ingin mengekalkan dan menjamin kekuasaannya di Tanah
Melayu. Dengan penubuhan Malayan Union, hasrat British ini akan terlaksana dan keadaan
ini akan membolehkan Britsh terus menguasai ekonomi Tanah Melayu dan mengurangkan
kuasa politik orang Melayu.
Punca utama kemarahan orang Melayu
melalui Malayan Union ialah penukaran mengenai naungan kepada jajahan British.[8]
Semua anggota majlis dalam Malayan Union hendaklah menyatakan taat setia kepada
Ratu Inggeris dan bukan lagi kepada raja-raja Melayu. Malayan Union akan
diperintah oleh seeorang gabenor dengan Majlis Mesyuarat Kerja (Executive Committee)
dan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri. Melalui rancangan ini, gabenor mempunyai
kuasa yang besar dan kuasa muktamad terhadap sesuatu hal pentadbiran di Tanah
Melayu dan Singapura. Kuasa yang ada pada gabenor ini lebih besar daripada
kuasa Raja-raja Melayu itu sendiri.[9]
Malayan Union telah diisytiharkan secara rasminya pada 1 April 1946 di King
house, Kuala Lumpur dan Sir Edward Gent telah dilantik sebagai gabenornya yang
pertama.
REAKSI MASYARAKAT TERHADAP MALAYAN
UNION
Pada
1 April 1946, satu perintah bagi pembentukan Malayan Union telah disiarkan
dalam warta kerajaan yang dikenali sebagai “Surat Perintah 6724”. Berdasarkan
surat perintah inilah kertas putih Malayan Union disediakan.[10]
Apabila kandungan kertas putih perjanjian Malayan Union disiarkan, keadaan ini
telah menggemparkan orang-orang Melayu. Api nasionalisme yang terpendam dan
membara semakin kelihatan. Tambahan pula, pada masa itu semangat orang Melayu
semakin membara apabila melihat warga Indonesia memperjuangkan kemerdekaan
mereka daripada penjajah Belanda. Keadaan ini menyemarakkan lagi api kemarahan
orang Melayu agar bangun dan bangkit menentang tipu helah penjajah Inggeris
yang hendak merampas hak dan kekuasaan orang-orang Melayu dan mengetahui bahawa
raja-raja mereka telah dipaksa oleh Mac Micheal untuk menurunkan tandatangan.[11]
Mereka telah keluar beramai-ramai untuk menentang pembentukan rancangan Malayan
Union di Tanah melayu.[12]
Penentangan mereka telah dilakukan sejak bulan
November 1945 dengan satu perarakan di Kota Bharu Kelantan. Ini kemudiannya diikuti
dengan perarakan di Alor Setar dan Johor pada bulan Januari 1946.[13]
Misalnya, di Batu Pahat Dato Onn Jaafar telah mengetuai orang-orang Melayu
pelbagai golongan dari serata pelusuk kampung untuk keluar berarak ke bandar
Batu Pahat (Pengaram) dengan membawa sepanduk sebagai tanda bantahan mereka
terhadap rangcangan British itu. Bantahan serta tunjuk perasaan juga dilakukan
oleh orang-orang Melayu (termasuk golongan wanita) di negeri-negeri lain.[14]
Gagasan Malayan Union amatlah mengecewakan orang Melayu kerana Malayan Union
akan menghapuskan keistimewaan orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu.
Sebaliknya,rancangan Malayan Union lebih
memberi faedah kepada orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu sangat menyokong pembentukan
Malayan Union kerana kerakyatan yang memuaskan. Hal ini kerana, Malayan Union
telah memperkenalkan konsep kerakyatan Jus
soli iaitu kerakyatan dengan hak yang sama rata kepada semua yang lahir di
Tanah Melayu dan Singapura, serta kepada imigran yang menetap sekurang-kurangnya
10 tahun di situ tanpa mendiskriminasi mana-mana masyarakat. Orang Cina
bersetuju dengan dasar Dual Nationality
dalam Malayan Union.[15]
Dianggarkan 1.6 juta orang Cina atau 62.5 % daripada penduduk Cina di Tanah
Melayu akan menjadi rakyat Malayan Union.[16]
Bakinya mendapat kerakyatan melalui syarat-syarat lain. Orang bukan Melayu hanya
menentang pemisahan Singapura daripada Malayan Union dan Pulau Pinang dari Negeri-negeri
Selat. Namun demikian, ada juga orang bukan Melayu yang menentang Malayan Union
kerana melihat Malayan Union sebagai satu jajahan dan tidak demokratik. Reaksi ini
mulai timbul apabila rancangan Malayan Union ditangguhkan. Orang Cina dan India
mula melihat British menipu mereka lalu menunjukkan penentangan bersifat kolonial.
AKHBAR TEMPATAN
Akhbar-akhbar
Melayu turut memainkan peranan yang aktif sebagai penyebar dan penggalak
perasaan penentangan rancangan Malayan Union tersebut. Akhbar-akhbar yang terdapat
pada masa itu seperti Warta Negara di Pulau Pinang, Majlis di Kuala Lumpur dan Utusan
Melayu Singapura. Pengarang-pengarang akhbar banyak mengulas dan memberi
pendapat mengenai rancangan tersebut melalui rencana-rencana yang diterbitkan
dalam akhbar. Tulisan-tulisan mereka telah menyemarakkan lagi semangat
orang-orang Melayu.[17]
Melalui akhbar, masyarakat Melayu dapat mengetahui peristiwa yang berlaku pada
masa itu. Misalnya, akhbar masjlis menyiarkan
berita pertama mengenai Malayan Union pada 12 Oktober 1945 dan hampir
setiap hari menyiarkan ulasan-ulasan mengenai Malayan Union.[18]
Penentangan orang Melayu adalah
bersifat tempatan. Penentangan orang Melayu telah mendapat simpati daripada
beberapa orang ahli parlimen British seperti Captain Gammans, Sir John Barlow,
Viscount Marchwood, Viscout Elibank dan beberapa orang lagi. Pegawai-pegawai
tinggi British yang pernah bertugas di Tanah Melayu seperti Sir Richard Winstedt,
Maxwell, Alex Mc Adam, dan Arold Robinson turut menentang rancangan Malayan Union.[19]
Bantahan serta tentangan yang dilakukan
oleh orang-orang Melayu itu tidak dihiraukan oleh kerajaan British. Malah,
pihak Inggeris tetap bertegas untuk meneruskan cita-cira mereka itu tanpa
menghiraukan bantahan yang berlaku di sekeliling mereka dengan membuat
pengisytiharan tentang penubuhan kerajaan Malayan Union di Tanah Melayu pada 1
April 1946.[20]
Penentangan terhadap Malayan Union
pada masa itu berlaku secara berasingan, seolah-olah tidak ada kesepaduan di
dalam tindakan yang dilakukan oleh orang-orang melayu. Melihat kepada keadaan
ini, pihak akbar-akbar Melayu pada masa itu seperti akhbar majlis, Utusan
Melayu dan Warta Negara telah menyeru supaya menyatukan seluruh gerakan-gerakan
mereka yang ada agar pergerakan orang-orang Melayu menjadi lebih teratur dan
tersusun. Sebagai menyahut cabaran daripada akbar-akbar tempatan, Dato Onn
Jaafar yang dipertua Pergerakan Melayu Seluruh Johor (PMSJ) telah mengambil
inisiatif awal dengan menulis surat-surat terbuka kepada persatuan-persatuan Melayu
supaya diadakan satu kongres yang dapat menyatukan seluruh orang-orang Melayu
di dalam sebuah kesatuan.[21]
Surat terbuka daripda Dato Onn Jaafar ini telah disiarkan di dalam akbar Majlis
keluaran 25 januari 1946.[22]
Seruan serta cadangan daripada Dato Onn Jaafar ini telah mendapat sambutan baik
daripada persatuan-persatuan Melayu dan orang perseorangan yang ingin melihat
orang-orang Melayu bersatu dalam menentang Malayan union. Daripada surat Dato Onn
tersebutlah yang akhirnya terlaksana satu perjumpaan besar-besaran di antara
persatuan Melayu di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. [23]
PARTI-PARTI GERAKAN
NASIONALISME
PARTI KEBANGSAAN MELAYU MALAYA
(PKMM)
Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada Oktober 1945, dengan campur
tangan PKM yang sedang cuba berbaik-baik dan menyeludup masuk ke parti politik
kiri Melayu dan bukan Melayu untuk menubuhkan ‘Malayan United Front’ menentang
British dan cuba mengambil alih pentadbiran.[24]
Dasar politik PKMM iaitu menegakkan Indonesia Raya dan bekerjasama dengan
bangsa lain. Dasar menegakkan Indonesia Raya adalah lanjutan daripada rancangan
yang terbengkalai semasa era zaman pendudukan Jepun. [25]
Pendekatan politik PKMM sangat progresif
dibandingkan dengan UMNO. PKMM ingin menjadi sebagai parti politik yang
berkuasa. PKMM cuba melahirkan satu negara yang mengiktiraf kedudukan politik
yang kekal untuk bangsa dagang yang tinggal dan lahir di Tanah Melayu selari
dengan konsep dalam Malayan Union yang mengiktiraf sesiapa sahaja yang lahir di
Tanah Melayu sebagai warganegara.[26] Oleh sebab itu, PKMM semasa perjumpaannya
dengan Edward Gent telah mendesak supaya kerakyatan dibuka kepada seluruh
kepulauan Melayu. Hal ini akan memudahkan PKMM mengimbangi kuasa politik Parti
Komunis Malaya dan orang bukan Melayu dalam Indonesia Raya.[27]
Dalam usaha memperkuatkan pengaruh,
PKMM mula membentuk API, AWAS, diikuti
pula oleh BATAS (Barisan Tani Semalaya). Disamping itu, PKMM mempunyai hubunan
yang rapat dengan GERAM (Gerakan Anti Muda), MATA (Majlis Agama Tertinggi, dan
Hizbul Muslimin. Organisasi ini sealiran dengan PKMM iaitu menentang penajajah
dan menghadapi saingan dari UMNO. Api muncul dari rancangan PKMM untuk
mengadakan perarakan raksaksa di Ipoh, semasa memperingati usia enam bulan
kemerdekaan Indonesia.[28]
PKMM juga dalam gerakan menuntut kemerdekaan lantang menyuarakannya menerusi
“Pelita Malaya” dan “Suluh Melayu”dengan sokongan Suara Rakyat. PKMM pernah bekerjasama
dengan UMNO namun hanya bertahan selama lima bulan sahaja disebabkan perbezaan
ideologi.[29]
PKMM pada masa itu bukan sahaja tidak bersetuju dengan Malayan Union, tetapi
juga menentang penjajahan British. Manakala UMNO pada ketika itu juga menentang
Malayan Union tetapi sedia menerima jajahan British buat sementara sekiranya
kedaulatan Raja-raja Melayu dikembalikan sebelum perang dunia kedua dan
pemberian hak kerakyatan melalui prinsip jus soli dihapuskan. Bagi PKMM pula,
PKMM tidak bersetuju bekerjasama dengan kerajaan British dan tidak mengangap
kedaulatan Raja-raja Melayu perlu diutamakan sangat. Oleh itu, dalam bulan
Januari 1946, PKM telah mengambil keputusan untuk keluar dari UMNO.[30]
UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION
(UMNO)
United
Malays National Organisation atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah
didirikan hasil kesedaran politik orang Melayu. UMNO ditubuhkan pada Mac 1946,
dan secara rasmi pada Mei 1946 yang dianggotai oleh pertubuhan-pertubuhan
negeri dan persatuan-persatuan sosioekonomi masyarakat Melayu. penubuhan UMNO
adalah ekoran daripada rasa perlunya diwujudkan kesatuan Melayu untuk menentang
Malayan Union. Dasar UMNO adalah untuk
menentang Malayan Union dan mendesak
British mengembalikan status Quo raja-raja Melayu, negeri Melayu dan orang
Melayu agar dasar politik Tanah Melayu untuk Melayu dilaksanankan. UMNO
ditubuhkan bukan sahaja dengan matlamat yang berbeza dengan PKMM tetapi juga
dengan struktur dan rangka yang berlainan.[31]
UMNO lebih memikirkan kepentingan orang Melayu Semenanjung Tanah Melayu. Apa
yang diperjuangkan adalah survival bangsa Melayu Semenanjung dari penjajahan
mutlak British. UMNO tidak dipengaruhi oleh mana-mana unsur luar seperti PKMM
yang dikuasai PKM.
Kongres Melayu Setanah Melayu yang
pertama telah diadakan dari 1 hingga 4 Mac bertempat di Padang Kelab Sultan
Sulaiman, Kuala Lumpur. Kongres itu
telah dirasmikan oleh sultan Selangor iaitu Sultan Hisamudin Alam Shah. Seramai
300 orang wakil dari seluruh semenanjung
Tanah Melayu, termasuk Dr. Burhanudin, Ahmad Boestaman, Sa’don Zubir,
Dato Panglima bukit Gantang, Haji Ishak Lufti, dan lain-lain serta puluhan ribu
rakyat Malaya telah menghadiri kongres ini.[32]
Kongres yang berlangsung selama empat hari telah berjaya mengambil kata sepakat
menubuhkan parti politik yang paling besar iaitu Persatuan Kebangsaan Melayu
Bersatu (United Malay National Organisation) atau UMNO dengan slogan “Hidup
Melayu untuk menentang Malayan Union.” [33]
Pada 29 dan 30 mac 1946, Dato Onn
telah mengadakan kongres tergempar untuk membincangkan tindakan-tindakan yang
harus diambil untuk menghalang kerajaan British daripada melaksanakan Malayan
Union di Tanah Melayu. Kongres kedua telah mengambil satu ketetapan agar orang-orang
Melayu memulaukan majlis perlantikan gabenor jeneral dan memohon Raja-raja Melayu
agar tidak menghadri majlis perlantikan tersebut yang diadakan pada 1 april
1946. Majlis perlantikan gabenor general yang pertama yang diadakan itu telah dipulaukan
sepenuhnya oleh orang-orang Melayu.
Raja-raja Melayu telah berjaya dipujuk agar tidak menghadirinya.
Apabila undang-undang tubuh atau
perlembagan UMNO disiapkan oleh jawatankuasa khas, maka Kongres Melayu Ketiga telah
diadakan untuk menubuhkan UMNO dengan rasminya. Kongres ini telah diadakan di
Istana Besar Johor Bharu pada 11 dan 12 Mei 1946. Perasmian kongres ini telah
dilakukan oleh Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail. Di dalam persidangan ini
undang-undang tubuh atau perlembagaan UMNO telah disahkan dengan rasminya.
Dengan pengesahan tersebut maka UMNO telah ditubuhkan dengan rasminya. Di dalam
mensyuarat agung yang pertamanya diadakan selepas pengesahan piagamnya, Dato
Onn Jaafar telah dipilh menjadi Yang Dipertua Agung UMNO yang pertama. Selepas
itu, UMNO dan raja-raja Melayu terus berjuang untuk menamatkan Malayan Union di
Tanah Melayu. Satu Jawatankuasa Kerja yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada
kerajaan British, Raja-raja Melayu dan UMNO telah dibentuk. Melalui Jawatankuasa
Kerja itu akhirnya Malayan Union telah dimansuhkan dan satu perjanjian Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara raja-raja Melayu dengan
wakil kerajaan British di King House, Kuala Lumpur pada 21 Januari 1948.
Persekutuan Tanah Melayu mula berkuatkuasa pada 2 Febuari 1948.[34]
PUTERA-AMCJA
Majlis
Tindakan Bersama Tanah Melayu atau AMCJA telah ditubuhkan pada 22 Disember
1946. AMCJA dipengerusikan oleh Tan Cheng Lock dan setiausahanya Joh Eber [35]
yang terdiri daripada Straits Chines British Assocation (SCBA), Malayan Indian
Congress (MIC), Malayan Democratic Youth League (NDYL), Malayan People’s
Anti-japanese Ex –Comrades Assocation dan beberapa organisasi kecil yang lain.
kesatuan Demokratik Malaya (Malayan Demaocratic Union) merupakan parti
berhaluan kiri yang memainkan peranan dalam majlis ini. AMCJA telah menimbulkan
tiga prinsip utama iaitu, Tanah Melayu yang bersatu termasuklah Singapura,
kerajaan pusat yang dibentuk haruslah dipilih oleh rakyat, dan sesiapa yang
ingin tinggal menetap di Tanah Melayu patut diberi kerakyatan.[36]
Dalam usaha mendapatkan sokongan, AMCJA menerangkan cadangan-cadangan mereka
melalui media iaitu akhbar. Malah, pertubuhan ini turut mengadakan tunjuk
perasaan secara besar-besaran.
Selain dari AMCJA, ada juga kumpulan
lain yang menyuarakan cadangan mereka mengenai perlembagaan tersebut. Kumpulan
ini dikenali sebagai Pusat Tenaga Rakyat ataupun PUTERA. PUTERA adalah parti
berhaluan kiri yang ditubuhkan pada 22 Febuari
1947 dan dipimpim oleh Ishak Haji Muhammad (Pak sako). PUTERA terdiri
daripada PKMM, Angkatan Muda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Gerakan
Angkatan Muda (GERAM), Barisan Tani Se Malaya (BATAS) dan Majlis Agama
Tertinggi Se Malaya (MATA). PUTERA sebenarnya merupakan gabungan parti politik
berhaluan kiri yang menentang penjajah di mana ia mahukan sebuah perlembagaan
yang memberikan lebih banyak kebebasan kepada rakyat. PUTERA menentang cadangan
persekutuan Tanah Melayu.
Dalam bulan Mac 1947, AMCJA dan
PUTERA telah membentuk sebuah perikatan. PUTERA menyokong prinsip-prinsip utama
AMCJA. Sebagai tambahannya, PUTERA juga mahukan Bahasa Melayu dijadikan sebagai
bahasa kebangsaan Tanah Melayu. Perikatan ini dikatakan disokong oleh seramai
550 000 orang rakyat Tanah Melayu.[37]
Oleh itu, parti ini menggesa pihak British supaya berhenti berunding dengan
lain-lain kumpulan di Tanah Melayu tetapi rundingan diteruskan dengan pihak
perikatan AMCJA – PUTERA. Namun demikian, British tidak menghiraukan cadangan-cadangan
AMCJA – PUTERA dan meneruskan rundingan dengan Sultan-sultan dan UMNO.
Jawatankuasa perundingan orang Melayu dikatakan tidak sehaluan di mana
masing-masing hanya cuba melindungi kaumnya sendiri.[38]
Akhirnya mereka tidak dapat memberi cadangan yang tegas sehingga British
akhirnya berunding dengan UMNO sahaja dan dalam bulan Julai 1947, Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu telah siap digubal.
Bantahan yang kuat dari orang bukan
Melayu telah timbul apabila mendengar mengenai perlembagaaan tersebut. PUTERA
dan AMCJA telah mengadakan satu hartal pada 20 Oktober 1947. Hartal adalah
bantahan di mana semua kedai-kedai dan perniagaan ditutup. Pelaksanaan Hartal
ini telah menyebabkan semua kegiatan ekonomi di kawasan Bandar terhenti. Kesan
hartal ini dirasai di semua negeri kecuali Perlis, Kelantan, dan Terengganu.[39]
Mereka berjaya menunjukkan bantahan mereka, namun tidak berjaya mengubah
keputusan British. K.J. Ratnam mengatakan bahawa, keadaan ini berlaku
disebabkan AMCJA gagal mendapatkan sokongan secara bersatu, dan pada masa yang
sama orang Melayu menguasai politik.[40]
Hal ini kerana, gabungan Cina dan India tidak cukup kukuh untuk menentang
perlembagaan. Sir Edward Gent bagi pihak British dan raja-raja Melayu telah
menandatangani perjanjian pembubaran Malayan union yang sekaligus memberi jalan
kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu bagi menggantikan Malayan Union.[41]
Pada bulan Jun 1948, British telah
mengisytiharkan darurat atau emergency
atau perlembagaan rakyat setelah pembunuhan tiga pengurus ladang getah British
di Sungai Siput.[42]
Dengan pengisytiharan ini beberapa parti berhaluan kiri telah pun diharamkan
dan pemimpinnya ditangkap oleh British. Ini termasuk PKM, PKMM, API dan AWAS (Parti
Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 1948 juga diharamkan). Malayan Democratic
Union menarik diri dari arena politik atas alasan suasana politik serta
pengaruh parti-parti haluan kiri di Persekutuan Tanah Melayu. PKM dikatakan
ingin mencetuskan satu revolusi atau pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan
oleh Malcolm Macdonald, iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara.
Bristish telah mengambil tindakan ketenteraan yang kuat untuk menangani ancaman
daripada PKM dan konflik ini dilabelkan sebagai ‘communist insurgency’.[43]
Lanjutan
daripada ini, secara tidak langsung pengaruh parti-parti berhaluan kiri
berkurangan dalam arena politik. Sebahagian besar pemimpin-pemimpin berhaluan
kiri ini telah dipenjarakan oleh pihak British. PKMM misalnya telah berkurangan
kerana beberapa pemimpim utamanya dipenjarakan dibawah Emergency Ordinance 1948.[44]
Selain itu, beberapa pemimpin gerakan kiri seperti Mustapha Hussain misalnya
telah memasuki UMNO dan parti lain. Manakala Tan Cheng Lock yang dahulunya merupakan
memimpin AMCJA pula telah menubuhkan parti Malayan Chinese Association pada
bulan Feb 1949.[45]
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
British sebagai pemegang kuasa politik Tanah Melayu telah memperkenalkan
Malayan Union yang telah mengundang pelbagai reaksi daripada Masyarakat
sehingga membawa kepada gerakan penentangan. Malayan Union merupakan satu
penjajahan politik ke atas Tanah Melayu. Dasar naungan yang dijalankan ke atas
negeri-negeri Melayu selama ini di cabut dan segala kuasa eksekutif dan
perundangan di ambil oleh Raja England dan parlimen British. Kita dapat katakan
bahawa Malayan Union pencetus kepada gerakan nasionalisme di Tanah Melayu yang
terdiri daripada parti berhaluan kanan dan kiri. Rancangan Malayan Union
dianggap oleh J. de V. Allen sebagai sesuatu yang menggegarkan orang Melayu
seolah-olah satu gempa telah berlaku. 1 April 1946 mencatatkan titik peralihan
yang mengubah corak perjalan sejarah negera ini iaitu hari penubuhan Malayan
Union yang dianggap oleh orang Melayu sebagai titik hitam apabila mereka
kehilangan kuasa di tanah air sendiri.
Malayan Union telah membawa
perubahan yang ketara ke atas politik orang Melayu. Krisis Malayan Union pada
1946 memperlihatkan pembentukan parti
UMNO untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu. UMNO sebagai satu parti
baru telah pun ditubuhkan pada Mei 1946 adalah untuk membantah penubuhan Malayan Union
yang berkuasa pada 1 april 1946 dan boleh dikatakan memberi tekanan politik
kepada pentadbiran kolonial British. Dalam tempoh awal ini, parti ini bersaing
dengan PKMM untuk mendapat sokongan masyarakat Melayu, dimana akhirnya UMNO
lebih berjaya meraih sokongan kuat daripada masyarakat.[46]
UMNO telah muncul sebagai parti utama dan kemudian disaingi oleh PAS pada tahun
1959 sehingga kini.[47]
Oleh kerana kesedaran politik yang ada pada orang Melayu, keadaan ini
menyebabkan Malayan Union telah dibubarkan. Pembubaran Malayan Union adalah
merupakan satu kejayaan yang besar bagi orang Melayu dan digantikan dengan
Persekutuan Tanah Melayu. Akhirnya, usaha-usaha orang Melayu telah membuahkan hasil
apabila Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
BIBLIOGRAFI
BUKU
Ahmad Zahid Hamidi, Pemuda UMNO : Kepimpinan dan perjuangan, Kuala Lumpur: Yayasan
Gerak Bakti kebangsaan
Malaysia dengan Kerjasama Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
1973.
Ahmad Masjidin, ‘Sejarah Masyarakat
Melayu Moden’, Malayan Union dari Kaca Mata Warta Negara,
Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1984.
Abu Bakar Hamid, et al, ‘UMNO Johor 50
tahun : memartabatkan bangsa Melayu’, Perjuangan
UMNO Menentang Malayan Union dan Menuntut Kemerdekaan 1946-1957,
Kuala Lumpur : Berita Publishing,
1996.
Arkib Negara Malaysia, Hari ini dalam Sejarah, Jilid I, kuala
Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 1981.
Jaafar Albar, ‘UMNO 20 Tahun’, Sa-layang Pandang Sejarah Perjuangan UMNO 20
Tahun, Kuala Lumpur: Ibu
Pejabat UMNO, 1966.
Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1998.
Ramlah Adam, ‘Sejarah dan Proses
Pemantapan Negara-Bangsa : Prosiding Kongres Sejarah Malaysia Kedua’, Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti
Komunis Malaya, 1945-1948: Satu Penelitian Mengenai Kegiatan Politik Mereka, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia,
1998.
Thambirajah, M., Malaysia dalam Sejarah, Kuala Lumpur : Federal Publications, 1979.
Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa, Kuala Lumpur : Penerbitan Lajmeidakh
Sdn. Bhd., 1987.
KERTAS
PERSIDANGAN
Fernando, Joseph M., Wacana Merdeka
“Menghayati Perjuangan Kemerdekaan”, Peranan
Parti Perikatan dalam Gerakan
Menuntut Kemerdekaan, 23 September, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2011.
LATIHAN
ILMIAH
Bushra Yusoff, ‘Tan Sri Datuk Syed
Jaafar Albar : Peranan dan Kegiatannya dalam Politik Di Malaysia’, Latihan
Ilmiah, 1995.
Maimun Noor, ‘Gerakan Politik Kiri
Melayu sehingga 1948’, Latihan ilmiah, 1992.
ARTIKEL
AKHBAR
Utusan Malaysia, 21 Januari 1948.
ARTIKEL
JOURNAL
M.R. Stenson, ‘The Malayan Union and the
Historians’, Journal of Southeast Asian History, Bil. 10, No. 2, 1969.
[1] Ahmad Masjidin, ‘Sejarah
Masyarakat Melayu Moden’, Malayan Union dari Kaca Mata Warta Negara, Kuala Lumpur: Penerbitan
Universiti Malaya, 1984, hlm. 191.
[2] Ibid.
[3] Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa, Kuala Lumpur:
Penerbitan Lajmeidakh Sdn. Bhd., 1987, hlm. 7.
[4] Ibid.
[5] Thambirajah, M., Malaysia dalam Sejarah, Kuala Lumpur:
Federal Publications, 1979, hlm. 2.
[6] M.R. Stenson, ‘The Malayan Union
and the Historians’, Journal of Southeast Asian History, Bil. 10, No. 2, 1969,
hlm. 345.
[7] Thambirajah, M., Malaysia dalam Sejarah, hlm. 2.
[8] Zin Mahmud et al., Kepimpinan & Perjuangan Pemuda UMNO, Kuala Lumpur:
Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 2008, hlm. 4.
[9] Zin Mahmud et al., Kepimpinan & Perjuangan Pemuda UMNO, hlm. 5.
[10]
Arkib Negara Malaysia, Hari ini dalam Sejarah, Jilid I, kuala
Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 1981, hlm. 63.
[11] Jaafar Albar, ‘UMNO 20 Tahun’, Sa-layang Pandang Sejarah Perjuangan UMNO 20
Tahun, Kuala Lumpur : Ibu Pejabat UMNO,
1966, hlm. 31.
[12]Ahmad Zahid Hamidi, Pemuda UMNO : Kepimpinan dan perjuangan,
Kuala Lumpur: Yayasan Gerak Bakti kebangsaan Malaysia dengan Kerjasama Utusan
Publications & Distributors Sdn.
Bhd., 1973, hlm. 1.
[13] Ramlah Adam, ‘Sejarah dan Proses Pemantapan Negara-Bangsa : Prosiding
Kongres Sejarah Malaysia Kedua’,
Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan
Parti Komunis Malaya, 1945-1948 : Satu Penelitian Mengenai Kegiatan Politik
Mereka, Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia, 1998, hlm. 753.
[14] Bushra Yusoff, ‘Tan Sri Datuk
Syed Jaafar Albar : Peranan dan Kegiatannya dalam Politik Di Malaysia’, Latihan Ilmiah, 1995, hlm. 25.
[15] Ahmad Masjidin, ‘Sejarah
Masyarakat Melayu Moden’, Malayan Union dari Kaca Mata Warta Negara, hlm. 193.
[16]Abu Bakar Hamid, et al, ‘UMNO
Johor 50 Tahun : Memartabatkan Bangsa Melayu’, Perjuangan UMNO Menentang
Malayan Union dan Menuntut Kemerdekaan 1946-1957, Kuala Lumpur: Berita
Publishing, 1996, hlm. 46.
[17]Ahmad Zahid Hamidi, Pemuda UMNO : Kepimpinan dan perjuangan,
hlm. 3.
[18]
Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa, hlm. 11.
[19]
Ahmad Zahid Hamidi, Pemuda UMNO : Kepimpinan dan perjuangan,
hlm. 3.
[20] Ibid., hlm., 4.
[21]
Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya,
1998, hlm. 4.
[22] Ahmad Zahid Hamidi, Pemuda UMNO : Kepimpinan dan perjuangan,
hlm. 4.
[23]Ibid., hlm., 4.
[24]Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, hlm. 115.
[25]
Ibid.
[26]Ibid., hlm. 116.
[27]Ibid., hlm. 117.
[28] Maimun Noor, ‘Gerakan Politik
Kiri Melayu sehingga 1948’, Latihan ilmiah, 1992, hlm. 56.
[29] Ibid.
[30] Ibid., hlm. 60.
[31]
Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, hlm. 117.
[32]
Maimun Noor, ‘Gerakan
Politik Kiri Melayu sehingga 1948’, Latihan ilmiah, 1992, hlm. 53.
[33]
Ahmad Masjidin, ‘Sejarah
Masyarakat Melayu Moden’, Malayan Union dari Kaca Mata Warta Negara, hlm. 4.
[34]Ahmad Zahid Hamidi, Pemuda UMNO : Kepimpinan dan perjuangan,
hlm. 5.
[35]
Thambirajah, M., Malaysia dalam Sejarah, hlm. 6.
[36]
Ibid.
[37]Ibid.
[38]Ibid., hlm. 7.
[39]Ibid.
[40]
M.R. Stenson, ‘The Malayan
Union and the Historians’, hlm. 351.
[41] Utusan Malaysia, 21 Januari 1948, hlm. 2.
[42]
Fernando, Joseph M., Wacana
Merdeka “Menghayati Perjuangan Kemerdekaan”, Peranan Parti Perikatan dalam Gerakan Menuntut Kemerdekaan, 23
September, Kuala Lumpur : Universiti Malaya, 2011, hlm. 3.
[43] Ibid.
[44] Ibid.
[45] Ibid.
[46] Fernando, Joseph M., Wacana
Merdeka “Menghayati Perjuangan Kemerdekaan”, Peranan Parti Perikatan dalam Gerakan Menuntut Kemerdekaan, hlm. 2.
[47]Ramlah Adam, ‘Sejarah dan Proses Pemantapan Negara-Bangsa : Prosiding
Kongres Sejarah Malaysia Kedua’, Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan
Parti Komunis Malaya, 1945-19.48 : Satu Penelitian Mengenai Kegiatan Politik
Mereka, Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia, 1998, hlm 770.
No comments:
Post a Comment