PENGENALAN
Kebangkitan semangat
nasionalisme dalam kalangan masyarakat membantu kepada kemerdekaan sesebuah
negara sama ada negara yang sedia ada ataupun yang baharu. Keadaan ini
menggambarkan bahawa kesedaran kebangsaan penting dalam pembentukan sesebuah
negara bangsa. Terdapat dua takrifan mengenai nasionalisme yang dilihat
menunjukkan bahawa nasionalisme merupakan sesuatu yang berkaitan dengan bangsa
sebagai asas nasionalisme itu sendiri.
Menurut Anthony Smith,
beliau mendefinisikan nasionalisme sebagai satu gerakan ideologikal yang
bertujuan untuk mencapai dan mengekalkan autonomi, perpaduan, dan identiti bagi
sesuatu populasi yang mana sebahagian daripadanya merasakan mereka merupakan,
atau mempunyai potensi sebuah negara.[1]
Hal ini bererti bahawa nasionalisme itu adalah satu ideologi bagi mendapatkan
atau membentuk kerajaan sendiri bagi kumpulan terpilih, mewujudkan perpaduan
dalam kalangan kumpulan tersebut yang menganggap sesebuah kawasan adalah milik
mereka serta sejarah dan budaya yang unik bagi kumpulan tersebut.
Berbeza pula dengan
pendapat Hans Kohn. Beliau mentakrifkan nasionalisme sebagai satu keadaan
fikiran yang menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dan didakwa
menyerap masuk ke dalam kalangan anggotanya.[2]
Perkara ini boleh dilihat sebagaimana negara bangsa sebagai satu bentuk
organisasi politik yang unggul sementara bangsa itu sendiri merujuk sebagai
punca segala kehidupan budaya yang membina dan punca kepada kesejahteraan
ekonomi. Hal ini bererti bahawa nasionalisme itu lahir daripada satu idea yang
sama yang seterusnya berjaya mempengaruhi dalam kalangan anggota mereka untuk
memperjuangkan perkara mencerminkan semangat nasionalisme mereka.
Kedua-dua takrifan
mengenai nasionalisme seperti yang telah dinyatakan menyentuh perkara berhubung
dengan nasionalisme. Tiga perkara asas dipentingkan oleh Anthony Smith seperti
yang telah dinyatakan iaitu autonomi, perpaduan, dan identiti. Ketiga-tiga ciri
asas nasionalisme tersebut dilakukan bagi sesuatu populasi untuk memperjuangkan
ideologi yang dibawa oleh mereka. Sementara itu, Kohn melihat bahawa bangsa
merupakan perkara penting atau tunjang dalam membentuk budaya dan ekonomi yang
harmoni. Oleh itu, nasionalisme dapat dilihat dalam sesuatu bangsa yang
mempunyai identiti yang sama dan di samping itu bersatu padu dalam
memperjuangkan kerajaan sendiri bagi bangsa mereka. Hal ini menjelaskan mengapa
bangsa dikatakan sebagai punca segala kehidupan budaya serta ekonomi yang
harmoni.
Dalam menerangkan
nasionalisme, terdapat empat teori mengenainya. Empat teori tersebut ialah
primordialism, perennialism, modernist
dan etno-simbolik. Keempat-empat teori tersebut dapat menjelaskan mengapa
nasionalisme dan nasion berkembang dengan dominan di seluruh dunia.
Dalam primordialism,
nasion dikatakan sebagai berbentuk primordial atau dibentuk berdasarkan
perasaan primordial.[3]
Perasaan primordial ini adalah perasaan yang semulajadi atau genetik. Hal ini
bererti bahawa primordial itu telah ada dalam diri seseorang sejak lahir lagi.
Namun demikian, ada juga yang menyatakan bahawa perasaan ini juga terbentuk
hasil daripada sosialisasi yang berlaku dalam kelompok masyarakat. Perkara ini
dapat dilihat dari segi budaya yang meliputi hal seperti bahasa, agama, adat,
dan sebagainya.
Teori seterusnya iaitu
perennialism. Melalui teori ini, nasion dilihat sebagai sesuatu gerakan
ideologi yang berterusan yang sedia ada ataupun telah wujud sekian lama dalam
sejarah.[4]
Dalam teori ini, terdapat dua jenis perennialism. Perennialism yang pertama
ialah melihat nasion sebagai sesuatu yang berterusan dan wujud jauh dalam
sejarah. Manakala yang kedua pula ialah melihat nasion sebagai sesuatu yang
sering berlaku serta nasion baharu dibentuk di setiap era dan benua.
Teori Modernist muncul
dalam pelbagai bentuk yang berasaskan pendekatan sosio-budaya, politik,
ideologikal, dan konstruksionis.[5]
Pendekatan Modernist mempunyai empat ciri iaitu nasionalisme merupakan satu
gerakan ideologi moden yang wujud pada abad ke 18. Seterusnya ialah sebagai
satu struktur sosial dan sistem budaya, nasion wujud pada abad ke 18. Ketiga
ialah sebagai satu sistem, orde antarabangsa, negara bangsa adalah sesuatu yang
baharu yang wujud pada abad ke 19 yang mana ianya mempunyai kaitan dengan
Perjanjian Westphalia 1648. Nasion, nasionalisme, dan orde antarabangsa
merupakan produk moden, khususnya kapitalisme, birokrasi, perindustrian,
urbanisasi, dan sekularisme. Perkara ini yang membezakannya daripada bentuk
komuniti dan kepercayaan pra moden dengan adanya kualiti tersebut.
Etno-simbolik pula merujuk
kepada teori yang mementingkan persamaan dari aspek sejarah dalam kalangan
kumpulan tertentu dan kepentingan memori, mitos, nilai-nilai, dan simbol budaya
dalam pembinaan komuniti. Di samping itu, pendekatan ini juga menekankan
hubungan etnik sebagai asas kepada kewujudan nasion. Hal ini bererti persamaan
menjadi aspek penting dalam pembentukan nasion disebabkan perasaan kebersamaan
tersebut meletakkan diri mereka berada dalam kawasan atau wilayah yang dianggap
mereka selamat kerana wujudnya persamaan di antara mereka. Sebagai contoh,
bahasa yang sama, etnik yang sama dan sebagainya. Tidak dilupakan, hubungan
sesama etnik memainkan peranan yang penting dalam memastikan kewujudan sesuatu
nasion itu sendiri.
Nasionalisme yang
berkembang selepas berlaku Revolusi Perancis 1789 turut tersebar ke negara di
Asia Tenggara. Golongan nasionalis di Burma dan Filipina juga tidak terkecuali.
Perjuangan yang dipimpin oleh golongan ini telah menyemarakkan semangat dalam
kalangan masyarakat tempatan untuk memperjuangkan kemerdekaan bagi tanah air
tercinta mereka. Beberapa medium telah menjadi alat bagi mereka menyampaikan
propaganda untuk menentang pihak penjajah.
NASIONALISME BURMA
Persatuan
Nasionalisme
di Burma lebih bersifat kegamaan dan kebudayaan pada mulanya yang diterajui
oleh golongan agama. Persatuan-persatuan yang wujud pada masa tersebut adalah
seperti Persatuan Sasanadara (1897) di Mandalay oleh U Shway Twin, Persatuan
Agama Maktab Rangoon (1904), Young Men
Buddhist Association (YMBA) pada 1906, dan Dobama Asiayone pada 1935.
Berdasarkan nama-nama persatuan yang dinyatakan, ternyata ianya melibatkan
pengaruh agama.
Pada peringkat awal, YMBA
lebih menekankan kepada soal agama, pembaharuan sosial, pelajaran,
kesusateraan, dan juga kebudayaan.[6]
Hal ini menunjukkan bahawa YMBA lebih menfokuskan kepada usaha untuk memajukan
masyarakat. Antara slogan utama YMBA ialah "Buddha Penyelamat Kita dan
Raja". YMBA mula melibatkan diri dalam arena politik Burma pada tahun 1916
disebabkan pihak Inggeris menggunakan kasut di dalam kuil yang ternyata tidak
menghormati agama Buddha. Pada 1917, agenda utama YMBA dalam satu persidangan di
Dewan Jubillee adalah mengenai isu kasut
namun telah dipandang enteng oleh penjajah British pada masa tersebut.[7]
Hal ini telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan persatuan YMBA.
YMBA telah berusaha untuk
meluaskan pengaruhnya di Burma. Perkara ini bertujuan untuk meniup semangat
kebangsaan bukan sahaja di kawasan bandar tetapi turut disebarkan ke kawasan
luar bandar.. Keadaan ini menunjukkan bahawa YMBA telah mula sedar akan
kepentingan untuk bersatu padu dalam kelompok masyarakat tempatan pada masa
tersebut. Pada tahun 1920, kira-kira 6 000 buah persatuan di peringkat kampung
telah memberi sokongan kepada persatuan ini. Hal ini ternyata membuktikan
bahawa masyarakat di peringkat kampung mula membuka minda mereka akan perihal
persekitaran pada ketika itu.
Persatuan yang seterusnya
mencetuskan fenomena nasionalisme dalam kalangan masyarakat Burma bermula pada
tahun 1930. Pada tahun tersebut, sebuah persatuan yang dikenali sebagai
Persatuan Dobama diperkenalkan dan pada tahun berikutnya penubuhan Liga Pemuda
Burma pada tahun 1931.[8]
Kedua-dua persatuan ini berorientasikan pelajar dan telah bergabung untuk
membentuk sebuah persatuan yang dikenali sebagai Dobama Asiayone pada tahun
1935. Persatuan Dobama merupakan persatuan pertama yang menggunakan gelaran
Thakin yang bererti tuan. Thakin merupakan pemimpin yang mengerakkan
gerakan-gerakan yang akhirnya berjaya menyatukan rakyat Burma untuk mendapatkan
kemerdekaan bagi tanah air tercinta mereka setelah sekian lama berada di bawah
jajahan British. Pemimpin persatuan ini yang paling disegani bukan sahaja di
dalam Dobama Asiayone malahan seluruh negara Burma iaitu Thakin Aung San.
Pada tahun 1937, Dobama Asiayone
semasa berada di bawah kementerian Ba Maw, persatuan ini menjadi lebih utuh.
Pengaruh Aung San dapat dilihat apabila beliau berjaya menarik perhatian ramai
penduduk daripada pelbagai lapisan dengan ideologi beliau.[9]
Kebanyakan pemimpin Thakin berpendapat bahawa untuk meraih sokongan rakyat
Burma, mereka hendaklah menggunakan agama Buddha supaya lebih mudah bagi mereka
untuk bekerjasama dengan golongan pongyi yang berfahaman radikal. Perkara ini
memberi gambaran bahawa agama merupakan elemen penting dalam menyemarakkan
semangat nasionalisme Burma pada masa tersebut.
Dalam tahun 1938 juga,
Dobama Asiayone telah menghantar wakil mereka ke Perundingan Parti Kongres
India dan dalam masa yang sama telah mengadakan hubungan dengan Pandit Nehru
dan Jayprakash Narain.[10]
Sekembalinya ke Burma, dua pengaruh iaitu teknik seperti Gandhi tanpa kekerasan
dan satu lagi rancangan politik Parti Sosialis India telah dibawa balik oleh
para Thakin yang menyertai rundingan tersebut. Perkara ini sebenarnya
menunjukkan bahawa para Thakin mempunyai keinginan untuk mewujudkan kerajaan
sendiri dan memerdekakan Burma waima terdapat dua fahaman yang berbeza di
antara mereka.
Pendidikan
Pada peringkat awal,
pembukaan Universiti Rangoon pada tahun 1920 merupakan satu detik yang memberi
impak dalam perkembangan nasionalisme di Burma terutamanya dalam kalangan
pelajar. Tunjuk perasaan yang berlaku pada tahun tersebut merupakan satu bentuk
bantahan terhadap Akta Universiti yang mana dilihat seperti anti-Burma. Perkara
ini dapat dilihat dalam aspek syarat-syarat masuk ke universiti, markah lulus
ujian, dan kursus tambahan selama setahun bagi pelajar-pelajar kecuali bagi
pelajar yang cerdik. Usaha-usaha yang dilakukan oleh golongan ini menyaksikan
sokongan diberikan oleh penuntut-penuntut sekolah menengah malahan mendapat
bantuan daripada golongan pongyi dan petani.[11]
Mogok yang berlaku ini hampir menyebabkan Universiti Rangoon bersama
sekolah-sekolah menengah yang lain hampir ditutup. Waima mogok tersbut gagal
tetapi ianya menjadi pencetus semangat nasionalisme disebabkan ianya telah
dapat menyatukan seluruh rakyat Burma bersatu untuk memperjuangkan nasib mereka.
Menjelang tahun 1936, satu
insiden telah berlaku di Burma yang mana telah meniup semangat kebangsaan dalam
kalangan pelajar yang menuntut di Universiti Rangoon. Insiden tersebut merujuk
kepada mogok pelajar di universiti tersebut. Penggantungan Presiden Kesatuan
Pelajar iaitu U Nu akibat mengkritik pentadbiran universiti menjadi permulaan
persengketaan. Mogok ini berlaku ekoran pihak pentadbiran universiti yang bukan
bertindak seperti institusi bebas tetapi lebih dilihat seperti Jabatan
Kerajaan. Hal ini boleh dilihat dalam jumlah pelajar tahun pertama yang gagal
iaitu sebanyak 40 peratus sementara jumlah peratusan yang lebih tinggi
dicatatkan bagi tahun kedua dan ketiga.[12]
Di samping itu, kadar kegagalan di sekolah menengah turut mencatatkan kadar
kegagalan yang tinggi. Golongan pelajar Burma menganggap perkara yang berlaku
merupakan tindakan yang disengajakan oleh pihak British. Situasi ini secara
tidak langsung menjadi perangsang rasa tidak puas hati golongan pelajar yang
akhirnya membawa kepada berlakunya mogok di Universiti Rangoon pada tahun 1936.
Golongan Agama
Agama
Buddha merupakan agama yang diamalkan oleh majoriti masyarakat Burma malahan
telah menjadi sesuatu yang tidak boleh dipisahkan daripada mereka. Sebelum
kedatangan British ke Burma, tatacara agama Buddha amat dititikberatkan
terutamanya semasa memasuki kuil. Kedatangan penjajah telah mencetuskan isu
agama yang sensitif dalam kalangan masyarakat Burma.
Tindakan British
menggunakan kasut semasa memasuki kuil dianggap oleh penduduk tempatan sebagai
tindakan yang mencemarkan kesucian agama Buddha. Hal ini disebabkan kuil
merupakan tempat yang suci bagi agama Buddha dan masuk ke dalam kuil
menggunakan kasut adalah satu penghinaan kepada agama tersebut. Golongan agama
atau lebih dikenali sebagai pongyi iaitu merupakan sami-sami Buddha telah
menyokong protes menghalang pihak British menggunakan kasut di dalam rumah
berhala. Hasilnya, British telah memberikan kuasa kepada ketua rumah berhala
untuk menguatkuasakan larangan menggunakan kasut di dalam rumah berhala.
Golongan pongyi telah
menubuhkan unit-unit politik di peringkat kampung oleh golongan pongyi iaitu
wuthanu athin dan menjadi pemimpin kepada penduduk-penduduk kampung. Tujuan
unit ini ditubuhkan adalah untuk menghasut petani-petani supaya menentang
British. Pongyi mendapat sokongan daripada rakyat disebabkan oleh faktor agama
Buddha itu sendiri yang mana masyarakat petani menganggap bahawa pongyi adalah
orang yang lebih mengetahui perkara-perkara berhubung agama dan sangat
dipercayai oleh mereka disebabkan pengaruh agama Buddha yang dibawa oleh
mereka.
Seterusnya, peranan pongyi
dapat dilihat dengan jelas dalam satu pemberontakan yang dilakukan pada tahun
1930 oleh seorang pongyi bernama Saya San. Pemberontakan tersebut digelar
sebagai pemberontakan Saya San sempena nama pongyi tersebut. Pemberontakan ini
berlaku disebabkan ketidakpuasan hati petani terhadap cukai, beban
petani-petani dengan peminjam wang, serta tindakan kerajaan yang mewartakan
kawasan-kawasan hutan. Pemberontakan Saya San ini dilakukan bertujuan untuk
memulihkan agama Buddha serta menggulingkan penjajah British dari Burma.
Perkara ini menunjukkan penolakan rakyat sederhana terhadap modenisasi dari
segi ekonomi dan teknologi dan menginginkan kembali nilai-nilai agama
diterapkan kembali. Pemberontakan ini gagal dengan menyaksikan Saya San dan 127 orang telah dibunuh sementara yang
tiga ribu telah terkorban semasa pemberontakan dan sembilan ribu lagi telah
dipenjarakan.[13] Waima
ianya gagal tetapi ianya telah meninggalkan semangat kepada bangsa Burma supaya
berbangga dengan tradisi lama mereka.
NASIONALISME FILIPINA
Jose Rizal
Nasionalisme di Filipina wujud
pada pertengahan abad ke 19. Kematian tiga orang paderi dalam pemberontakan
Cavite 1872 menjadi tumpuan seluruh rakyat Filipina. Dalam pemberontakan
tersebut tiga orang paderi iaitu Mariano Gomez, Jose Burgos, dan Jancita Zamora
telah dibunuh walaupun mereka sebenarnya langsung tidak terlibat di dalam
pemberontakan yang berlaku.[14]
Perkara tersebut melahirkan rasa tidak puas hati rakyat Filipina terhadap
golongan paderi Sepanyol. Peristiwa yang berlaku di Depot Simpanan Senjata
Cavite 1872 menjadi perintis dalam perkembangan nasionalisme yang berlaku di
Filipina. Tokoh nasionalis Filipina yang menjadi tumpuan adalah Jose Rizal yang
juga lebih popular dengan gelaran Bapa Kemerdekaan Filipina.
Jose Rizal merupakan
seorang nasionalis yang mengamalkan perjuangan secara aman tanpa melibatkan
sebarang bentuk kekerasan di dalam perjuangannya. Konsep perjuangan
nasionalisme yang diperjuangkan olehnya mahukan persamaan taraf yang mana tidak
wujud perbezaan kelas, serta mempunyai kebebasan yang sama rata dari segi hak
asasi. Rizal memperjuangkan untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Sepanyol
supaya mengiktiraf rakyat Filipina tidak ada beza atau sama sahaja tarafnya
dengan orang Sepanyol. Tujuan Sepanyol datang ke Filipina selain daripada
menguasai perdagangan rempah, mereka juga mempunyai niat untuk mengkristiankan
rakyat Filipina. Apabila ramai penduduk Filipina menganut agama Kristian timbul
pula isu diskriminasi terhadap paderi Filipina oleh paderi Sepanyol yang mana
paderi Sepanyol menganggap bahawa paderi Filipina tidak setaraf dengan mereka
waima mempunyai kelayakan yang sama. Keadaan ini telah menjadi pencetus kepada
semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Filipina kerana mereka dipinggirkan
oleh Sepanyol.
Pada 1889, sebuah akhbar
yang dikenali sebagai La Solidaridad telah mula diterbitkan di Barcelona
sebelum kemudiannya berpindah ke Madrid.[15]
Beliau telah menjadi penulis akhbar tersebut bersama Marcelo H. del Pilar.
Menjadi medium penggerak perjuangan beliau. Selain itu, Rizal juga telah
menulis novel yang berjudul Noli Me Tangere dan El Filibusterimo. Dalam
El-Filibusterimo, Rizal dengan jelas menyatakan bahawa beliau tidak berpuas
hati terhadap pembunuhan ketiga-tiga orang paderi dalam pemberontakan Cavite
1872 dan Rizal berharap bahawa Sepanyol akan membersihkan nama paderi yang
dibunuh.[16] Hasil
penulisan tersebut beliau sedikit sebanyak telah dapat memberi kesedaran kepada
rakyat Filipina. Walau bagaimanapun, penulisan beliau hanya boleh difahami oleh
golongan ilustrado sahaja disebabkan karya beliau dikarang dalam bahasa
Sepanyol bukannya bahasa tempatan iaitu bahasa Tagalog. Tambahan pula, pada
ketika itu tidak semua yang boleh membaca jadi ianya secara tidak langsung
menjadi penghalang kepada penyampaian informasi kepada masyarakat yang
mempunyai masalah membaca. Namun, semangat nasionalisme masih dapat disebarkan
melalui interaksi dari satu pihak ke satu pihak yang lain melalui penulisan
Rizal.
Rizal telah kembali ke
Filipina pada 1892 dan telah menubuhkan Liga Filipina. Liga Filipina ini
bertujuan untuk memfokuskan kegiatan ke arah kemajuan ekonomi dan pelajaran dan
bukannya berbentuk radikal. Walaupun Liga Filipina bukan bersifat radikal,
pegawai Sepanyol telah bertindak menangkap Jose Rizal dan beliau telah dibuang
negeri ke Mindanao. Tindakan Sepanyol ternyata memberi gambaran bahawa pengaruh
Rizal di Filipina sangat besar dan mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat
Filipina. Liga Filipina yang ditubuhkan oleh Rizal ternyata merupakan suatu
usaha untuk memajukan rakyat Filipina agar mempunyai keinginan untuk membina
kerajaan sendiri setelah mempunyai ilmu pengetahuan.
Andres Bonifacio
Berbeza
dengan Rizal, perjuangan Andres Bonifacio lebih bersifat revolusioner. Beliau
meneruskan perjuangan yang telah diperjuangkan oleh Rizal dalam membangkitkan
kesedaran nasionalisme dalam kalangan rakyat Filipina..Pembentukan Katipunan
merupakan idea Bonifacio yang merupakan pemimpin organisasi ini. Pada peringkat awal, tidak ada ahli dalam
organisasi ini dari golongan aristokrat.[17]
Katipunan merupakan satu ungkapan tagalog yang bererti "Persatuan
Tertinggi dan Terhormat dari Putera Rakyat".[18]
Bonifacio cuba menarik
ilustrado untuk menyertai Katipunan namun disebabkan corak perjuangannya yang
berbentuk revolusioner menjadi penghalang kepada kemasukan ilustrado ke dalam
Katipunan disebabkan mereka takut dengan corak yang radikal. Meskipun cara yang
digunakannya berbeza dengan Rizal, tetapi apa yang jelas beliau mahu menuntut
kemerdekaan daripada Sepanyol. Katipunan yang dirangka oleh Bonifacio
sebenarnya bukan hanya berfungsi sebagai sebuah organisasi namun sebenarnya
adalah asas kepada sebuah kerajaan demokratik yang ingin dibentuk. Perkara ini
merupakan ciri yang terdapat dalam pembentukan nasion.
Selain itu, Bonifacio
turut terlibat dalam penulisan seperti mana Jose Rizal. Tulisan beliau berjudul
Paging Sa Tinubunag Bayan sebenarnya memberikan kesedaran ke dalam diri
masyarakat tempatan Filipina supaya sedar akan keadaan yang sedang berlaku
dalam negara mereka. Hal ini menjelaskan bahawa kebanyakan nasionalis menggunakan
penulisan mereka untuk menjadi alat bagi menyampaikan ideologi mereka kepada
masyarakat.
Emilio Aguinaldo
Selain
daripada Jose Rizal dan Andres Bonifacio, seorang lagi tokoh yang cukup sinonim
dalam pekermbangan nasionalisme di Filipina ialah tidak lain tidak bukan iaitu
Emilio Aguinaldo. Disebabkan terdapat kelemahan yang dilihat pada Bonifacio,
Aguinaldo telah mengambil peluang tersebut untuk menambah baik perjuangan
Katipunan supaya organisasi menjadi lebih kukuh di samping perjuangan nasionalisme
dapat direalisasikan.
Aguinaldo berjaya mendapat
tempat di hati para revolusioner Sepanyol selepas beliau berjaya memenangi satu
petempuran penting dengan tentera Sepanyol di Cavite.[19]
Kejayaan beliau telah menjadikan diri beliau sebagai hero dalam kalangan
mereka. Beliau telah berjaya merampas kedudukan sebagai pemimpin daripada
Bonifacio di dalam Katipunan. Ternyata ahli-ahli revolusioner telah hilang
kepercayaan terhadap Bonifacio dan lebih memilih Aguinaldo.
Campur tangan Amerika
Syarikat telah sedikit sebanyak membantu dalam mengusir Sepanyol daripada
Filipina. Amerika telah membawa pulang Aguinaldo dari Singapura melalui Hong
Kong dan telah merancakkan pemberontakan ekoran Aguinaldo mendapat sokongan
daripada pihak ilustrado. Ilustrado diberi kepercayaan sebagai penasihat beliau
bertujuan untuk mengalakkan ilustrado di luar kawasan tagalog untuk
bersama-sama menyertai gerakan ini. Beliau berjaya menubuhkan sebuah Republik
Filipina yang mana ibu negerinya terletak di Malolos. Namun demikian, ianya
tidak kekal lama disebabkan Amerika mengambil alih penjajahan daripada Sepanyol
melalui Perjanjian Paris.
KESIMPULAN
Nasionalisme
mempunyai banyak tafsiran dan tafsiran yang dikemukakan berbeza mengikut
pemahaman pentafsir dan bagaimana dirinya melihat nasionalisme dalam
persekitaran. Walau apa pun takrifan mengenainya, nasionalisme merupakan satu
fahaman politik atau kepercayaan politik yang mana merupakan keinginan atau
hasrat majoriti besar rakyat di sesebuah kawasan atau negeri bertujuan untuk
mewujudkan atau mendokong sebuah negara bangsa sama ada yang sudah wujud atau
yang diinginkan serta disokong dengan nilai-nilai yang menyumbang kepada
kejayaan negara bangsa.
Nasionalisme di Burma dan
di Filipina mempunyai ciri-ciri yang membolehkannya dianggap sebagai
nasionalisme disebabkan adanya keinginan oleh penduduk tempatan untuk membina
kerajaan sendiri, bersatu padu dalam menuntut kemerdekaan, serta wujudnya
identiti atau persamaan dari segi sejarah dalam kalangan mereka. Seperti mana
di Burma, agama Buddha membentuk satu identiti bagi penduduk Burma, wujudnya
solidariti dalam kalangan mereka seperti yang dapat dilihat dalam mogok yang di
Universiti Rangoon yang mendapat sokongan dari masyarakat serta keinginan
mereka mengusir penjajah dan membina kerajaan sendiri. Perkara tersebut
membolehkan gerakan di Burma dianggap sebagai gerakan nasionalisme.
Bagi Filipina,
pemberontakan yang berlaku di Depot Simpanan Senjata di Cavite menjadi titik
tolak kepada kesedaran rakyat tempatan untuk memprotes tindakan Sepanyol. Di
samping itu, mereka berusaha mencapai persamaan menjadikan ianya satu identiti
kepada mereka serta keinginan untuk keluar dari belenggu penjajah dapat dilihat
dalam Katipunan dan pimpinan Aguinaldo menyaksikan mereka berjaya menubuhkan
Republik Filipina di Malolos walaupun hanya untuk seketika. Perkara yang
berlaku menjadi perangsang kepada kedua-dua negara ini iaitu Burma dan Filipina
berjaya mendapatkan kemerdekaan.
BIBLIOGRAFI
1. Anthony D. Smith, 'Theories of Nationalism: Alternative Models of Nation
Formation', dalam Michael Leifer (eds), Asian
Nationalism, London: Routledge, 2000.
2. B.K. Drake, Burma:
Pergerakan-Pergerakan Nasionalis dan Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Longman,
1979.
3. Donald Eugene Smith, Religion and
Politics in Burma, New Jersey: Princeton University Press, 1965.
4. Hans Kohn, The Idea of
Nationalism: A Study in its Origin and Background, New York: Collier Books,
1967.
5. Teodoro A. Agoncillo, The Revolt
of the Masses: The Story of Bonifacio and the Katipunan, Quezon City:
University of the Philippines, 1956.
6. Steinberg, D., et al., Mengenali
Sejarah Asia Tenggara Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
[1]
Anthony D. Smith, 'Theories of Nationalism: Alternative Models of Nation
Formation', dalam Michael Leifer (eds), Asian
Nationalism, London: Routledge, 2000, hlm. 1
[2]
Hans Kohn, The Idea of Nationalism: A
Study in its Origin and Background, New York: Collier Books, 1967, hlm. 16
[3] Anthony
D. Smith, 'Theories of Nationalism: Alternative Models of Nation Formation',
dalam Michael Leifer (eds), Asian
Nationalism, hlm. 2
[4] Ibid.,
hlm. 2
[5]
Ibid., hlm. 3
[6] Donald
Eugene Smith, Religion and Politics in
Burma, New Jersey: Princeton University Press, 1965, hlm. 87
[8]
B.K. Drake, Burma: Pergerakan-Pergerakan
Nasionalis dan Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Longman, 1979, hlm. 30
[9]
B.K. Drake, Burma: Pergerakan-Pergerakan
Nasionalis dan Kemerdekaan, hlm. 34
[10]
Ibid., hlm. 35
[14]
Teodoro A. Agoncillo, The Revolt of
the Masses: The Story of Bonifacio and the Katipunan, Quezon City:
University of the Philippines, 1956, hlm. 15
[15] Steinberg,
D., et al., Mengenali Sejarah Asia
Tenggara Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, hlm. 356
[16] Teodoro
A. Agoncillo, The Revolt of the Masses:
The Story of Bonifacio and the Katipunan, hlm. 16
[17]
Ibid., hlm. 45
[19] Ibid,
hlm. 359
BY: ADIB
No comments:
Post a Comment