PENGENALAN.
Terdapat
pendapat yang mengatakan usaha untuk menuntut kearah kemerdekaan adalah
disebabkan oleh darurat. Namun terdapat juga alasan menuntut kemerdekaan adalah
untuk memprotes Rancangan Malayan Union pada tahun 1946. Sebenarnya penduduk
Tanah Melayu menggunakan alasan Darurat sebagai menyokong kearah kemerdekaan.
Syarat penting untuk mendapatkan kemerdekaan ialah dengan mewujudkan sebuah
parti politik yang boleh mengetuai kerajaan apabila British menyerahkan
kuasanya setelah kemerdekaan dicapai.[1]Ketegangan
perkauman yang semakin memuncak telah membawa kepada tertubuhnya Jawatan Kuasa
Antara kaum (Communities Laison
Commmittee) pada 10 Januari 1948 untuk menyelesaikan melalui rundingan-rundingan
tentang masalah antara kaum. Ahli-ahli Jawatan Kuasa Antara Kaum telah
bersetuju mendesak diadakan pilihanraya peringkat tempatan, peringkat bandaran
dan peringkat negeri sebelum mengadakan pilihanraya peringkat persekutuan dalam
satu persidangan di Johor Baharu.[2]
Namun
demikian, pelbagai usaha telah dilakukan oleh parti-parti utama dalam usaha
untuk memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1950-an. Antara parti-parti utama
yang muncul ketika itu ialah UMNO, MCA, MIC yang bergabung menjadi parti
Perikatan. Disamping itu, terdapat juga parti lain yang muncul ketika
memperjuangkan kemerdekaan negara iaitu
parti IMP yang diketuai oleh Dato’ Onn Jaafar. Antara peranan parti-parti utama
tersebut dalam gerakan kemerdekaan ini ialah dengan mengadakan pilihan raya,
pengabungan parti, memprotes, mengadakan kongres kebangsaan serta persidangan
di London.
PERANAN PARTI-PARTI
UTAMA.
Satu
parti baru yang ditubuhkan ialah UMNO
iaitu United Malays National Organisation
yang bertujuan untuk menentang rancangan Malayan Union. Keadaan ini adalah
disebabkan oleh Malayan Union itu dilihat akan melemahkan kedudukan masyarakat
Melayu dan Raja-raja Melayu. Ekoran daripada itu British telah mengambil
langkah dengan mengadakan rundingan bersama pemimpin UMNO serta wakil Raja-raja
Melayu dan persetujuan tersebut terkandung dalam perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu 1948. Antara isu-isu yang diperjuangkan adalah berkaitan kedaulatan
Raja-raja, kewarganegaraan dan kedudukan masyarakat Melayu.[3] UMNO telah bertindak
menentang segala yang bertentangan dengan perjuangannya seperti yang diinginkan
oleh Dato’ Onn yang tidak menghiraukan tentangan-tentangan dari
pengikut-pengikutnya. Beliau telah bertindak
menjalankan kempennya untuk
menyedarkan mereka tentangan fahaman bukan perkauman iaitu membolehkan
orang-orang bukan Melayu menjadi ahli bersekutu. Persidangan agung UMNO di
Kuala Lumpur telah diadakan pada 11 Jun 1950, khususnya untuk membincangkan
masalah kerakyatan yang dicadangkan oleh Jawatan Kuasa Antara Kaum. Namun
demikian, Cadangan Dato’ Onn tersebut telah ditentang dan telah menyebabkan
Dato’ Onn menarik diri daripada UMNO dan menubuhkan parti IMP. Dato’ Onn
kembali semula menyertai UMNO dengan idea perjuangan beliau iaitu “non-communalism” serta menyatakan
pendapat beliau bahawa Tanah Melayu tidak akan diberi kemerdekaan jika hanya dibangunkan
oleh sebuah parti perkauman sahaja. Selain itu, beliau juga bertindak untuk
ingin menukar nama UMNO dari United
Malays National Organisation kepada United
Malaya National Organisation. Keadaan ini telah membawa kepada keahlian
UMNO dibuka kepada semua bangsa di Tanah Melayu. Tindakan beliau tersebut telah
mendapat tentangan kerana telah menyentuh sensitiviti perasaan orang Melayu dan
telah membawa kepada pengunduran diri beliau untuk menjadi Presiden UMNO dan
telah menubuhkan parti baru iaitu IMP.[4] Selain itu, terdapat juga
parti lain yang bersifat perkauman dan berjuang untuk kepentingan kaum mereka
sahaja seperti MCA dan MIC.
Penubuhan parti MCA iaitu Malayan Chinese
Association adalah berfungsi sebagai parti perkauman bagi penduduk Cina
yang telah ditubuhkan oleh Tan Cheng Lock. Beliau mendesak penubuhan parti
bersifat kebangsaan ini kearah dua perkara utama iaitu orang Cina mesti
menjadikan MCA sebagai sebauah badan yang menyatukan semua masyarakat Cina dari
semua peringkat dan cuba bekerjasama denagan semua bangsa di Tanah melayu.
Disamping itu, beliau juga mendesak supaya masyarakat Cina berusaha untuk
memperluaskan semangat kebangsaan mereka dengan mencurahkan taat setia kepada
Tanah Melayu.[5] Penubuhan
parti tersebut telah dialu-alukan oleh pihak pemerintahan Inggeris. Selain itu,
MCA juga berperanan sebagai satu langkah untuk mengelakkan orang-orang Cina
daripada terlibat dengan Parti Komunis Malaya dan lebih penting lagi sebagai wadah
politik kepada masyarakat Cina.[6]
Keadaan ini berlaku disebabkan pada awalnya orang Cina dilabelkan sebagai
komunis dan bersikap oportunis dan telah dikatakan memberi sokongan penuh
kepada pergerakan komunisme. Selain itu, tanggapan orang Melayu yang dilihat
anti-Cina dan Pro-British telah mewujudkan parti-parti yang bersifat perkauman
tersebut.[7]
Akhirnya kedua-dua parti tersebut telah bergabung dan mebentuk parti Perikatan
pada tahun 1955.
Parti perkauman lain yang terdapat
dalam Perikatan ialah MIC iaitu
Kongres India Malaya dan hanya mempunyai jumlah para pengundi India yang kecil
iaitu sebanyak tujuh perempat peratus dari jumlah keseluruhan pengundi pada
tahun 1959. Disamping itu juga, kelemahan yang nyata ialah ketiada upaya untuk
mengikat pertalian dengan kaum buruh India dari kelas bawahan yang merupakan bahagian
terbesar dari penduduk India di Tanah Melayu. Usaha utama MIC untuk kekal
berada dalam Perikatan ialah supaya boleh mendapat sebarang konsesi daripada
rakan politiknya iaitu UMNO yang lebih berpengaruh.[8]
Penglibatan Tan Cheng Lock dalam CLC
telah merapatkan hubungan beliau dengan Dato’ Onn Jaafar, pemimpin politik
orang Melayu yang utama pada masa itu. Ekoran daripada kerjasama politik
tersebut telah menjadikan hubungan itu lebih rapat dan telah membolehkan Tan
Cheng Lock bekerjasama dengan Dato’ Onn untuk menubuhkan Independence of Malaya Party
(IMP) pada 1 September 1951. Parti
ini telah ditubuhkan oleh Dato’ Onn kerana kegagalannya mendapat persetujuan
ahli-ahli UMNO untuk membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu. Tan Cheng
Lock juga menyokong cita-cita IMP untuk membentuk kerajaan sendiri dan mencapai
kemerdekaan bagi Tanah melayu dengan
menggunakan pendekatan kerjasama bangsa pada masa hadapan. Walaupun IMP
menggunakan dasar keadilan, kesamarataan dan kebebasan tetapi ternyata dalam
soal kerakyatan jus soli, Dato’ Onn
masih meletakkan syarat yang mengawal orang bukan Melayu dan orang asing
menjadi rakyat raja Melayu melalui State
Nationality 1952. Tan Cheng Lock menjalankan taktik berbaik-baik dengan dua
pihak iaitu beliau menyokong tindakan H. S. Lee, Presiden MCA Selangor untuk
bekerjasama dengan UMNO bahagian Kuala Lumpur dan pada masa yang sama menyokong
IMP. Kerjasama tersebut merupakan satu strategi MCA dan UMNO untuk melihat
kemampuan Dato’ Onn dan IMP sebagai parti bukan perkauman.[9]
PERIKATAN 1955.
Menyedari
akan kepentingan berkerjasama dalam
berpolitik maka UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah
berusaha untuk menubuhkan gabungan pertubuhan politik pelbagai kaum iaitu
Perikatan yang ditubuhkan pada tahun 1949. Tindakan Tunku Abdul Rahman dalam
mewujudkan kerjasama politik pelbagai kaum dalam mengelakkan daripada
berlakunya pengaruh politik perkauman di Tanah Melayu dan telah membawa kepada
penubuhan Perikatan. Beliau turut menjelaskan konsep perkongsian yang
diperkenalkan oleh UMNO melalui gabungan parti Perikatan dalam ucapannya telah
diterima masyarakat umum. Keadaan ini telah membawa kepada pengorbanan orang
Melayu dalam aspek politik iaitu perkongsian kuasa dan merupakan prasyarat
kemerdekaan yang telah ditetapkan oleh penjajah British. Keadaan ini juga telah
membawa kepada keyakinan British terhadap perjuangan Perikatan.[10] Parti
Perikatan pada awalnya hanya dianggotai oleh UMNO dan MCA yang pada pertama
kalinya memperoleh kejayaan dalam pilihan raya pertama. Kedua-dua pemimpin ini
iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock
telah bersetuju untuk mengadakan jawatan kuasa perhubungan untuk
merapatkan kedua-dua belah pihak di seluruh cawangan yang terdapat di Tanah
Melayu. Hal ini adalah bertujuan untuk memperkuatkan kedudukannya disisi
masyarakat untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang. Perikatan UMNO
dan MCA telah bersetuju untuk mengadakan pemilihan umum untuk ke Dewan
Perundangan persekutuan pada 17 Mac 1951 dan satu rangka yang dipersetujui pada
dasarnya sebuah dewan yang mengandungi 75 orang anggota. Pada 6 April 1953
dalam persidangan Agung UMNO di Melaka telah sebulat suara menuntut supaya
pilihan raya umum diadakan pada tahun 1954. Keadaan in telah menyebabkan UMNO
membuat satu resolusi yang akan disampaikan kepada pemerintah Inggeris untuk
menerima segala keputusan dan perikatan UMNO-MCA akan meletak jawatan menjadi
ahli dewan perundangan jika kerajaan enggan menerima. Kedudukan perikatan
UMNO-MCA semakin diterima umum ekoran daripaa kemenangannya dalam pilihan raya
bandaran dan kekalahan teruk IMP.
Pada
bulan April 1955, Majlis Kebangsaan Perikatan telah dilanjutkan kepada 38
berikutan kemasukan MIC kedalam Perikatan akhir tahun 1954. Pemimpin K.L
Devaser merasakan bahawa masa depan parti dan kebajikan masyarakat India
menjadi lebih baik jika dilindungi dalam persekutuan multi perkauman. MIC
sebelum ini telah bersekutu dengan Dato’
Onn dalam IMP telah beralih kesetiaan politik mereka terhada IMP kerana
prestasi mereka yng hambar dalam pilihan raya tempatan dan beberapa perbezaan
pendapat mengenai dasar-dasar parti. Sebelum itu, MIC telah mengadakan suatu
perbincangan besar dengan ahli partinya pada tahun 1953 dan 1954 untuk
menyertai Perikatan pad bulan November tahun 1954. Perikatan UMNO-MCA cuba
untuk memancing minat MIC untuk menyertai Perikatan melalui beberapa
perbincangan. Akhirnya MIC membuat keputusan untuk menyertai Perikatan yang
terhasil daripada gabungan berbilang kaum. Pakatan baru hasil gabungan
Perikatan dan MIC terdiri daripada 16 orang ahli UMNO, 16 orang daripada MCA
dan 6 orang dari MIC. Penambahan MIC kedalam Perikatan diperkukuhkan dengan
rayauan pilihan raya persekutuan. Antara strategi penting dalam pilihan raya
yang mengandungi manifesto pakatan ialah cubaan untuk menarik undi daripad tiga
komuniti kaum yang berbeza. Misalnya, yang terdapat diadalam manifesto itu
iaitu berkaitan isu bahasa dan kewarganegaraan. Manisfeto tersebut merangkumi
keperluan bahasa kebangsaan untuk memupuk kenegaraan biasa serta mengelakkan
sedikit keraguan terhadap rancangan untuk menaik taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan. Pada masa yang sama, manifesto turut dijamin perlindungan daripada
perlembagaan untuk bahasa kaum-kaum yang lain.[11]
Disamping
itu, Perikatan turut mencadangkan untuk mengadakan satu kongres kebangsaan yang
akan dihadiri oleh semua perwakilan parti-parti politik di Tanah Melayu bagi
membincangkan kedudukan kerusi-kerusi di dalam majlis Dewan Perundangan
Persekutuan.[12] Konvensyen
kebangsaan tersebut diadakan adalah untuk mengakaji langkah-langkah yang wajar
diambil bagi mempercepatkan proses menuju kearah kemerdekaan. Pada asasnya
konvesyen ini hanyalah merupakan turning
point bagi gerakan menuntut kemerdekaan kerana pakatan UMNO-MCA ini secara
terbuka adalah untuk mengubah komposisi Majlis Perundangan Persekutuan,
memperkenalkan satu elemen yang bercorak demokratik dengan memperkenalkan satu
elemen pilihan raya dan secara langsung mendesak British mempercepatkn proses
kemerdekaan. Disamping itu juga, Perikatan meminta agar 44 daripada 75 ahli
Majlis Perundangan Persekutuan dipilih secara langsung melalui pilihan raya umum
dan 31 dilantik seperti yang diamalkan pada masa itu. Walaupun Perikatan pada
asasnya meminta supaya 60 peratus daripada ahli Majlis Perundangan Persekutuan
dipilih melalui pilihan raya.[13]
Perikatan UMNO-MCA telah menghantar telegram kepada Mr. Lyttelton iaitu
Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris di London untuk menimbangkan cadangan
tersebut. Namun mereka telah mendapat balasan jawapan yang tidak menyakinkan.
Keadaan ini telah menyebabkan ketua Perikatan ingin menentang dan UMNO telah
mengadakan mesyuarat tergempar di Melaka pada tahun 18 April 1954. Akhirnya
satu delegasi telah dihantar ke London tetapi petition yang dibuat oleh Perikatan
tidak dapat menyelesaikan keadaan tersebut.[14] Disamping itu juga, kongres kebangsaan yang
diadakan telah membawa kepada berlakunya Persidangan di London pada tahun 1956.
PERSIDANGAN LONDON
1956.
Persidangan London ini bermula pada
18 Januari sehingga 8 Februari 1956 yang pada dasarnya perbincangan adalah
berkisarkan kepada sekitar reformasi perlembagaan.[15] Misi pakatan ke London
untuk melakukan rundingan pada Januari 1956 pada awalnya berakhir dengan baik.
Disamping itu, mereka mengharapkan pihak British memberi kemerdekaan pada
tarikh yang telah ditetapkan. Keadaan ini juga merujuk kepada objektif utama
Perikatan yang mendapat jaminan daipada perjanjian yang dibuat dengan British.
Selain itu, mereka juga memperoleh sokongan daripada penduduk Melayu. Keadaan
ini dapat dilihat setelah mereka pulang ke tanah Melayu selepas rundingan
dibuat di London, mereka disambut sebagai wira oleh rakyat. Keadaan tersebut
elah membawa persekutuan bebas untuk berkerajaan sendiri dan menjadi sebuah negara
yang merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957.[16]
Pada satu tahap, Perikatan dan pihak
parti Negara dituduh antara satu sama lain telah dibayar untuk kepentingan
luar. Tunku telah mendapati bahawa terdapat cubaan yang berunsur negatif bagi
masa depan negara yang diuar-uarkan oleh pentadbiran British. Namun demikian,
mana-mana pihak yang berkuasa telah berhujah sekiranya berdepan dengan masalah
dalam mengimbangi bajet. Perikatan juga tidak terhalang untuk bersuara
sekiranya terjadi perkara tersebut.[17]
Selepas beberapa bulan perbincangan
dibuat, akhitnya manifesto pilihan raya berkaitan matlamat perikatan dibincang
secara terperinci. Manifesto tersebut menyentuh mengenai kerajaan tempatan,
kewangan dan ekonomi, perumahan dan perancangan bandar , perkhidmatan sosial,
pendidikan. Dasar tanah , dasar pertanian. Perubatan dan kesihatan dan
kecemasan. Selain itu, perikatan juga menjanjikan lebih banyak tanah untuk
Melayu di luar rizab bagi menyemak semula kadar cukai tanah serta pemberian
pinjaman kepada pekebun kecil untuk perkembangan koko, kopi dan kelapa untuk
menambah keluasan tanah serta menubuhkan lebih banyak pertanian koperasi.
Manakala bagi sektor pendidikan, persekutuan berjanji untuk membina lebih
banyak sekolah termasuklah sekolah-sekolah vokasional, mengkaji semula dasar
pendidikan serta mewujudkan sekolah kebangsaan. Manifesto ini sedikit sebanyak
dapat menangani persoalan yang difikirkan dalam politik Tanah Melayu.
Walaubagaimanapun isu utama dalam manifesto yang dibentangkan itu ialah untuk
mendapat kemerdekaan serta sokongan besar daripada pengundi.[18]
KESIMPULAN.
Sebelum Tanah Melayu memperoleh
kemerdekaan pelbagai pertubuhan yang bersifat politik telah ada. Namun
demikian, pertubuhan yang wujud sebelum era 1950-an ini kurang agresif jika
dibandingkan dengan pertubuhan yang wujud untuk menuntut kemerdekaan. Tanah
melayu mengalami pelbagai rintangan sebelum kemerdekaan dapat dikecapi pada 31
Ogos 1957. Keadaan tersebut turut menunjukkan Tunku serta wakil dari Parti
Negara pergi ke London sebanyak dua kali bagi mendapatkan tarikh kemerdekaan yang
tepat serta diminta untuk dipercepatkan kemerdekaan. Terdapat pelbagai pendapat
daripada sarjana yang membawa kepada tercetusnya gerakan menuntut kemerdekaan
iaitu disebabkan pembentukan Malayan Union, Darurat dan pelbagai lagi.
LAMPIRAN.
AEEA
3302 : GERAKAN NASIONALISME MALAYSIA.
SOALAN 8 :
BINCANGKAN PERANAN PARTI-PARTI UTAMA DALAM
GERAKAN MENUNTUT
KEMERDEKAAN PADA 1950-AN.
AHMAD ZAKUAN
BIN GHAZALI
SITI
ZUBAIDAH BINTI ZAINUDIN
PENGENALAN.
·
Ada sarjana
yang berpendapat bahawa gerakan menuntut kemerdekaan adalah ekoran daripada
memprotes Rancangan Malayan Union pada tahun 1946.
·
Terdapat juga
anggapan lain yang menyatakan bahawa gerakan menuntut kemerdekaan ini bermula
selepas Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.
·
Namun demikian,
perbincangan adalah menjurus kepada peranan parti-parti utama yang telah muncul
dalam memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1950-an.
·
Antara
parti-parti yang telah muncul ketika itu ialah UMNO, MCA, MIC yang seterusnya
telah bergabung menjadi Parti Perikatan selepas pilihanraya yang dijalankan
pada tahun 1952.
·
Terdapat juga
parti seperti IMP dan Parti Negara yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn.
ISI.
1.IMP
- Pada bulan Jun 1951, Dato’ Onn
telah mencadangkan agar keahlian UMNO dibuka kepada kaum bukan Melayu.
- Tetapi cadangan tersebut
tidak diterima kerana dianggap terlalu radikal dan telah membawa kepada
penubuhan Independence of Malaya Party (IMP) pada 16 September 1951.
- IMP merupakan sebuah parti
bukan perkauman yang lebih memfokuskan kepada isu kemerdekaan dengan
menggunakan pendekatan non-communal
atau bukan perkauman.
- Selain itu, Dato’ Onn juga
berharap dapat memimpin gerakan nasionalis pada masa depan.
- Pada tahap tersebut, usaha
parti-parti untuk memperjuangkan isu kemerdekaan menghadapi pelbagai
halangan.
- Misalnya apabila Dato’ Onn
dan E.E. Thuraisingham mencadangkan kepada Pesuruhjaya Tinggi British Sir
Gerald Templer supaya ditubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji isu
pembentukan kerajaan sendiri pada tahun 1952.
- Templer menolak cadangan
tersebut dan beliau berpendapat bahawa ancaman daripada PKM perlu
diutamakan sebelum isu kerajaan sendiri diberi perhatian.
- Golongan pro-IMP mahukan
pilihan raya di adakan pada penghujung 1956 dengan sejumlah 90 ahli dalam
Majlis Perundangan Persekutuan dimana kurang setengah ahli dewan akan
dipilih secara langsung melalui pilihan raya.
2.HUBUNGAN
UMNO-MCA 1950.
- Tan Cheng Lock menjalankan
taktik talam dua muka dalam menyokong Independence of Malaya Party (IMP)
yang dipimpin oleh Dato’ Onn.
- Namun demikian, beliau turut
menyokong tindakan H.S. Lee (Presiden MCA Selangor) untuk bekerjasama
dengan UMNO Bahagian Kuala Lumpur untuk menghadapi pilihan raya Bandaran
Kuala Lumpur pada tahun 1952.
- Kerjasama itu juga merupakan
satu strategi MCA dan UMNO untuk melihat kemampuan Dato’ Onn dan IMP
sebagai parti bukan perkauman.
- Kerjasama yang telah
dirintih dalam Pilihanraya Bandaran Kuala Lumpur itu, telah menyakinkan
Tan Cheng Lock dan pemimpin-pemimpin MCA yang lain untuk melahirkan
kerjasama politik yang rapat dengan UMNO.
- Kini telah terdapat satu
tolak ansur yang jelas iaitu kuasa ekonomi orang Cina boleh membantu
kekurangan wang untuk membiayai pilihanraya UMNO.
- Satu kedudukan sama rata dan
keadilan juga telah dilakukan oleh UMNO iaitu kawasan-kawasan yang
mempunyai ramai penduduk Cina diberikan kepada MCA dan kawasan yang ramai
penduduk Melayu diberikan kepada UMNO -> UMNO hanya mempunyai lima
daerah dan MCA mendapat enam daerah.
- Oleh sebab UMNO dan MCA
tidak mempunyai calon berbangsa India, maka IMP berjaya memenangi kawasan yang
ramai penduduk India di Bricksfield.
- Kerjasama MCA dengan UMNO
telah diperluaskan dengan pembentukan National Convention (NC) pada Ogos
1953, iaitu dua bulan selepas Tan Cheng Lock dan pengikutnya meninggalkan
IMP.
- Badan ini bertujuan untuk
mencari jalan menyelesaikan masalah politik perkauman yang wujud dalam
politik Tanah Melayu pada masa itu.
- Badan ini juga mahu
mewujudkan kerjasama semua penduduk utama Tanah Melayu melalui kerjasama
parti-parti politik yang utama seperti UMNO, MCA, MIC dan IMP.
3.UMNO.
- UMNO (United Malays National
Organisation) telah ditubuhkan untuk menentang rancangan Malayan Union
yang dilihat telah melemahkan kedudukan masyarakat Melayu dan Raja-raja
Melayu.
- Antara isu yang
diperjuangkan oleh UMNO ialah berkaitan kedaulatan raja-raja,
kewarganegaraan dan kedudukan masyarakat melayu.
·
Keadaan ini
adalah berikutan daripada kerakyatan jus soli yang diperkenalkan semasa Malayan
Union.
·
Namun demikian
isu MU tersebut telah diselesaikan dengan pengubalan perlembagaan Persekutuan
1948.
·
Ketika itu
pemimpin UMNO mula menyuarakan hasrat mereka untuk mencapai satu akomodasi
dengan kaum-kaum lain di negara ini untuk mencapai perpaduan negara.
- Keadaan tersebut jelas
kelihatan pada perhimpunan agung UMNO pada 29 Mei 1949 iaitu Dato’ Onn
menyeru orang Melayu untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan kaum
bukan melayu.
- Disamping itu juga, UMNO
dalam perhimpunan agung pertengahan bulan Jun 1951 telah menukar slogan
perjuangan parti daripada ‘Hidop Melayu’ kepada ‘merdeka’.
- Dato’ Onn mencadangkan pada
Jun 1951 bahawa keahlian UMNO dibuka kepada kaum bukan Melayu tetapi tidak
diterima kerana dianggap terlalu radikal dan telah membawa kepada
penubuhan Independence of Malaya Party (IMP) pada 16 September 1951.
- Tugas utama UMNO kini adalah
melaksanakan polisi ekonomi yang bermatlamat untuk meningkatkan kedudukan
sosioekonomi masyarakat Melayu melalui penyertaan mereka dalam sektor
kapitalis moden.
- UMNO dan MCA telah memboikot
Persidangan Nasional yang dianjurkan oleh golongan pro-IMP pada 27 April
1953.
4.MCA
·
Telah
ditubuhkan pada tahun 1949 bagi membantu kerajaan untuk mengatasi ancaman PKM
(Parti Komunis Malaya).
- MCA adalah berperanan untuk
mengekalkan keharmonian kaum etnik melalui penyesuaian antara satu dengan
yang lain.
- Pada mulanya, MCA telah menghadapi
kesulitan disebabkan parti itu menyatakan pendapat segolongan kecil para
usahawan dan professional Cina yang berpendidikan Barat.
- MCA berusaha memperluas
pengikut politiknya kepada individu-individu lain yang berpendidikan Cina
dan telah mula memainkan peranan yang lebih aktif dalam politik MCA.
- Peranan mereka dilihat lebih cenderung
kepada politik perkauman serta dikatakan lebih mewakili kepentingan orang
Cina di Tanah Melayu yang lebih ramai.
- Pada tahun 1958, Dr Lim
telah terpilih sebagai Presiden MCA telah mengalahkan Tan Cheng Lock
- Isu yang diperjuangkan oleh
MCA ialah untuk mendapat kewarganegaraan iaitu prinsip jus soli yang membolehkan semua
yang lahir di Tanah Melayu secara automatik menjadi warganegara.
·
Perjuangan
yang disuarakan oleh MCA itu tidak dipersetujui oleh UMNO tetapi UMNO dan MCA
telah bergabung dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
5.MIC
- Kongres India Malaya (MIC)
telah menyertai UMNO dan MCA dalam Parti Perikatan tetapi hanya mempunyai
pengundi orang India sebanyak 7.4% dari keseluruhan jumlah pengundi pada
1959.
- Keadaan ini adalah
disebabkan mereka tidak mendapat sokongan yang bermakna daripada
masyarakat India di Tanah Melayu.
- Akhirnya MIC turut bergabung
bersama UMNO dan MCA dalam Parti Perikatan dalam memperjuangkan
kemerdekaan negara.
- Peranan utama MIC adalah
untuk kekal berada dalam parti Perikatan supaya boleh mendapat sebarang
konsesi daripada rakan politiknya yang lebih berpengaruh iaitu UMNO.
6.PARTI
PERIKATAN 1955.
- Pada awal 1953, Parti
Perikatan telah meningkatkan tempoh perjuangan mereka dalam mendesak
British mempercepatkan proses devolusi kuasa poliik kepada elit politik
tempatan.
- Pemimpin Perikatan mula
mendesak British mengadakan pilihanraya di peringkat Persekutuan untuk
mempercepatkan proses penubuhan kerajaan sendiri kerana tempoh Majlis
Perundangan Persekutuan akan berakhir pada Januari 1954.
- Keadaan tersebut telah
mendesak British untuk memperkenalkan pilihan raya untuk perwakilan dalam
Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council).
- Pilihan raya telah pun
diperkenalkan oleh British di peringkat nasional sebagai justifikasi
Perikatan meminta pengenalan pilihan raya di peringkat Persekutuan.
- Usaha Parti Perikatan ini
menghadapi halangan dari kumpulan IMP yang berasa proses mengadakan pilihanraya
di peringkat Persekutuan perlu dilakukan secara lebih gradual atau
beransuran.
- Parti Perikatan mengumumkan
pada 17 Mac 1953 bahawa parti UMNO dan MCA telah pun mencapai persetujuan
mengenai pilihanraya Persekutuan selepas mengadakan beberapa mesyuarat.
- Perikatan juga mengumumkan
bahawa mereka akan mengadakan satu
konvensyen kebangsaan untuk semua parti politik bagi mengkaji
langkah-langkah yang wajar diambil untuk mempercepatkan proses menuju
kearah kemerdekaan.
- Parti Perikatan mula membuat
tuntutan kemerdekaan secara lebih agresif dan terbuka dibandingkan
tuntutan sebelumnya yang lebih terfokus kepada isu kerajaan sendiri.
- Perikatan mendesak
pentadbiran British mengadakan pilihan raya Persekutuan selewatnya pada
tahun 1954 dengan sekurang-kurangnya 3/5 majoriti dipilih secara langsung
melalui pilihan raya.
- Permintaan Perikatan
ternyata lebih tinggi daripada golongan pro-IMP dan Perikatan kemudiannya
menghantar satu petition kepada Pesuruhjaya Tinggi Sir Gerald Templer
untuk menyatakan tuntutan mereka.
- Parti Perikatan berpendapat
kemajuan kearah kemerdekaan terlalu pelahan dan perlu dipercepatkan.
- Perwakilan Perikatan tidak
bersetuju dengan pandangan majority dalam Jawatankuasa Pilihan raya yang
ditubuhkan oleh Templer.
- Keadaan ini adalah kerana
kumpulan majoriti dalam jawatankuasa itu terdiri daripada penyokong IMP
dan pandangan mereka lebih sehaluan dengan pendirian parti IMP.
7.DELEGASI
KE LONDON.
·
Pada
18 Januari 1956 bermulanya Persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil
kerajaan Perikatan UMNO-MCA-MIC dan wakil-wakil Raja-raja Melayu dengan
pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British dii Lancaster House, London
untuk menuntut kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu.
·
Delegasi
menuntut kemerdekaan ini diketuai oleh Ketua Menteri YTM Tunku Abdul Rahman
Putra, Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr Isma Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Encik
T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsuddin selaku Setiausaha bersama.
·
Manakala empat
wakil bagi Raja-raja Melayu ialah Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab
bin Toh Muda Abdul Aziz, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan
Dato’ Mohd Seth Mohd Said.
·
Persidangan
yang berlangsung selama 3 minggu ini merundingkan beberapa perkara berkaitan
dengan kemerdekaan Tanah Melayu, hal-hal kewangan, pentadbiran, keselamatan
dalam negeri, pertahanan dan hal-ehwal luar negeri serta penubuhan Jawatankuasa
Bebas Kemerdekaan bagi mengkaji semula perlembagaan terutamanya mengenai
kedudukan istimewa Raja-raja Melayu yang perlu dikekalkan.
·
Misi rombongan
menuntut kemerdekaan ini telah berjaya mendapatkan persetujuan Kerajaan British
untuk memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.
·
Pada tahun
1955, Tunku sekali lagi pergi ke London untuk berunding tentang kemerdekaan
Malaya.
·
Pada kali ini,
beliau berjaya dan tarikh 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan.
·
Laungan
“merdeka” yang bergema di Stadium Merdeka turut sama dilaungkan dan dikongsi
bersama di seluruh Negara.
8.KOMPROMI
DALAM ISU YANG DIPERJUANGKAN.
- Dalam pilihan raya umum yang
diadakan pada tahun 1955 berasaskan perlembagaan baru ini, Perikatan
UMNO-MCA-MIC (MIC, iaitu Parti Kongres India yang mewakili masyarakat
India telah menyertai Perikatan pada tahun 1955) memenangi hampir kesemua
kerusi yang dipertandingkan.-> Perjuangan mereka adalah kemerdekaan daripada
British.
- Pihak British memulakan
perbincangan dengan ketiga-tiga elit UMNO-MCA-MIC mengenai isu pemindahan
kuasa dan merangka draf perlembagaan yang baru untuk Kerajaan Tanah Melayu
yang merdeka itu.
- Hasil perbincangan tersebut
telah membawa kepada perumusan Perlembagaan Tanah Melayu.
- Antara isu-isu penting yang
termaktub dalam perlembagaan tersebut adalah kewarganegaraan.
- Berasaskan prinsip jus soli,mereka yang lahir di
Persekutuan Tanah Melayu selepas merdeka secara automatick menjadi
warganegara Persekutuan.
- Mereka yang bukan
warganegara boleh mendapat hak kewarganegaraan jika menetap di Tanah
Melayu antara lima hingga lapan tahun; mengangkat sumpah taat setia;
melepaskan kewarganegaraan asing; lulus peperiksaan asas bahasa Melayu.
- Isu hak keistimewaan orang
Melayu iaitu sistem tanah simpanan Melayu iaitu tanah rezab khas untuk
orang Melayu.
- Kuota tertentu dalam
perkhidmatan awam bagi orang Melayu dan pemberian lesen dan permit
perniagaan bagi orang Melayu.
- Kuota bagi biasiswa dan
bantuan kewangan dari segi pendidikan kepada orang Melayu serta melindungi
kedudukan khas orang Melayu.
- Persetujuan dari Majlis
Raja-raja Melayu diperlukan dalam sebarang pindaan perundangan pentadbiran
mengenai hak istimewa orang Melayu.
- Isu agama berkaitan Islam
adalah agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu namun demikian setiap orang
berhak untuk menganut dan mengamal agama mereka.
- Penyebaran agama lain di
kalangan penganut-penganut Islam adalah bergantung kepada undang-undang
negeri.
- Isu bahasa Melayu adalah
bahasa kebangsaan. Selain dari bahasa Inggeris, bahasa lain tidak boleh
digunakan dalam sebarang persidangan perundangan. Bahasa Inggeris boleh
digunakan sehingga sepuluh tahun selepas Merdeka.
- Penggunaan dan pembelajaran
bahasa kaum-kaum lain adalah bergantung kepada kebenaran dari kerajaan
Persekutuan dan kerajaan Negeri. Setiap warganegara bebas mengguna dan
mempelajari bahasa lain.
KESIMPULAN.
- Hal
ini jelas menunjukkan pelbagai parti telah muncul dalam gerakan menuntut
kemerdekaan misalnya Parti UMNO, MCA, MIC yang seterusnya telah bergabung
menjadi Parti Perikatan.
- Pelbagai
langkah telah dilakukan oleh Parti Perikatan dalam memperjuangkan
kemerdekaan Negara iaitu melalui tuntutan untuk diadakan pilihanraya,
konvesyen serta memprotes kepada British.
- Walaupun
Parti Perikatan menerima banyak persaingan dengan pro-IMP dan seterusnya
daripada Parti Negara dalam bertanding di dalam pilihanraya tetapi
majoriti bilangan kerusi tetap kepada Parti Perikatan.
- Akhirnya
British telah bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada
31 Ogos 1957 setelah didesak oleh parti Perikatan
BIBLIOGRAFI.
Andaya,
Barbara Watson, Sejarah Malaysia,
Petaling Jaya: MacMillan, 1983,
Ishak
Saat, Caturan Politik Pelbagai Kaum di
Tanah Melayu, 1946-1957, JEBAT, Bil. 37, 2010
Joseph M. Fernando, The Alliance Road to Independence, Kuala Lumpur: University of
Malaya Press, 2009.
Marwan
Saliman, UMNO, 1948-1955, JEBAT, Bil.
1, 1971-1972.
Milne R. S. , Mauzy Diane K. , Politik dan Kerajaan di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1982.
Ramlah Adam, Sumbanganmu
Dikenang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997.
Vejai
Balasubramaniam, Politik Nasionalisme dan
federalisme di Malaysia, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti, 1998.
[1] Milne R. S. , Mauzy Diane K. , Politik dan Kerajaan di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1982, hlm. 43-44.
[3] Vejai
Balasubramaniam, Politik Nasionalisme dan
federalisme di Malaysia, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti, 1998, hlm. 101.
[7] Vejai
Balasubramaniam, Politik Nasionalisme dan
federalisme di Malaysia, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti, 1998, hlm. 104.
[10] Ishak Saat, Caturan Politik
Pelbagai Kaum di Tanah Melayu, 1946-1957, JEBAT, Bil. 37, 2010, hlm. 80-82.
[11] Joseph M. Fernando, The Alliance Road to Independence, Kuala Lumpur: University of
Malaya Press, 2009, hlm. 92-93.
[13] Milne R. S. , Mauzy Diane K. , Politik dan Kerajaan di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1982, hlm. 179.
[15] Joseph M. Fernando, The Alliance Road to Independence, Kuala Lumpur: University of
Malaya Press, 2009, hlm. 118.
[18] Joseph M. Fernando, The Alliance Road to Independence, Kuala Lumpur: University of Malaya
Press, 2009, hlm. 92.
No comments:
Post a Comment