ARKEOLOGI ISLAM MERUPAKAN DISIPLIN ILMU YANG BARU DIPERKENALKAN DI MALAYSIA. BINCANGKAN.
PENDAHULUAN
Arkeologi[1] adalah
suatu kajian tentang masa silam manusia yang dikaji terutamanya melalui
bahan-bahan peninggalan.[2] Peninggalan
ini dapat dilihat dari tiga aspek utama iaitu artifak, ekofak dan feature. Artifak ialah alatan yang dihasilkan
oleh manusia dimana digunakan untuk tujuan memenuhi dan melancarkan kehidupan
sehari-hari. Misalnya seperti alatan batu, tembikar tanah, kapak, kapak genggam,
gendang gangsa, manik dan sebagainya.
Ekofak pula ialah sesuatu yang bukan daripada hasil dan dibuat oleh manusia
tetapi dapat memberi petunjuk bahawa pernah hadir ciri kehidupan manusia.
Contohnya dilihat seperti tulang, fosil, kerangka manusia, sisa pembakaran, sisi
pembakaran arang, pembuangan najis, kulit-kulit siput dan lain-lain. Feature bermaksud sesuatu yang berada di
permukaan atas atau bawah tanah dimana sekiranya diubah atau dipinda tanpa
direkod dengan rapi terlebih dahulu akan memusnahkan data yang sedia ada
tersebut. Antara contoh feature ini
seperti struktur bangunan, asas pelapik tiang, nisan dan benteng perkotaan. Tujuan
utama membuat penyelidikan ekskavasi arkeologi adalah untuk mendapatkan
fakta-fakta dan nilai-nilai sejarah serta budaya yang ditinggalkan dan tertanam
dalam tanah. Melalui tinggalan-tinggalan ini ahli arkeologi boleh membuat
tafsiran tentang pelbagai aspek misalnya budaya, sistem ekonomi, cara hidup,
dan corak penempatan masyarakat silam. Tujuannya untuk membina semula sejarah
manusia zaman purba, terutama sejarah masyarakat-masyarakat silam yang tiada
rekod bertulis.[3]
Arkeologi
Islam sememangnya merupakan disiplin ilmu yang baru diperkenalkan di Malaysia.
Hal ini dapat dibuktikan dengan adanya kajian yang dilakukan oleh
penyelidik-penyelidik dalam membongkar sejarah arkeologi Islam. Jika sebelum
ini bidang arkeologi hanya tertumpu kepada zaman prasejarah, protosejarah dan
kuno seperti zaman paleolitik, neolitik, mesolitik dan sebagainya tetapi kini
muncul satu disiplin ilmu yang baru iaitu arkeologi Islam. Hal ini dapat
ditafsirkan dengan cabang ilmu terhadap Mata Wang, Masjid, Prasasti, Batu
Bersurat, dan sebagainya. Walaupun bidang arkeologi ini sesuatu yang baru
tetapi pendekatan-pendekatan yang ditonjolkan begitu menarik untuk dikaji dan
diketahui. Ilmu yang diperoleh berada diluar kotak pemikiran kita dengan
idea-idea yang baru dan bersifat sahih serta relevan.
Perkembangan
penyelidikan arkeologi di Malaysia terbahagi kepada dua tahap iaitu sebelum
1976 dan sesudah 1976.[4] Penyelidikan
arkeologi sebelum tahun 1976 memperlihatkan penguasaan pengkaji barat, manakala
selepas 1976 penguasaan didominasi oleh penyelidik tempatan. Seterusnya,
terdapat dua kaedah pengkajian di Malaysia dengan penggunaan dua kaedah
pengkajian yang berbeza. Oleh itu, mengikut dua tahap tersebut iaitu sebelum tahun
1960 dan selepas tahun 1960. Sebelum tahun 1960 para pengkaji lebih menekankan
kajian terhadap artifak (tipologi), selepas tahun 1960 menekankan kajian
terhadap kebudayaan dan penafsiran dibuat berdasarkannya.[5] Profesor
Solheim membahagikan tahap perkembangan arkeologi Malaysia kepada empat tahap
iaitu tahap pertama antara 1860 hingga 1912, tahap kedua dari tahun 1912 hingga
1957, tahap ketiga dari 1957 hingga 1970 dan tahap keempat ialah dari tahun
1970 hingga kini.[6]
Dari peringkat awal penyelidikan arkeologi dilakukan oleh pentadbir-pentadbir
British dan pada tahap akhir baru dipelopori pengkaji-pengkaji tempatan. Hal
ini melihatkan bahawa kemungkinan disebabkan pengkaji tempatan lambat terlibat
dalam penyelidikan arkeologi, oleh itu terapan kaitan Islam dalam bidang ini
lambat diketahui. Antara cabang-cabang ilmu arkeologi ini boleh dilihat dalam
kajian terhadap Masjid, Batu Bersurat, Batu Nisan, Inskripsi, dan Mata Wang
beserta dengan contoh-contoh kajian yang pernah dilakukan.
CABANG-CABANG DISIPLIN ILMU
1) KAJIAN TERHADAP MASJID
Masjid[7]
merupakan lambang keunggulan dan keindahan Islam dimana tempat umat Islam melakukan
ibadah kepada Allah. Masjid berasal dari perkataan Arab iaitu ‘Sajada’ yang memberi
pengertian sujud iaitu meletakkan dahi ke bumi atau bersujud. Contoh yang dapat
dikemukakan adalah adanya cabang ilmu arkeologi Islam dalam binaan Masjid
Kampung Laut yang dikatakan berusia lebih 300 tahun sekaligus dikatakan merupakan
masjid yang tertua di Tanah Melayu. Masjid ini juga dikatakan tersenarai dalam
masjid yang penuh bersejarah dimana berlakunya pelbagai peristiwa dari
peringkat awal penubuhan sehingga ada berlakunya banjir di kawasan tersebut. Tambahan
pula, bentuk senibinanya yang hampir sama dengan senibina Masjid Agung Demak
dan Masjid Kuno di Champa berdasarkan bukti persamaan dari aspek material
masjid tersebut. Kemungkinan persamaan bentuk seni bina ini membolehkan para
pengkaji mengetahui akan usia sebenar masjid ini.
Antara
pembinaan yang paling dikagumi dalam aspek senibina masjid ini ialah
terdapatnya menara masjid yang dibina pada bahagian hadapan sebelah kanan
masjid. Pembinaan menara ini berfungsi
sebagai kemudahan untuk bilal melaungkan azan untuk didengari oleh penduduk yang
berada pada kedudukan jarak yang jauh. Keunikan yang kedua ialah keadaan kolah masjid
yang memainkan peranan penting sebagai tempat mengambil wudhuk. Dari sudut
arkeologi Islam, pada dinding kolah ini terdapat tulisan jawi yang sudah tidak
dapat dibaca kerana sudah luntur akibat daripada kesan digosok untuk
kerja-kerja pembersihan. Malahan, keadaan kolah ini diperbuat daripada batu
bukit yang pejal berfungsi untuk menahan hakisan air. Seni binanya juga
mempunyai keunikan yang tersendiri berbeza dengan bentuk seni bina masjid yang
lain.
2) KAJIAN TERHADAP
INSKRIPSI ATAU TULISAN
Inskripsi merupakan
kata-kata yang diukir yang terdapat pada monumen atau sebagainya. Melalui
inskripsi ini dapat membuktikan bahawa ini merupakan salah satu daripada cabang
ilmu dalam arkeologi Islam. Selain itu, melalui ukiran ini juga dapat merujuk
dan mengetahui akan gaya bahasa, penggunaan bahasa, bentuk tulisan, isi
kandungan, makna, dan juga tafsiran. Di sini saya mengemukakan dua aspek
berhubung dengan inskripsi iaitu di Batu Bersurat Terengganu dan permukaan mata
wang di Tanah Melayu. Batu Bersurat Terengganu kali pertama dijumpai ialah pada tahun 1887 oleh Syed Hussein
Ghulam Al-Bukhari.[8]
Pada bahagian batu tersebut adanya tercatat tarikh iaitu 702 H bersamaan dengan
1303 M. Terdapat pahatan di batu bersurat ini akan ayat seperti berikut:
“ jumaat di bulan rejab di
tahun saratan di sasanakala baginda rasulullah
telah lalu jatuh ratus dua”
Pahatan pada Batu Bersurat Terengganu ini terdapat
tulisan yang mencatatkan undang-undang yang berasaskan undang-undang Islam
secara bertulis. Adalah difahamkan beberapa percubaan dibuat supaya dapat
dibaca dan tafsirkan isi kandungan tulisan tersebut. Kemudian barulah dapat
bahawa tulisan itu ialah suatu undang-undang Islam dan kesalahan zina yang
dijalankan menurut hukum-hukum Islam dan juga mengandungi hukum-hukum lain
seperti hutang piutang.[9] Bukti
ini digambarkan sebagai garis panduan atau bukti akan kedatangan Islam di Tanah Melayu. Selain
daripada beberapa kesilapan, pekerjaan membaca tulisan telah menjadi lebih
susah dengan ketiadaan semua sekali titik-titik yang di dalam tulisan dimana menjadi
suatu tanda yang boleh membezakan sesuatu huruf dengan yang lain.[10]
Inskripsi seterusnya dilihat
pada permukaan syiling di Tanah Melayu. Perkembangan bentuk tulisan pada
permukaan syiling yang menarik dapat dikesan dikeluarkan pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka, Johor, Kelantan, Kedah dan Terengganu. Kebanyakan keluaran mata
wang ini melihatkan cabang ilmu arkeologi dengan adanya unsur Melayu-Islam. Hal
ini dibuktikan dengan perkataan arab yang digunakan iaitu Khalifatul Mukminin,
Al-Adil, Malik-Al Adil, dan Sultan Al-Adil di permukaan syiling tersebut. Pada
permukaan kedua-dua syiling ini terdapatnya tulisan ini kebiasaannya tertulis
gelaran dan sultan yang memerintah ketika itu. Malah menggunakan tulisan jawi
dengan perkataan yang ditulis atas permukaan syiling samaada berbaris dua atau
tiga. Jelas bahawa terdapatnya pendekatan Islam pada inskripsi-inskripsi
tersebut.
3)
KAJIAN
TERHADAP MATA WANG/ NUMISMATIK
Numimastik
merupakan segala kajian terhadap mata wang yang melibatkan aspek material,
ciri-ciri, bentuk dan fizikalnya. Penulisan kajian berhubung perkembangan mata
wang kesultanan di Tanah Melayu mula meluas selepas tahun 1968. Pengeluaran
mata wang di Tanah Melayu dapat dilihat
perkembangannya pada zaman Kesultanan Kelantan, Kesultanan Melaka, Kesultanan
Johor, dan Kesultanan Kedah. Di sini saya mengemukakan dua contoh kajian
terhadap mata wang iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan
Johor. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, berdasarkan bukti terdapat empat
orang sultan yang mengeluarkan wang syiling iaitu Sultan Muzafar Shah, Sultan
Mansor Shah, Sultan Mahmud Shah dan Sultan Ahmad Shah.[11] Setiap
sultan yang mengeluarkan wang syiling ini mempunyai perbezaan tipologi yang
ketara, iaitu terdapatnya ciri masing-masing yang tersendiri dimana boleh
dilihat dari segi gaya, bentuk, ukiran, tulisan, nilaian dan sebagainya. Syiling
berunsur Melayu-Islam mula dikeluarkan sejak zaman Sultan Mudzafar Shah dalam
bentuk timah dengan nilaian pitis dan casha. Peninggalan syiling yang ditemui
menunjukkan terdapat gelaran yang diguna pakai bagi mengangkat martabat Islam
dalam kehidupan seharian.[12] Gelaran
yang diguna juga menunjukkan peranan ketua Negara (sultan) dalam melindungi
agama dan menjamin kemakmuran Negara dan rakyat.[13]
Inskripsi pada bahagian permukaan syiling melampirkan gelaran ‘Nasir Al-Dunia
Wa’il Din, Malik Al-Adil, Al-Adil dan Sultan Al-Adil yang menunjukkan pahatan
tulisan arab. Ciri-ciri mata wang syiling Melaka ialah bentuk standard iaitu
bulat, mempunyai tulisan bahagian depan dan belakang, tulisan gaya jawi, bahasa
bercampur aduk Melayu dan Arab, diperbuat daripada timah, dan berukuran sekitar
15mm hingga 21.5mm.[14]
Tambahan pula, keunikan Syiling Melaka ini tidak mencatatkan sebarang tarikh
atau tahun.
Dalam
kesultanan Johor pula, Sultan yang mula mengeluarkan syiling iaitu Sultan
Alauddin Riayat Shah II (1527-1564), daripada emas yang dikenali dengan kupang.[15] Selain
itu, terdapat Syiling timah yang dikenali sebagai katun, manakala syiling perak
dengan nilaiannya suku penjuru dan dua penjuru. Dipermukaaan depan duit tertera
nama sultan yang memerintah dalam tulisan jawi manakala permukaan belakang
terdapat kata-kata pujian ‘Khalifatul
Mukminin’.[16]
Antara ciri unik wang syiling Johor ialah berbentuk bulat dan bersegi (segi
lapan), bertulisan jawi mengikut zaman pemerintahan sultan, mempunyai tulisan
arab dan penggunaan nama bercirikan Islam. Jelas menggambarkan pengaruh mata
wang Islam yang mungkin dibawa oleh pedagang-pedagang dari India dan Timur
Tengah. Pedagang Islam dari Timur Tengah dan India serta Acheh sering kunjungi
Johor kerana Johor ialah sebuah kerajaan Islam.[17]
Syiling-syiling Johor ini membuktikan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri Johor.[18]
4)
KAJIAN
TERHADAP BARU BERSURAT
Batu bersurat merupakan khazanah
arkeologi Islam yang begitu bernilai dan merupakan dokumen sejarah yang
terdapat dalam bentuk artifak. Antara yang ditemui ialah Batu Bersurat
Terengganu dan Batu Bersurat Pangkalan Kempas. Batu bersurat Terengganu ini
dipercayai berusia lebih 700 tahun dengan catatan bukti di batu tersebut abad
ke-12. Hal ini membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sejak abad ke-12
dan ditemui pada 1887 di Tebing Sungai Teresat Di Kuala Berang, Terengganu. Antara
ciri keunikannya ialah mempunyai empat permukaan dan setiap permukaan diukir
dengan bahasa Melayu dan tulisan huruf jawi. Isi kandungan meliputi
undang-undang seorang raja, ada menyebut Islam sebagai agama rasmi, dan
menerangkan hukum-hukum Islam serta pentadbiran Islam. Selain itu, batu
bersurat ini merupakan satu dokumen yang dianggap penting terdapat dalam bentuk
artifak iaitu dokumen terukir pada batu bukannya diatas kertas.
5)
KAJIAN
TERHADAP BATU NISAN ACHEH
Satu
lagi artifak yang penting dalam warisan sejarah ialah batu nisan Acheh. Batu
ini berfungsi sebagai menghiasi makan raja dan pembesar Melayu suatu ketika
dahulu. Perkataan batu ‘aceh’ pada batu nisan ini membawa erti bahawa ia
berasal dari Aceh iaitu dibahagian paling utara sumatera.[19] Antara
ciri-ciri keistimewaannya ialah terdiri daripada 16 jenis bentuk batu nisan (dimana
diklasifikasikan 9 jenis bentuk papan dan 7 berbentuk tiang). Terdapat enam
bahagian utama iaitu atas, kepala, bahu, badan, kaki, dan pasak.[20] Batu
ini diperbuat daripada batu pasir (akan mudah patah) dan gaya tulisan berbentuk
huruf jawi jenis naskhi. Hiasan pada batu Acheh pula dibahagi kepada dua
kategori iaitu tulisan atau inskripsi dan simbol.[21] Terdapatnya
ukiran petikan ayat al-Quran dan puisi dan sebahagian besar batu Acheh ini mengandungi
tulisan yang diukir perkataan laila
haillallah.[22]
Kebiasaannya simbol ukiran adalah berbentuk gambar bunga, reka corak geometri
(seni hiasan kesenian islam), gaya sarang labah-labah, mihrab, tangga, dan labu
atau pasu.[23]
Setiap bentuk dan gaya yang terukir mempunyai simbolik dan maksud yang
tersendiri berhubung dengan Islam. Di Semenanjung Malaysia terdapat di Melaka,
Johor, Perak, Pahang, Kedah Perlis Selangor, dan Terengganu yang mempunyai 400
makam ditandai oleh Batu Acheh. Misalnya pada zaman Kesultanan Melayu, Makam
Sultan Mansor Shah di Melaka yang mangkat pada 1477 dan Raja Fatimah di Pahang
ditandai batu nisan Acheh. Pola hias batu Nisan Acheh keseluruhannya mempunyai
kesenian berdasarkan dua aspek utama iaitu pertama berhubungan dengan unsur
sebelum dan semasa Islam. Kedua, penyesuaian antara kesenian sebelum dan semasa
islam.[24]
Pola hiasan adalah dari alam sahaja tanpa melibatkan gambaran binatang kerana
dikatakan haram selepas unsur Islam masuk ke Tanah Melayu. Pada bahagian
tertentu nisan Acheh ini terdapat tulisan dipetik daripada ayat Al-Quran. Terdapat
juga tulisan yang merujuk kepada peranan dan tanggungjawab manusia, sifat
kepimpinan yang harus ada pada pemimpin dan sebagainya. Batu Nisan Acheh turut
terdapat catatan nama si mati dan tahun kematian sebagai rujukan waris kepada
si mati. Selain itu, peninggalan batu nisan Acheh yang ditemui di Kedah yang
paling terkenal ialah di Pengkalan Bujang. Di tapak ini terdapatnya empat nisan
yang ditemui iaitu penguburan berhubung Kesultanan Kedah. Di tapak ini terdapat
makam milik Sultan Muzaffar, isteri, anak dan guru agama baginda dalam satu
kawasan di kawasan di Lembah Bujang.[25]
PENUTUP:
Kesimpulannya,
tafsiran yang dikupas diatas membuktikan arkeologi Islam itu sudah wujud pada
peringkat awal lagi. Antara cabang disiplin ilmu arkeologi Islam ialah Mata
Wang, Batu Nisan, Batu Bersurat, Masjid, Azan, Inskripsi dan sebagainya. Namun
tidak diikhtiraf sebagai arkeologi Islam kerana pengkaji hanya tertumpu kepada
satu bidang sahaja iaitu arkeologi. Hal ini juga mungkin berlaku disebabkan
pengkajian bidang arkeologi pada peringkat awalnya dipelopori oleh pengkaji
barat, jadi pendekatan mengenai arkeologi Islam ini tidak diperkembangkan.
Selepas dipelopori pengkaji tempatan barulah arkeologi Islam ini mula
berkembang. Sehubungan dengan itu, pada tahun 2001 Universiti Malaya merupakan
institusi pengajian tinggi pertama yang menggunakan pendekatan arkeologi Islam.
BIBLIOGRAFI:
Haji
Muhamad Saleh Bin Haji Awang, Pusaka Suci
atau Batu Bersurat Terengganu, Marang: H.C.
Md. Abdul Rahman, 1961.
Leong
Sau Heng, “Kepentingan Kajian Arkeologi
Di Selangor”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam
Seminar Sejarah Negeri Selangor,14-15 Mei 1999, Anjuran Lembaga Muzium Selangor Shah Alam.
Mohd Kassim Haji Ali, “Mata Wang
Negeri Johor”, dalam Abdullah Zakaria dan Zainal
Abidin
(sunt.), Johor Dahulu dan Sekarang,
Kuala Lumpur: Persatuan Muzium
Malaysia,
1994.
Mohd Sufian Sabtu, “Data Arkeologi
dan Sumbangannya Sebagai Data Sejarah: Satu Tinjauan
Terhadap Kronologi Zaman, dalam Danny Wong Tze-Ken, Joseph M. Fernando, Mardiana Nordin,
Sivachandralingam Sundara Raja (sunt.), Sumber
Sejarah dan Pendekatan,
Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006.
Mohd.
Sufian Sabtu, “Hubungan Sosio-Budaya
Malaysia-Indonesia: Kasus Dari Perspektif Arkeologi
Islam”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Persidangan 50 Tahun Merdeka: Hubungan Malaysia-Indonesia, 17-21
Julai 2007, Anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya.
Mohd Sufian Sabtu,
Sejarah Kajian Numimastik Kesultanan Di Semenanjung Tanah Melayu
Nor Akmaluddin Bin Mohd Tobi,
“Penguburan Zaman Prasejarah Di Semenanjung Malaysia:
Tinjauan Dari
Sudut Teknik, Kaedah dan Peranan”, Latihan ilmiah, Jabatan Sejarah,
Universiti
Malaya, 2002/03.
Othman
Mohd. Yatim, “Batu Acheh: Peranan dan
Sumbangannya Dalam Sejarah dan Kebudayaan
Melayu”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu, 15-20 Ogos 1989, Kuala
Lumpur.
Shakila
Yaacob, Arkeologi Prasejarah Satu
Pengenalan Ringkas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1990.
Suryati binti Imran, “Sejarah dan
Perkembangan Mata Wang Johor Pada Abad Ke-16 Hingga
Ke-19”, Latihan
Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 2002/03.
Zulkifli
Jaafar, “Arkeologi Semenanjung Malaysia:
Satu Pengenalan Asas, dalam Seminar Jumpaan
Arkeologi Terkini Di Malaysia”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Jumpaan Arkeologi Terkini Di Malaysia,
26 Jun 2000, Anjuran Muzium Seni Asia,
University Malaya.
[1] Arkeologi
berasal dari perkataan Greek iaitu arkhaiologia
yang bermaksud kajian terhadap barangan atau peninggalan kuno.
[2]
Shakila Yaacob, Arkeologi Prasejarah Satu
Pengenalan Ringkas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hlm. 5.
[3]
Leong Sau Heng, “Kepentingan Kajian
Arkeologi Di Selangor”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Sejarah
Negeri Selangor,14-15 Mei 1999, Anjuran Lembaga Muzium Selangor Shah Alam, hlm.
2.
[4] Nor
Akmaluddin Bin Mohd Tobi, “Penguburan Zaman Prasejarah Di Semenanjung Malaysia:
Tinjauan Dari Sudut Teknik, Kaedah dan Peranan”, Latihan ilmiah, Jabatan
Sejarah, Universiti Malaya, 2002/03, hlm. 2.
[5] Ibid.
[6]
Zulkifli Jaafar, “Arkeologi Semenanjung
Malaysia: Satu Pengenalan Asas, dalam Seminar Jumpaan Arkeologi Terkini Di
Malaysia”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Jumpaan Arkeologi
Terkini Di Malaysia, 26 Jun 2000, Anjuran Muzium Seni Asia, Universiti Malaya,
hlm. 9-12.
[7] Menurut Kamus
Dewan Masjid bermaksud bangunan khas yang merupakan tempat orang Islam
mendirikan solat.
[8] Haji Muhamad Saleh
Bin Haji Awang, Pusaka Suci atau Batu
Bersurat Terengganu, Marang: H.C. Md. Abdul Rahman, 1961, hlm. 8.
[10] Ibid.
[11]Mohd. Sufian Sabtu, “Hubungan Sosio-Budaya Malaysia-Indonesia:
Kasus Dari Perspektif Arkeologi Islam”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam
Persidangan 50 Tahun Merdeka: Hubungan Malaysia-Indonesia, 17-21 Julai 2007,
Anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, hlm. 12.
[14] Ibid.
[16] Mohd
Kassim Haji Ali, “Mata Wang Negeri Johor”, dalam Abdullah Zakaria dan Zainal
Abidin (sunt.), Johor Dahulu dan Sekarang,
Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1994, hlm. 105.
[17]
Suryati binti Imran, “Sejarah dan Perkembangan Mata Wang Johor Pada Abad Ke-16
Hingga Ke-19”, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 2002/03,
hlm. 35.
[19] Othman Mohd.
Yatim, “Batu Acheh: Peranan dan
Sumbangannya Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”, Kertas Kerja
Dibentangkan Dalam Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu, 15-20 Ogos 1989,
Kuala Lumpur, hlm. 849.
[20] Mohd. Sufian Sabtu, “Hubungan Sosio-Budaya Malaysia-Indonesia:
Kasus Dari Perspektif Arkeologi Islam”,
hlm. 14.
[21] Othman Mohd.
Yatim, “Batu Acheh: Peranan dan
Sumbangannya Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”, hlm. 851.
[24]Mohd. Sufian Sabtu, “Hubungan Sosio-Budaya Malaysia-Indonesia:
Kasus Dari Perspektif Arkeologi Islam”, hlm. 14.
[25]
Ibid., hlm. 15.
No comments:
Post a Comment