Monday, 30 December 2013

Peranan dan pengaruh persatuan/kesatuan separa politik di Tanah Melayu.

Pengenalan
Persatuan dan kelab telah mula ditubuhkan pada sekitar tahun 1910 di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.Tetapi kelab dan persatuan ini hanyalah berbentuk aktiviti sukan dan sosial sahaja.Bukan itu sahaja, kelab dan persatuan ini tidak melibatkan diri dalam politik atas alasan selesa dengan bantuan yang dihulurkan pemerintah British pada ketika itu.Penubuhan kelab dan persatuan ini memainkan peranan dalam menyemai dan membentuk semangat kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu di Tanah Melayu. Tetapi ianya mulai berubah pada sekitar tahun 1920-an sehingga 1930-an.
Oleh itu, sepanjangtahun 1920-an sehingga 1930-an telah munculnya kesatuan/persatuan yang bersifat kenegerian dan separa politik di Tanah Melayu. Terdapat tiga golongan pemimpin yang menubuhkan kesatuan/persatuan yang bersifat separa politik ini.Golongan pertama ialah reformis agama berpendidikan Arab, golongan cendikiawan yang radikal dan berpendidikan Melayu serta golongan pentadbir yang berpendidikan Inggeris.[1]Manakala dalam tahun 1930-an, matlamat utama mereka adalah lebih kepada pembentukan pertubuhan Se-Tanah Melayu yang bertujuan untuk membangkitkan minat masyarakat Melayu kepada tuntutan yang dilakukan oleh golongan orang bukan Melayu.


Kesedaran berpolitik dalam masyarakat Melayu wujud setelah berlakunya gerakan Islah di bahagian Timur Tengah terutamanya Mesir, Mekah dan Madinah. Selain itu, media massa juga memainkan peranan dalam menyebarkan isu-isu sosio-ekonomi yang bertujuan menimbulkan kesedaran dan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu. Oleh itu, kemunculan kesatuan dan persatuan separa politik ini adalah bertujuan untuk mencapai matlamat mereka yang tersendiri, iaitu mereka ingin mengekalkan pemerintahan di bawah British dan memberikan taat setia kepada raja Melayu.Antara persatuan/kesatuan separa politik yang ditubuhkan di Tanah Melayu adalah seperti Kesatuan Melayu Singapura, Kesatuan Melayu Muda, Persatuan Melayu Selangor dan sebagainya.









Kesatuan Melayu Singapura
Kesatuan ini merupakan salah sebuah pergerakan semi-politik Melayu pertama[2] yang ditubuhkan pada tahun 1926 di Negeri-Negeri Selat.Kesatuan Melayu Singapura (KMS) ini diasaskan oleh Mohamad Eunos Abdullah[3] dan dibantu oleh Tengku Abdul Kadir dan Embok Suloh.Sebelum menubuhkan KMS ini, Mohamad Eunos merupakan salah seorang ahli Dewan Mesyuarat bagi Negeri-Negeri Selat (NNS) pada tahun 1924. KMS juga telah menubuhkan beberapa cawangan lain seperti di Melaka dan Pulau Pinang.[4]
Terdapat beberapa matlamat penubuhan KMS ini ialah menggalakkan ahli-ahlinya bergerak dengan aktif dalam urusan pentadbiran.[5]Bukan itu sahaja, KMS juga memperjuangkan kemajuan dan kepentingan masyarakat Melayu dalam bidang politik dan juga pendidikan serta mewakili masyarakat Melayu dalam berurusan dengan pemerintah dalam segala aspek yang berkaitan dengan masyarakat Melayu.Di samping itu, KMS juga bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai pendidikan masyarakat Melayu.
KMS merupakan salah sebuah persatuan separa politik yang bersifat taat setia dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan semasa penubuhannya.Antara perkara yang jelas dilakukan oleh KMS ialah membantu mengadakan parti meraikan atau parti perpisahan bagi seseorang pegawai yang telah berkhidmat di Tanah Melayu serta sebagainya. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut :

“…. Giving tea parties to greet and farewell arriving and departing governers, presenting loyal address, and organizing appropriate functions to mark such British royal occasions as the Jubilee of King George V, the death of that monarch.…”[6]

Walaupun begitu penubuhan KMS di Singapura ini telah menarik perhatian masyarakat Melayu melalui bidang kewartawanan.Kewartawanan Melayu telah memberikan kesedaran kepada para pembacanya mengenai penubuhan persatuan-persatuan di negeri-negeri Melayu pada waktu tersebut.Dan melalui penubuhan persatuan tersebutlah, masyarakat Melayu boleh menyuarakan hak dan kebebasan mereka.Bukan itu sahaja, persatuan-persatuan tersebut dijadikan sebagai medium untuk membela nasib-nasib orang Melayu.Terdapat beberapa akhbar dan majalah yang digunakan bagi menimbulkan dan memupuk semangat kesedaran kepada penduduk di Tanah Melayu terutamanya orang Melayu sendiri.Antaranya ialah Idaran Zaman, Saudara, Warta Malaya, Majlis, Majalah Malaya dan sebagainya.[7]
Justeru itu, pada tahun 1927, empat orang wakil orang Melayu telah dilantik oleh pentadbiran British di dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan dengan tujuan sebagai wakil bagi orang Melayu Negeri-negeri Melayu Bersekutu.Bukan itu sahaja, melalui cadangan penubuhan persatuan negeri itu telah membolehkan masyarakat Melayu menyuarakan pendapat mereka kepada kerajaan British.Dan ianya juga berfungsi sebagai medium untuk wakil-wakil Melayu untuk memberikan pandangan mereka kepada kerajaan British di Tanah Melayu. KMS juga mempunyai pengaruh dan dijadikan sebagai mentor terutamanya dalam aspek pentadbiran kepada persatuan-persatuan negeri yang lain. Antara persatuan negeri yang terlibat ialah Persatuan Melayu Perak (1937), Persatuan Melayu Selangor (1938)[8] dan Persatuan Melayu Pahang (1938).
Maka, kewujudan KMS ini dikatakan memberi pengaruh di Tanah Melayu melalui akhbar-akhbar yang menimbulkan semangat kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.Bahkan KMS juga dirujuk oleh persatuan/kesatuan yang seterusnya selepas penubuhan KMS.Oleh itu, KMS juga dikatakan sebagai perintis kepada penubuhan persatuan/kesatuan separa politik di Tanah Melayu sebelum tahun 1941.

Persatuan Sahabat Pena Malaya
Pada sekitar tahun 1934, sebuah akhbar, iaitu Saudara yang diterbitkan dua minggu sekali di Pulau Pinang telah memperkenalkan satu ruangan yang dikenali sebagai Pembaca Muda. Ruangan ini telah dicetuskan oleh golongan reformis agama dan diketuai oleh Syeikh Tahir Jalaluddin.[9]Tetapi ruang pembaca muda telah ditukarkan bagi ruangan Wartawan Muda. Bermula daripada ruangan inilah, maka Sahabat Pena diperkenalkan melalui artikel yang berjudul ‘berkenaan Sahabat Pena’ (concerning Pen-Friend). Maka, pada 7 April 1934 telah ditubuhkan Persatuan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) yang bertujuan untuk membaiki kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat Melayu sendiri.Tetapi penubuhan PASPAM ini telah dirasmikan oleh Syed Alwi pada bulan September 1934.
PASPAM merupakan salah satu persatuan yang berasaskan kepada sastera.Bukan itu sahaja, PASPAM juga telah berusaha untuk menyatupadukan masyarakat di Tanah Melayu terutamanya masyarakat Melayu, Sabah dan juga Sarawak.Oleh itu, penubuhan PASPAM boleh dikatakan sebagai salah satu persatuan yang mempunyai keahliannya meliputi seluruh Tanah Melayu termasuklah Sabah dan Sarawak pada ketika itu.Bukan itu sahaja, terdapat juga penambahan ahli dalam PASPAM ini.Misalnya pada tahun 1937, jumlah ahli yang berdaftar dalam PASPAM telah meningkat kepada lebih kurang 10,000 orang ahli.[10]
PASPAM ini telah dipimpin oleh salah seorang ahli daripada golongan cendikiawan Pulau Pinang, iaitu S. M. Zainal Abidin.Melalui persatuan ini, orang-orang Melayu dapat menyuarakan hak dan pandangan mereka melalui forum-forum yang dianjurkan oleh PASPAM sendiri.Bukan itu sahaja, masyarakat Melayu juga dapat memajukan diri mereka dalam pelbagai aspek dan melahirkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu yang berada di semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan juga Sarawak. Justeru itu, penubuhan PASPAM juga dilihat sebagai asas  timbulnya semangat kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu.
Penubuhan persatuan ini telah berjaya mendapat sambutan daripada orang ramai kerana penyusunan organisasi dan perlembagaan yang teratur dan sistematik.Manakala keanggotaannya pula terdiri daripada golongan guru, pegawai kerajaan dan juga para peniaga.Misalnya Syeikh Abdullah sebagai Penasihat Kehormat dan juga Tunku Abdul Rahman, iaitu salah seorang ahli yang bergiat aktif dalam PASPAM.Slogan PASPAM turut diperkenalkan, iaitu ‘Hidup Bahasa Hiduplah Bangsa’ yang telah melambangkan semangat nasionalisme.

Pada awalnya tumpuan utama PASPAM hanyalah mengutamakan aspek kebudayaan tetapi lama-kelamaan pengaruh PASPAM dilihat semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat Melayu.Hal ini berlaku kerana minat orang-orang Melayu mula berubah kepada aspek politik.[11]Oleh itu, penubuhan PASPAM ini telah memupuk semangat kesedaran dan perpaduan masyarakat Melayu, Sabah dan Sarawak melalui ruangan akhbar pada ketika itu.Selain itu, penubuhan PASPAM juga boleh dikatakan berjaya menghapuskan semangat kenegerian yang timbul pada tempoh masa tersebut.

Kesatuan Melayu Muda (1937-1938)
Kesatuan Melayu Muda atau singkatan namanya adalah KMM[12] merupakan salah sebuah persatuan/kesatuan yang berlandaskan politik yang ditubuhkan di Tanah Melayu.KMM ini ditubuhkan secara rasmi pada bulan Mei 1937 di Kampung Baru, Kuala Lumpur.Terdapat juga sesetengah buku menyatakan bahawa KMM telah ditubuhkan pada bulan April 1938 di Kuala Lumpur.[13]Objektif penubuhan KMM ini adalah untuk menggalakkan perpaduan pemuda-pemuda Melayu di semenanjung Tanah Melayu, meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Melayu dan menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu serta merapatkan hubungan Tanah Melayu dengan Indonesia.Penubuhan kesatuan ini bertujuan untuk menimbulkan semangat kesedaran dalam kalangan masyarakat Melayu.
Selain itu, keanggotaannya terdiri daripada  kalangan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris, pelajar-pelajar Sekolah Teknik Kuala Lumpur, pelajar-pelajar Sekolah Pertanian Serdang, golongan radikal Melayu dan juga para wartawan daripada akhbar Majlis.KMM merupakan salah sebuah kesatuan yang berdaftar dengan menggunapakai peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Liga Pemuda India Selangor atau The Selangor Indian Youth League.[14]
            KMM merupakan salah sebuah badan politik yang pertama  ditubuhkan di Tanah Melayu.Dasar perjuangan KMM pula dikatakan lebih bersifat anti-penjajah dengan memperjuangkan kemedekaan dan membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah Barat.Selain itu, KMM merupakan pergerakan di Tanah Melayu yang tidak menyatakan sebarang kesetiaan mereka kepada sultan mahupun pihak penjajah Tanah Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut :

“….tidak menunjukkan kesetiaan samada kepada sultan-sultan ataupun kepada British dan tidak pula menyarankan tidak bekerjasama, tetapi berusaha bagi memupuk perasaan-perasaan nasionalisme di kalangan ahli-ahlinya. Sokongannya yang kuat datang dari rakyat jelata….” (Ibrahim Haji Yaakob)[15]


Bukan itu sahaja, KMM juga dilihat banyak dipengaruhi oleh pergerakan nasionalisme yang berlaku di Indonesia.Misalnya pergerakan Jong Jawa dan pergerakan Jong Sumatera.KMM juga turut mengadakan hubungan rapat dengan beberapa orang pemimpin Parti Komunis Indonesia misalnya Alimin.Hal ini menunjukkan kesungguhan KMM untuk menggabungkan kemerdekaan antara Tanah Melayu dengan Indonesia.[16]
            KMM merupakan sebuah pergerakan   yang menjadikan isu kemerdekaan mereka sebagai teras utama perjuangan mereka berbanding kesatuan/persatuan yang lain pada ketika itu yang hanya memberikan fokus utama dalam aspek pendidikan dan masa hadapan kanak-kanak Melayu. Dan kebanyakan idea dan pandangan ahli-ahli KMM disuarakan melalui akhbar Warta Malaya yang pada masa itu menjadi lidah perjuangan KMM sendiri.[17]Justeru itu, KMM merupakan sebuah kesatuan Melayu yang sudah mempunyai matlamat yang tersendiri untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah dan berusaha untuk memperolehi kemerdekaan. Pemimpin KMM sendiri dilihat telah melakukan pelbagai usaha dan cara untuk mencapai matlamat KMM sendiri.




Persatuan Melayu Selangor.
Sebelum Persatuan Melayu Selangor (PMS) ditubuhkan, terdapat satu perjumpaan telah diadakan di Sultan Sulaiman Club, kampung baru, Kuala Lumpur untuk menubuhkan sebuah pertubuhan dan seramai 13 orang cendikiawan telah hadir ke perjumpaan tersebut. Antaranya ialah Tengku Ismail Bin Tengku Mohd Yasin (seorang peguam), Raja Bon Bin Raja Yahya, Raja Uda Bin Raja Mohamad, Abdul Rahim Kajai, Osman Kalam, Ramli Bin Haji Tahir, Muhammad Yunus Hamidi (pengarang surat khabar Majlis), Raja Yaakub Bin Raja Alang, Syed Abdul Ghani, Haji Othman Bin Abdullah,[18] Abdul Rahman Bin Haji Othman, Mohd Dahlan Bin Haji Mas’ud (pengarang dan penulis) dan  Mohamad Amin Bin Mohamad Yusuf [19]atau Nakhoda Mohd Amin.[20] Oleh itu, PMS telah ditubuhkan pada bulan Jun 1938 di Kuala Lumpur dan Yang Dipertua pertama bagi PMS ialah Tengku Ismail Bin Tengku Mohd. Yassin.[21]
Pada sekitar tahun 1936, PSM mulai bergerak secara perlahan-lahan dalam bidang politik.Namun pergerakan politik PSM adalah terhad kepada membuat rayuan kepada pihak kerajaan sahaja. Oleh kerana pada ketika Tanah Melayu dijajah oleh pihak British, maka PSM tidak menggunakan cara yang mendesak ataupun menbidas kerajaan ketika itu. Tidak juga menggunakan kekerasan yang akan mengakibatkan mereka digelar komunis. Selain itu juga mereka tidak menggunakan sebarang ayat-ayat suci daripada Al-Quran kerana dikhuatiri akan dipenjara oleh pihak  kerajaan pada ketika itu. Justeru itu, PMS boleh dikatakan sebagai sebuah pengerakan yang sangat sempit dan terhad juga.
Struktur rasmi persatuan ini dapat menjelaskan susunan pentadbiran negeri Selangor sendiri.Misalnya daripada aspek pentadbiran pusat akan diwakili oleh pegwai-pegawai. Manakala setiap daerah diwakili oleh seorang wakil.Terdapat beberapa daerah yang diwakili dalam ahli-ahli jawatankuasa. Antaranya Haji Abdul Rahim Kajai, Othman Kalam, Muhammad Yunus Hamidi, Raja Ya’akub Bin Raja Alang, Haji Othman Bin Haji Abdullah, Haji Muhammad Dahlan Bin Haji Mas’ud dan Haji Abdul Rahman Bin Haji Othman yang mewakili daerah Kuala Lumpur. Daerah Klang pula diwakili oleh Haji Mohamad Noh Bin Haji Muhamad Tahir, daerah Kuala Selangor pula diwakili oleh Raja Alang Dan Cikgu Abu Hassan (Jeram). Bagi daerah Ulu Langat pula diwakili oleh Haji Abdul Jalil dan Haji Ahmad Kamil dan Haji Nordin Bin Nawi, Haji Abdul Rashid serta Kamarudin pula mewakili daerah Ulu Selangor.
Antara perjuangan PMS adalah ingin mengutip derma pelajaran yang digunakan untuk anak-anak Melayu melanjutkan pelajaran mereka ke negara Timur Tengah seperti Mesir, Madinah dan Mekah bagi ilmu agama. Manakala bagi ilmu-ilmu duniawi mereka akan dihantar ke Eropah.Bukan itu sahaja, PMS juga pernah menuntut supaya angkatan Askar Melayu diperbesar sehingga menjadi kepada 10 batalion, mendesak untuk mewujudkan angkatan Askar Udara dan Askar Laut Tanah Melayu.Di samping itu juga PMS juga meminta supaya kemasukan orang-orang asing ke Tanah Melayu disekat dan diperketatkan lagi. Manakala kemasukan orang-orang dari Indonesia digalakkan kerana mereka berasal daripada rumpun yang sama dengan orang Melayu.[22]

PMS juga pernah menjalinkan kerjasama dengan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dan telah mengadakan beberapa kongres Melayu. Antara kongres yang terawal ialah diadakan pada tahun 1937 di pejabat Tengku Ismail Bin Tengku Mohd Yasin di Klyne Street, Kuala Lumpur.[23]Seterusnya kongres kedua dilakukan di Singapura pada tahun 1938 dan seterusnya pada tahun 1939 di Kuala Lumpur. Dan pada tahun seterusnya kongres antara PMS denga KMS dilakukan secara bergilir-gilir di Kuala Lumpur dan Singapura. Tetapi selepas Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu tiada sebarang kongres atau pertemuan di antara kedua-dua persatuan ini.










Kesimpulan
Secara kesimpulannya, kesatuan atau persatuan yang wujud d Tanah Melayu pada tahun 1920-an lebih mengutamakan isu-isu sosial dan tidak bersifat penentangan terhadap kerajaan. Wujud juga persatuan/kesatuan yang bersifat kenegerian. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan daripada ucapan Dato Onn Ja’afar, iaitu :

“ Onn membidas orang Melayu yang suka sangat mengekalkan diri mereka sebagai orang Selangor, orang Perak ataupun orang Johor, sehingga perasaan kenegerian itu menjadi terlalu tebal, walaupun mereka berasal daripada satu bangsa dan kebudayaan……”[24]

Maka, disebabkan inilah maka wujudnya beberapa kesatuan/ persatuan yang berusaha untuk menyatupadukan masyarakat Melayu. Oleh itu, persatuan/kesatuan yang wujud sekitar tahun 1930-an mula mengalami perubahan dan semangat kesedaran mula muncul dalam kalangan masyarakat Melayu. Oleh itu, kebanyakkan persatuan/kesatuan yang muncul pada ketika itu lebih dikatakan bersifat separa politik.Misalnya KMS yang hanya mahukan kepentingan orang Melayu dijaga.Berlainan pula dengan PASPAM kerana semangat kenegerian berjaya dihapuskan secara perlahan-lahan.

Berbeza pula dengan penubuhan KMM pula lebih bersifat radikal kerana menentang dasar-dasar kerajaan yang ketika itu Tanah Melayu sudah dijajah oleh British.Bukan itu sahaja, KMM juga berusaha untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman pihak penjajah.Di samping memperkenalkan konsep ‘Melayu Raya’ tetapi malangnya konsep tersebut gagal dilaksanakan kerana pihak Indonesia telah mendapatkan kemerdekaan pada bulan Ogos 1948.Manakala Persatuan Melayu Selangor (PMS) pula dikatakan sebagai salah sebuah persatuan negeri yang terawal ditubuhkan di Tanah Melayu. Matlamat PMS adalah untuk memastikan anak-anak Melayu memperolehi pendidikan. Bukan itu sahaja.PMS juga dikatakan berusaha untuk memperbesar angkatan Askar Melayu.Di samping itu, PMS juga mencadangkan supaya Tanah Melayu mempunyai askar udara dan askar laut di Tanah Melayu.
Maka pada tahun yang berikutnya, Tanah Melayu telah mempunyai sebuah persatuan yang menyatupadukan masyarakat Melayu, iaitu UMNO.UMNO ditubuhkan untuk masyarakat Melayu bagi memperolehi kemerdekaan Tanah Melayu.Selepas itu, muncul pula kesatuan yang mewakili masyarakat Cina dan India.Tujuannya untuk memastikan Tanah Melayu beroleh kemerdekaan.





Bibliografi
Buku
Abd Aziz Ahmad dan Alias Mohamed, Persatuan Melayu Singapura, Petaling Jaya : Gateway Publishing House Sdn. Bhd., 2004.
Gillbert Khoo, Dorothy Lo, Asia Dalam Perubahan : Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia, Singapura : Heinemann Educational Books (Asia), 1978.
Insun Sony Mustapha, Memoir Mustapha Hussain Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999.
Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur : Persatuan Muzium Malaysia, 1984.
Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan, Bangi : Penerbit University Kebangsaan Malaysia, 2009.
William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur : Oxford University Press, 1994.
Zulhilmi Paidi, Rohani Ab. Ghani, Kenegeraan Malaysia Isu-Isu Dalam Pembinaan Negara, Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2008.



[1] Gillbert Khoo, Dorothy Lo, Asia Dalam Perubahan : Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia, Singapura : Heinemann Educational Books (Asia), 1978, hlm. 202.
[2] Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur : Persatuan Muzium Malaysia, 1984, hlm. 135.
[3]Mohamad Eunos Abdullah merupakan seorang pegawai kerajaan.Beliau menerima pendidikan dari dua aliran, iaitu berpendidikan Melayu dan Inggeris, iaitu di Raffles Institutions.Beliau juga pernah berkhidmat sebagai seorang wartawan.Turut dilantik sebagai Penasihat hal ehwal masyarakat Melayu di Singapura oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat.
[4] Abd Aziz Ahmad dan Alias Mohamed, Persatuan Melayu Singapura, Petaling Jaya : Gateway Publishing House Sdn. Bhd., 2004, hlm. 13.
[5]Khoo Kay Kim, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, hlm. 135.
[6] William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur : Oxford University Press, 1994, hlm. 193.
[7]Ibid., hlm. 136.
[8]Ibid., hlm. 150.
[9] William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, hlm. 212.
[10] Gillbert Khoo, Dorothy Lo, Asia Dalam Perubahan : Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia, hlm. 202.
[11]Ibid.
[12] KMM pada asalnya merupakan Persatuan Belia Muda dan menggunakan slogan ‘Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu’ atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai “One For All, All For One”. Kesatuan ini ditubuhkan oleh Ibrahim Haji Yaakob dan dibantu Mustapha Hussain selaku Naib Presiden, Hassan Haji Manan sebagai Setiausaha Agung, Othman Mohd Noor selaku Setiausaha dan Idris Hakim sebagai Bendahari serta beberapa ahli Jawatankuasa Pusat seperti Abdul Karim Rashid, Bahar Bin Abik, Sulung Bin Chik, Onan Haji Siraj, Ishak Haji Muhammad, Abdullah Samad Ahmad dan Abdul Kamil.
[13] Insun Sony Mustapha, Memoir Mustapha Hussain Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999, hlm. 198.
[14]Insun Sony Mustapha, Memoir Mustapha Hussain Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO, hlm.  199.
[15] Ibid.
[16]Penggabungan kemerdekaan tersebut dikenali sebagai konsep ‘Melayu Raya’ atau ‘Indonesia Raya’.Konsep ini medapat sambutan yang besar dalam kalangan penduduk Tanah Melayu.Keadaan ini telah menyebabkan pihak penjajah Tanah Melayu pada ketika itu, British melihat KMM sebagai satu ancaman kepada mereka.
[17] Rohani haji ab. Ghani, ‘Nasionalisme Malaysia : Quo Vadis’ dalam  Zulhilmi Paidi, Rohani Ab. Ghani, Kenegeraan Malaysia Isu-Isu Dalam Pembinaan Negara, Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2008, hlm. 67.
[18]Beliau merupakan salah seorang pengurus akhbar Majlis tetapi menurut William R. Roff, beliau merupakan salah seorang ahli yang terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan menjawat jawatan setiausaha KMM.
[19] Menurut William R. Roff, beliau merupakan  pemilik kepada akhba Majlis.
[20]Abd Aziz Ahmad dan Alias Mohamed, Persatuan Melayu Selangor, hlm. 1-2.
[21]Beliau telah dibantu oleh Raja Bon Bin Raja Yahya sebagai Naib Yang Dipertua.Manakala Ramli Bin Haji Tahir sebagai setiausaha dan bendahari telah dijawat oleh Mahmud Bin Haji Abdul Rahman.
[22]Ibid., hlm. 9.
[23]Ibid., hlm. 14.
[24] Rohani haji ab. Ghani, ‘Nasionalisme Malaysia : Quo Vadis’ dalam  Zulhilmi Paidi, Rohani Ab. Ghani, Kenegeraan Malaysia Isu-Isu Dalam Pembinaan Negara, hlm. 66.

1 comment:

  1. Syed Alwi, SM Zainal Abidin, Sheikh Abdullah Al Maghribi, Hamidun Mohd Hashim, Ariffin Ishak adalah antara pengasas Persatuan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) dan Akhbar Saudara pada 7 April 1934

    ReplyDelete

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...