Saturday, 22 June 2013

Kepincangan dalam pentadbiran Kemaharajaan China menyebabkan rakyat China memberi sokongan kepada gerakan Taiping. Bincangkan.

by : Nurul Hidayah
PENGENALAN
Dinasti Chi’ng pada peringkat awalnya dikenali sebagai Dinasti Chin didirikan oleh orang Manchu setelah mereka menakluki empayar China. Pemerintahan Dinasti Chi’ng berlangsung hampir 267 tahun iaitu pada tahun 1644 sehingga tahun 1911. Dinasti Ching mencapai kegemilangan ketika zaman pemerintahan Maharaja K’ang Hsi (1622 – 1722), Maharaja Yun-cheng (1723 – 1735) dan Maharaja Chi’en-lung (1736 – 1795)[1]. Bagaimanapun, pada penghujung pemerintahan Chi’en-lung, Dinasti Chi’ng mula menunjukkan bibit kemerosotan apabila pembesar China iaitu Ho-shen mula mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa[2]. Pada masa yang sama, China mula mengalami masalah terutamanya dari segi ekonomi apabila tanah China kurang subur sedangkan jumlah penduduknya semakin bertambah. Hal ini bertambah buruk setelah kuasa barat memasuki China menjelang pertengahan abad ke 19. Pada ketika itu, China mengalami ancaman dari luar khususnya negara Barat apabila berlakunya banyak peperangan seperti Perang Candu dan Perang Arrow. Kelemahan pentadbiran maharaja China menangani pelbagai masalah yang berlaku ketika itu membuatkan ramai rakyat China percaya dinasti Chi’ng telah kehilangan mandat dari syurga dan mereka mula bangkit memberontak dengan menyertai Gerakan Taiping.
            Gerakan Taiping yang dipelopori oleh seorang petani yang berketurunan Hakka dari Selatan China yang bernama Hung Hsiu-chuan. Hung Hsiu-chuan merupakan seorang pelajar yang cerdik dan beliau telah menyebabkan keluarganya menaruh harapan tinggi agar beliau menjawat jawatan penting dalam pentadbiran Dinasti Chi’ng sekaligus mengubah taraf hidup keluarganya[3]. Oleh itu, beliau telah dihantar menduduki peperiksaan sheng-yuan iaitu peperiksaan untuk mengambil pegawai baru. Namun begitu, beliau telah gagal sebanyak 4 kali dalam peperiksaan tersebut. Hal ini telah menyebabkan beliau mulai bosan dengan kerajaan dan kehidupan di China. Ketika berada di Canton, beliau telah bertemu dengan paderi Kristian Protestan dan seterusnya mempelajari doktrin Kristian selama dua bulan. Beliau akhirnya jatuh sakit selama empat hari pada 1838 dan ketika sakit, beliau mengalami mimpi yang akhirnya merupakan antara pencetus permulaan pergerakan Taiping. Dalam mimpi tersebut, beliau mendakwa bahawa beliau telah menemui seorang lelaki tua yang dipercayai tuhan yang telah menyuruh beliau untuk menghapuskan kejahatan[4]. Beliau akhirnya memeluk agama Kristian dan dengan bantuan Feng Yun-shan ,beliau membentuk ideologi baru yang digelar sebagai Negara Syurga[5]. Sebenarnya masalah dalaman yang dihadapi oleh kerajaan China khususnya Dinasti Chi’ng ini bukanlah perkara baharu malah ianya telah lama wujud sejak awal pemerintahannya lagi. Hal ini berpunca dari sikap kurang puas hati orang China terhadap orang Manchu yang menakluki empayar mereka. Hal ini dapat dipamerkan menerusi penubuhan kumpulan seperti persatuan teratai putih dan beberapa persatuan kongsi gelap yang lain yang menjalankan pemberontakan secara kecil-kecilan[6]. Antaranya gerakan pemberontakan Nien dan kebangkitan Tungan. Bagaimanapun pemberontakan tersebut tidak berjaya berikutan pertubuhan sedemikian tidak mempunyai matlamat yang jelas sehinggalah tertubuhnya gerakan Taiping. Kebangkitan gerakan Taiping dikatakan wujud tepat pada waktu dan kepincangan yang berlaku ketika itu menyebabkan ramai rakyat memihak kepada Gerakan Taiping. Gerakan Taiping dilihat oleh rakyat China mampu membawa China keluar dari kemunduran dan masalah yang berlaku. Persoalan faktor utama rakyat memihak kepada gerakan Taiping akan diutarakan lebih lanjut dalam isi seterusnya.
Faktor kelemahan pemerintahan  Dinasti Chi’ng
Kelemahan sistem pentadbiran Dinasti Ching ketika itu telah membuka ruang kepada gerakan Taiping meraih sokongan dari rakyat China. Antaranya berlaku penyelewangan kuasa dalam kalangan para pengawainya. Gejala rasuah dan sikap pentingkan diri dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya pada akhir abad ke 19. Sebenarnya, gejala rasuah ini dapat dilihat sejak zaman pemerintahan Maharaja Chi’en Lung lagi, di mana pembesarnya ketika itu, Ho Shen dianggarkan memiliki harta hampir 800 juta tahil hasil rasuah yang dilakukan. Perbuatan Ho Shen dianggap simbol rasuah yang terbesar berlaku ketika itu. Masalah rasuah yang berleluasa membuatkan Maharaja Yung-cheng mengambil tindakan untuk mengurangkan masalah yang berlaku. Tindakannya seperti memberi hadiah kepada para pembesarnya sebagai galakan kepada para pembesarnya dalam melaksanakan tanggungjawab. Namun, tindakan Maharaja Yung-cheng tu sebenarnya telah memburukkan situasi rasuah ketika itu kerana ia menyebabkan para pembesarnya mula mengharapkan hadiah[7]. Pembesar China turut mementingkan diri dengan menyalahgunakan bantuan kewangan yang sepatutnya diberikan kepada mangsa banjir. Antara jabatan yang terlibat ialah “Yellow River Conservancy” dan “ Grand Canal Administration”. Ada juga pembesar China yang tidak menjalankan tugas dengan betul dan tidak membenarkan pegawainya mengadu kepada pentadbiran pusat. Contohnya, Ts’ao Chen-yung mengenakan hukuman kepada mereka yang ingin pergi mengadu ke pentadbiran peringkat atasan. Hal ini jelas menunjukkan sikap tindak bertanggungjawab yang dimiliki pembesar ketika itu[8].
            Selain itu, pentadbiran tentera juga tidak terkecuali dalam melakukan penyelewengan di mana peruntukan yang disediakan untuk tujuan ketenteraan telah disalahgunakan untuk kepentingan para pegawainya. Semasa perang Candu, terdapat beberapa peristiwa yang menyebabkan rakyat berpihak kepada gerakan Taiping ini. Antaranya ialah munculnya golongan tentera yang menyusahkan penduduk tempatan. Golongan tentera ini terdiri daripada 30000 lelaki dari Honan, Kiangsi, Hunan, Kwangsi dan beberapa wilayah lagi yang dihantar untuk berperang dalam perang Candu. Mereka tidak mahir berperang dengan orang Barat namun memberi masalah kepada penduduk tempatan dengan merampas barangan milik penduduk tempatan sesuka hati dan membuat kekacauan[9]. Hal ini menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadapnya. Peristiwa kedua ialah munculnya golongan militan dan sukarelawan patriotik yang membuat kacau dengan melakukan pemberontakan. Hal ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk akan keselamatan mereka. Peristiwa ini berlaku selepas Lin Wei hsi yang mati ditembak oleh tentera British. Sejurus kejadian itu kerajaan mengarahkan rakyat membeli senjata dan berlatih demi keselamatan diri. Selepas perang tamat, pasukan militan dan sukarelawan ini dibubarkan dan senjata-senjata api tersebut mula tersebar di rata-rata[10]. Hal ini membuatkan rakyat China berasa tidak selamat di bawah dinasti Ching.
            Terdapat juga gejala pembelian jawatan berlaku dalam pentadbiran Maharaja China.  Contohnya dengan hanya 1700 tahil mereka sudah mampu memasuki kelas tertinggi dan menambah sejumlah 1000 tahil mereka mampu menjawat jawatan majistret[11]. Gejala ini membolehkan mereka untuk menaiki tangga teratas jawatan pentadbiran tanpa perlu bersusah payah dan menduduki peperiksaan. Ada juga pegawai yang bersikap pilih bulu terhadap pemilihan jawatan menyebabkan rakyat China sukar  mendapatkan jawatan pegawai kerana pegawai tersebut lebih mengutamakan saudara mara mereka atau orang yang mempunyai kepentingan dengannya untuk memegang jawatan pegawai. Malah lebih memburukkan lagi masalah ketagihan candu yang dialami pembesar China juga menyebabkan pentadbiran China semakin tidak cekap dengan sikap para pembesar yang suka berjoli. Ada juga pegawainya melakukan kezaliman terhadap rakyat dengan melakukan peras ugut dan paksaan untuk mendapatkan duit dari rakyat dan ini menimbulkan tekanan sosial kepada masyarakat. Ramai di antara mereka jatuh miskin dan akibatnya ramai menjerumuskan diri dalam aktiviti jenayah
            Dasar pentadbiran yang dijalankan oleh dinasti Ching sejak dari awal lagi menganiya dan mendiskriminasi golongan orang asal China menyebabkan semangat kebangsaan dan semangat anti Manchu orang China begitu meluap dalam kalangan orang China. Hal ini berpunca dari sikap pentadbiran China yang tidak membenarkan orang China menjawat jawatan tinggi dalam pentadbiran China dan pegawai yang terdiri dari orang China dihantar bertugas di tempat yang berjauhan dengan asal kawasannya. Selain itu, pembesar China juga tidak dibenarkan memegang mana-mana jawatan  dalam tempoh lebih dari tiga tahun[12]. Hal ini kerana orang Manchu bimbang jika pegawai China bertugas di tempat asal mereka, mereka akan memperoleh sokongan dan pengaruh dari rakyat tempatan dan ianya akan menjadi ancaman buat dinasti Ch’ing dalam mempertahankan kekuasaannya dan secara tak langsung menambahkan masalah yang sedia ada.
Kegagalan menangani masalah dengan Barat
Kekalahan Dinasti Manchu di tangan kuasa Barat dalam Perang China – Inggeris Pertama yang berlangsung pada tahun 1839 sehingga 1842 dan menyebabkan China terpaksa menandatangani perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842. Hal ini telah secara tidak langsung dilihat telah memberi tamparan hebat ke atas China kerana merendahkan martabat kerajaan China dan menunjukkan ketidakupayaan Dinasti Manchu menangani kuasa asing[13]. Hal ini menyemarakkan kepercayaan umum mereka yang sememangnya anti Manchu bahawa Kerajaan Manchu sudah kehilangan mandat dari syurga. Mereka juga menganggap China juga sudah lemah dan tidak selamat diduduki. Perjanjian Nanking yang ditandatangi China telah membuka lebih banyak kedatangan kuasa luar ke China sekaligus campur tangan kuasa tersebut. Hal ini berlaku apabila kesemua pelabuhan di China telah dibuka kepada pedagang Barat kerana sebelum ini hanya pelabuhan Canton sahaja yang dibuka[14]. Hal ini secara tidak langsung memberi kesan dari sudut ekonomi kerana nilai matawang China jatuh. Kesan daripada masalah ini turut menyebabkan penggunaan candu yang kian berleluasa dalam masyarakat China.
Faktor ekonomi
Ekonomi negara China semakin merosot apabila berlaku ketidakeimbangan dalam pembahagian tanah pertanian dangan pertambahan penduduk yang semakin banyak. Contoh : 1751 – 163  juta jumlah penduduk 1851 – 432 juta  jumlah penduduk. Oleh itu jumlah pertambahan penduduk dan jumlah tanah yang tak seimbang telah mengurangkan pendapatan perkapitan hasil pertanian[15]. Hal ini menyebabkan tanah milik rakyat semakin kecil sekaligus meningkatkan cukai tanah yang semakin tinggi menyebabkan pemilik tanah terpaksa menjual tanah dan menyewa tanah pertanian dari penyewa/ tuan tanah/golongan bangsawan. Sikap tuan tanah yang mengambil kesempatan terhadap golongan petani sehingga  golongan ini tidak mempu membayar sewa dan terpaksa menjual tanah mereka. Mereka juga tidak mampu menebus semula tanah mereka akibat cukai yang tinggi. Kenaikan cukai yang tinggi dikenakan bagi membayar ganti rugi perang kepada Inggeris menekan orang China sehingga mereka kehilangan pekerjaan[16]. Bencana alam seperti banjir dan kemarau memberi kesan kemerosotan hasil pertanian. Antara bencana alam yang terburuk ialah kemarau panjang di Honan pada tahun 1847, banjir besar di Sungai YangTze yang memusnahkan tanaman di Hupeh, Kiangsu, Anhwei pada tahun 1849 dan Banjir di Shantung pada 1852. Bantuan kewangan oleh kerajaan Manchu untuk mangsa banjir tersebut pula tidak sampai ke tangan mereka akibat penyelewengan yang dilakukan oleh pembesar China menyebabkan ramai petani kehilangan pekerjaan dan terpaksa mengemis serta ada juga melibatkan diri dalam jenayah merompak.

Faktor sosial.
Mandat dari syurga
Konsep ini sangat memberi kesan terhadap rakyat China kerana masyarakat sangat China percayaTuhan memberi maharaja yang dianggap wakil syurga yang memberikan amanah dan kuasa kepada maharaja tersebut untuk mentadbir. Kemakmuran dan keamanan sesebuah kerajaan dapat mengambarkan kekuasaan dan mandat yang diberikan. Mandat ini boleh ditarik balik jika sekiranya pemerintah bersikap zalim terhadap rakyatnya. Tanda- tanda mandat ditarik balik adalah berlakunya bencana alam[17]. Konsep ini membolehkan sesebuah pemerintahan berjalan dengan lancar dan direstui oleh tuhan secara tidak langsung mengukuhkan semangat taat setia dalam rakyat. Konsep ini juga sering digunakan oleh  gerakan Taiping untuk mendapat sokongan dari rakyat China terutamanya mereka yang anti Manchu dalam usaha menjatuhkan kerajaan Ching. Masalah sosial, bencana alam dan kegagalan pemerintahan telah didakwa berpunca oleh kegagalan dinasti Manchu mendapat mandat dari syurga. Masalah yang berlaku ketika itu memudahkan lagi usaha gerakan Taiping mempengaruhi rakyat dan hal ini jelas menunjukkan betapa konsep mandat ini begitu mempengaruhi pemikiran masyarakat China. Menurut ajaran Conficius, pemberontakan dibolehkan apabila pemerintahan maharaja lemah dan tidak mampu memberi kemakmuran dan keamanan kepada masyarakat dan negara.

Semangat anti manchu.
Manchu ialah dinasti yang berasal dari Manchuria dan dan tidak begitu disukai oleh orang China terutamanya dari selatan China seperti Kwangtung, Kwangsi. Mereka dianggap sebagai orang asing dan barbarian. Dasar diskriminasi yang dijalankan oleh Manchu terhadap orang China meningkatkan lagi semangat anti Manchu dalam kalangan orang China. Antara dasar yang dijalankan ialah memaksa semua lelaki China mencukur rambut bahagian hadapan dan bertocang (Toi chong) sebagai lambang kesetiaan mereka terhadap kerajaan Manchu. Hal ini dikatakan mencabar maruah orang China kerana amalan tersebut akan menyerupai orang Manchu dan secara tidak langsung akan menghilangkan identiti asal orang China. Disebabkan itu ada sebilangan rakyat yang melakukan penentangan dengan memprotes untuk tidak mencukur rambut mereka[18]. Perkahwinan antara orang China dan Manchu juga tidak dibenarkan. Akibatnya rakyat mula menubuhkan persatuan bawah tanah yang bergerak secara rahsia dan kegiatan kongsi gelap seperti pertubuhan Teratai Putih dan Pertubuhan Triad yang menjalankan pemberontakan  dan rusuhan dan kemudiaannya menyertai gerakan Taiping.

Masalah candu
Hubungan China dan Barat telah menyebabkan penggunaan candu mula tersebar. Tambahan pula kekalahan China di tangan Barat menyebabkan penggunaan candu semakin berleluasa. Hal ini disebabkan perjanjian Nanking yang tidak mengharamkan penjualan candu[19]. Akibatnya, rakyat China mengalami ketagihan candu dan membahayakan kesihatan. Pembesar China juga tidak terkecuali mengalami ketagihan candu dan telah menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan pada tugas mereka. Akibatnya, ada dalam kalangan rakyat yang terlibat dalam jenayah seperti merompak, melanun, mengemis dan pelbagai lagi. Masalah Candu ini juga menyebabkan nilai tukaran matawang China juga merosot.

Faktor lain
Ketokohan Hung Hsui-Chuan
Ketokohan yang dimiliki Hung Hsui-chuan pemimpin gerakan Taiping mampu mempengaruhi rakyat China lebih-lebih lagi golongan petani dan rakyat miskin agar menyertai gerakan Taiping. Ha ini kerana Hung Hsui –chuan berasal dari golongan tersebut dan latar belakangnya itu membolehkan beliau lebih mudah mendapatkan sokongan dari rakyat China. Ideologi Hung Hsui – chuan  dapat disesuaikan keperluan masyarakat China ketika itu yang menyatakan bahawa kerajaan Manchu sudah kehilangan mandat. Hung Hsui- chuan juga membawa konsep negara syurga dalam ideologinya di mana beliau merujuk China sebagai negara Syurga manakala dirinya dan rakyat China yang lain pula sebagai orang pilihan tuhan. Persamaan taraf yang dianjurkan dalam ideologi kristian yang dibawa oleh Hung turut menarik perhatian rakyat China. Beliau juga menjalankan usaha memerangi golongan penghisap candu, pemabuk dan sebagainya yang dianggap sebagai anasir  dalam usaha menjadikan China sebagai negara maju.

Kesimpulan

Tidak dinafikan kelemahan pentadbiran  merupakan penyebab utama rakyat China bangkit memberontak. Kelemahan tersebut telah memberi kesan negatif dari segi ekonomi dan sosial sehingga menyebabkan rakyat sengsara dan tertekan. Hal ini meningkatkan lagi semangat anti Manchu yang sememangnya wujud dalam kalangan penduduk China. Hal ini diperkuatkan lagi dengan kepercayaan masyarakat China bahawa dinasti Ching sudah kehilangan mandat dari syurga. Apatah lagi China mengalami banyak tekanan khususnya dari luar. Isu candu dan sikap pembesar yang tamak dan pentingkan diri sendiri juga merupakan antara perintis mengapa masalah dalaman mula melanda China. Kegagalan China menyelesaikan masalah dengan Barat  menyebabkan maruah China jatuh. Kewujudan Gerakan Taiping dikatakan tepat pada masanya dan ditambah dengan ketokohan Hung Hsui chuan yang memberi harapan baru buat penduduk China keluar dari kemelut yang melanda. Hung Hsui chuan pula pandai mengambil kesempatan akan masalah yang melanda China ketika itu dengan menjadikan ia agenda untuk melakukan penentangan.


BIBLIOGRAFI
1.      Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya.

2.      Micheal Franz, 1966, The Taiping Rebellion: History and Document ,Vol 1, United Stated,     University of Washington Press.

3.      Li Chien-nung, 1956, The Political History of China,1840-1928, California, Stanford
            University Press.

4.   Immanuel Hsu, 1995, The Rise of Modern China, New York, Oxford University Press

5.   John Keay, 2009, China: A History, New York, Basic Book





[1] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, hlmn 4.
[2]ibid,  
[3] Micheal Franz, 1966, The Taiping Rebellion: History and Document ,Vol 1, United Stated,  University of Washington Press,hlmn 22
[4] ibid,hlmn 25
[5] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden,hlmn 39
[6] ibid hlmn 37
[7] Ibid,hlmn 41
[8] Li Chien-nung, 1956, The Political History of China,1840-1928, California, Stanford University Press, hlmn 49
[9] Ibid,hlmn 51
[10] ibid
[11] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden,hlmn 41
[12] Micheal Franz, 1966, The Taiping Rebellion: History and Document ,Vol 1,hlmn 51
[13] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden,hlmn 44
[14] Immanuel Hsu, 1995, The Rise of Modern China, New York, Oxford University Press,hlmn223
[15] ibid ,hlmn 22
[16] Micheal Franz, 1966, The Taiping Rebellion: History and Document ,Vol 1, hlmn16,

[17] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden,hlmn 53
[18] Immanuel Hsu, 1995, The Rise of Modern China, hlmn 25
[19] ibid, hlmn 35

No comments:

Post a Comment

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...