PENGENALAN
Negara
China telah mempunyai hubungan dengan negara luar iaitu dengan negara Barat bermula
sejak sebelum masihi iaitu sejak Dinasti Han lagi. Hubungan ini dikatakan telah
membantu memperkuat dan memperkayakan tamadun China itu sendiri.[1] Laluan
Sutera telah menjadi salah satu laluan utama bagi pedagang asing selain jalan
laut. Laluan Sutera membuktikan bahawa tamadun China tidak mengamalkan dasar
tertutup sepenuhnya. Hal ini demikian kerana, keagungan bandar-bandar purba
seperti Anyang, Changan dan Loyang semasa keagungan dinasti-dinasti dikatakan telah
mengadakan hubungan dengan orang asing.[2]
Keadaan ini menunjukkan bahawa China pada mulanya sudah membuka ruang kepada
orang asing untuk berhubungan dengan negara China sendiri. Orang asing yang kebanyakannya
datang ke negara China terdiri daripada pelbagai tempat dan bangsa. Orang Barat
juga tidak terlepas untuk cuba mengadakan hubungan dengan negara China. Namun
demikian, walaupun China membuka ruang kepada kuasa asing, namun ia adalah
terhad kawasan tertentu sahaja. Pelbagai konflik atau masalah telah tercetus
sehingga menyebabkan hubungan antara China dan Barat semakin renggang yang
akhirnya membawa kepada peperangan dan perjanjian.
MASALAH UTAMA HUBUNGAN CHINA DAN
BARAT
1. KEGIATAN
PERDAGANGAN
Perdagangan
adalah salah satu punca permasalahan antara China dengan Barat. China
mengamalkan dasar perdagangan tertutup dengan hanya membenarkan kegiatan perdagangan yang terhad di sebuah
pelabuhan sahaja iaitu di Canton. Dasar ini telah diumumkan oleh pihak Maharaja
China pada tahun 1757. Keadaan ini berbeza dengan Barat yang mengamalkan dasar
perdangan bebas yang menganggap mereka berhak berdagang di mana-mana tempat dan
dengan sesiapa sahaja. Keinginan Barat untuk berdagang di China semakin
meningkat disebabkan perkembangan revolusi perusahaan pada masa itu. Oleh itu Barat
memerlukan bahan-bahan mentah daripada China terutamanya teh dan sutera di samping menjadikan China
sebagai tempat untuk memasarkan barangan hasil keluaran industri mereka. Namun
demikian, keinginan Barat terbantut kerana China bersifat anti pedagang asing. Sumber
ekonomi China adalah berbentuk sara diri iaitu berasaskan pertanian. Oleh itu,
China menganggap bahawa mereka tidak memerlukan barangan dari luar kerana keperluan
makanan dalam negeri sudah mencukupi. Tambahan pula, China tidak berminat
dengan barangan dari Barat. Keadaan ini telah menjejaskan usaha pedagang Barat
untuk cuba menembusi pasaran di China.
Perdagangan
yang dijalankan antara pedagang China dan pedagang Barat tidaklah berlaku dengan tenang akibat
pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas para pedagang Barat. Seperti yang kita
tahu, perniagaan yang dijalankan dengan bangsa Barat hanya diterhadkan kepada
sebuah pelabuhan sahaja iaitu di Canton. Di sini, perniagaan yang dijalankan
amatlah menyusahkan pedagang-pedagang asing tersebut. Maharaja Chien Lung telah mengeluarkan satu Perintah
Diraja 1757. Mengikut perintah berkenaan, pedagang-pedagang asing hanya
dibenarkan berdagang di Canton sahaja. Pedagang-pedagang Barat cuma diberi satu
kawasan yang sangat sempit dan kecil di sepanjang tebing sungai di luar tembok
bandar tersebut.[3]
Walaupun pelabuhan Canton telah dibuka sebagai pusat perdagangan, namun
demikian hubungan China dan Barat adalah terhad dan dibatasi oleh sekatan-sekatan
perdagangan yang dikenakan ke atas orang Barat. Pedagang hanya dibenarkan
berada di Canton pada musim perdagangan sahaja iaitu dari bulan Oktober hingga
Januari. Di luar musim perdagangan, mereka dikehendaki meninggalkan Canton.
Bagi menjamin mereka tidak menetap di Canton,
pedagang tidak dibenarkan membawa ahli keluarga mereka. Keluarga mereka
perlu ditinggalkan di Macau (wilayah portugis). Malah, pergerakan mereka turut
terbatas kecuali pada 8, 18 dan 28 hari bulan tiap-tiap bulan dalam musim
perdagangan. [4]
Di samping itu, pelbagai cukai turut
dikenakan oleh pegawai China ke atas kapal-kapal serta barang-barang dagang asing dengan sewenang-wenangnya dan
tertakluk kepada kenaikan yang tidak disangka-sangka. Hubungan secara terus
tidak dapat dibuat dengan ketua-ketua pegawai China tetapi perlu melalui Co-hong
yang diketuai oleh Hoppo iaitu Persuruhjaya Tinggi China yang dilantik oleh
kerajaan China. [5]
Peranan Hoppo telah ditukar pula kepada Hong yang dilantik oleh pihak
istana yang terdiri daripada 13 saudagar
Cina. Kesatuan dagang yang dikenali sebagai Co-hong ini telah ditubuhkan oleh
saudagar Cina pada tahun 1720. Co-hong atau Hong memonopoli perdagangan dengan
orang asing. Hong juga berkuasa menentukan jenis perdagangan, memberi kebenaran berdagang dan
menggunakan sungai, menetapkan harga dan kadar cukai, dan sebagainya.
Sifat Barat yang mengamalkan
perdagangan bebas, menjadikan sekatan-sekatan tersebut penghalang untuk mereka
berdagang dengan bebas di negara China. Ekoran Tindakan Co-hong yang mengenakan
kadar cukai dan harga yang tinggi serta tidak tetap telah menimbulkan rasa
tidak puas hati di kalangan pedagang. Malah, keadaan ini menyebabkan saudagar asing menghadapi masalah imbangan
dagangan yang tidak stabil. Pada masa ini, imbangan dagangan lebih
menguntungkan saudagar China kerana mereka mendominasi aktiviti perdagangan di
Canton.[6] Hal
ini kerana, Barat memerlukan barangan daripada China dalam kuantiti yang
banyak, sebaliknya China pula kurang berminat dengan barangan Barat. Wang dari
luar banyak mengalir masuk ke China dan keadaan ini dilihat lebih menguntungkan
pedagang tempatan dan negara China itu sendiri. Oleh itu, pedagang-pedagang asing
ingin berdagang di bahagian-bahagian lain di China selain dari Canton agar
dapat berdagang dengan bebas dan mendapatkan harga yang berpatutan bagi
barang-barang di China.
Malah, dalam urusan jual beli dengan
saudagar China, mata wang yang digunakan adalah mata wang perak. Oleh itu,
untuk menjalankan urusniaga dengan saudagar China, mata wang perak perlu disediakan
oleh pedagang asing. Pada tahun 1780-1790, sebanyak 14 juta tahil dan 1790-1800 iaitu sebanyak 26 juta tahil mengalir masuk ke negeri China.[7]
Misalnya, SHTB membawa hampir 90% ketulan wang perak dalam kapal kargonya untuk
membeli barangan daripada China.[8]
Pelbagai Sekatan yang dikenakan oleh kerajaan China ke atas pedagang asing telah
menyebabkan hubungan dengan negara Barat semakin renggang sehingga
menyebabkan peperangan tidak dapat
dielakkan antara British yang merupakan negara progresif, perindustrian, dan
kapitalis dengan China yang merupakan negara pertanian yang tidak progresif dan
bersikap anti perdagangan.
2. MASALAH
CANDU
Perdagangan antara Barat dan China
tidak seimbang. Hal ini kerana, Barat memerlukan barang-barang dari China terutama
teh dan sutera sebaliknya China tidak memerlukan barang-barang British kerana
sifat ekonomi China yang berbentuk sara diri dan mampu diri menyebabkan
barangan keluaran Barat tidak dapat menembusi pasaran China. Keadaan ini
menyebabkan barangan dari Barat sukar untuk dipasarkan di wilayah China dan
sudah pasti membawa kesan kepada ekonomi Barat. [9]
Satu krisis mengenai isu candu telah timbul. Keadaan ini disebabkan, orang Barat
cuba mencari alternatif lain untuk mengubah ketidakstabilan perdagangan antara
Barat dengan China. Oleh itu, Barat cuba memperkenalkan candu dengan membawa masuk candu dari India dan Arab sejak
1773.[10]
Candu pada asalnya telah diperkenalkan kepada China oleh orang Arab dan Turki
pada akhir abad ke-7 atau awal abad-ke8 Masihi. Candu pada mulanya digunakan
dalam bidang perubatan, namun bermula abad ke-17 dan 18 Masihi penghisapan
candu mula diperkenalkan dengan menjadikan Formosan sebagai contoh. Oleh
itu, China mula mencampurkan candu
dengan tembakau dan menghisapnya.[11]
Kemasukan
candu telah melumpuhkan politik, ekonomi dan sosial kerajaan China. Dari segi
politik, berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, berlaku penyelewengan dan
rasuh kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu.[12]
Dari segi ekonomi pula, banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport
candu dari negera luar. Misalnya pada tahun 1750, sebanyak 60 ribu pound dadah diimport setahun.[13] Nilai
import candu telah melebihi nilai eksport barangan lain menyebabkan imbangan
dagangan China tidak seimbang dan boleh
menyebabkan China kehabisan wang perak. Keadaan ini menunjukkan bahawa
pengimportan candu boleh menyebabkan kerajaan China mengalami beban ekonomi
yang buruk. [14]Dari
segi sosial pula, kesan candu telah menimbulkan masalah kesihatan dan
keruntuhan akhlak di kalangan rakyat China akibat menjadi penagih candu. Dianggarkan
lebih dua juta rakyat China yang
ketagih dengan candu pada tahun 1835.[15]Keadaan
ini akan melemahkan negara China kerana rakyat menjadi semakin tidak produktif.
Bagi
mengatasi masalah ini, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh maharaja Chien
lung (1736-1796), Maharaja Chi Aching (1796-1820) dan Maharaja Tao Kuang
(1820-1850) yang mendesak pedagang asing agar menghentikan perdagangan serta
penyeludupan candu. Namun demikian, arahan ini tidak mendapat layanan
pedangan-pedagang asing. Malah, mereka enggan menghentikan perdagangan candu
yang amat menguntungkan mereka. Tambahan pula, penanaman popi candu di negara China sendiri bertambah dan
candu banyak di seludupkan ke dalam negeri dari luar bukan sahaja melalui
Canton tetapi juga melalui pelabuhan-pelabuhan lain.[16]
Pada 31 disember 1838, Maharaja Tao Kuang telah melantik Lin Tse Hsu
(1785-1850) dari Ho-kuan, Fukien sebagai pesuruhjaya anti candu di Canton
dengan tugas khas untuk menghapuskan perdagangan, penyeludupan, dan penggunan
candu. Beliau dikatakan seorang yang tegas dan prihatin terhadap masalah
negara.
Beliau
telah mengeluarkan arahan pada 18 Mac tahun 1839 untuk mendesak para pedagang asing agar
menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu, menyerahkan candu kepada
pihak China untuk dimusnahkan dan meminta agar menandatangani surat sumpah
tidak akan menjalankan perdagangan dan penyeludupan candu.[17]
Sebagai gantinya, Lin Tse Hsu memberi lima
kati teh bagi setiap peti yang diserahkan kepadanya. Beliau memberi tempoh
selama tiga hari dan pihak Maharaja tidak akan menyekat perdagangan dengan China
tetapi tidak akan bertolak ansur dengan perdagangan candu. Apabila arahannya tidak mendapat layanan, Lin
Tse Hsu telah mengepung 350 orang
pedagang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang British termasuk
penguasa pedagang Charles Elliot iaitu Persuruhjaya Perdagangan Britih di
Canton. Apabila terdesak, Charles Elliot telah mengarahkan pedagang-pedagang
asing menyerahkan candu kepada pihak
China. Dianggarkan sebanyak 20283 peti
candu telah diserahkan dan dimusnahkan oleh pihak China.[18]
Peristiwa inilah yang memulakan peperangan antara British dengan China.
Setiausaha
luar British, Lord Palmestone telah menjadikan peristiwa candu sebagai alasan
menyerang China. Ahli-ahli sejarah menganggap masalah candu hanya merupakan
yang mempercepatkan Perang Candu I. Walaupun kapten Elliot bersetuju
menyerahkan candu-candu berkenaan, beliau tetap enggan menandatangani surat
akuan yang diberikan oleh Lin Tse Hsu yang mahukan agar orang Barat tidak
membawa masuk candu ke negara China dan beliau cuba mendesak British untuk
berperang. Akhirnya, kerajaan British di India telah bersetuju untuk mengisytiharkan
perang pada 31 Januari 1840. Pada April
1840, parlimen British telah meluluskan resolusi untuk berperang dan pada bulan
Jun tahun yang sama, kira-kira 4000 tentera British tiba di perairan Canton.
Dalam peperangan ini, banyak bandar-bandar penting telah jatuh ke tangan
British seperti Amoy, Tianghai, dan Ningpo
[19] Melihat keadaan yang genting, pihak China
telah cuba untuk membuat rundingan dengan menghantar persuruhjaya Maharaja Ch’ing Ying dan Timbalan Leftenan Jeneral Chapu I-Ii-Pu. Akhirnya,
kedua-dua pihak bersetuju mengadakan rundingan
di Nanking pada tahun 1842[20].
Perjanjian ini jelas telah memberi pukulan hebat kepada kerajaan China kerana
dianggap sebagai perjanjian yang berat sebelah kerana lebih berpihak kepada
British.
3. KRISIS
PEMBUKAAN BANDAR
Krisis
China dan Barat tidak hanya berakhir setelah perjanjian Nanking ekoran
kegagalan China dalam memenuhi beberapa perkara dalam perjanjian Nanking. Dalam
perjanjian Nanking, Canton adalah salah sebuah pelabuhan yang harus dibuka
kepada pedagang asing. Namun demikian, penduduk tempatan menolak pembukaan
pelabuhan tersebut. Menurut penduduk tempatan, dalam perjanjian tersebut tidak
dinyatakan mengenai pembukaan bandar tersebut. Ekoran pembukaan beberapa
pelabuhan di China telah menyebabkan nilai perdagangan di Canton terjejas.
Misalnya, eksport teh di Canton telah jatuh dari 69 juta pound dalam tahun 1844
kepada 27 juta pound dalam tahun 1860. Manakala eksport sutera turut mengalami
kejatuhan iaitu dari 6787 bales kepada 1200 bales pada tahun 1845.[21]
Keadaan ini telah menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati di kalangan
penduduk tempatan terutama pedagang tempatan dan meletakkan pihak British
sebagai punca keadaan itu berlaku.
Walaupun
penduduk tempatan menunjukkan tentangan yang hebat terhadap isu pembukaan pelabuhan,
Ch’i ying iaitu wakil China di Canton terpaksa memenuhi tuntutan pihak British.
Beliau berjanji akan membuka bandar Canton pada 1846 kepada pedagang asing
walaupun pembukaan pelabuhan tersebut mendapat reaksi yang negatif dari
penduduk tempatan. Ekoran rasa tidak puas hati, penduduk tempatan telah
mengadakan satu rusuhan sehingga menimbulkan huru hara dalam bandar tersebut.
Ch’i-ying bertindak menutup pelabuhan Canton dan berjanji akan membukanya
semula apabila keadaan sudah reda kembali. Namun, hasil tentangan dan tekanan
dari pihak British mahupun penduduk tempatan menyebabkan ch’i-ying mengambil
keputusan untuk meletak jawatan. Keputusan Ch’i-ying
meletak jawatan telah memburukkan lagi keadaan kerana, pengganti beliau iaitu Hsu-Kuang Chin
(1786-1858) dan gabenor Kwantung, Ye Ming-Ch’en (1807-1859) merupakan pemimpin yang
anti asing dan enggan bekerjasama dengan Barat. [22]
Sikap
pemimpin yang anti asing ini dapat dilihat dalam tindakan Hsu-Kuang Chin yang
menolak permintaan pengganti Davis iaitu sir George Bonham (1803-1863) mengenai
pembukaan Bandar Canton dengan memberi alasan bahawa pelabuhan tersebut belum
boleh dibuka kerana masih mendapat tentangan daripada penduduk tempatan.
Perkara ini sekali lagi disuarakan oleh Gabenor Hong Kong yang baru, iaitu Jonh
Bowring (1792-1872) namun hasilnya tetap sama. Keadaan ini menyebabkan hubungan
China dan Barat semakin buruk.[23]
4. KELEMAHAN
PERJANJIAN NANKING
Ahli-ahli
sejarah seperti Fairbank, Paul H. Clyde dan Burton F. Beers mendakwa kelemahan
Perjanjian Nanking juga merupakan faktor utama meletuskan peperangan yang kedua
antara China dengan British pada 1856-1860. Keengganan China untuk mematuhi
syarat-syarat Perjanjian Nanking dan tindakan British untuk memaksa China
mematuhinya serta menuntut keistimewaan-keistimewaan tambahan telah
meruncingkan hubungan antara China dan British. [24] Bila
Brtitish menyedari China tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat Perjanjian
Nanking, mereka telah mendesak China supaya diadakan rundingan bagi mengkaji
semua syarat-syarat Perjanjian Nanking. Tindakan ini diambil kerana British
dipengaruhi oleh syarat Perjanjian Wanghsia
3 Julai 1844 antara China dengan
Amerika dan Perjanjian Whampoa 24
Oktober 1844 antara China dengan
Perancis yang menegaskan perjanjian-perjanjian tersebut akan dikaji semula
dalam tempoh 12 tahun.[25]
British menuntut keistimewaan yang
sama berdasarkan prinsip “layanan negara
yang diutamakan”. [26]
Sekiranya keistimewaan ini dinikmati oleh British, bermakna Perjanjian Nanking
perlu dikaji semula pada 1854. British mahu mengkaji semula syarat-syarat
Perjanjian Nanking dengan tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan
tambahan seperti kebebasan berdagang di kawasan pedalaman, bandar-bandar serta
pelabuhan-pelabuhan di pinggir pantai dan juga untuk menempatkan perwakilan
diplomatik di Peking. Desakan British supaya China mengkaji semula syarat
Perjanjian Nanking. Kerajaan China tidak mungkin dapat menunaikan permintaan
British. Keengganan China untuk memenuhi kehendak tersebut telah meruncingkan
hubungan antara mereka. Pihak China telah mendakwa negeri China telah memberi
terlalu banyak keistimewaan kepada kuasa-kuasa barat.
5. PERANG
ARROW
Insiden
yang berlaku pada 8 Oktober 1856, apabila polis peronda China atas arahan
Pesuruhjaya Tinggi Yeh Min Chen
telah menaiki kapal Arrow dan
menangkap 12 daripada 14 anak kapalnya atas tuduhan terlibat dalam penyeludupan dan pelanunan.[27]
Kapal Arrow merupakan kepunyaan
seorang saudagar China iaitu Fong Ah Ming yang didaftarkan di Hong Kong. Nakhodanya
seorang British dan kapal ini mengibarkan bendera “Union Jack”. Tindakan polis
peronda China dianggap menjatuhkan British lebih-lebih lagi bendera “Union
Jack” diturunkan. Gabenor Hong Kong, iaitu Sir John Bowring telah mengarahkan
konsul British di Canton Harry Parkes meminta
agar Yeh Min Chen iaitu Pesuruhjaya Tinggi Imperial kerajaan China membebaskan
anak kapal Arrow dan memohon maaf
secara rasmi daripada British dalam tempoh 48 jam, serta meminta agar kelak
mereka menghormati bendera British. [28] Namun
demikian, walaupun anak kapal Arrow
kemudiannya dibebaskan tetapi Yeh Ming Ch’en enggan memohon maaf.
Pihak China dikatakan tidak mematuhi
peraturan dan perjanjian antara mereka dalam Perjanjian Nanking dan Bogue. Dalam perjanjian tersebut ada
dinyatakan bahawa pihak China tidak boleh sesuka hati menangkap sesiapa sahaja
warga British di atasa mana-mana kapal atau wilayah milik British sebaliknya
hanya boleh meminta British menghantar warganya yang bersalah berada di kapal
atau wilayah british kepada mereka.[29]
Keengganan Yeh Ming Ch’en memohon maaf menyebabkan pihak British menyerang kubu
pihak China di Whampoa dan Canton. Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Paul H.
Clyde dan Burton F. Beers menganggap peristiwa Arrow sebagai faktor segera yang mengakibatkan peperangan antara
British dengan China 1856-1860.[30]
6. PERBEZAAN
TARAF
Negara
Barat berlumba-lumba untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan China
disebabkan kepentingan ekonomi. Namun demikian, dalam usaha mengadakan hubungan
perdagangan dengan kerajaan China, ada yang mengalami kesukaran dan kegagalan. Ahli-ahli
sejarah seperti Fairbank, Edgar Holt dan Soothills menganggap keengganan China
untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa
barat menjadi sebab utama berlakunya Perang Candu Pertama. Orang-orang Cina
menganggap China sebagai “Middle
Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Maharaja China
dianggap sebagai anak syurga dan pemerintah universal. Orang-orang asing
dianggap sebagai orang gasar atau barbarian
atau fan kwae, iaitu hantu-hantu asing yang tidak bertamadun. Kedatangan orang asing dianggap sebagai kehadiran
wakil-wakil negara pembayar ufti
yang mahu tunduk di bawah kekuasaaan China.[31]
Dasar ini tidak dipersetujui oleh orang-orang Barat, terutamanya British kerana
mereka mengamalkan konsep persamaan taraf, lebih-lebih lagi selepas
termeterainya Perjanjian Westphalia 1648 antara negara-negara Eropah yang
menegaskan hubungan antara negara mesti dijalankan atas dasar sama taraf, tidak
kira negara itu kecil atau besar. Malah, orang Cina yang berurusan dengan
pedagang asing dianggap sebagai pengkhianat negara.[32]
Sebelum
Perang Candu, China tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian dengan
kuasa-kuasa Barat kecuali dua perjanjian mengenai sempadan dengan Rusia, iaitu
Perjanjian Nerchinsk 1689 dan Perjanjian Kiachta 1727. Usaha-usaha
British untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China gagal kerana China
tidak dapat menerima konsep persamaan taraf yang diamalkan oleh British. Antara
utusan British yang dihantar ke negera China ialah utusan Lord Macartney 1793, utusan Lord
Amherst 1816 dan utusan Napier 1834.
Faktor utama yang menggagalkan utusan tersebut ialah masalah “kow tow” (adat menyembah raja) yang
dikenakan ke atas utusan-utusan tersebut. Orang-orang Barat tidak boleh
mengadakan hubungan secara langsung dengan Kerajaan China.[33]
Hubungan mesti dijalankan melalui sebuah badan iaitu Co-hong yang ditubuhkan
pada 1720.
Keengganan
China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf telah
menyebabkan kuasa-kuasa barat terutamanya British terpaksa mengambil tindakan
secara kekerasan. Edgar Holt dalam bukunya “The Opium Wars in China” menegaskan
“the opium war was fought to end forever China’s assumption of superiority to
all other nations”.[34] Pembubaran
monopoli perdagangan China Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1833 telah
menyebabkan ramai pedagang British datang ke negeri China. Untuk melindungi
mereka, seorang penguasa perdagangan atau Taipan telah dilantik di Canton.
Penguasa perdagangan yang pertama dilantik pada Mac 1834 ialah Lord Napier.
Kegagalan untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China telah mengecewakan
beliau sehingga meninggal dunia di Macau pada Oktober 1834. Beliau telah digantikan
oleh L.V. Davies pada tahun 1835.
L.V. Davies juga gagal mewujudkan hubungan diplomatik dengan China dan terpaksa
bersara pada tahun 1837. Beliau digantikan oleh George Best Robinson. Robinson juga menerima nasib yang sama
sehingga terpaksa bersara pada tahun 1839 dan digantikan oleh Charles Elliot. Semasa Charles
Elliotlah berlaku Perang Candu 1839-1842.[35]
7. SISTEM
KEADILAN
Dari
segi sosial, timbul masalah keadilan kerana konsep keadilan China berbeza
dengan konsep keadilan British. Hal ini kerana, cara dan pelaksanaan
undang-undang di mahkamah berbeza dengan yang terdapat di Barat. Segala-galanya
dianggap oleh pihak Barat sebagai tidak adil dan menyakitkan hati.[36] Kerajaan
China telah mengeluarkan arahan supaya semua orang asing yang berada di China
mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan di China. Arahan ini tidak
dipersetujui oleh pedagang asing kerana mereka menganggap undang-undang China
sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Contohnya, pada 1784, seorang anak
kapal “Lady Hughes” telah dijatuhkan
hukuman dicekik sampai mati kerana kesalahannya membunuh secara tidak sengaja
seorang rakyat China semasa upacara kehormatan di Whampoa.[37]
Hukuman yang sama juga dikenakan kepada Terranova
iaitu anak kapal “Emily” pada 1821.
Pada 12 Julai 1839, tiga orang
British yang mabuk telah membunuh seorang rakyat China iaitu Lin Wei Hsi. Pesuruhjaya Tinggi China
di Canton, Lin Tse Hsu telah mengarahkan penguasa perdagangan British Charles
Elliot menyerahkan ketiga-tiga orang British yang terlibat dalam pembunuhan
tersebut kepada pihak China untuk diadili.[38]
Charles Elliot yang menyedari hukuman yang akan dijatuhkan enggan menyerahkan
mereka. Sebaliknya beliau membicarakan mereka dan menjatuhkan hukuman penjara.
Tindakan Charles Elliot sudah tentu menjejaskan hubungan antara British dan
China.
Mengikut undang-undang China, seseorang
yang dituduh melakukan kesalahan tetap bersalah sehingga beliau dapat
membuktikan dirinya tidak bersalah. Mengikut undang-undang British pula,
seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak bersalah sehingga pihak
pendakwa dapat membuktikan beliau bersalah. China mengamalkan undang-undang
kumpulan dan tanggungjawab ketua.[39]
Mengikut undang-undang kumpulan, jika seseorang melakukan kesalahan, semua
anggota dalam kumpulannya bertanggungjawab dan boleh dijatuhkan hukuman.
Mengikut undang-undang tanggungjawab ketua, sekiranya anak buah melakukan
kesalahan ketuanya juga bertanggungjawab dan juga boleh dijatuhkan hukuman.
Undang-undang ini tidak dipersetujui oleh Barat kerana mereka mengamalkan
undang-undang tanggungjawab individu.[40]
Hanya mereka yang melakukan kesalahan bertanggungwab di atas kesalahannya dan
boleh dijatuhkan hukuman. Di negera China, tidak ada perbezaan antara
undang-undang dan perintah. Perintah pegawai lebih-lebih lagi perintah maharaja
sudah dianggap sebagai undang-undang yang mesti dilaksanakan. Pertentangan
sebegini menyebabkan hubungan China dan Barat semakin runsing.
8. GERAKAN
KRISTIAN
Kehadiran
orang barat di China dikatakan bukan sahaja bertujuan untuk berdagang tetapi
turut memasang niat untuk menyebarkan pengaruh agama Kristian dan budaya Barat.
Walaupun mendapat tentangan daripada kemaharajaan, bilangan mubaligh agama
Kristian semakin bertambah.[41] Mazhab Roman Katolik berjaya menyeludup
beberapa orang mubaligh untuk menambah bilangan ahlinya. Tetapi malangnya,
bilangan ahlinya tidak pernah ramai disebabkan keadaan-keadaan buruk yang
berlaku. Mubaligh protestan yang
pertama, Robert Morrison dari sebuah
persatuan British tiba pada tahun 1807, dan berjaya bertapak di Canton.
Mubaligh-mubaligh yang lain kemudian datang pula, ada yang dari Britain, Amerika Syarikat, dan
Tanah Besar Eropah. Mubaligh-mubaligh Kristian hanya dibenarkan berada di kawasan
kilang-kilang pedagang asing di sepanjang tebing sungai Canton.
Pada mulanya gerakan mubaligh Kristian
kurang menumpukan usaha-usaha dalam mengembangkan ajaran Kristian. Namun, hanya
pada awal abad ke-16, paderi-paderi Roman Katolik di bawah persatuan jesus yang
diasaskan oleh Ignatius Loyola mula
menjalankan kegiatan mengembangkan ajaran Kristian dengan bersungguh-sungguh.[42]. Selain
menyebarkan ajaran Kristian, mubaligh Kristian turut membawa budaya dan sains
Barat ke China seperti astronomi, calendar, ilmu matematik, kejuruteraan
hidraulik dan sebagainya. Dalam usaha mengembangkan agama Kristian ini, pelbagai
cabaran dihadapi oleh para mubaligh ekoran wujud pelbagai tentangan daripada
penduduk tempatan terutamanya golongan sarjana China. Malah, Terdapat usaha
yang dilakukan oleh orang Cina dalam menyekat pengaruh mubaligh Kristian.
Misalnya, pada Zaman Dinasti Ming, Shen Chih telah cuba mempengaruhi pihak
istana untuk menangkap dan membunuh golongan mubaligh ini.
Pada 20 ogos 1616, satu
pengisytiharan telah dikeluarkan untuk tujuan ini. Namun demikian, pengaruh
Shen Chih tidak kekal lama kerana beliau berjaya disingkirkan pada 1621.
Pengaruh kristian telah dipulihkan semula oleh Dr. Paul Hsu dan Dr. Li
Leon.[43]
Namun, pada tahun 1644, China telah jatuh ke tangan Manchu menyebabkan
kedudukan mubaligh ini terjejas kembali. Dalam usaha memulihkan kedudukan dan
status mubaligh ini, atas permintaan Dorgan
untuk menggunakan kepakaran mereka membolehkan status mereka dipulihkan
kembali.[44]
Sungguhpun demikian, keadaan ini tidak kekal lama, gerakan ini tidak lekang
dari pelbagai masalah. Pada tahun 1634, apabila paderi Francisco Dias dan Francisco de la Madre de Dios tiba di China, mereka terkejut dengan
kegiatan golongan mubaligh ini yang dikatakan telah menyeleweng dari ajaran Kristian
yang sebenar.[45]
Tentangan daripada golongan paderi di Eropah terhadap kegiatan ahli-ahli Jesuit
telah menekan kedudukan persatuan Jesuit di China.
Kegiatan mubaligh Kristian di China
semakin merosot apabila dalam masa yang
sama juga, Maharaja Kang Shi
(1662-1722) telah mengambil langkah menyingkirkan golongan mubaligh kecuali golongan
sains, teknikal, dan ahli
astronomi. Kegiatan mereka semakin disekat apabila pada tahun 1715, Paus clement XI telah mengeluarkan
surat yang menegaskan mengenai anti upacara kepercayaan penduduk China dan
memberi amaran mengenai pelanggaran ajaran Kristian.[46] Keadaan
ini bertambah buruk apabila persatuan Jesuit telah dibubarkan pada 1773.
Manakala, pengganti maharaja iaitu K’ang Shi iaitu maharaja Yung Cheng telah membuat beberapa larangan
mengenai penyebaran agama Kristian. Sementara itu beberapa orang mubaligh Kristian
telah ditangkap dan dihukum bunuh.[47]
Malah,
turut berlaku peristiwa pembunuhan
seorang mubaligh Perancis iaitu Augustus
Chapdelaine di Sin Lin pada
Februari 1856 di wilayah Kwangsi atas tuduhan mempengaruhi penduduk tempatan
menentang pemerintahan Manchu.[48]
Pembunuhan ini telah melanggar prinsip “Hak
Wilayah Asingan” yang diberikan kepada Perancis dalam Perjanjian Whampoa
1844. Akibatnya Perancis menyertai British untuk memerangi China dengan tujuan
untuk menuntut bela di atas kematian Augustus Chapdelaine. Dalam tuntutan kuasa
barat terhadap pengesahan Perjanjian Tientsin, Perancis telah meminta hak untuk
golongan mubaligh Kristian dan penganutnya yang membawa kepada pembentukan artikel 13 yang memuatkan hak para mubaligh
ini untuk menjalankan usaha penyebaran ajaran Kristian dengan bebas di
mana-mana sahaja di bawah perlindungan pihak berkuasa China[49].
Sementara itu, warganegara China juga diberi kebebasan menganut dan mengamalkan
ajaran Kristian tanpa sebarang bentuk hukuman. Malah, golongan mubaligh Kristian
turut dibenarkan memiliki atau menyewa tanah di mana-mana sahaja di China.[50] Keadaan
ini menunjukkan bahawa, isu agama turut menjadi punca permasalahan antara China
dan barat.
KESIMPULAN
Pelbagai
masalah telah timbul antara orang barat dan Cina. Ekoran permasalahan yang
timbul menjadikan hubungan antara mereka semakin renggang sehingga membawa
kepada peperangan dan perjanjian. Selepas Perjanjian Nanking ditandatangani,
China terpaksa menamatkan dasar isolasinya yang diamalkan selama ini. Sejak
itu, China mula melaksanakan dasar buka pintu kepada orang-orang asing yang
kebanyakannya terdiri daripada pedagang. Perjanjian Nanking yang ditandatangani
pada 29 Ogos 1842 amat merugikan pihak China. China bukan sahaja terpaksa
menyerahkan Hong Kong kepada British, malah dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels
kepada British, iaitu 12 juta taels untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti
rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China dan 3
juta taels hutang Co-hong
kepada pedagang-pedagang British. Selain itu, China juga terpaksa membuka 5
pelabuhannya kepada pedagang asing, iaitu Canton,
Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai.
Buat pertama kalinya China terpaksa menerima hakikat bahawa kuasa-kuasa barat
lebih superior daripada China. Sarjana-sarjana China telah mencadangkan supaya
China meniru teknik-teknik barat dalam usaha untuk menguatkan negeri China.
Contohnya Wei Yuan dalam bukunya “Hai Koa Tu Chih” mencadangkan supaya China
meniru teknik-teknik barbarian dalam usaha untuk mengalahkan barbarian. Pendapat ini disokong oleh sarjana-sarjana
lain seperti Liang Ting Nan dalam bukunya “Ro Chung Kao Shuo” dan “I Fen Chi
Wan” dan Hsu Chi Yu dalam bukunya “Ying Huan Chih Luah”. Kita dapat simpulkan
bahawa, masalah perdagangan adalah punca utama yang menjadi isu permasalahan
antara China dan Barat. Namun demikian, wujud juga faktor lain seperti isu
candu, agama Kristian, undang-undang dan lain-lain yang dilihat turut
mempengaruhi dan menambahkan lagi kerunsingan hubungan China dan Barat.
BIBLIOGRAFI
Chang, Hsin-pao, Commissioner
Lin and the Opium War, Cambridge : Harvard University Press, 1964.
D. Bonner-Smith dan E. W. R. Lumby, The Second China War 1856-1860, Navy
Record Society, 1893.
Hibbert, Christopher., The Dragon Wakes : China and the West, 1795-1911, London : Longman,
1970.
Holt, Edgar, The
Opium Wars in China, Pennsylvania : Chester Springs, 1964.
Immanuel C. Y. Hsu, Modern Chinese History, Amerika Syarikat : Oxford University Press,
1971.
John King, Fairbank, The Great Chinese Revolution: 1800-1985, New York : Harper &
Row. 1907
Latourette, Kenneth Scott, China, New Jersey : Prentice-Hall, 1964.
Latourette, Kenneth Scott. Sejarah China Moden, Kuala Lumpur : Dewan Bahawa dan Pustaka, 1970
Suffian Mansor, Sejarah
China Moden, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 2009.
[1] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur :
Penerbit Universiti Malaya, 2009, hlm. 1.
[2] Ibid.
[3] Latourette, Kenneth Scott, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 39.
[4] D. Bonner-Smith dan E. W. R.
Lumby, The Second China War 1856-1860,
Navy Record Society, 1893, hlm XI.
[5] Ibid.
[6] Latourette, Kenneth Scott, Sejarah China Moden, hlm. 14.
[7] Ibid.
[8] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, hlm. 12.
[9] Latourette, Kenneth Scott, Sejarah China Moden, hlm. 40.
[10] Hibbert, Christopher., The Dragon Wakes : China and the West,
1795-1911, London : Longman, 1970, hlm. 83.
[11] Ibid.
[12] Chang, Hsin-pao, Commissioner Lin and the Opium War,
Cambridge : Harvard University Press, 1964, hlm. 46.
[13] Ibid.
[14] Ibid. hlm. 41.
[15] Hibbert, Christopher., The Dragon Wakes : China and the West,
1795-1911, hlm. 85.
[16] Ibid., hlm. 40.
[17] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, hlm. 23.
[18] Ibid., hlm.25.
[19] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Suffian Mansor, Sejarah China Moden., hlm. 28.
[22] Ibid.
[23] Ibid.
[24] Ibid., hlm. 29.
[25] Latourette, Kenneth Scott, China, New Jersey : Prentice-Hall,
1964, hlm. 108.
[26]Ibid., hlm. 109.
[27] Suffian Mansor, Sejarah China Moden., hlm. 30.
[28] D. Bonner-Smith dan E. W. R.
Lumby, The Second China War 1856-1860., hlm.
2.
[29] Ibid.
[30] Ibid.
[31] Suffian Mansor, Sejarah China Moden., Ibid. hlm. 11
[32] Immanuel C. Y.
Hsu, Modern Chinese History, Amerika
Syarikat : Oxford University Press, 1971. Hlm 205.
[33] Ibid.
[34] Ibid.
[35] Latourette, Kenneth Scott, Sejarah China Moden, hlm. 39.
[36] Ibid., hlm. 40.
[37] Holt, Edgar, The Opium Wars in China, Pennsylvania : Chester Springs, 1964, hlm.
133.
[38] Ibid.
[39] Ibid., hlm. 13.
[40] Ibid.
[41] Kenneth Scott Latourette, Sejarah China Moden, hlm. 38.
[42] Ibid., hlm. 4.
[43] Ibid.
[44] John King Fairbank, The Great Chinese Revolution: 1800-1985,
New York : Harper & Row. 1907,Hlm. 75.
[45]Suffian Mansor, Sejarah China Moden., hlm. 6.
[46] Ibid.
[47] Ibid.
[48] Ibid., hlm. 31.
[49] Immanuel C. Y. Hsu, Modern Chinese Histor., hlm 87.
[50] Latourette, Kenneth Scott, China, hlm. 111.
No comments:
Post a Comment