PENGENALAN
Di
Malaysia sejarah mengenai kaum wanita perlu diperluaskan kerana mereka juga
memainkan peranan yang penting dalam beberapa aspek di negara kita misalnya
dari segi politik, ekonomi dan sosial. Sejarah mengenai kaum wanita di Malaysia
amatlah penting disebabkan mereka juga adalah individu yang berperanan dalam
mewarnai senario negara kita pada hari ini dalam pelbagai bidang. Bukan kaum
lelaki sahaja yang mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sepatutnya dalam
sesuatu bidang itu, akan tetapi wanita juga turut tidak terkecuali dalam
memikul peranan-peranan yang sewajarnya dan menjalankan tanggungjawab yang
besar selari dengan kaum lelaki. Buktinya, pada masa kini peranan kaum wanita
dalam bidang pemerintahan dan pentadbiran sangat jelas dilihat di mana ada
dalam kalangan ahli-ahli kabinet seperti menteri-menteri di beberapa kawasan,
jawatannya telah disandang oleh kaum wanita. Hal ini menunjukkan bahawa bukan
sahaja kaum lelaki mampu berkuasa untuk memegang jawatan dalam beberapa bidang
tetapi wanita juga turut tidak ketinggalan untuk bergiat aktif dan berkecimpung
dalam menguruskan hal ehwal politik, ekonomi dan sosial.
Wanita
dalam era Perang Dunia Kedua yang digambarkan dalam novel yang berjudul Adik
Datang karya A. Samad Said menunjukkan bahawa golongan wanita sering disifatkan
sebagai golongan yang tidak berpelajaran tinggi atau tidak mempunyai pelajaran
langsung. Keadaan ini secara tidak langsung telah memperlihatkan bahawa kaum
wanita ini seolah-oleh tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Sehubungan itu, latar
belakang desa di mana penduduknya kuat memegang adat memberi kesan kepada
kedudukan dan peranan wanita dalam masyarakat itu. Hal ini ternyata menyebabkan
wanita sering dipandang sebagai golongan yang tidak penting dan dilihat sebagai
golongan yang tidak mampu memikul tanggungjawab besar seiring dengan kaum
lelaki. Inilah hakikatnya sekiranya masyarakat desa yang masih berfikiran
ortodoks dan terlalu taksub akan adat yang dipegang.
Dalam
pada itu, kemiskinan hidup juga telah menyekat perkembangan untuk kaum wanita
ini mencari ilmu malah langsung tidak mementingkan pendidikan formal.
Kebiasaannya anak-anak perempuan desa akan dihantar mengaji al-Quran untuk
mendapat kefahaman agama serba sedikit. Selain itu, anak-anak perempuan juga
pengalaman sosialnya sejak kecil lebih ditumpukan kepada rumah tangga
menyebabkan mereka jarang untuk mendapat pendidikan secara formal. Dari kecil
lagi mereka lebih diberi tumpuan untuk mempelajari ilmu rumah tangga atau pun
lebih kepada pendidikan secara tidak formal ini seperti menguruskan rumah
tangga, mengemas rumah, menjahit pakaian, menjaga adik-adik dan sebagainya.
Tujuan latihan-latihan ini diadakan adalah sebagai persediaan untuk menjadi ibu
yang akan menguruskan rumah tangga yang
merupakan tujuan utama hidup mereka.
Sememangnya
dalam masyarakat tradisi, seseorang wanita itu hanya berperanan sekadar
memenuhi tanggungjawab sebagai seorang anak. Apabila meningkat dewasa, status
yang dicapainya adalah untuk menjadi isteri kepada suami dan ibu kepada
anak-anak kelak. Peranan wanita sabagai anak perempuan, isteri dan ibu dilihat
lebih tertumpu kepada ruang hidup yang dianggap private iaitu digambarkan sebagai kehidupan yang lebih bersifat
persendirian di mana mereka menjaga keperibadian diri sendiri agar maruah diri
tidak tercalar sewenang-wenangnya. Itulah hakikat kehidupan seorang wanita pada
amnya. Dalam ruang hidup yang dianggap private
ini, tugas ataupun peranan yang dimainkan oleh wanita adalah berkisar
kepada fungsi biologi, sosial dan ekonomi seperti melahirkan anak, mengasuh
serta manjaga mereka.
Sejajar
dengan itu, Tun Hussein Onn pernah berkata “Penyertaan kaum wanita dalam
pembangunan dapat dilihat dengan jelas dalam bidang kehidupan masyarakat kita
seperti pelajaran, kesihatan, pentadbiran, politik, pembangunan tanah,
kebajikan malah juga keselamatan negara kita.” Oleh itu, jelaslah bahawa
peranan kaum wanita adalah sangat penting dalam pembangunan sesebuah negara.
PERANAN
WANITA DALAM ASPEK SOSIAL DI TANAH MELAYU
1)
Pendidikan
Sekitar
abad ke-19, sistem pendidikan vernakular telah diperkenalkan. Tujuannya adalah
untuk menjaga kestabilan politik, menghapuskan buta huruf dan menghasilkan
pekerja bertaraf rendah. Hal ini dapat dilihat apabila dasar British telah
memberikan pendidikan asas selama empat tahun sahaja kerana bimbang pendidikan
tinggi akan menyebabkan mereka ditentang. Antara contoh sekolah yang dibuka
oleh British pada awal abad ke-20 ini ialah Penang Free School (1821), Sekolah
Melayu Bayan Lepas (1855), Sekolah Melayu harian di Teluk Belanga dan Kampung
Gelam (1856).[1]
Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah Melayu ini tidak mendapat sambutan kerana
pada masa itu ibu bapa tidak mahu kehilangan tenaga kerja kerana dalam tempoh
itu juga, anak-anak merupakan golongan yang aktif ekonomi dan banyak membantu
ibu bapa mereka bekerja misalnya bertani di sawah padi dan melakukan akiviti-aktiviti
ekonomi lain seperti penternakan dan sebagainya. Selain itu, ibu bapa juga
risau akan pengasingan pelajaran agama.
Secara
tradisinya, pendidikan pada masa itu hanya dibenarkan di sekolah-sekolah agama
atau pondok sahaja. Namun begitu, pada tahun 1817, sekolah pertama yang dibuka
bagi perempuan ialah Penang Free School. Walau bagaimanapun, bilangan wanita
yang mendapat pendidikan Inggeris masih terlalu kecil jumlahnya terutamanya
kaum Melayu. Kebanyakan orang Melayu yang menghantar anak-anak perempuan ke
sekolah Inggeris adalah rata-ratanya datang dari latar belakang bandar dan
keluarga yang senang di mana sebahagian besarnya adalah berketurunan India dan
Arab.[2]
Melalui pendidikan yang diterima ini, subjek-subjek yang diajar adalah lebih
kepada peranan kaum wanita seperti pembuatan kraf, peranan sebagai ibu dan juga
isteri. Pada tahun 1904, kelas latihan untuk pupils teacher telah diadakan di Raffles Institute dan Raffles Girls
School di Singapura. Pada tahun 1905 pula, kelas latihan normal telah didirikan
di Kuala Lumpur manakala pada tahun 1907 didirikan di Pulau Pinang dan 1913 di
Melaka.
Seiring
dengan itu, penubuhan kelas-kelas latihan ini penting bagi wanita Melayu terutamanya
menceburkan diri dalam bidang perguruan. Pada tahun 1916, terdapat tidak lebih
100 orang murid perempuan di Singapura. Sungguhpun begitu, pada 1920-an berlaku
perubahan apabila ibu bapa menghantar anak-anak perempuan untuk mendapatkan
pendidikan formal.[3]
Kepentingan pelajaran ditekankan kerana golongan wanita merupakan guru pertama
kepada anak-anak. Peranan ini dianggap sangat penting bagi mewujudkan generasi
baru yang lebih baik fizikal dan spiritualnya. Faktor perubahan seruan di
akhbar, usaha para pemimpin, peranan dan gesaan guru-guru sekali gus telah
menyebabkan jumlah kehadiran murid bertambah. Tujuan meningkatkan kehadiran
murid-murid untuk mengikuti pendidikan secara formal ini adalah untuk
menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih baik terutamanya dalam kalangan
guru-guru untuk mendapat peluang menjadi seorang pendidik.[4]
Dengan itu, guru-guru wanita sememangnya memainkan peranan penting bagi memujuk
ibu bapa supaya bersikap terbuka terhadap pendidikan untuk anak-anak perempuan.
Dalam
bidang pendidikan ini juga, kebiasaannya ibu bapa lebih cenderung menghantar
anak-anak lelaki ke sekolah kerana lelaki bakal menjadi pemimpin dan menambah
pendapatan keluarga berbanding anak perempuan. Selain itu, ibu bapa kurang
kesedaran dari segi kepentingan pendidikan kepada anak-anak perempuan.[5]
Anak-anak perempuan hanya diberi perhatian dari segi pendidikan asas dan bahasa
Melayu sahaja bagi menguruskan rumah tangga. Sekolah perempuan tidak banyak
didirikan kerana tidak mendapat sambutan daripada penduduk setempat. Perkara
ini jelas terbukti apabila hanya 12 buah sekolah perempuan didirikan iaitu 10
buah di Perak dan 2 buah di Selangor pada awal abad ke-20.[6]
Namun begitu, terdapat perubahan dalam pemikiran masyarakat Melayu terhadap
pendidikan anak-anak perempuan. Perubahan-perubahan yang berlaku ini adalah
disebabkan oleh seruan akhbar iaitu daripada majalah Al-Imam, Bulan Melayu,
Saudara, Majlis, Majalah Guru dan lain-lain. Selain itu, ia juga adalah
disebabkan usaha para pemimpin dan Sultan serta saranan tokoh-tokoh seperti
Za’ba, Syed Syeikh Al-Hadi dan lain-lain. Dalam masa yang sama, peranan dan
gesaan guru-guru untuk membina sekolah perempuan juga merupakan sebab perubahan
dalam pemikiran masyarakat Melayu terhadap pendidikan anak-anak perempuan.
Di
samping itu juga, jumlah pelajar perempuan mula bertambah apabila ajaran agama
dan al-Quran diajar di sebelah pagi. Sehubungan itu, wanita-wanita yang
berpendidikan telah dilantik sebagai guru dengan latihan diberikan di
maktab-maktab perguruan. Oleh itu, ada dalam kalangan kaum wanita ini yang
sesetengahnya menjadi penulis dan ada di antara mereka yang menerbitkan majalah
sendiri seperti Bulan Melayu (1930) yang lantang mengkritik kemunduran orang
Melayu dalam pendidikan dan ekonomi. Antara
tokoh yang banyak berusaha memajukan pendidikan anak-anak perempuan ialah Hajah
Zainon Sulaiman (Ibu Zain) dengan menubuhkan maktab perguruan di Melaka pada
tahun 1935 dan sekolah Inggeris untuk wanita yang pertama pada tahun 1939 di
Johor.[7]
Sekitar
tahun 1920-an, para elit agama tempatan seperti Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh
Mohammad Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Taha yang menggelarkan diri mereka
‘Kaum Muda’ telah melakukan sebuah reformasi agama yang turut melibatkan isu
pendidikan wanita. Menurut kaum muda ini, wanita juga turut diberikan
pendidikan supaya mereka lebih maklum tentang keperluan-keperluan bangsa.
Malahan, mereka turut menegaskan bahawa apabila wanita diberikan pendidikan,
wanita juga boleh menjadi seorang intelektual setanding dengan lelaki.
2)
Persatuan
Pada
awal 1920-an, media massa memainkan peranan penting dalam membangkitkan
semangat golongan wanita Melayu. Sebagai contoh akhbar Bulan Melayu menyarankan
kaum wanita untuk melibatkan diri dengan berpersatuan. Tujuannya adalah untuk
mengembangkan pemikiran dan memberi ilmu pengetahuan terhadap kaum wanita.
Gerakan Kesedaran Kebangsaan pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20
menunjukkan penglibatan wanita adalah sangat sedikit.[8]
Walau bagaiamanapun, pendudukan Jepun yang menggalakkan wanita bebas daripada
kehidupan tradisional telah menyediakan wanita ke arah berpersatuan.
Pada
tahun 1940, kaum ibu mula terlibat dalam gerakan berpersatuan. Ibu Zain telah
menubuhkan Kesatuan Guru Malaya iaitu persatuan wanita Melayu pertama pada
tahun 1930 dengan matlamat memajukan ahli-ahlinya. Persatuan Perempuan Melayu
Johor mula ditubuhkan pada 25 April 1930 di Batu Pahat. Tujuan penubuhan
persatuan itu adalah untuk menerbitkan majalah Bulan Melayu, menyatukan ibu
bapa, kanak-kanak dengan guru-guru serta untuk menjalankan kegiatan seperti
berbahas, berpidato dan lain-lain. Antara persatuan-perstaun lain termasuklah
Kesatuan Melayu Singapura yang telah menubuhkan parti wanita pada tahun 1940,
kemudian menubuhkan pula Persatuan Wanita Melayu Terhormat Johor yang diasaskan
oleh Azizah Jaafar dan seterusnya ialah Persatuan Melayu Perak.
Di
samping itu, peranan yang dimainkan oleh media massa sekitar tahun 1920-an
telah membangkitkan semangat kaum wanita Melayu. Antaranya ialah peranan akhbar
Bulan Melayu yang menyarankan kaum wanita untuk melibatkan diri dengan
persatuan. Hal ini sebenarnya bertujuan mengembangkan lagi pemikiran dan
memberikan ilmu pengetahuan kepada kaum wanita.[9]
Sebagai contoh, Ibu Zain telah menubuhkan Kesatuan Guru Malaya pada tahun 1930
iaitu persatuan wanita Melayu pertama dengan bertujuan untuk memajukan ahlinya.
Selain itu, Persatuan Perempuan Melayu Johor telah ditubuhkan pada 25 April
1930 di Batu Pahat dengan tujuan menerbitkan majalah Bulan Melayu, menyatukan
ibu bapa, kanak-kanak dengan guru-guru serta menjalankan kegiatan seperti
berbahas, berpidato dan sebagainya.[10]
Antara persatuan lain yang ditubuhkan termasuklah Persatuan Guru-Guru Wanita di
Melaka.
3)
Pekerjaan
Dalam
tempoh ini, kebebasan bekerja dan mencari sara hidup bagi wanita semakin
menyerlah. Apabila wanita diberikan pendidikan, mereka dapat menceburkan diri
dalam bidang perguruan ekoran gesaan daripada pihak pemerintah yang mengalami
masalah kekurangan guru wanita dalam bidang pendidikan. Keperluan dalam
memenuhi tenaga guru wanita ini telah mendorong kepada penubuhan Maktab
Perguruan Perempuan Durian Tunggal, Melaka pada tahun 1935. Selain daripada
bidang pendidikan, wanita pada awal abad ke-20 ini turut menceburkan diri dalam
bidang kejururawatan. Hal ini berpunca daripada isu kematian ibu dan bayi yang
mengalami peningkatan sekitar tahun 1920.
Bagi
mangatasi masalah ini, pegawai perubatan wanita telah disediakan untuk membantu
mengurangkan bilangan kematian bayi. Bidan-bidan kampung yang terlatih turut
diambil dalam kalangan wanita luar bandar untuk mengajar mereka tentang
penjagaan kesihatan, kebersihan, zat makanan dan sebagainya. Malahan, dengan
adanya perlantikan pegawai kesihatan ini pemikiran masyarakat yang terlalu
bergantung kepada perubatan tradisional semata-mata dapat diubah.
Penyertaan
wanita dalam pelbagai pofesion semakin menyerlah pada abad ini misalnya dalam
bidang perguruan. Memandangkan wanita yang berpendidikan semakin bertambah,
maka penyertaan mereka dalam profesion perguruan juga turut bertambah. Hal ini
adalah disebabkan gesaan daripada pemerintah kerana kekurangan guru wanita
dalam institusi pendidikan. Peranan wanita sebagai pendidik tidak begitu ketara
kerana kerjaya ini telah didominasi oleh kaum lelaki.[11]
Dipercayai bahawa kerjaya kaum wanita dalam bidang pendidikan telah bermula
pada tahun 1600, tetapi ia hanya cenderung untuk mendidik anak-anak sahaja. Mereka
yang layak akan diberi latihan perguruan di maktab-maktab yang ada. Untuk
merealisasikan peranan wanita sebagai seorang pendidik, maka sebuah maktab
telah ditubuhkan untuk wanita pada tahun 1935 iaitu Maktab Perguruan Perempuan
Durian Daun, Melaka.[12]
Menjelang abad ke-20, ahli-ahli pemikir Barat telah mengubah cara pemikiran
mereka dan mula memberi kebebasan kepada kaum wanita seperti kebebasan yang dinikmati
oleh kaum lelaki. Wanita telah diberi kebebasan seperti bebas bersuara, mencari
ilmu, bekerja mencari rezeki, memimpin dan sebagainya. Bermula pada abad inilah
profesion wanita sebagai pendidik mula terserlah.
Dalam
bidang kejururawatan pula menyaksikan bahawa profesion ini bermula sekitar awal
abad ke-20. Menurut rekod di Selangor pada tahun 1914, hospital kerajaan sangat
memerlukan khidmat wanita Melayu sebagai jururawat dan bidan. Isu kematian ibu
dan bayi yang tinggi sekitar tahun 1920 telah mendapat perhatian yang serius
daripada pelbagai pihak.[13]
Oleh sebab itu, pegawai perubatan wanita telah disediakan bagi membantu
mengurangkan bilangan kematian bayi pada tahun 1925. Bidan-bidann kampung yang
terlatih diambil dalam kalangan wanita luar Bandar bertujuan untuk mengajar
mereka tentang penjagaan kesihatan, kebersihan, zat makanan, cuaca dan
sebagainya. Kehadiran Pegawai Kesihatan ini juga sebagai langkah untuk menukar
pemikiran masyarakat yang terlalu bergantung kepada perubatan tradisional
semata-mata.
4)
Penulisan
dan Kesusasteraan
Wanita
pada abad ini telah mula melibatkan diri dalam aktiviti penulisan mahupun
kesusasteraan. Kesusasteraan Melayu moden dapat dilihat terutamanya dalam penulisan
cerpen dan surat khabar. Pada tahun 1940, muncul tokoh-tokoh kesusasteraan
Melayu moden seperti Azizah (Dr. Mahmud), Kalsom Hj. Saadun (Gugurnya Kembang
Melati), Adibah Amin (Ibu Tirikah yang Kejam?) dan lain-lain lagi. Pada tahun
1947 di Kedah, kaum ibu lebih sepakat dan maju dalam kegiatan luaran yang boleh
meningkatkan taraf ekonomi wanita terutamanya.
Menjelang
awal abad ke-20, wanita sudah mula bergiat dalam bidang penulisan dan
kesusasteraan melalui penulisan majalah dan novel. Walaupun penglibatan wanita
dalam bidang ini lebih lambat daripada penulis lelaki, namun kemunculan penulis
wanita sangat penting dalam mengenengahkan isu-isu wanita hasil pengalaman
mereka sendiri. Bulan Melayu merupakan pelopor majalah untuk wanita. Dalam
genre penulisan novel, novel pertama yang dihasilkan oleh wanita ialah berjudul
‘Cinta Budiman’ karya Rafiah Yusuf yang diterbitkan pada tahun 1941.[14]
Salah seorang penulis muda yang agak terkenal pada dekad 40-an dan 50-an ialah
Khalidah Adibah Amin atau nama pena beliau ialah Adibah Amin. Beliau merupakan
anak sulung Ibu Zain iaitu pengasas dan ketua sidang pengarang Bulan Melayu.
Dalam
majalah Bulan Melayu, para penulis dan guru-guru wanita digalakkan menulis
rencana, puisi (pantun dan syair) serta cerpen. Salah seorang penulis wanita
tersebut ialah Kamariah Saadon yang pada masa itu masih gadis belasan tahun
menulis puisi dengan menggunakan nama samaran Melati Tanjung Puteri. Menurut
Kamariah Saadon, penglibatannya dalam bidang penulisan dalam usia yang muda itu
merupakan hasil galakan daripada Ibu Zain sendiri selaku ketua pengarang
majalah tersebut.
Selain
daripada Majalah Bulan Melayu, majalah Hiboran (1946-1958) dan Mutiara turut
menampung karya penulis wanita. Kedua-dua buah majalah ini dipimpin oleh Harun
Aminurrashid yang merupakan seorang tokoh nasionalis dan novelis yang mempunyai
pandangan positif terhadap penulis wanita.[15]
Majalah Hiboran khususnya menempatkan cerpen, puisi, rencana oleh wanita malah
dihiasi dengan gambar penulis wanita serta berita mengenai mereka. Keluaran ini
mendapat sambutan yang baik daripada penulis wanita keseluruhannya. Malahan, Harun
Aminurrashid bertindak melantik penulis wanita menjadi ‘penulis khas’ yang
bermakna tulisan atau karya mereka akan terus diberi tempat dalam keluaran
majalah itu. Antara penulis wanita yang dikategorikan sebagai ‘penulis khas’
itu ialah Norma Kedah.
5)
Hiburan
Peranan
wanita pada awal abad ke-20 ini dalam bidang hiburan boleh dipecahkan kepada
tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Melihat kepada peranan wanita
Melayu dalam aspek hiburan ini didapati pada tahun 1930 hingga 1940-an,
Singapura menjadi tumpuan banyak kumpulan bangsawan dari Indonesia di mana
dapat dilihat penglibatan kaum wanita terutamanya wanita Melayu sememagnya
sangat menyerlah dalam bidang hiburan seperti pementasan terutamanya kumpulan
bangsawan sebagai pelakon profesional. Sebagai contoh Siti Hawa yang pernah
menjadi Seri Panggung. Senario ini telah menjadi bukti bahawa wanita Melayu
telah bergiat dalam masyarakat sebagai insan seni. Pada akhir tahun 1930-an
beberapa saudagar Cina telah menubuhkan beberapa syarikat filem.[16]
Melihat
kepada wanita Cina pula, kebanyakan daripada mereka adalah bekerja sebagai
pelacur domestik di rumah pelacuran. Hal ini adalah disebabkan berlaku
peningkatan kuli-kuli wanita Cina. Mereka juga merupakan isteri kepada kuli
Cina di Tanah Melayu.[17]
Begitu juga dengan wanita India di mana pada tahun 1910 hingga 1942 berlaku
perkembangan penanaman getah, ramai pekerja India dibawa masuk ke Tanah Melayu.
Oleh
hal yang demikian peranan sosial wanita India ini adalah sebagai pemuas nafsu
untuk majikan mereka dan kaum lelaki. Fenomena pelacuran secara sukarela ini
wujud adalah disebabkan desakan hidup. Jadi, mereka sanggup menggadaikan diri
untuk mendapatkan wang bagi meneruskan kehidupan seharian.[18]
Dengan itu, situasi yang berlaku kepada wanita Cina dan India di Tanah Melayu
ini ternyata jelas memperlihatkan peranan yang mereka mainkan dari segi hiburan
iaitu dengan menjalankan aktiviti pelacuran.
KESIMPULAN
Wanita
pada abad ini telah bergerak maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan,
kemahiran pekerjaan, berpersatuan, kepimpinan dan sebagainya. Mereka harus
yakin bahawa mereka juga mampu bersama-sama setaraf dengan lelaki dalam bidang
yang diceburi. Tanggapan bahawa tempat wanita hanyalah di ceruk-ceruk dapur
haruslah dihapuskan. Sikap dan pandangan perlulah diubah antaranya seperti
sikap kaum lelaki terhadap kaum wanita, sikap kaum wanita itu sendiri terhadap
diri dan perjuangan mereka serta sikap masyarakat umum terhadap kehidupan moden
di mana bukan sesuatu yang luar biasa bagi kaum wanita berganding bahu dengan
kaum lelaki dalam usaha untuk memajukan taraf kehidupan masing-masing.
Dalam
Islam, ketokohan Saidatina Khadijah sebagai tokoh koperat dan ahli perniagaan
yang berjaya telah menjadi inspirasi kepada kaum wanita dan juga lelaki. Tidak
kurang juga ketokohan Aisyah sebagai seorang ilmuan dan pakar rujuk kepada
sahabat dan keluarga baginda Rasul telah membuktikan bahawa Islam meletakkan wanita
pada tempat yang tinggi. Jelas di sini bahawa peranan wanita amatlah penting
dalam membentuk identiti sesebuah negara yang maju dan berdaulat.
Selain
itu, secara tradisinya kehidupan seorang gadis dilingkungi kebiasaan adat yang
dikenakan. Pada masa ini mereka tidak mempunyai peranan sosial seperti kaum
lelaki. Peranan wanita telah mengalami perubahan menjelang awal abad ke-20
melalui penglibatan kaum wanita dalam pelbagai bidang sosial. Perubahan sedikit
demi sedikit mula berlaku apabila kaum wanita diberi peluang untuk mendapat
pendidikan. Melalui pendidikan, kaum wanita mula mendapat kedudukan sosial yang
lebih baik dalam pelbagai bidang. Sememangnya peranan wanita perlu diangkat dan
diberi perhatian yang sewajarnya.
Di
samping itu, wanita pada abad ini telah mengalami perubahan dan bergerak maju
dalam beberapa bidang seperti pendidikan, pekerjaan, berpersatuan serta
penulisan dan kesusasteraan. Pendapat lama yang mengatakan wanita hanya
berkelayakan di ceruk-ceruk dapur sahaja haruslah dihapuskan. Pandangan
masyarakat terhadap wanita juga patut diubah dengan meneliti hak dan perjuangan
mereka. Dalam meniti arus kehidupan moden, gandingan antara lelaki dan wanita
dalam memajukan taraf kehidupan masing-masing bukanlah sesuatu perkara yang
luar biasa. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan wanita sewajarnya dianggap penting
bagi menyumbang ke arah pembentukan sebuah negara maju.
RUJUKAN
- Aziz
Ibrahim, Peranan Wanita dalam
Pendidikan dan Kehidupan, Kuala Lumpur: Unit Pelancar Angkatan
Koperasi Kebangsaan Malaysia, 1983.
- Fatimah
Ali, Peranan Wanita dalam Pembentukan
Keluarga Cemerlang, Kuala Lumpur: Pusat Pembangunan & Pendidikan
Komuniti, 1998.
- Jamilah
Ariffin, Women and Development in
Malaysia, Petaling Jaya: Pelanduk Publications, 1992.
- Hamid
Arshad, “Peranan Wanita dan
Pertubuhan Wanita dalam Pembangunan Keluarga”, Seminar Persidangan
Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Peringkat Kebangsaan, Kuala Lumpur: 27-29 Jul
1984.
- Azizah
Kassim, Wanita dan Masyarakat,
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 1985.
- Rosnah
Baharudin, Wacana Wanita Melayu dan
Sastera, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2003.
- Roziah
Omar, The Malay woman in the Body :
Between Biology and Culture, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti, 1994.
- Campbell,
Persia Crawford, Chinese Coolie
Emigration to Countries within the British Empire, London: Frank Cass
& Co. Ltd., 1971.
- Jamilah
Ariffin, Migration of Women Workers in Peninsular Malaysia : Impact and
Implication, Women in the Cities of
Asia, Migration and Urban Adaptation, Boulder, Colo.: Westview Press,
1984-Risalah.
[1] Aziz
Ibrahim, Peranan Wanita dalam Pendidikan
dan Kehidupan, Kuala Lumpur: Unit Pelancar Angkatan Koperasi
Kebangsaan Malaysia, 1983, hlm. 52.
[5] Fatimah Ali, Peranan Wanita dalam Pembentukan Keluarga
Cemerlang, Kuala Lumpur: Pusat Pembangunan & Pendidikan Komuniti, 1998,
hlm. 113.
[7] Jamilah Ariffin, Women and Development in Malaysia,
Petaling Jaya: Pelanduk Publications, 1992, hlm. 76.
[8] Hamid Arshad, “Peranan Wanita dan Pertubuhan Wanita dalam
Pembangunan Keluarga”, Seminar Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita
Peringkat Kebangsaan, Kuala Lumpur: 27-29 Jul 1984.
[9] Azizah Kassim, Wanita dan Masyarakat, Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 1985, hlm. 37.
[11] Aziz Ibrahim, Peranan Wanita dalam Pendidikan dan
Kehidupan, Kuala Lumpur: Unit Pelancar Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia, 1983, hlm. 83.
[13] Rosnah Baharudin, Wacana Wanita Melayu dan Sastera,
Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2003, hlm. 114.
[16] Roziah Omar, The Malay woman in the Body : Between
Biology and Culture, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti, 1994, hlm. 69.
[17] Campbell,
Persia Crawford, Chinese Coolie
Emigration to Countries within the British Empire, London: Frank Cass &
Co. Ltd., 1971, hlm. 93.
[18] Jamilah Ariffin,
Migration of Women Workers in Peninsular Malaysia : Impact and Implication, Women in the Cities of Asia, Migration and
Urban Adaptation, Boulder, Colo.: Westview Press, 1984-Risalah.
No comments:
Post a Comment