Thursday, 20 June 2013

Revolusi kebudayaan CHina

by : Chan Wan Teng

Isi Kandungan



1.0 Pengenalan


            Pada tahun 1958 hingga tahun 1962, Gerakan Melompat ke Hadapan telah dilancarkan.Iamerupakan cadangan lima tahun yang bertujuan untuk merealisasikan pembangunan ekonomi dan teknikal negara pada kadar yang segera dengan pencapaian yang membanggakan. Disebabkan berlakunya kekurangan makanan, ketidakcekapan dalam pengurusan, kejatuhan kualiti bahan mentah untuk industri dan berlakunya bencana alam pada tahun 1959 hingga tahun 1962 telah menyebabkan kegagalan Gerakan Melompat ke Hadapan. Untuk memulihan keadaan yang sulit ini tanah telah diperuntukkan semula kepada petani dan mereka dibenarkan untuk menjual barang di pasaran bebas.Keadaan tersebut telah membimbangkan Mao Tse-tung dan melihat China kembali kepada era kapitalisme semula.[1]
            Oleh sebab kegagalan Gerakan Melompat ke Hadapan, Mao Tse-tung telah melakukan Pergerakan Pendidikan Sosialis (1962-1965) yangbermatlamat untuk memulihkan ideologi sosialisme dan menanam semula semangat revolusi dalam parti dan birokrasi kerajaan.Gerakan ini telah ditentang oleh Liu Shaoqi dan Teng Xiaoping. Mereka tidak bersetujui ke atas cara pelaksanaan Pergerakan Pendidikan Sosialis. Pergerakan ini tidak mencapai matlamat yang ditetap.Hal ini demikian kerana Pergerakan Pendidikan Sosialis lebih menekankan kepada membuat kritikan terhadap pemimpin dan ahli-ahli parti dari kelas pertengahan bawah yang mana tidak berkuasa sangat seperti pemimpin-pemimpin kelas atasan parti.
            Maka, Revolusi Kebudayaan Proletariat Agung telah dikemukakanpada pertengahan tahun 1966 untuk memurnikan parti dan kerajaan dengan mengkritik dan menyingkir golongan bojuis, golongan revisionalis dan golongan imperialis.   

2.0 Revolusi Kebudayaan Proletariat Agung(1966-1976)


            Revolusi Kebudayaan Proletariat Agung dibangkit oleh Mao Tse-tung dan bermula dengan persidangan Kongres Kesebelas PKC pada Oktober 1966 di Beijing.Tujuan Revolusi Kebudayaan adalah untuk memurnikan parti dengan menyingkirkan dan mengkritikkan pemimpin-pemimpin yang dianggap terpengaruh oleh fikiran kapitalisme, radikal dan feudal. Mao Tse-tung bimbang akankemunculangolongan sarjana dan golongan bojuis yang ingin mengembalikan sistem kapitalisme di China.[2]Untuk menyelesaikan masalah tersebut, pelaksanaan Revolusi Kebudayaan merupakan langkah yang lebih keras daripada Pergerakan Pendidikan Sosialis (1962-1965) yang dilakukan untuk membersihkan kerajaan dan parti serta melindungi sistem sosialisme di China.
            Sistem Sosialisme merupakan satu sistem yang lebih menekankan kesamarataan masyarakat. Segala produk, modal, tanah dan harta merupakan milikan masyarakat dan ia akan diuruskan serta dibahagikan berdasarkan kepentingan awam. Rakyat tidak dibenarkan untuk mengumpul harta persendirian dibawah sistem sosialisme.Manakala sistem kapitalisme merupakan sistem yang bertentangan dengan sistem sosialisme dimana sistem kapitalisme memupuk pengumpulan harta persendirian.Produk dihasil dengan menggunakan peralatan dan sumber manusia untuk mengautkan keuntungan.Selain itu, persaingan antara syarikat-syarikat dan industri-industri menjadi sengit dan segala keputusan aktiviti pelaburan dibuat secara persendirian.Kedua-dua sistem ini mempunyai ideologi yang amat berbeza manakala Mao Tse-tung telah memutus dengan menguatkan “ketuanan proletariat, menghalang kembalinya kapitalisme dan membentuk sosialisme.”[3]

2.1 Reaksi-reaksi daripada pemimpin-pemimpin PKC


            Dalam organisasi PKC terdapat dua golongan yang bertentangan.Kedua-dua golongan ini mempunyai pandangan yang tidak sama atas Revolusi Kebudayaan.Antara kumpulan yang menyokong gerakan Revolusi Kebudayaan ialah kumpulan Mao Tse-tung-Lin Biao yang mana disokong oleh Tentera Pembebasan Rakyat.Menteri Pertahanan iaitu Lin Biao merupakan pemimpin yang paling mendukung ideologi dan kempen Mao Tse-tung. Kumpulan Liu Shaoqi-Teng Xiaoping yang mendapat sokongan daripada jentera  parti PKC pula merupakan pihak yang tidak bersetuju ke atas pelaksanaan Revolusi Kebudayaan.Mereka berpendapat bahawa persoalan mengenai sosialisme dan kapitalisme sudah dapat diselesaikan manakala Mao Tse-tung tidak berfikir sedemikian.[4]
            Mao Tse-tung berasa kecewa bahawa organisasi telah diserap dan dipengaruhi oleh unsur kapitalis dan bojuis.Unsur Kapitalis dalam organisasi PKC merupakan halangan yang kuat sekali untuk memperjayakan Revolusi Kebudayaan Proletariat Agung. Oleh itu, Mao Tse-tung tidak lagi bergantung pada organisasi parti berfomal dan beliau telah banyak dibantu oleh Chen Boda, Lin Biao dan isteri keempat Mao Tse-tung iaitu Jiang Ch’ing. Sementara itu, Perdana Menteri Zhou En-lai pula mengambil sikap bertolak ansur dan berusaha untuk menyelesaikan pertelingkahan antara  kumpulanMao-Lin Biao dan kumpulan Liu Shaoqi-Teng Xiaoping.

2.2 Tindakan-tindakan yang diambildalam pelaksanaan Revolusi

Kebudayaan Proletariat Agung

 

            Pada November 1965, seorang penyokong Mao Tse-tung iaitu Yao Wenyuan telah menulis secara sinis untuk mengkritik dan mengecamkan Datuk Bandar Beijing, Wu Han berdasarkan dramanya yang bertajuk “Hai Jui Dismissed From Office”. Drama yang ditulis oleh Wu Han tersebut telah disiarkan dalam People Daily pada tahun 16 Jun 1959.Drama tersebut dianggap sebagai kritikan secara tidak langsung terhadap kepimpinan Mao Tse-tung.Selain itu, Liu Shaoqi dan Teng Xiaoping juga dikutuk sebagai wakil kumpulan kapitalis dan telah menjadi sasaran kritikan utama Mao Tse-tung.Serangan melalui media cetak ke atas Liu Shaoqi diteruskan oleh Mao Tse-tung dan beliau juga mengkritikkan bahawa Jabatan Kesusasteraan dan Seni yang dinaungi oleh golongan bojuis ini telah dibelenggu oleh idea-idea yang lama.
                DalamRevolusi Kebudayaan, Mao Tse-tung telah menentang Empat Perkara iaitu Idea Lama, Budaya Lama, Sikap Lama dan Adat Lama. Beliau ingin menerapkan budaya, idea, sikap dan adat yang baru untuk menggantikan sistem kapitalisme di China.Golongan massa didedahkan kepada “big-character poster” menjalankan debat dan mempunyai hak untuk mengkritik dan mengajukan cadangan kepada parti dan kerajaan.[5]
Tambahan pula, Jawatankuasa Pusat PKC telah menubuhkan Kumpulan Revolusi Kebudayaan yang mana ketua kumpulannya ialah Chen Boda manakala Jiang Ch’ing dan Zhang Chunqiao ialah timbalan ketua.[6]
            Untuk melancarkan revolusi inidalam kalangan masyarakat China, “Pengawal Merah (Hung Wei-ping)” telah ditubuhkan di Beijing pada awal Jun 1966.Pengawal Merah terdiri daripada pelajar-pelajar, petani yang berketurunan bawah dan pekerja-pekerja muda yang miskin.Pekerja kontrak dan pekerja sampingan tidak dapat menikmati kebajikan dan layanan yang berpatutan serta jaminan pekerjaan seperti apa yang dinikmati oleh pekerja yang bekerja dibawah bidang keusahawanan milikan kerajaan.[7]Selain itu, golongan yang miskin dari kelas sosial yang rendah juga tidak dapat menikmati peluang pendidikan.Oleh sebab tahap pendidikan yang rendah dan ketidakpuashatian Pengawal Merah terhadap kelas tuan tanah dan golongan kapitalis maka mereka mudah dihasut dan menjadi golongan yang aktif dalam pelancaran Revolusi Kebudayaan untuk mengembalikan hak mereka.
            Pengawal Merah tidak diberi latihan atau model untuk dijadikan panduan.Mereka hanya dimestikan membaca tulisan-tulisan Mao Tse-tung.[8]Kebanyakan mereka amat mengagumi Mao Tse-tung dan telah dipengaruhi oleh idea-idea Maoisme.Pada masa ketika, tulisan-tulisan Mao Tse-tung iaitu “The Little Red Book”telah diterbit sebanyak 10.58 ratus juta buah buku.[9]
Sebanyak 2/3 masa digunakan untuk menyiarkan dan menyebarkan idea Maoisme melalui stesen penyiaran seperti radio.[10] Sebelum Revolusi Kebudayaan berlaku China dapat menerbitkan sebanyak 45 ribu jenis buku dalam masa setahun manakala berdasarkan data China telah merekodkan bahawa pada tahun 1967 China hanya menerbit sebanyak 3 ribu jenis buku sahaja.[11] Dalam pasaran penerbitan susah untuk mencari terbitanbuku-buku lain kecuali karya tulisan Mao Tse-tung.
            Kemunculan Pengawal Merah merupakan sokongan yang kuat sekali untuk menjayakan Revolusi Kebudayaan.Idea Maoisme telah disebarkan kepada pelajar sekolah menengah pertengahan sehingga ke universiti untuk melaksanakan demonstrasi politik.Mao Tse-tung telah membekalkan makanan, kemudahan pengangkutan dan sumber lain kepada Pengawal Merah untuk menggalakkan mereka demi perjuangan Revolusi Kebudayaan.
            Tambahan pula, Empat Hak Utama yang diberi kepada mereka telah memangkin semangat revolusi Pengawal Merah.Antara Empat Hak Utama adalah bercakap tanpa sekatan, mengadakan debat terbuka, meminta pendapat tanpa sekatan dan menulis poster-poster. Hak tersebut telah berjaya menggalakkan pengikut muda Mao Tse-tung mengkritik musuh beliau dalam parti.Pengawal Merah telah menambah sekira 20 juta orang dalam masa tiga bulan. Mereka seterusnya telah mengkritikkan ibu pejabat parti di Beijing dan ibu pejabat daerah dan wilayah lain. [12]
            Pengawal Merah telah memusnahkan bangunan lama seperti rumah ibadah  dan bangunan tinggalan warisan lama serta merosakkan patung-patung agama. Buku-buku lama dan hasil kesenian yang lama telah dihapus dan mereka telah menggeledah muzium untuk memusnahkan semua relik kebudayaan.Selain itu, cermin kedai-kedai yang memaparkan barangan asing akan dipecah manakala poster-poster dan gambar Mao Tse-tung akan ditampal pula pada dinding-dinding bangunan dan cermin kedai-kedai.
            Di samping itu, mereka telah menamakan semula namabangunan dan jalan. Sebagai contoh, Medan Tiananmen ditukar nama kepada Medan Timur Adalah Merah. Isyarat lampu jalan ditukar di mana merah menandakan lalu manakala hijau menandakan henti. Sesiapa yang disyaki terpesong daripada komunis yang sebenarnya akan diheret ke jalan raya dan dipaksa membuat kritikan terhadap diri sendiri atas kesalahannya. Mereka didera dan berarak melalui jalan-jalan.Kebanyakkan mereka yang ditangkap oleh pengawal merah telah dipukul sampai mati.
            Tambahan pula, pengawal merah telah mengusirkan nun dan mengelilingi kedutaan asing.[13] Mereka menentang gaya rambut ala Barat dan berpakaian secara Barat.[14]Pengawal Merah di Beijing juga mengorganisasikan piket dan menubuhkan pusat pemulihan di sekolah untuk menghukum sesiapa yang telah ditangkap dan dianggap sebagai penyokong idea feudal dan kapitalis.Sehingga 5 September 1968, sebanyak 29 buah daerah, bandar dan wilayah autonomi di China telah menubuhkan Jawatankuasa Revolusi Kebudayaan. [15]
            Perlakuan Pengawal Merah telah terlampau dan kehilangan rasional.Komander Tentera Kebebasan Rakyat telah mengarahuntuk menahan puak radikal kiri supaya memulihkan keamanan masyarakat.Untuk mengawalkan situasi yang genting itu, Mao Tse-tung telah mengarah untuk membubarkan Pengawal Merah pada akhir tahun 1968.Pengawal Merah telah dihantar ke kampung-kampung dan kawasan lombong untuk bekerja bersama dengan penduduk di kawasan tersebut. Pad   a Oktober 1968, Liu Shaoqi dan Teng Xiaoping serta sekutu-sekutu mereka telah disingkirkan daripada parti PKC dan kerajaan.
            Pada tahun 1971, Lin Biao yang dinamakan pengganti Mao Tse-tung telah meninggal dunia selepas terhempas di Mongolia.[16] Beliau ingin mendapat perlindungan daripada Soviet Union kerana beliau sedar akan kehilangan kepercayaan daripada Mao Tse-tung. Hal ini demikian kerana beliau merancang untuk merampaskan kuasa kepimpinan utama di China dan beliau telah menggunakan nama Mao Tse-tung untuk mengembangkan pengaruhnya tetapi akhirya rancangan beliau telah terbongkar.         Dibawah sokongan Chou En-lai, Teng Xiaoping telah memulihkan kuasanya dalam kerjaya politik beliau.Pada tahun 1973 beliau telah dilantik sebagai penolong perdana menteri.Pada Ogos 1976, Zhou En-lai yang mengidap “Bladder Cancer” telah meninggal dunia.Teng Xiaoping telah mengurus dan mentadbir segala kerja pentadbiran Jawatankuasa Pusat PKC tetapi beliau sentiasa diserang dan dikritik oleh “Gang of Four”.
            Pada tahun1976, satu perarakan telah diadakan untuk mengenang jasa Chou En-lai di Medan Tiananmen.Sebanyak 20,000 ribu rakyat telah berkumpul di Medan Tiananmen.[17]Mao Tse-tung telah mengarah untuk membatalkan penghormatan ke atas kematian Chou En-lai.Tindakan ini telah membangkitkan kemarahan rakyat dan mencetus pergaduhan antara rakyat dengan polis.Akhirnya pihak kerajaan mengarahkan pihak tentera untuk memulihkan keamanan masyarakat.Insiden Tiananmen ini telah menyebabkan Teng Xiaoping dilucutkan semua jawatan dalam parti tetapi masih mengekalkan keahlian dalam PKC.
            Pada 9 September 1976, Mao Tse-tung telah  meninggal dunia manakala Hua Guo-feng telah dilantik sebagai pengerusi. Hua Guo-feng telah mengarah untuk menangkap “Gang of Four” yang diketuai oleh Jiang Ch’ing manakala tiga lagi ahlinya ialah Zhang Chunqiao, Wang Hongwen dan Yao Wenyuan. Mereka telah ditangkap pada Oktober 1976 dan dibicara pada tahun 1980.Akhirnya Teng Xiaoping telah mengembalikan kuasanya secara beransur-ansur dengan mengetepikan kepimpinan Hua Guo-feng.
           

2.3 Kesan-kesan  Revolusi Kebudayaan


            Keamanan masyarakat telah merosot dan terjejas.Kebanyakkan golongan media, sastera dan akademik telah menjadi mangsa keganasan Pengawal Merah.Menurut data kematian China telah menyatakan bahawa kematian luar biasa pada era Revolusi Kebudayaan ialah sekira 1,728,000 orang. Antara ahli parti telah menyumbang sebanyak 9.4% , iaitu sekira 162,000 orang manakala golongan dari sektor profesional dan pendidikan pula menyumbang sebanyak 15%, iaitu 252,000 orang.[18]Penganiayaan yang dialami oleh penduduk adalah lebih serius daripada golongan yang disebut di atas.Konflik antara pekerja dan petani dengan Pengawal Merah semakin sengit.Sumber keselamatan awam pula berada pada tahap yang genting.
            Pada Februari 1964, Mao Tse-tung telah menuntut untuk membuat pembaharuan atas sistem peperiksaan, kaedah pengajaran dan kursus-kursus sekolah.Akhirnya Jawatankuasa Pusat PKC telah menurut arahan Mao Tse-tung dengan memendekkan tahunpengajaran dan mengurangkan kursus-kursus yang ditawar di sekolah.[19]Ia lebih menekankan pendidikan politik dan kekuatan fizikal seseorang.
            Dalam bidang pendidikan telahmengalami beberapa masalah iaitu kekurangan sumber pengajaran dan perguruan serta ketidakcukupan peruntukan kewangan dalam sektor pendidikan.Masalah tersebut telah menjejaskan kualiti pengajaran.Selain itu, sekolah-sekolah dan kolej telah ditutup manakala segala aktiviti akademik telah dihentikan pada masa Revolusi Kebudayaan.Jumlah graduan telah berkurang dan ilmu pengetahuan tidak dipentingkan pada masa tersebut di mana kebanyakkan daripada mereka lebih menekankan isu-isu politik.
            Negara China telah mengawalkan penghasilan, pembahagian dan penggunaan hasil produk pertanian.Petani merupakan buruh yang dibawah kawalan kerajaan.Mereka tidak dapat menikmati dan mengumpulkan harta persendirian.Kebanyakkan mereka kehilangan motivasi dan dorongan dalam aktiviti ekonomi.Kerajaan telah mengawalkan pembangunan dan pentadbiran negara.
            Sebenarnya, kebajikan dan taraf hidup di bandar adalah lebih tinggi daripada mereka yang tinggal di kampung.Keadaan politik yang huru-hara telah mempengaruhi pembangunan ekonomi.Bermula pada tahun 1958, jumlah purata pendapatan rakyat tidak meningkat.Sehingga keakhiran Revolusi Kebudayaan terdapat seramai 800,000 ribuorang petani di China tetapi jumlah purata pendapatan tahunan bagi seorang petani hanya sebanyak 76 Ren mingbi.[20]Defisit kewangan negara semakin bertambah dan menyebabkan berlakunya inflasi.
           

3.0 Kesimpulan


          Revolusi Kebudayaan sebenarnya telah mencetuskan kemusnahan yang lebih besar daripada pembinaan dan pembangunan negara.Tindak-tanduk Pengawal Merah yang kejam telah menjejaskan keselamatan awam dan kebanyakkan rakyat telah menjadi mangsa dibawah Revolusi Kebudayaan.Selain itu, berlaku juga pertelingkahan antara ahli dalam kumpulan Pengawal Merah itu sendiri.Perpecahan dalam Pengawal Merah wujud kerana berlakunya persaingan dalam kumpulan yang mendakwa bahawa mereka ialah pengikut Mao Tse-tung yang sebenar.
            Dalam Revolusi Kebudayaan Pengawal Merah telah kehilangan sikap rasional.Keganasan mereka telah menyebabkan kebanyakan rakyat China mengalami penderitaan.Revolusi ini telah membawa kesan-kesan yang negatif dalam beberapa aspek.Antaranya ialah aspek ekonomi, politik, sistem pendidikan dan keselamatan sosial.Keadaan politik yang huru-hara dan ketidakstabilan ekonomi telah menjejaskan perkembangan dan pembangunan China.Selain itu, ketidakcekapan dalam sistem pendidikan juga menyebabkan kualiti pelajar semakin jatuh.
            Selain itu, segala taktik telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin yang ingin merampas kuasa.Keadilan telah dilupa dalam kalangan mereka yang hanya ingin menguasai kedudukan dan kekuasaan tertinggi dalam parti.Pada Ogos 1977 telah mengumumkan keakhiran Revolusi Kebudayaan yang telah berlaku selama 10 tahun dan 5 bulan ini.

4.0 Bibliografi


1.         Anna Louise Strong, Letter from China, Numbers 64 – 65, May 8, 1969.
2.            Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.
3.         Domes, Jurgen, The Internal Politics of China 1949-1972, New York, Praeger, 1973.
4.         Hsu, Immanuel, The Rise of Modern China, Oxford University Press, New York, 1995.
5.         Keith Buchanan, The Chinese People and the Chinese Earth, G. Bell and Sons Ltd, London, 1966.
6.         Meisner, Maurice, Mao’s China: A History of the People’s Republic, The Free Press, New York, 1999.
7.         Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009.



[1]Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009.Halaman 199.
[2] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009. Halaman 198.
[3]Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009. Halaman 200.
[4]Ibid, Halaman 200.
[5]Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009.Halaman 201.
[6] Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 832.
[7]Ibid, Halaman 840.
[8] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009.
Halaman 201
[9] Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 841.
[10]Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 842.
[11]Ibid, Halaman 843.
[12] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009. Halaman 201.
[13]Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 846.
[14] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009. Halaman 202
[15] Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 847.
[16] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009. Halaman 204.
[17]Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 848.
[18]Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 833.
[19]Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 835.
[20]Chen Yong Fa, Zhong Guo Gong Chan Ge Ming 70 Nian, Penerbitan Lian Jing, Taiwan, 2001.  
Halaman 836.

1 comment:

  1. terima kasih atas pengisian maklumat ini. mohon saya guna maklumat ini adalah untuk menyiapkan kajian tugasan universiti saya.

    ReplyDelete

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...