Thursday, 20 June 2013

Dasar SBUB terhadap pendidikan di Sabah

By : Nurul Hidayah Daud

Bincangkan dasar Syarikat Berpiagam Borneo (SBUB) terhadap perkembangan pendidikan di Sabah.

PENGENALAN
Sebelum kedatangan Barat di Sabah, Sabah berada di bawah kekuasaan kesultanan Brunei dan juga kesultanan Sulu. Kekayaan sumber ekonomi yang terdapat di Sabah telah menarik kedatangan orang Barat khususnya Inggeris ke Sabah pada tahun 1773 dengan menduduki Pulau Balambangan di utara Sabah Pulau ini terletak di bawah kekuasaan Kesultanan Sulu. Pada tahun 1872, Sultan Brunei telah menyerahkan sebahagian besar tanah yang terletak di utara Sabah kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB) yang merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Albert Dent dan syarikat ini telah diberi piagam oleh kerajaan British pada tahun 1881 untuk menjalankan pemerintahan sendiri di Sabah dan disertai syarat pemerintahan tersebut haruslah mematuhi dasar kerajaan Inggeris dan menghantar laporan kepada Pejabat Tanah Jajahan[1]. Pendidikan di Sabah pada peringkat awal hampir sama dengan pendidikan yang terdapat di Tanah Melayu.

PENDIDIKAN DI SABAH SEBELUM KEDATANGAN BRITISH
Pada peringkat awal pendidikan di Sabah lebih bersifat tidak formal dan bersifat tradisional. Kebanyakan kanak-kanak mendapat pendidikan tidak formal melalui apa yang diajar oleh ibu bapa mereka. Antara ilmu yang diajar ialah cara memburu, meramu, menguruskan rumahtangga dan pelbagai lagi. Biasanya ilmu ini diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Bapa akan menurunkan ilmu pengetahuan seperti berburu, menternak, menjadi nelayan dan sebagainya kepada anak lelaki. Ibu pula akan menurunkan ilmu seperti memasak, mengetam padi, mengemas rumah dan sebagainya kepada anak perempuan mereka. Kebiasaannya ilmu sebegini diturunkan dengan harapan si anak akan mewarisi pekerjaan mereka. Ilmu pertahanan diri seperti silat serta ilmu pendukunan turut diturunkan kepada anak-anak mereka. Pendidikan selalunya bersifat praktikal di mana ibubapa atau mereka yang lebih tua mengajar ilmu tersebut dengan mempraktikannya dan dilakukan secara lisan[2]. Bagi mereka yang beragama Islam pula mereka dihantar untuk mengaji pendidikan agama islam dan tulisan jawi dengan menjadikan surau atau masjid sebagai tempat belajar. Pendidikan agama Islam ini hasil warisan pengaruh kesultanan Brunei yang menekankan pendidikan Islam dalam kalangan orang Islam di pesisir Sabah. Antara pelajaran yang diajar adalah membaca al-quran, menafsir al-quran, asas metafizik, bahasa arab, tulisan jawi dan beberapa lagi. Bagamanapun pendidikan islam ketika ini belum dijalankan secara formal dan tidak mempunyai sistem yang khusus. Selain itu, mereka juga diajar mengenai adat istiadat dalam budaya masing-masing. Antaranya adat perkahwinan, adat menuai padi, kematian dan pelbagai lagi. Biasanya adat ini diajar oleh generasi tua. Hal ini jelas menunjukkan belum ada pendidikan secara formal yang diajar sebelum kedatangan British.

PENDIDIKAN  SEMASA PENTADBIRAN BRITISH
SBUB tidak begitu mementingkan pembangunan pendidikan di Sabah kerana ia tidak mendatangkan manfaat kepada mereka. Mereka lebih berminat membangunkan ekonomi di Sabah. SBUB hanya menyediakan pendidikan pada peringkat rendah sahaja kerana usaha menyediakan pendidikan tinggi dilihat tidak memberi keuntungan kepada mereka. Pada ketika itu, SBUB juga sedang berdepan dengan masalah kewangan ini menyebabkan mereka sukar menumpukan perkembangan pendidikan di Sabah. Pada peringkat awal, usaha ke arah perkembangan pendidikan masyarakat bumiputera dan orang Islam telah dilakukan oleh W. H Treacher yang merupakan gabenor pertama Sabah. Treacher cuba membuka sekolah agama Islam di Sandakan pada akhir 1881. Bagi menarik kemasukan pelajar, beliau telah melantik Syeikh Abdul Dalunan yang merupakan seorang imam dan guru untuk mengajar agama Islam dan bahasa Melayu. Malahan beliau sendiri sanggup mendermakan sebahagian gajinya untuk membiayai perbelanjaan sekolah tersebut dan menyediakan tapak untuk beroperasi[3]. Akan tapi usaha beliau gagal kerana tidak mendapat sambutan dari penduduk Islam di situ kerana mereka khuatir akan niat gabenor Treacher yang juga merupakan seorang Kristian dan bimbang anak mereka dipengaruhi oleh agama Kristian. Usaha tersebut juga gagal kerana mengalami kekurangan wang dan tiada kemudahan yang mencukupi.[4]
            Selain itu, terdapat juga usaha yang dilakukan oleh William Pryer yang merupakan pengasas bandar Sandakan. Beliau telah membuat tinjauan terdapat masyarakat Cina dan Islam mengenai keperluan pendidikan masyarakat tersebut[5]. Hasilnya, sebuah bilik di rumah setiausaha kerajaan Sabah ketika itu dijadikan sebagai bilik darjah dan mereka diberikan seorang guru iaitu Encik Yusof untuk mengajar membaca, mengira dan menulis. Masyarakat Eropah yang berada di Sabah ketika itu ada yang menyokong cadangan tersebut malah sudi menderma gaji guru tersebut sebanyak $18.00 sebulan. Buku-buku dan bahan mengajar diambil dari Singapura[6]. Bagaimanapun sekolah ini hanya menerima 9 orang pelajar dan akhirnya sekolah yang dibuka pada 9 Ogos 1886 ini terpaksa ditutup pada tahun 1887 berikutan kurang sambutan yang diterima serta alasan yang sama seperti penutupan sekolah lain. Hal ini disebabkan orang Eropah yang lainnya menghantar anak mereka ke sekolah misi yang didirikan oleh mubaligh Kristian. Selepas itu tiada lagi usaha dilakukan oleh pihak SBUB untuk membina sekolah bagi orang Islam dan masyarakat bumiputera kerana melihat tidak ada keperluan bagi masyarakat ini mendapatkan pendidikan. Walau bagaimanapun, pihak SBUB tetap membenarkan dan tidak menghalang sekolah ditubuhkan di Sabah dan peranan penubuhan ini dimulakan oleh mubaligh Kristian.

SEKOLAH KRISTIAN (SEKOLAH MISI)
Bagaimanapun usaha mengembangkan pendidikan di Sabah tidak terhenti sebegitu sahaja malah diteruskan dengan peranan mubaligh Kristian. Tujuan utama penubuhan sekolah-sekolah ini ialah menyebarkan agama Kristian dalam kalangan penduduk Sabah dan mereka percaya pendidikan merupakan medium terbaik untuk menyebarkan agama Kristian. Kepelbagaian mazhab dalam aliran agama Kristian menyebabkan mereka saling berlumba-lumba mendirikan gereja dan mengumpul jumlah pengikut. Antara badan dakwah Kristian yang aktif ialah Society for the Propagation of the Gospel (S.P.G) dari mazhab Angelican, St. Joseph’s Foreign Missonary Society dari mazhab Roman Katolik serta Borneo Basel Self-established Church dari mazhab Basel.
            Pada peringkat awal pihak SBUB juga tidak mempedulikan penubuhan sekolah Kristian dan atas inisiatif golongan mubaligh ini, mereka dapat menubuhkan sekolah Kristian yang menggunakan bahasa penghantar Inggeris. Penubuhan sekolah ini telah mendapat kebenaran surat bertulis daripada Chartered Company untuk menjalankan kerja mereka pada tahun 1881. Sekolah Kristian yang ditubuhkan menyasarkan golongan Cina dan Eropah bagi mengembangkan lagi ajaran mereka. Antara yang diajarkan ialah kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M)[7]. Sekolah Kristian pertama di Sabah merupakan sekolah mubaligh katolik iaitu St.Mary yang telah ditubuhkan oleh Father Pundleider di Sandakan pada tahun 1883 namun ditutup pada tahun 1884. Hal ini kerana sekolah tersebut hanya mempunyai lima orang penuntut ketika itu. Sekolah ini kembali dibuka semula pada tahun 1887 oleh Father Byron[8]. Pada peringkat awal cuma seorang sahaja namun setahun kemudian ia telah meningkat kepada 12 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum[9]. Sekolah Angelikan  Prostestent yang pertama pula iaitu St Michael Boy’s School juga didirikan di Sandakan  pada tahun 1887 oleh Rev W.H Elton. Pada peringkat awal, cuma seorang pelajarnya dan seorang guru. Guru tersebut mengajar Bahasa Inggeris kepada pelajar tersebut manakala pelajar tersebut mengajar bahasa China kepada cikgu tersebut[10]. Bagi membantu pentadbiran sekolah tersebut seorang pelajar bernama Fok Yee dari pelajar St.Thomas telah dihantar ke Sabah oleh Biskop Hose. Sambutan terhadap sekolah ini semakin meningkat kepada 80 orang murid pada tahun 1894.
            Sekolah lain yang ditubuhkan oleh paderi iaitu Convent Girl School di Inabong yang dikendalikan oleh 4 orang sister yang didirikan untuk pendidikan kanak-kanak perempuan. Namun begitu sekolah tersebut menerima nasib yang sama seperti yang lain iaitu kurang sambutan dari penduduk. Tahun 1883 menyaksikan gereja Basel telah membuka sekolah St. Peter. Penubuhan sekolah ini dianggap titik perkembangan pendidikan di Sabah. Namun begitu pendidikan tersebut hanya terdiri daripada anak orang Cina dan orang Eropah. Bagi mengatasi  masalah pendidikan di kawasan pendalaman, mereka telah membangunkan sekolah di Inabong untuk pendidikan kaum Kadazan. Sekolah ini menggunakan pendekatan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dan menggunakan bahasa penghantar bahasa Inggeris dan bahasa Dusun dialek Kadazan. Namun begitu sekolah ini terpaksa ditutup disebabkan kekurangan pelajar.  Pada tahun 1897 pula, SPG Mission telah membuka sekolah di Keningau namun turut ditutup pada tahun 1899.[11]
“Thus two christian denominations –the roman catholic and the anglican were already active in the field missionary work and education when the charterd company was granted its charter in 1881[12]

Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa dominannya pihak Kristian mengembangkan pendidikan di Sabah. Selain itu, sekolah Inggeris iaitu Basel English School dibuka di Sandakan pada tahun1912. Pada peringkat awal kerajaan tidak begitu mementingkan pendidikan dengan menolak permohonan bantuan sebanyak $5000.
            Menjelang 1900, sekolah agama Kristian lebih banyak dibuka dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pertambahan sekolah-sekolah ini menyebabkan pihak SBUB menubuhkan Jabatan Pelajaran pada tahun 1909 bagi menguruskan sekolah-sekolah ini sekaligus memantau pergerakan sekolah ini. Jabatan pelajaran tersebut diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Pelindung Hal Ehwal Orang Cina[13]. Hal ini kerana pihak SBUB sudah mula bimbang akan pertambahan sekolah ini akan mengancam kedudukan mereka dan adalah perlu untuk mengawal perkembangan terbabit. Dua orang nazir sekolah telah dilantik untuk bertugas di pantai timur dan barat. Pihak SBUB telah memberi bantuan kepada sekolah mengikut jumlah murid yang mendaftar. Setiap murid sekolah misi diberi bantuan wang subsidi kerajaan sebanyak $1.50 dari kerajaan. Pada tahun 1913, seorang ketua dari kalangan nazir-nazir sekolah negeri Sabah pula telah dilantik. Sekolah-sekolah yang mengajar bahasa Inggeris diberikan bayaran $1 hingga $6 sehingga ke darjah 6 manakala bayaran untuk sekolah yang masih mengajar Bahasa Melayu, Dayak dan Cina masih $1.50[14]. Jumlah keseluruhan bantuan yang diberikan  753 orang murid ialah $2672. Sekurang-kurangnya 49 buah sekolah mubaligh ini telah ditubuhkan di Sabah menjelang tahun 1939. Ketika ini dianggarkan lebih kurang 3700 orang pelajar belajar di sekolah tersebut. Terdapat juga sekolah yang dibina oleh mubaligh Kristian untuk anak-anak masyarakat Dusun. Contohnya ialah sekolah St.Augustine Inabong (1891) yang didirikan untuk murid lelaki, sekolah St.Joseph, sekolah St.Aloysius dan beberapa sekolah lain.[15]
 Jadual 1: Bilangan pelajar  di Sekolah Misi pada tahun 1905
Badan Dakwah
Tempat
Lelaki
Perempuan
Jumlah
St Joseph’s Foreign Missinonary Society
Sandakan
43
39
82
Mill Hill Fathers (Roman Catholic)(R.C)
Jesselton
32
-
32

Papar
36
21
57

Putatan
60
-
60

Jumlah
171
60
231
Society for the Propagation of the Gospel (S.P.G)
Sandakan
49
11
60

Kudat
35
13
48

Jesselton
17
-
17

Labuan
27
-
27

Jumlah
128
24
152
Borneo Basel Self-established Church
Kudat*
17
7
24

Kudat**
13
3
16

Papar
15
-
15

Jesselton
12
-
12

Jumlah
57
10
67
JUMLAH BESAR
450
Nota  * Penempatan lama
         **Penempatan kawasan pelabuhan
Sumber:Commemorative History of Sabah,1881-1981,1981:475

Jadual 2 : Bilangan Sekolah mengikut Bahasa Pengantar  pada 31.12.1920

Bil
Bahasa Pengantar
Sekolah Gereja
Bilangan Pelajar (Orang)
1
Bahasa Inggeris
Anglican
244


Katolik
354


Basel
16
2
Bahasa Cina
Anglican
67


Basel
163


Katolik
-
3
Bahasa Dusun
Katolik
140


JUMLAH BESAR
984
                                Sumber:Commemorative History of Sabah,1881-1981,1981:474
SEKOLAH LATIHAN ANAK-ANAK KETUA ANAK NEGERI
Bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam pentadbiran, pihak SBUB telah menubuhkan sekolah khas di Jeselton (Kota Kinabalu) bagi melatih golongan anak bangsawan seperti anak-anak Ketua Anak Negeri untuk menjadi pegawai tadbir pada peringkat rendah pada tahun 1915. Sekolah ini merupakan sekolah pertama yang ditubuhkan oleh pihak SBUB di bawah Jabatan Pelajaran. Sekolah ini memberi latihan kepada anak-anak Ketua Anak Negeri untuk menjadi pegawai tadbir peringkat rendah. Idea penubuhan sekolah ini dicadangkan oleh A.C Pearson. Beliau menyatakan bahawa SBUB seharusnya memberi peluang kepada anak-anak ketua bumiputera (anak-anak Ketua Anak Negeri) untuk berkhidmat dalam pentadbiran SBUB. Dalam cadangannya juga, tiada tempoh latihan yang dihadkan namun ia terpulang kepada pelajar itu sendiri. Murid di sekolah ini dicadangkan menerima elaun sebanyak $120.00 setahun untuk sara diri, pakaian dan tempat tinggal. Sekolah ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Antara kurikulum yang diajar ialah membaca, menulis dan mengira. Sesi pengajaran dilakukan di bangunan polis dan diajar oleh seorang guru Melayu. Mereka yang berjaya tamat akan diberikan sijil tamat latihan.[16]
            Kebanyakan mereka yang menerima pendidikan ini terdiri daripada masyarakat Melayu dan bumiputera seperti Kadazan dan Murut. Lepasan sekolah ini akan diserapkan dalam pentadbiran SBUB sebagai kerani, dan jawatan paling tinggi disandang oleh lepasan sekolah ini ialah Ketua Anak Negeri. Pada tahun 1930, sekolah latihan ini ditutup setelah pihak SBUB tidak melihat kepentingannya lagi dan berikutan ramai ketua Anak Negeri tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah ini sebaliknya menghantar anak mereka ke sekolah vernakular di tempat masing-masing. Menurut Sabihah Osman lagi, penutupan sekolah latihan ini dikaitkan dengan beberapa faktor. Antaranya ialah pentadbiran SBUB di daerah-daerah di Sabah tidak lagi bergantung kepada Ketua Anak Negeri yang berpengaruh dan berpengalaman. Kedua, wang yang diperuntukan untuk sekolah ini boleh digunakan untuk menambah bilangan sekolah vernakular yang sedia ada. Ketiga, pengajaran bahasa inggeris boleh dilakukan di sekolah-sekolah mubaligh Kristian dan terakhir sekolah ini boleh ditukar statusnya kepada sekolah Vernakular[17]. Penutupan sekolah ini memberi kesedaran kepentingan pendidikan kepada masyarakat bumiputera seperti Kadazan dan Murut. Hal ini kerana melalui pendidikan yang diterimalah, anak-anak mereka mampu mempunyai pendapatan yang agak lumaya dan menyebabkan mereka menghantar anak mereka belajar di sekolah misi.


SEKOLAH MELAYU & BUMIPUTERA
Apabila melihat kerancakan pendidikan masyarakat China sekolah Kristian, barulah orang melayu berminat untuk melakukan perkara yang sama. Apabila timbul cadangan oleh pihak SBUB untuk membina  sekolah vernakular, seorang peniaga iaitu Abu Bakar sudi menawarkan tapak sekolah vernakular dengan percuma. Hal ini menunjukkan kesungguhan masyarakat Melayu yang mahu pendidikan diberikan kepada anak-anak mereka. Pada sekitar 1901-1904, gabenor ketika itu Ernest W Birch mencadangkan pembinaan sekolah vernakular. Dalam cadangannya, SBUB perlu membina sekurang-kurangnya 6 buah di pantai Barat Sabah. Sekolah ini perlu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahas pengantar dan melantik guru yang terdiri daripada Melayu, Cina dan Dayak. Antara kurikulum yang dicadngkan ialah kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, ilmu pertanian, kesihatan, perniagaan, perikanan dan pelbagai lagi. Birch memohon bantuan kerajaan sebanyak $5000 untuk membuka sekolah tersebut namun tidak dilulukan oleh WC Cowie dengan alasan tiada keperluan mendesak untuk membina sekolah tersebut dan dilihat tiada kepentingan ketika itu[18]. Akhirnya rancangan itu terbiar sahaja.
            Namun begitu sehingga 1915, tiada sekolah vernakular yang didirikan. Sebelum British memperkenalkan dasar sekolah vernakular, orang Melayu telah mendirikan sekolah di Sepital pada tahun 1918. Masyarakat Melayu di Semporna telah mendesak agar permohonan mendirikan sekolah untuk anak-anak melayu diluluskan namun perkara tersebut tidak dipedulikan British kerana British bimbang jika permohanan tersebut diluluskan, lebih ramai lagi akan melakukan perkara yang sama. Bagaimanapun sekolah tersebut tetap dibina walaupun tidak mendapat kebenaran dari pihak SBUB[19]. Perkembangan sekolah Bumiputera pula sangat lambat. Pada tahun 1921, barulah SBUB membina sekolah vernakular Melayu yang pertama di Sabah yang terletak di Kota Belud walaupun cadangan terhadapnya sudah lama dikemukakan oleh E.W Birch. Tahun 1924 pula menyaksikan Sekolah Bumiputera Keningau ditubuhkan. Menjelang tahun 1930, hanya 10 buah sekolah Melayu ditubuhkan bagi menampung 400 orang murid ketika itu.

SEKOLAH CINA
Sekolah Cina pula didirikan oleh inisiatif masyarakat Cina dengan bantuan kewangan saudagar-saudagar. Hal ini kerana pihak SBUB tidak mempedulikan pendidikan masyarakat Cina. Oleh itu, sukatan pelajaran, buku teks dan gurunya dari China dibawa ke Sabah untuk mengajar di sekolah tersebut. Bahasa penghantar di sekolah tersebut ialah Bahasa China. Bagi menampung kewangan sekolah tersebut, yuran telah dikenakan.[20] Antaranya sekolah Lok Yu pada tahun 1901. Selain dari sekolah aliran Cina ini masyarakat Cina turut mendapat pendidikan di sekolah-sekolah misi[21].

PERUBAHAN DASAR PENDIDIKAN BRITIISH
Pada tahun 1934, berlaku perubahan dalam dasar pendidikan SBUB. Perubahan berlaku disebabkan gabenor ketika itu JD Jardine. Dasar pendidikan yang dibuat oleh JD Jardine ini kekal beberapa tahun. Akan tetapi dengan kekurangan peralatan dan tenaga pengajar mutu pendidikan Sabah tetap pada tahap yang rendah. Mungkin disebabkan dasar pendidikan tersebut tidak mendedahkan sangat masyarakat tempatan kepada pendidikan melalui pengalaman. Pendidikan di Sabah sudah hampir 14 tahun namun  hanya 321 orang sahaja yang bersekolah ketika itu. Mata pelajaran kesihatan, pendidikan jasmani (senaman) dan permainan dimasukkan dalam kurikulum sekolah. SBUB mula memberi bantuan pakaian seragam untuk murid-murid sekolah. Sejak itu sekolah makin bertambah dan sekolah baru dibuka di Tuaran, Semporna, Ranau dan Bingkor. Sekolah Kota Belud dibuka kembali pada tahun 1936 manakala Sipitang 1937. Guru dari Sultan Idris Training College dibawa masuk ke Sabah. JP Jardine memperkenalkan ilmu matemetik, pertukangan seperti membuat bakul, pertanian turut diajar. Pelajar yang berkelayakan diberi biasiswa sebanyak $180 untuk meneruskan persekolahan[22].
            Ketua anak negeri mencadangkan bahasa Inggeris diajar di sekolah vernakular tapi ditolak oleh pentadbiran SBUB. Hal ini disebabkan dasar kerajaan Inggeris yang tidak menggalakkan anak tempatan mempelajari bahasa Inggeris. Pada 1939, syarikat berpiagam menyatakan mereka tidak mahu memberi bantuan kepada sekolah mubaligh dan berhasrat guna sumber yang sedia ada untuk tingkatkan pendidikan asas sekolah vernakular dan memperkenalkan pendidikan wanita serta mendirikan lebih sekolah vernakular kerajaan dan sekolah menengah namun tidak terjadi akibat meletusnya perang dunia kedua. Setelah tamat perang dengan Jepun, SBUB menyedari banyak kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di Sabah dan ia mendatangkan kerugian kepada SBUB dan disebabkan itu SBUB menyerahkan kembali Sabah ke tangan British.



KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, pihak SBUB tidak begitu mementingkan pendidikan di Sabah yang dianggap tidak menguntungkan mereka. Mereka lebih menumpukan pembangunan ekonomi di Sabah yang dilihat lebih bermanfaat kepada mereka. Hal ini kerana SBUB adalah syarikat berpiagam yang bermatlamatkan keuntungan Pendidikan di Sabah boleh dikatakan kurang maju berbanding pendidikan yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan Sarawak. Pendidikan yang disediakan cumalah peringkat rendah sahaja. Penutupan banyak sekolah pada peringkat awal jelas menunjukkan kurangnya kesedaran masyarakat Sabah khususnya bumiputera akan kepentingan pendidikan. Faktor pengangkutan turut menyukarkan mereka untuk mendapatkan peluang pendidikan disebabkan kebanyakan sekolah di Sabah dibina di bandar-bandar utama sedangkan mereka kebanyakannya tinggal di pendalaman. Hal ini membuktikan perkembangan pendidikan di Sabah agak jauh ketinggalan berbanding sekolah-sekolah lain di Semenanjung Tanah Melayu. Sikap pentadbiran SBUB yang tidak begitu kisah terhadap pendidikan di Sabah telah menyukarkan keadaan kini. Pihak SBUB dilihat bersikap pilih bulu dalam memberi bantuan pendidikan di Sabah di mana peruntukan yang diberikan mengikut jumlah murid dan sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris diberi lebih banyak bantuan. 




RUJUKAN

1.      Caroline Aegedius, 2003, Dasar Pendidikan British di Sabah 1945-1963, Kuala Lumpur, Jabatan Sejarah, FSSS , Universiti Malaya.

2.      Mohd. Nor. Long, 1982,  Perkembangan Pelajaran di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka

3.      Sabihah Osman, 1981. “The Development of Native Education in Sabah 1881-1981” Kertas kerja yang       belum diterbitkan, dibentang dalam Seminar Sejarah cawangan Sabah.

4.      Haizirah Mohd Hairi, 2009, Perkembangan Pendidikan Cina di Kudat 1963-2000, Universiti Malaysia        Sabah.

5.      K.G Tregonning, 1958, Under Chartered Company Rule: North Borneo, 1881-1946, Singapura,      Universiti of Malaya Press.

6.      K.M George, 1988, Historical Development of Education in a Developing State: Sabah from 1881-1981,    Columbia Pacific University

7.      D.S. Ranjit Singh, 2000, The Making of Sabah, 1865-1941:The Dynamics of Indigenous Society, Kuala             Lumpur,University Of Malaya Press.

8.      Dayu Sansulu, 2008, Kadazandusun di Sabah : Pendidikan dan Proses Pembangunan 1881-1967, Kuala   Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka





[1] Mohd. Nor. Long, 1982,  Perkembangan Pelajaran di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn 5
[2] Caroline Aegedius, 2003, Dasar Pendidikan British di Sabah 1945-1963, Kuala Lumpur, Jabatan Sejarah, FSSS , Universiti Malaya,hlmn 22

[3] Dayu Sansulu,  2008,  Kadazandusun di Sabah : Pendidikan dan Proses Pembangunan 1881-1967, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn 127
[4] ibid
[5] K.G Tregonning, 1958, Under Chartered Company Rule: North Borneo, 1881-1946, Singapura, Universiti of Malaya Press, hlmn 137.
[6] Mohd. Nor. Long, 1982,  Perkembangan Pelajaran di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn 10
[7] Dayu Sansulu, 2008, Kadazandusun di Sabah : Pendidikan dan Proses Pembangunan 1881-1967, Kuala       Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,hlmn 130
[8] Caroline Aegedius, 2003, Dasar Pendidikan British di Sabah 1945-1963, hlmn 27
[9] ibid, hlmn 30
[10] Dayu Sansulu, 2008, Kadazandusun di Sabah : Pendidikan dan Proses Pembangunan 1881-1967, hlmn 131
[11] ibid,hlmn 132         
[12] K.M George, 1988, Historical Development of Education in a Developing State: Sabah from 1881-1981, Columbia Pacific University, hlmn 469
[13] Mohd. Nor. Long, 1982,  Perkembangan Pelajaran di Sabah, hlmn 10
[14]Caroline Aegedius, 2003, Dasar Pendidikan British di Sabah 1945-1963, hlmn 47
[15] Dayu Sansulu, 2008, Kadazandusun di Sabah : Pendidikan dan Proses Pembangunan 1881-1967, hlmn 139
[16] Sabihah Osman, 1981. “The Development of Native Education in Sabah 1881-1981”, Kertas kerja yang belum diterbitkan, dibentang dalam Seminar Sejarah cawangan Sabah.,hlmn 10

[17] ibid, hlmn 11
[18] K.G Tregonning, 1958, Under Chartered Company Rule: North Borneo, 1881-1946, Singapura,   Universiti of Malaya Press, hlmn 177
[19] Dayu Sansulu, 2008, Kadazandusun di Sabah : Pendidikan dan Proses Pembangunan 1881-1967, hlmn 145
[20] Dayu Sansulu, 2008, Kadazandusun di Sabah : Pendidikan dan Proses Pembangunan 1881-1967, hlmn 129
[21] Haizirah Mohd Hairi, 2009, Perkembangan Pendidikan Cina di Kudat 1963-2000, Universiti Malaysia Sabah, hlmn 12
[22] Caroline Aegedius, 2003, Dasar Pendidikan British di Sabah 1945-1963, hlmn 50

2 comments:

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...