Saturday, 22 June 2013

Kepincangan dalam pentadbiran Kemaharajaan China menyebabkan rakyat China memberi sokongan kepada gerakan Taiping. Bincangkan.

by : Nurul Hidayah
PENGENALAN
Dinasti Chi’ng pada peringkat awalnya dikenali sebagai Dinasti Chin didirikan oleh orang Manchu setelah mereka menakluki empayar China. Pemerintahan Dinasti Chi’ng berlangsung hampir 267 tahun iaitu pada tahun 1644 sehingga tahun 1911. Dinasti Ching mencapai kegemilangan ketika zaman pemerintahan Maharaja K’ang Hsi (1622 – 1722), Maharaja Yun-cheng (1723 – 1735) dan Maharaja Chi’en-lung (1736 – 1795)[1]. Bagaimanapun, pada penghujung pemerintahan Chi’en-lung, Dinasti Chi’ng mula menunjukkan bibit kemerosotan apabila pembesar China iaitu Ho-shen mula mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa[2]. Pada masa yang sama, China mula mengalami masalah terutamanya dari segi ekonomi apabila tanah China kurang subur sedangkan jumlah penduduknya semakin bertambah. Hal ini bertambah buruk setelah kuasa barat memasuki China menjelang pertengahan abad ke 19. Pada ketika itu, China mengalami ancaman dari luar khususnya negara Barat apabila berlakunya banyak peperangan seperti Perang Candu dan Perang Arrow. Kelemahan pentadbiran maharaja China menangani pelbagai masalah yang berlaku ketika itu membuatkan ramai rakyat China percaya dinasti Chi’ng telah kehilangan mandat dari syurga dan mereka mula bangkit memberontak dengan menyertai Gerakan Taiping.
            Gerakan Taiping yang dipelopori oleh seorang petani yang berketurunan Hakka dari Selatan China yang bernama Hung Hsiu-chuan. Hung Hsiu-chuan merupakan seorang pelajar yang cerdik dan beliau telah menyebabkan keluarganya menaruh harapan tinggi agar beliau menjawat jawatan penting dalam pentadbiran Dinasti Chi’ng sekaligus mengubah taraf hidup keluarganya[3]. Oleh itu, beliau telah dihantar menduduki peperiksaan sheng-yuan iaitu peperiksaan untuk mengambil pegawai baru. Namun begitu, beliau telah gagal sebanyak 4 kali dalam peperiksaan tersebut. Hal ini telah menyebabkan beliau mulai bosan dengan kerajaan dan kehidupan di China. Ketika berada di Canton, beliau telah bertemu dengan paderi Kristian Protestan dan seterusnya mempelajari doktrin Kristian selama dua bulan. Beliau akhirnya jatuh sakit selama empat hari pada 1838 dan ketika sakit, beliau mengalami mimpi yang akhirnya merupakan antara pencetus permulaan pergerakan Taiping. Dalam mimpi tersebut, beliau mendakwa bahawa beliau telah menemui seorang lelaki tua yang dipercayai tuhan yang telah menyuruh beliau untuk menghapuskan kejahatan[4]. Beliau akhirnya memeluk agama Kristian dan dengan bantuan Feng Yun-shan ,beliau membentuk ideologi baru yang digelar sebagai Negara Syurga[5]. Sebenarnya masalah dalaman yang dihadapi oleh kerajaan China khususnya Dinasti Chi’ng ini bukanlah perkara baharu malah ianya telah lama wujud sejak awal pemerintahannya lagi. Hal ini berpunca dari sikap kurang puas hati orang China terhadap orang Manchu yang menakluki empayar mereka. Hal ini dapat dipamerkan menerusi penubuhan kumpulan seperti persatuan teratai putih dan beberapa persatuan kongsi gelap yang lain yang menjalankan pemberontakan secara kecil-kecilan[6]. Antaranya gerakan pemberontakan Nien dan kebangkitan Tungan. Bagaimanapun pemberontakan tersebut tidak berjaya berikutan pertubuhan sedemikian tidak mempunyai matlamat yang jelas sehinggalah tertubuhnya gerakan Taiping. Kebangkitan gerakan Taiping dikatakan wujud tepat pada waktu dan kepincangan yang berlaku ketika itu menyebabkan ramai rakyat memihak kepada Gerakan Taiping. Gerakan Taiping dilihat oleh rakyat China mampu membawa China keluar dari kemunduran dan masalah yang berlaku. Persoalan faktor utama rakyat memihak kepada gerakan Taiping akan diutarakan lebih lanjut dalam isi seterusnya.
Faktor kelemahan pemerintahan  Dinasti Chi’ng
Kelemahan sistem pentadbiran Dinasti Ching ketika itu telah membuka ruang kepada gerakan Taiping meraih sokongan dari rakyat China. Antaranya berlaku penyelewangan kuasa dalam kalangan para pengawainya. Gejala rasuah dan sikap pentingkan diri dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya pada akhir abad ke 19. Sebenarnya, gejala rasuah ini dapat dilihat sejak zaman pemerintahan Maharaja Chi’en Lung lagi, di mana pembesarnya ketika itu, Ho Shen dianggarkan memiliki harta hampir 800 juta tahil hasil rasuah yang dilakukan. Perbuatan Ho Shen dianggap simbol rasuah yang terbesar berlaku ketika itu. Masalah rasuah yang berleluasa membuatkan Maharaja Yung-cheng mengambil tindakan untuk mengurangkan masalah yang berlaku. Tindakannya seperti memberi hadiah kepada para pembesarnya sebagai galakan kepada para pembesarnya dalam melaksanakan tanggungjawab. Namun, tindakan Maharaja Yung-cheng tu sebenarnya telah memburukkan situasi rasuah ketika itu kerana ia menyebabkan para pembesarnya mula mengharapkan hadiah[7]. Pembesar China turut mementingkan diri dengan menyalahgunakan bantuan kewangan yang sepatutnya diberikan kepada mangsa banjir. Antara jabatan yang terlibat ialah “Yellow River Conservancy” dan “ Grand Canal Administration”. Ada juga pembesar China yang tidak menjalankan tugas dengan betul dan tidak membenarkan pegawainya mengadu kepada pentadbiran pusat. Contohnya, Ts’ao Chen-yung mengenakan hukuman kepada mereka yang ingin pergi mengadu ke pentadbiran peringkat atasan. Hal ini jelas menunjukkan sikap tindak bertanggungjawab yang dimiliki pembesar ketika itu[8].
            Selain itu, pentadbiran tentera juga tidak terkecuali dalam melakukan penyelewengan di mana peruntukan yang disediakan untuk tujuan ketenteraan telah disalahgunakan untuk kepentingan para pegawainya. Semasa perang Candu, terdapat beberapa peristiwa yang menyebabkan rakyat berpihak kepada gerakan Taiping ini. Antaranya ialah munculnya golongan tentera yang menyusahkan penduduk tempatan. Golongan tentera ini terdiri daripada 30000 lelaki dari Honan, Kiangsi, Hunan, Kwangsi dan beberapa wilayah lagi yang dihantar untuk berperang dalam perang Candu. Mereka tidak mahir berperang dengan orang Barat namun memberi masalah kepada penduduk tempatan dengan merampas barangan milik penduduk tempatan sesuka hati dan membuat kekacauan[9]. Hal ini menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadapnya. Peristiwa kedua ialah munculnya golongan militan dan sukarelawan patriotik yang membuat kacau dengan melakukan pemberontakan. Hal ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk akan keselamatan mereka. Peristiwa ini berlaku selepas Lin Wei hsi yang mati ditembak oleh tentera British. Sejurus kejadian itu kerajaan mengarahkan rakyat membeli senjata dan berlatih demi keselamatan diri. Selepas perang tamat, pasukan militan dan sukarelawan ini dibubarkan dan senjata-senjata api tersebut mula tersebar di rata-rata[10]. Hal ini membuatkan rakyat China berasa tidak selamat di bawah dinasti Ching.
            Terdapat juga gejala pembelian jawatan berlaku dalam pentadbiran Maharaja China.  Contohnya dengan hanya 1700 tahil mereka sudah mampu memasuki kelas tertinggi dan menambah sejumlah 1000 tahil mereka mampu menjawat jawatan majistret[11]. Gejala ini membolehkan mereka untuk menaiki tangga teratas jawatan pentadbiran tanpa perlu bersusah payah dan menduduki peperiksaan. Ada juga pegawai yang bersikap pilih bulu terhadap pemilihan jawatan menyebabkan rakyat China sukar  mendapatkan jawatan pegawai kerana pegawai tersebut lebih mengutamakan saudara mara mereka atau orang yang mempunyai kepentingan dengannya untuk memegang jawatan pegawai. Malah lebih memburukkan lagi masalah ketagihan candu yang dialami pembesar China juga menyebabkan pentadbiran China semakin tidak cekap dengan sikap para pembesar yang suka berjoli. Ada juga pegawainya melakukan kezaliman terhadap rakyat dengan melakukan peras ugut dan paksaan untuk mendapatkan duit dari rakyat dan ini menimbulkan tekanan sosial kepada masyarakat. Ramai di antara mereka jatuh miskin dan akibatnya ramai menjerumuskan diri dalam aktiviti jenayah
            Dasar pentadbiran yang dijalankan oleh dinasti Ching sejak dari awal lagi menganiya dan mendiskriminasi golongan orang asal China menyebabkan semangat kebangsaan dan semangat anti Manchu orang China begitu meluap dalam kalangan orang China. Hal ini berpunca dari sikap pentadbiran China yang tidak membenarkan orang China menjawat jawatan tinggi dalam pentadbiran China dan pegawai yang terdiri dari orang China dihantar bertugas di tempat yang berjauhan dengan asal kawasannya. Selain itu, pembesar China juga tidak dibenarkan memegang mana-mana jawatan  dalam tempoh lebih dari tiga tahun[12]. Hal ini kerana orang Manchu bimbang jika pegawai China bertugas di tempat asal mereka, mereka akan memperoleh sokongan dan pengaruh dari rakyat tempatan dan ianya akan menjadi ancaman buat dinasti Ch’ing dalam mempertahankan kekuasaannya dan secara tak langsung menambahkan masalah yang sedia ada.
Kegagalan menangani masalah dengan Barat
Kekalahan Dinasti Manchu di tangan kuasa Barat dalam Perang China – Inggeris Pertama yang berlangsung pada tahun 1839 sehingga 1842 dan menyebabkan China terpaksa menandatangani perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842. Hal ini telah secara tidak langsung dilihat telah memberi tamparan hebat ke atas China kerana merendahkan martabat kerajaan China dan menunjukkan ketidakupayaan Dinasti Manchu menangani kuasa asing[13]. Hal ini menyemarakkan kepercayaan umum mereka yang sememangnya anti Manchu bahawa Kerajaan Manchu sudah kehilangan mandat dari syurga. Mereka juga menganggap China juga sudah lemah dan tidak selamat diduduki. Perjanjian Nanking yang ditandatangi China telah membuka lebih banyak kedatangan kuasa luar ke China sekaligus campur tangan kuasa tersebut. Hal ini berlaku apabila kesemua pelabuhan di China telah dibuka kepada pedagang Barat kerana sebelum ini hanya pelabuhan Canton sahaja yang dibuka[14]. Hal ini secara tidak langsung memberi kesan dari sudut ekonomi kerana nilai matawang China jatuh. Kesan daripada masalah ini turut menyebabkan penggunaan candu yang kian berleluasa dalam masyarakat China.
Faktor ekonomi
Ekonomi negara China semakin merosot apabila berlaku ketidakeimbangan dalam pembahagian tanah pertanian dangan pertambahan penduduk yang semakin banyak. Contoh : 1751 – 163  juta jumlah penduduk 1851 – 432 juta  jumlah penduduk. Oleh itu jumlah pertambahan penduduk dan jumlah tanah yang tak seimbang telah mengurangkan pendapatan perkapitan hasil pertanian[15]. Hal ini menyebabkan tanah milik rakyat semakin kecil sekaligus meningkatkan cukai tanah yang semakin tinggi menyebabkan pemilik tanah terpaksa menjual tanah dan menyewa tanah pertanian dari penyewa/ tuan tanah/golongan bangsawan. Sikap tuan tanah yang mengambil kesempatan terhadap golongan petani sehingga  golongan ini tidak mempu membayar sewa dan terpaksa menjual tanah mereka. Mereka juga tidak mampu menebus semula tanah mereka akibat cukai yang tinggi. Kenaikan cukai yang tinggi dikenakan bagi membayar ganti rugi perang kepada Inggeris menekan orang China sehingga mereka kehilangan pekerjaan[16]. Bencana alam seperti banjir dan kemarau memberi kesan kemerosotan hasil pertanian. Antara bencana alam yang terburuk ialah kemarau panjang di Honan pada tahun 1847, banjir besar di Sungai YangTze yang memusnahkan tanaman di Hupeh, Kiangsu, Anhwei pada tahun 1849 dan Banjir di Shantung pada 1852. Bantuan kewangan oleh kerajaan Manchu untuk mangsa banjir tersebut pula tidak sampai ke tangan mereka akibat penyelewengan yang dilakukan oleh pembesar China menyebabkan ramai petani kehilangan pekerjaan dan terpaksa mengemis serta ada juga melibatkan diri dalam jenayah merompak.

Faktor sosial.
Mandat dari syurga
Konsep ini sangat memberi kesan terhadap rakyat China kerana masyarakat sangat China percayaTuhan memberi maharaja yang dianggap wakil syurga yang memberikan amanah dan kuasa kepada maharaja tersebut untuk mentadbir. Kemakmuran dan keamanan sesebuah kerajaan dapat mengambarkan kekuasaan dan mandat yang diberikan. Mandat ini boleh ditarik balik jika sekiranya pemerintah bersikap zalim terhadap rakyatnya. Tanda- tanda mandat ditarik balik adalah berlakunya bencana alam[17]. Konsep ini membolehkan sesebuah pemerintahan berjalan dengan lancar dan direstui oleh tuhan secara tidak langsung mengukuhkan semangat taat setia dalam rakyat. Konsep ini juga sering digunakan oleh  gerakan Taiping untuk mendapat sokongan dari rakyat China terutamanya mereka yang anti Manchu dalam usaha menjatuhkan kerajaan Ching. Masalah sosial, bencana alam dan kegagalan pemerintahan telah didakwa berpunca oleh kegagalan dinasti Manchu mendapat mandat dari syurga. Masalah yang berlaku ketika itu memudahkan lagi usaha gerakan Taiping mempengaruhi rakyat dan hal ini jelas menunjukkan betapa konsep mandat ini begitu mempengaruhi pemikiran masyarakat China. Menurut ajaran Conficius, pemberontakan dibolehkan apabila pemerintahan maharaja lemah dan tidak mampu memberi kemakmuran dan keamanan kepada masyarakat dan negara.

Semangat anti manchu.
Manchu ialah dinasti yang berasal dari Manchuria dan dan tidak begitu disukai oleh orang China terutamanya dari selatan China seperti Kwangtung, Kwangsi. Mereka dianggap sebagai orang asing dan barbarian. Dasar diskriminasi yang dijalankan oleh Manchu terhadap orang China meningkatkan lagi semangat anti Manchu dalam kalangan orang China. Antara dasar yang dijalankan ialah memaksa semua lelaki China mencukur rambut bahagian hadapan dan bertocang (Toi chong) sebagai lambang kesetiaan mereka terhadap kerajaan Manchu. Hal ini dikatakan mencabar maruah orang China kerana amalan tersebut akan menyerupai orang Manchu dan secara tidak langsung akan menghilangkan identiti asal orang China. Disebabkan itu ada sebilangan rakyat yang melakukan penentangan dengan memprotes untuk tidak mencukur rambut mereka[18]. Perkahwinan antara orang China dan Manchu juga tidak dibenarkan. Akibatnya rakyat mula menubuhkan persatuan bawah tanah yang bergerak secara rahsia dan kegiatan kongsi gelap seperti pertubuhan Teratai Putih dan Pertubuhan Triad yang menjalankan pemberontakan  dan rusuhan dan kemudiaannya menyertai gerakan Taiping.

Masalah candu
Hubungan China dan Barat telah menyebabkan penggunaan candu mula tersebar. Tambahan pula kekalahan China di tangan Barat menyebabkan penggunaan candu semakin berleluasa. Hal ini disebabkan perjanjian Nanking yang tidak mengharamkan penjualan candu[19]. Akibatnya, rakyat China mengalami ketagihan candu dan membahayakan kesihatan. Pembesar China juga tidak terkecuali mengalami ketagihan candu dan telah menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan pada tugas mereka. Akibatnya, ada dalam kalangan rakyat yang terlibat dalam jenayah seperti merompak, melanun, mengemis dan pelbagai lagi. Masalah Candu ini juga menyebabkan nilai tukaran matawang China juga merosot.

Faktor lain
Ketokohan Hung Hsui-Chuan
Ketokohan yang dimiliki Hung Hsui-chuan pemimpin gerakan Taiping mampu mempengaruhi rakyat China lebih-lebih lagi golongan petani dan rakyat miskin agar menyertai gerakan Taiping. Ha ini kerana Hung Hsui –chuan berasal dari golongan tersebut dan latar belakangnya itu membolehkan beliau lebih mudah mendapatkan sokongan dari rakyat China. Ideologi Hung Hsui – chuan  dapat disesuaikan keperluan masyarakat China ketika itu yang menyatakan bahawa kerajaan Manchu sudah kehilangan mandat. Hung Hsui- chuan juga membawa konsep negara syurga dalam ideologinya di mana beliau merujuk China sebagai negara Syurga manakala dirinya dan rakyat China yang lain pula sebagai orang pilihan tuhan. Persamaan taraf yang dianjurkan dalam ideologi kristian yang dibawa oleh Hung turut menarik perhatian rakyat China. Beliau juga menjalankan usaha memerangi golongan penghisap candu, pemabuk dan sebagainya yang dianggap sebagai anasir  dalam usaha menjadikan China sebagai negara maju.

Kesimpulan

Tidak dinafikan kelemahan pentadbiran  merupakan penyebab utama rakyat China bangkit memberontak. Kelemahan tersebut telah memberi kesan negatif dari segi ekonomi dan sosial sehingga menyebabkan rakyat sengsara dan tertekan. Hal ini meningkatkan lagi semangat anti Manchu yang sememangnya wujud dalam kalangan penduduk China. Hal ini diperkuatkan lagi dengan kepercayaan masyarakat China bahawa dinasti Ching sudah kehilangan mandat dari syurga. Apatah lagi China mengalami banyak tekanan khususnya dari luar. Isu candu dan sikap pembesar yang tamak dan pentingkan diri sendiri juga merupakan antara perintis mengapa masalah dalaman mula melanda China. Kegagalan China menyelesaikan masalah dengan Barat  menyebabkan maruah China jatuh. Kewujudan Gerakan Taiping dikatakan tepat pada masanya dan ditambah dengan ketokohan Hung Hsui chuan yang memberi harapan baru buat penduduk China keluar dari kemelut yang melanda. Hung Hsui chuan pula pandai mengambil kesempatan akan masalah yang melanda China ketika itu dengan menjadikan ia agenda untuk melakukan penentangan.


BIBLIOGRAFI
1.      Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya.

2.      Micheal Franz, 1966, The Taiping Rebellion: History and Document ,Vol 1, United Stated,     University of Washington Press.

3.      Li Chien-nung, 1956, The Political History of China,1840-1928, California, Stanford
            University Press.

4.   Immanuel Hsu, 1995, The Rise of Modern China, New York, Oxford University Press

5.   John Keay, 2009, China: A History, New York, Basic Book





[1] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, hlmn 4.
[2]ibid,  
[3] Micheal Franz, 1966, The Taiping Rebellion: History and Document ,Vol 1, United Stated,  University of Washington Press,hlmn 22
[4] ibid,hlmn 25
[5] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden,hlmn 39
[6] ibid hlmn 37
[7] Ibid,hlmn 41
[8] Li Chien-nung, 1956, The Political History of China,1840-1928, California, Stanford University Press, hlmn 49
[9] Ibid,hlmn 51
[10] ibid
[11] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden,hlmn 41
[12] Micheal Franz, 1966, The Taiping Rebellion: History and Document ,Vol 1,hlmn 51
[13] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden,hlmn 44
[14] Immanuel Hsu, 1995, The Rise of Modern China, New York, Oxford University Press,hlmn223
[15] ibid ,hlmn 22
[16] Micheal Franz, 1966, The Taiping Rebellion: History and Document ,Vol 1, hlmn16,

[17] Suffian Mansur, 2009, Sejarah China Moden,hlmn 53
[18] Immanuel Hsu, 1995, The Rise of Modern China, hlmn 25
[19] ibid, hlmn 35

FAKTOR MERUNGSINGKAN HUBUNGAN CHINA DAN NEGARA BARAT

PENGENALAN
Negara China telah mempunyai hubungan dengan negara luar iaitu dengan negara Barat bermula sejak sebelum masihi iaitu sejak Dinasti Han lagi. Hubungan ini dikatakan telah membantu memperkuat dan memperkayakan tamadun China itu sendiri.[1] Laluan Sutera telah menjadi salah satu laluan utama bagi pedagang asing selain jalan laut. Laluan Sutera membuktikan bahawa tamadun China tidak mengamalkan dasar tertutup sepenuhnya. Hal ini demikian kerana, keagungan bandar-bandar purba seperti Anyang, Changan dan Loyang semasa keagungan dinasti-dinasti dikatakan telah mengadakan hubungan dengan orang asing.[2] Keadaan ini menunjukkan bahawa China pada mulanya sudah membuka ruang kepada orang asing untuk berhubungan dengan negara China sendiri. Orang asing yang kebanyakannya datang ke negara China terdiri daripada pelbagai tempat dan bangsa. Orang Barat juga tidak terlepas untuk cuba mengadakan hubungan dengan negara China. Namun demikian, walaupun China membuka ruang kepada kuasa asing, namun ia adalah terhad kawasan tertentu sahaja. Pelbagai konflik atau masalah telah tercetus sehingga menyebabkan hubungan antara China dan Barat semakin renggang yang akhirnya membawa kepada peperangan dan perjanjian.
MASALAH UTAMA HUBUNGAN CHINA DAN BARAT                   
1.      KEGIATAN PERDAGANGAN
Perdagangan adalah salah satu punca permasalahan antara China dengan Barat. China mengamalkan dasar perdagangan tertutup dengan hanya membenarkan  kegiatan perdagangan yang terhad di sebuah pelabuhan sahaja iaitu di Canton. Dasar ini telah diumumkan oleh pihak Maharaja China pada tahun 1757. Keadaan ini berbeza dengan Barat yang mengamalkan dasar perdangan bebas yang menganggap mereka berhak berdagang di mana-mana tempat dan dengan sesiapa sahaja. Keinginan Barat untuk berdagang di China semakin meningkat disebabkan perkembangan revolusi perusahaan pada masa itu. Oleh itu Barat memerlukan bahan-bahan mentah daripada China terutamanya teh  dan sutera di samping menjadikan China sebagai tempat untuk memasarkan barangan hasil keluaran industri mereka. Namun demikian, keinginan Barat terbantut kerana China bersifat anti pedagang asing. Sumber ekonomi China adalah berbentuk sara diri iaitu berasaskan pertanian. Oleh itu, China menganggap bahawa mereka tidak memerlukan barangan dari luar kerana keperluan makanan dalam negeri sudah mencukupi. Tambahan pula, China tidak berminat dengan barangan dari Barat. Keadaan ini telah menjejaskan usaha pedagang Barat untuk cuba menembusi pasaran di China.
Perdagangan yang dijalankan antara pedagang China dan pedagang  Barat tidaklah berlaku dengan tenang akibat pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas para pedagang Barat. Seperti yang kita tahu, perniagaan yang dijalankan dengan bangsa Barat hanya diterhadkan kepada sebuah pelabuhan sahaja iaitu di Canton. Di sini, perniagaan yang dijalankan amatlah menyusahkan pedagang-pedagang asing tersebut.  Maharaja Chien Lung telah mengeluarkan satu Perintah Diraja 1757. Mengikut perintah berkenaan, pedagang-pedagang asing hanya dibenarkan berdagang di Canton sahaja. Pedagang-pedagang Barat cuma diberi satu kawasan yang sangat sempit dan kecil di sepanjang tebing sungai di luar tembok bandar tersebut.[3] Walaupun pelabuhan Canton telah dibuka sebagai pusat perdagangan, namun demikian hubungan China dan Barat adalah terhad dan dibatasi oleh sekatan-sekatan perdagangan yang dikenakan ke atas orang Barat. Pedagang hanya dibenarkan berada di Canton pada musim perdagangan sahaja iaitu dari bulan Oktober hingga Januari. Di luar musim perdagangan, mereka dikehendaki meninggalkan Canton. Bagi menjamin mereka tidak menetap di Canton,  pedagang tidak dibenarkan membawa ahli keluarga mereka. Keluarga mereka perlu ditinggalkan di Macau (wilayah portugis). Malah, pergerakan mereka turut terbatas kecuali pada 8, 18 dan 28 hari bulan tiap-tiap bulan dalam musim perdagangan. [4]
            Di samping itu, pelbagai cukai turut dikenakan oleh pegawai China ke atas kapal-kapal serta barang-barang  dagang asing dengan sewenang-wenangnya dan tertakluk kepada kenaikan yang tidak disangka-sangka. Hubungan secara terus tidak dapat dibuat dengan ketua-ketua pegawai China tetapi perlu melalui Co-hong yang diketuai oleh Hoppo iaitu Persuruhjaya Tinggi China yang dilantik oleh kerajaan China. [5] Peranan Hoppo telah ditukar pula kepada Hong yang dilantik oleh pihak istana  yang terdiri daripada 13 saudagar Cina. Kesatuan dagang yang dikenali sebagai Co-hong ini telah ditubuhkan oleh saudagar Cina pada tahun 1720. Co-hong atau Hong memonopoli perdagangan dengan orang asing. Hong juga berkuasa menentukan jenis  perdagangan, memberi kebenaran berdagang dan menggunakan sungai, menetapkan harga dan kadar cukai, dan sebagainya.
            Sifat Barat yang mengamalkan perdagangan bebas, menjadikan sekatan-sekatan tersebut penghalang untuk mereka berdagang dengan bebas di negara China. Ekoran Tindakan Co-hong yang mengenakan kadar cukai dan harga yang tinggi serta tidak tetap telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pedagang. Malah, keadaan ini menyebabkan  saudagar asing menghadapi masalah imbangan dagangan yang tidak stabil. Pada masa ini, imbangan dagangan lebih menguntungkan saudagar China kerana mereka mendominasi aktiviti perdagangan di Canton.[6] Hal ini kerana, Barat memerlukan barangan daripada China dalam kuantiti yang banyak, sebaliknya China pula kurang berminat dengan barangan Barat. Wang dari luar banyak mengalir masuk ke China dan keadaan ini dilihat lebih menguntungkan pedagang tempatan dan negara China itu sendiri. Oleh itu, pedagang-pedagang asing ingin berdagang di bahagian-bahagian lain di China selain dari Canton agar dapat berdagang dengan bebas dan mendapatkan harga yang berpatutan bagi barang-barang di China.
            Malah, dalam urusan jual beli dengan saudagar China, mata wang yang digunakan adalah mata wang perak. Oleh itu, untuk menjalankan urusniaga dengan saudagar China, mata wang perak perlu disediakan oleh pedagang asing. Pada tahun 1780-1790, sebanyak 14 juta tahil dan 1790-1800 iaitu sebanyak 26 juta tahil mengalir masuk ke negeri China.[7] Misalnya, SHTB membawa hampir 90% ketulan wang perak dalam kapal kargonya untuk membeli barangan daripada China.[8] Pelbagai Sekatan yang dikenakan oleh kerajaan China ke atas pedagang asing telah menyebabkan hubungan dengan negara Barat semakin renggang sehingga menyebabkan  peperangan tidak dapat dielakkan antara British yang merupakan negara progresif, perindustrian, dan kapitalis dengan China yang merupakan negara pertanian yang tidak progresif dan bersikap anti perdagangan.

2.      MASALAH CANDU
Perdagangan antara Barat dan China tidak seimbang. Hal ini kerana, Barat memerlukan barang-barang dari China terutama teh dan sutera sebaliknya China tidak memerlukan barang-barang British kerana sifat ekonomi China yang berbentuk sara diri dan mampu diri menyebabkan barangan keluaran Barat tidak dapat menembusi pasaran China. Keadaan ini menyebabkan barangan dari Barat sukar untuk dipasarkan di wilayah China dan sudah pasti membawa kesan kepada ekonomi Barat. [9] Satu krisis mengenai isu candu telah timbul. Keadaan ini disebabkan, orang Barat cuba mencari alternatif lain untuk mengubah ketidakstabilan perdagangan antara Barat dengan China. Oleh itu, Barat cuba memperkenalkan candu dengan  membawa masuk candu dari India dan Arab sejak 1773.[10] Candu pada asalnya telah diperkenalkan kepada China oleh orang Arab dan Turki pada akhir abad ke-7 atau awal abad-ke8 Masihi. Candu pada mulanya digunakan dalam bidang perubatan, namun bermula abad ke-17 dan 18 Masihi penghisapan candu mula diperkenalkan dengan menjadikan Formosan sebagai contoh. Oleh itu,  China mula mencampurkan candu dengan tembakau dan menghisapnya.[11]
            Kemasukan candu telah melumpuhkan politik, ekonomi dan sosial kerajaan China. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, berlaku penyelewengan dan rasuh kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu.[12] Dari segi ekonomi pula, banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu dari negera luar. Misalnya pada tahun 1750, sebanyak 60 ribu pound dadah diimport setahun.[13] Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barangan lain menyebabkan imbangan dagangan China tidak seimbang dan  boleh menyebabkan China kehabisan wang perak. Keadaan ini menunjukkan bahawa pengimportan candu boleh menyebabkan kerajaan China mengalami beban ekonomi yang buruk. [14]Dari segi sosial pula, kesan candu telah menimbulkan masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak di kalangan rakyat China akibat menjadi penagih candu. Dianggarkan lebih dua juta rakyat China yang ketagih dengan candu pada tahun 1835.[15]Keadaan ini akan melemahkan negara China kerana rakyat menjadi semakin tidak produktif.
            Bagi mengatasi masalah ini, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh maharaja Chien lung (1736-1796), Maharaja Chi Aching (1796-1820) dan Maharaja Tao Kuang (1820-1850) yang mendesak pedagang asing agar menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu. Namun demikian, arahan ini tidak mendapat layanan pedangan-pedagang asing. Malah, mereka enggan menghentikan perdagangan candu yang amat menguntungkan mereka. Tambahan pula, penanaman popi  candu di negara China sendiri bertambah dan candu banyak di seludupkan ke dalam negeri dari luar bukan sahaja melalui Canton tetapi juga melalui pelabuhan-pelabuhan lain.[16] Pada 31 disember 1838, Maharaja Tao Kuang telah melantik Lin Tse Hsu (1785-1850) dari Ho-kuan, Fukien sebagai pesuruhjaya anti candu di Canton dengan tugas khas untuk menghapuskan perdagangan, penyeludupan, dan penggunan candu. Beliau dikatakan seorang yang tegas dan prihatin terhadap masalah negara.
            Beliau telah mengeluarkan arahan pada 18 Mac tahun 1839  untuk mendesak para pedagang asing agar menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu, menyerahkan candu kepada pihak China untuk dimusnahkan dan meminta agar menandatangani surat sumpah tidak akan menjalankan perdagangan dan penyeludupan candu.[17] Sebagai gantinya, Lin Tse Hsu memberi lima kati teh bagi setiap peti yang diserahkan kepadanya. Beliau memberi tempoh selama tiga hari dan pihak Maharaja tidak akan menyekat perdagangan dengan China tetapi tidak akan bertolak ansur dengan perdagangan candu.  Apabila arahannya tidak mendapat layanan, Lin Tse Hsu telah mengepung 350 orang pedagang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang British termasuk penguasa pedagang Charles Elliot iaitu Persuruhjaya Perdagangan Britih di Canton. Apabila terdesak, Charles Elliot telah mengarahkan pedagang-pedagang asing  menyerahkan candu kepada pihak China. Dianggarkan sebanyak 20283 peti candu telah diserahkan dan dimusnahkan oleh pihak China.[18] Peristiwa inilah yang memulakan peperangan antara British dengan China.
            Setiausaha luar British, Lord Palmestone telah menjadikan peristiwa candu sebagai alasan menyerang China. Ahli-ahli sejarah menganggap masalah candu hanya merupakan yang mempercepatkan Perang Candu I. Walaupun kapten Elliot bersetuju menyerahkan candu-candu berkenaan, beliau tetap enggan menandatangani surat akuan yang diberikan oleh Lin Tse Hsu yang mahukan agar orang Barat tidak membawa masuk candu ke negara China dan beliau cuba mendesak British untuk berperang. Akhirnya, kerajaan British di India telah bersetuju untuk mengisytiharkan perang pada 31 Januari 1840. Pada April 1840, parlimen British telah meluluskan resolusi untuk berperang dan pada bulan Jun tahun yang sama, kira-kira 4000 tentera British tiba di perairan Canton. Dalam peperangan ini, banyak bandar-bandar penting telah jatuh ke tangan British seperti Amoy, Tianghai, dan Ningpo [19]  Melihat keadaan yang genting, pihak China telah cuba untuk membuat rundingan dengan menghantar persuruhjaya Maharaja  Ch’ing  Ying dan Timbalan Leftenan Jeneral Chapu I-Ii-Pu. Akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan rundingan di Nanking pada tahun 1842[20]. Perjanjian ini jelas telah memberi pukulan hebat kepada kerajaan China kerana dianggap sebagai perjanjian yang berat sebelah kerana lebih berpihak kepada British.

3.      KRISIS PEMBUKAAN BANDAR
Krisis China dan Barat tidak hanya berakhir setelah perjanjian Nanking ekoran kegagalan China dalam memenuhi beberapa perkara dalam perjanjian Nanking. Dalam perjanjian Nanking, Canton adalah salah sebuah pelabuhan yang harus dibuka kepada pedagang asing. Namun demikian, penduduk tempatan menolak pembukaan pelabuhan tersebut. Menurut penduduk tempatan, dalam perjanjian tersebut tidak dinyatakan mengenai pembukaan bandar tersebut. Ekoran pembukaan beberapa pelabuhan di China telah menyebabkan nilai perdagangan di Canton terjejas. Misalnya, eksport teh di Canton telah jatuh dari 69 juta pound dalam tahun 1844 kepada 27 juta pound dalam tahun 1860. Manakala eksport sutera turut mengalami kejatuhan iaitu dari 6787 bales kepada 1200 bales pada tahun 1845.[21] Keadaan ini telah menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan terutama pedagang tempatan dan meletakkan pihak British sebagai punca keadaan itu berlaku.
Walaupun penduduk tempatan menunjukkan tentangan yang hebat terhadap isu pembukaan pelabuhan, Ch’i ying iaitu wakil China di Canton terpaksa memenuhi tuntutan pihak British. Beliau berjanji akan membuka bandar Canton pada 1846 kepada pedagang asing walaupun pembukaan pelabuhan tersebut mendapat reaksi yang negatif dari penduduk tempatan. Ekoran rasa tidak puas hati, penduduk tempatan telah mengadakan satu rusuhan sehingga menimbulkan huru hara dalam bandar tersebut. Ch’i-ying bertindak menutup pelabuhan Canton dan berjanji akan membukanya semula apabila keadaan sudah reda kembali. Namun, hasil tentangan dan tekanan dari pihak British mahupun penduduk tempatan menyebabkan ch’i-ying mengambil keputusan untuk meletak jawatan. Keputusan Ch’i-ying meletak jawatan telah memburukkan lagi keadaan kerana, pengganti beliau iaitu Hsu-Kuang Chin (1786-1858) dan gabenor Kwantung, Ye Ming-Ch’en (1807-1859) merupakan pemimpin yang anti asing dan enggan bekerjasama dengan Barat. [22]
Sikap pemimpin yang anti asing ini dapat dilihat dalam tindakan Hsu-Kuang Chin yang menolak permintaan pengganti Davis iaitu sir George Bonham (1803-1863) mengenai pembukaan Bandar Canton dengan memberi alasan bahawa pelabuhan tersebut belum boleh dibuka kerana masih mendapat tentangan daripada penduduk tempatan. Perkara ini sekali lagi disuarakan oleh Gabenor Hong Kong yang baru, iaitu Jonh Bowring (1792-1872) namun hasilnya tetap sama. Keadaan ini menyebabkan hubungan China dan Barat semakin buruk.[23]
4.      KELEMAHAN  PERJANJIAN NANKING
Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Paul H. Clyde dan Burton F. Beers mendakwa kelemahan Perjanjian Nanking juga merupakan faktor utama meletuskan peperangan yang kedua antara China dengan British pada 1856-1860. Keengganan China untuk mematuhi syarat-syarat Perjanjian Nanking dan tindakan British untuk memaksa China mematuhinya serta menuntut keistimewaan-keistimewaan tambahan telah meruncingkan hubungan antara China dan British. [24] Bila Brtitish menyedari China tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat Perjanjian Nanking, mereka telah mendesak China supaya diadakan rundingan bagi mengkaji semua syarat-syarat Perjanjian Nanking. Tindakan ini diambil kerana British dipengaruhi oleh syarat Perjanjian Wanghsia 3 Julai 1844 antara China dengan Amerika dan Perjanjian Whampoa 24 Oktober 1844 antara China dengan Perancis yang menegaskan perjanjian-perjanjian tersebut akan dikaji semula dalam tempoh 12 tahun.[25]
            British menuntut keistimewaan yang sama  berdasarkan prinsip “layanan negara yang diutamakan”. [26] Sekiranya keistimewaan ini dinikmati oleh British, bermakna Perjanjian Nanking perlu dikaji semula pada 1854. British mahu mengkaji semula syarat-syarat Perjanjian Nanking dengan tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan tambahan seperti kebebasan berdagang di kawasan pedalaman, bandar-bandar serta pelabuhan-pelabuhan di pinggir pantai dan juga untuk menempatkan perwakilan diplomatik di Peking. Desakan British supaya China mengkaji semula syarat Perjanjian Nanking. Kerajaan China tidak mungkin dapat menunaikan permintaan British. Keengganan China untuk memenuhi kehendak tersebut telah meruncingkan hubungan antara mereka. Pihak China telah mendakwa negeri China telah memberi terlalu banyak keistimewaan kepada kuasa-kuasa barat.
5.      PERANG ARROW
Insiden yang berlaku pada 8 Oktober 1856, apabila polis peronda China atas arahan Pesuruhjaya Tinggi Yeh Min Chen telah menaiki kapal Arrow dan menangkap 12 daripada 14 anak kapalnya atas tuduhan terlibat dalam penyeludupan dan pelanunan.[27] Kapal Arrow merupakan kepunyaan seorang saudagar China iaitu Fong Ah Ming yang didaftarkan di Hong Kong. Nakhodanya seorang British dan kapal ini mengibarkan bendera “Union Jack”. Tindakan polis peronda China dianggap menjatuhkan British lebih-lebih lagi bendera “Union Jack” diturunkan. Gabenor Hong Kong, iaitu Sir John Bowring telah mengarahkan konsul British di Canton Harry Parkes meminta agar Yeh Min Chen iaitu Pesuruhjaya Tinggi Imperial kerajaan China membebaskan anak kapal Arrow dan memohon maaf secara rasmi daripada British dalam tempoh 48 jam, serta meminta agar kelak mereka menghormati bendera British. [28] Namun demikian, walaupun anak kapal Arrow kemudiannya dibebaskan tetapi Yeh Ming Ch’en enggan memohon maaf.
            Pihak China dikatakan tidak mematuhi peraturan dan perjanjian antara mereka dalam Perjanjian Nanking dan Bogue. Dalam perjanjian tersebut ada dinyatakan bahawa pihak China tidak boleh sesuka hati menangkap sesiapa sahaja warga British di atasa mana-mana kapal atau wilayah milik British sebaliknya hanya boleh meminta British menghantar warganya yang bersalah berada di kapal atau wilayah british kepada mereka.[29] Keengganan Yeh Ming Ch’en memohon maaf menyebabkan pihak British menyerang kubu pihak China di Whampoa dan Canton. Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Paul H. Clyde dan Burton F. Beers menganggap peristiwa Arrow sebagai faktor segera yang mengakibatkan peperangan antara British dengan China 1856-1860.[30]
6.      PERBEZAAN TARAF
Negara Barat berlumba-lumba untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan China disebabkan kepentingan ekonomi. Namun demikian, dalam usaha mengadakan hubungan perdagangan dengan kerajaan China, ada yang mengalami kesukaran dan kegagalan. Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Edgar Holt dan Soothills menganggap keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat menjadi sebab utama berlakunya Perang Candu Pertama. Orang-orang Cina menganggap China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Maharaja China dianggap sebagai anak syurga dan pemerintah universal. Orang-orang asing dianggap sebagai orang gasar atau barbarian atau fan kwae, iaitu hantu-hantu asing yang tidak bertamadun. Kedatangan orang asing dianggap sebagai kehadiran wakil-wakil negara pembayar ufti yang mahu tunduk di bawah kekuasaaan China.[31] Dasar ini tidak dipersetujui oleh orang-orang Barat, terutamanya British kerana mereka mengamalkan konsep persamaan taraf, lebih-lebih lagi selepas termeterainya Perjanjian Westphalia 1648 antara negara-negara Eropah yang menegaskan hubungan antara negara mesti dijalankan atas dasar sama taraf, tidak kira negara itu kecil atau besar. Malah, orang Cina yang berurusan dengan pedagang asing dianggap sebagai pengkhianat negara.[32]
Sebelum Perang Candu, China tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat kecuali dua perjanjian mengenai sempadan dengan Rusia, iaitu Perjanjian Nerchinsk 1689 dan Perjanjian Kiachta 1727. Usaha-usaha British untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China gagal kerana China tidak dapat menerima konsep persamaan taraf yang diamalkan oleh British. Antara utusan British yang dihantar ke negera China ialah utusan Lord Macartney 1793, utusan Lord Amherst 1816 dan utusan Napier 1834. Faktor utama yang menggagalkan utusan tersebut ialah masalah “kow tow” (adat menyembah raja) yang dikenakan ke atas utusan-utusan tersebut. Orang-orang Barat tidak boleh mengadakan hubungan secara langsung dengan Kerajaan China.[33] Hubungan mesti dijalankan melalui sebuah badan iaitu Co-hong yang ditubuhkan pada 1720.
Keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf telah menyebabkan kuasa-kuasa barat terutamanya British terpaksa mengambil tindakan secara kekerasan. Edgar Holt dalam bukunya “The Opium Wars in China” menegaskan “the opium war was fought to end forever China’s assumption of superiority to all other nations”.[34] Pembubaran monopoli perdagangan China Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1833 telah menyebabkan ramai pedagang British datang ke negeri China. Untuk melindungi mereka, seorang penguasa perdagangan atau Taipan telah dilantik di Canton. Penguasa perdagangan yang pertama dilantik pada Mac 1834 ialah Lord Napier. Kegagalan untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China telah mengecewakan beliau sehingga meninggal dunia di Macau pada Oktober 1834. Beliau telah digantikan oleh L.V. Davies pada tahun 1835. L.V. Davies juga gagal mewujudkan hubungan diplomatik dengan China dan terpaksa bersara pada tahun 1837. Beliau digantikan oleh George Best Robinson. Robinson juga menerima nasib yang sama sehingga terpaksa bersara pada tahun 1839 dan digantikan oleh Charles Elliot. Semasa Charles Elliotlah berlaku Perang Candu 1839-1842.[35]
7.      SISTEM KEADILAN
Dari segi sosial, timbul masalah keadilan kerana konsep keadilan China berbeza dengan konsep keadilan British. Hal ini kerana, cara dan pelaksanaan undang-undang di mahkamah berbeza dengan yang terdapat di Barat. Segala-galanya dianggap oleh pihak Barat sebagai tidak adil dan menyakitkan hati.[36] Kerajaan China telah mengeluarkan arahan supaya semua orang asing yang berada di China mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan di China. Arahan ini tidak dipersetujui oleh pedagang asing kerana mereka menganggap undang-undang China sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Contohnya, pada 1784, seorang anak kapal “Lady Hughes” telah dijatuhkan hukuman dicekik sampai mati kerana kesalahannya membunuh secara tidak sengaja seorang rakyat China semasa upacara kehormatan di Whampoa.[37] Hukuman yang sama juga dikenakan kepada Terranova iaitu anak kapal “Emily” pada 1821.
            Pada 12 Julai 1839, tiga orang British yang mabuk telah membunuh seorang rakyat China iaitu Lin Wei Hsi. Pesuruhjaya Tinggi China di Canton, Lin Tse Hsu telah mengarahkan penguasa perdagangan British Charles Elliot menyerahkan ketiga-tiga orang British yang terlibat dalam pembunuhan tersebut kepada pihak China untuk diadili.[38] Charles Elliot yang menyedari hukuman yang akan dijatuhkan enggan menyerahkan mereka. Sebaliknya beliau membicarakan mereka dan menjatuhkan hukuman penjara. Tindakan Charles Elliot sudah tentu menjejaskan hubungan antara British dan China.
        Mengikut undang-undang China, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tetap bersalah sehingga beliau dapat membuktikan dirinya tidak bersalah. Mengikut undang-undang British pula, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak bersalah sehingga pihak pendakwa dapat membuktikan beliau bersalah. China mengamalkan undang-undang kumpulan dan tanggungjawab ketua.[39] Mengikut undang-undang kumpulan, jika seseorang melakukan kesalahan, semua anggota dalam kumpulannya bertanggungjawab dan boleh dijatuhkan hukuman. Mengikut undang-undang tanggungjawab ketua, sekiranya anak buah melakukan kesalahan ketuanya juga bertanggungjawab dan juga boleh dijatuhkan hukuman. Undang-undang ini tidak dipersetujui oleh Barat kerana mereka mengamalkan undang-undang tanggungjawab individu.[40] Hanya mereka yang melakukan kesalahan bertanggungwab di atas kesalahannya dan boleh dijatuhkan hukuman. Di negera China, tidak ada perbezaan antara undang-undang dan perintah. Perintah pegawai lebih-lebih lagi perintah maharaja sudah dianggap sebagai undang-undang yang mesti dilaksanakan. Pertentangan sebegini menyebabkan hubungan China dan Barat semakin runsing.


8.      GERAKAN KRISTIAN
Kehadiran orang barat di China dikatakan bukan sahaja bertujuan untuk berdagang tetapi turut memasang niat untuk menyebarkan pengaruh agama Kristian dan budaya Barat. Walaupun mendapat tentangan daripada kemaharajaan, bilangan mubaligh agama Kristian semakin bertambah.[41] Mazhab Roman Katolik berjaya menyeludup beberapa orang mubaligh untuk menambah bilangan ahlinya. Tetapi malangnya, bilangan ahlinya tidak pernah ramai disebabkan keadaan-keadaan buruk yang berlaku. Mubaligh protestan yang pertama, Robert Morrison dari sebuah persatuan British tiba pada tahun 1807, dan berjaya bertapak di Canton. Mubaligh-mubaligh yang lain kemudian datang pula,  ada yang dari Britain, Amerika Syarikat, dan Tanah Besar Eropah. Mubaligh-mubaligh Kristian hanya dibenarkan berada di kawasan kilang-kilang pedagang asing di sepanjang tebing sungai Canton.
            Pada mulanya gerakan mubaligh Kristian kurang menumpukan usaha-usaha dalam mengembangkan ajaran Kristian. Namun, hanya pada awal abad ke-16, paderi-paderi Roman Katolik di bawah persatuan jesus yang diasaskan oleh Ignatius Loyola mula menjalankan kegiatan mengembangkan ajaran Kristian dengan bersungguh-sungguh.[42]. Selain menyebarkan ajaran Kristian, mubaligh Kristian turut membawa budaya dan sains Barat ke China seperti astronomi, calendar, ilmu matematik, kejuruteraan hidraulik dan sebagainya. Dalam usaha mengembangkan agama Kristian ini, pelbagai cabaran dihadapi oleh para mubaligh ekoran wujud pelbagai tentangan daripada penduduk tempatan terutamanya golongan sarjana China. Malah, Terdapat usaha yang dilakukan oleh orang Cina dalam menyekat pengaruh mubaligh Kristian. Misalnya, pada Zaman Dinasti Ming, Shen Chih telah cuba mempengaruhi pihak istana untuk menangkap dan membunuh golongan mubaligh ini.
            Pada 20 ogos 1616, satu pengisytiharan telah dikeluarkan untuk tujuan ini. Namun demikian, pengaruh Shen Chih tidak kekal lama kerana beliau berjaya disingkirkan pada 1621. Pengaruh kristian telah dipulihkan semula oleh Dr. Paul Hsu dan Dr. Li Leon.[43] Namun, pada tahun 1644, China telah jatuh ke tangan Manchu menyebabkan kedudukan mubaligh ini terjejas kembali. Dalam usaha memulihkan kedudukan dan status mubaligh ini, atas permintaan Dorgan untuk menggunakan kepakaran mereka membolehkan status mereka dipulihkan kembali.[44] Sungguhpun demikian, keadaan ini tidak kekal lama, gerakan ini tidak lekang dari pelbagai masalah.  Pada  tahun 1634, apabila paderi Francisco Dias dan Francisco de la Madre de Dios tiba di China, mereka terkejut dengan kegiatan golongan mubaligh ini yang dikatakan telah menyeleweng dari ajaran Kristian yang sebenar.[45] Tentangan daripada golongan paderi di Eropah terhadap kegiatan ahli-ahli Jesuit telah menekan kedudukan persatuan Jesuit di China.
            Kegiatan mubaligh Kristian di China semakin merosot apabila  dalam masa yang sama juga, Maharaja Kang Shi (1662-1722) telah mengambil langkah menyingkirkan golongan mubaligh kecuali golongan sains, teknikal, dan ahli astronomi. Kegiatan mereka semakin disekat apabila pada tahun 1715, Paus clement XI telah mengeluarkan surat yang menegaskan mengenai anti upacara kepercayaan penduduk China dan memberi amaran mengenai pelanggaran ajaran Kristian.[46] Keadaan ini bertambah buruk apabila persatuan Jesuit telah dibubarkan pada 1773. Manakala, pengganti maharaja iaitu K’ang Shi iaitu maharaja Yung Cheng telah membuat beberapa larangan mengenai penyebaran agama Kristian. Sementara itu beberapa orang mubaligh Kristian telah ditangkap dan dihukum bunuh.[47]
Malah, turut berlaku peristiwa  pembunuhan seorang mubaligh Perancis iaitu Augustus Chapdelaine di Sin Lin pada Februari 1856 di wilayah Kwangsi atas tuduhan mempengaruhi penduduk tempatan menentang pemerintahan Manchu.[48] Pembunuhan ini telah melanggar prinsip “Hak Wilayah Asingan” yang diberikan kepada Perancis dalam Perjanjian Whampoa 1844. Akibatnya Perancis menyertai British untuk memerangi China dengan tujuan untuk menuntut bela di atas kematian Augustus Chapdelaine. Dalam tuntutan kuasa barat terhadap pengesahan Perjanjian Tientsin, Perancis telah meminta hak untuk golongan mubaligh Kristian dan penganutnya yang membawa kepada pembentukan artikel 13 yang memuatkan hak para mubaligh ini untuk menjalankan usaha penyebaran ajaran Kristian dengan bebas di mana-mana sahaja di bawah perlindungan pihak berkuasa China[49]. Sementara itu, warganegara China juga diberi kebebasan menganut dan mengamalkan ajaran Kristian tanpa sebarang bentuk hukuman. Malah, golongan mubaligh Kristian turut dibenarkan memiliki  atau  menyewa tanah di mana-mana sahaja di China.[50] Keadaan ini menunjukkan bahawa, isu agama turut menjadi punca permasalahan antara China dan barat.

KESIMPULAN
Pelbagai masalah telah timbul antara orang barat dan Cina. Ekoran permasalahan yang timbul menjadikan hubungan antara mereka semakin renggang sehingga membawa kepada peperangan dan perjanjian. Selepas Perjanjian Nanking ditandatangani, China terpaksa menamatkan dasar isolasinya yang diamalkan selama ini. Sejak itu, China mula melaksanakan dasar buka pintu kepada orang-orang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang. Perjanjian Nanking yang ditandatangani pada 29 Ogos 1842 amat merugikan pihak China. China bukan sahaja terpaksa menyerahkan Hong Kong kepada British, malah dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels kepada British, iaitu 12 juta taels untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China dan 3 juta taels hutang Co-hong kepada pedagang-pedagang British. Selain itu, China juga terpaksa membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing, iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai. Buat pertama kalinya China terpaksa menerima hakikat bahawa kuasa-kuasa barat lebih superior daripada China. Sarjana-sarjana China telah mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik barat dalam usaha untuk menguatkan negeri China. Contohnya Wei Yuan dalam bukunya “Hai Koa Tu Chih” mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik barbarian dalam usaha untuk mengalahkan barbarian.  Pendapat ini disokong oleh sarjana-sarjana lain seperti Liang Ting Nan dalam bukunya “Ro Chung Kao Shuo” dan “I Fen Chi Wan” dan Hsu Chi Yu dalam bukunya “Ying Huan Chih Luah”. Kita dapat simpulkan bahawa, masalah perdagangan adalah punca utama yang menjadi isu permasalahan antara China dan Barat. Namun demikian, wujud juga faktor lain seperti isu candu, agama Kristian, undang-undang dan lain-lain yang dilihat turut mempengaruhi dan menambahkan lagi kerunsingan hubungan China dan Barat.
BIBLIOGRAFI
Chang, Hsin-pao, Commissioner Lin and the Opium War, Cambridge : Harvard University Press, 1964.
D. Bonner-Smith dan E. W. R. Lumby, The Second China War 1856-1860, Navy Record Society, 1893.
Hibbert, Christopher., The Dragon Wakes : China and the West, 1795-1911, London : Longman, 1970.
Holt, Edgar, The Opium Wars in China, Pennsylvania : Chester Springs, 1964.
Immanuel C. Y. Hsu, Modern Chinese History, Amerika Syarikat : Oxford University Press, 1971.
John King, Fairbank, The Great Chinese Revolution: 1800-1985, New York : Harper & Row. 1907
Latourette, Kenneth Scott, China, New Jersey : Prentice-Hall, 1964.
Latourette, Kenneth Scott. Sejarah China Moden, Kuala Lumpur : Dewan Bahawa dan Pustaka, 1970
Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 2009.




[1] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 2009, hlm. 1.
[2] Ibid.
[3] Latourette, Kenneth Scott, Sejarah China Moden, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 39.
[4] D. Bonner-Smith dan E. W. R. Lumby, The Second China War 1856-1860, Navy Record Society, 1893, hlm XI.
[5] Ibid.
[6] Latourette, Kenneth Scott, Sejarah China Moden, hlm. 14.
[7] Ibid.
[8] Suffian Mansor, Sejarah China Moden,  hlm. 12.
[9] Latourette, Kenneth Scott, Sejarah China Moden, hlm.  40.
[10] Hibbert, Christopher., The Dragon Wakes : China and the West, 1795-1911, London : Longman, 1970, hlm. 83.
[11] Ibid.
[12] Chang, Hsin-pao, Commissioner Lin and the Opium War, Cambridge : Harvard University Press, 1964, hlm. 46.
[13] Ibid.
[14] Ibid. hlm. 41.
[15] Hibbert, Christopher., The Dragon Wakes : China and the West, 1795-1911, hlm. 85.
[16] Ibid., hlm. 40.
[17] Suffian Mansor, Sejarah China Moden, hlm. 23.
[18] Ibid., hlm.25.
[19] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Suffian Mansor, Sejarah China Moden., hlm. 28.
[22] Ibid.
[23] Ibid.
[24] Ibid., hlm. 29.
[25] Latourette, Kenneth Scott, China, New Jersey : Prentice-Hall, 1964,  hlm. 108.
[26]Ibid., hlm. 109.
[27] Suffian Mansor, Sejarah China Moden., hlm. 30.
[28] D. Bonner-Smith dan E. W. R. Lumby, The Second China War 1856-1860., hlm. 2.
[29] Ibid.
[30] Ibid.
[31] Suffian Mansor, Sejarah China Moden., Ibid. hlm. 11
[32] Immanuel C. Y. Hsu, Modern Chinese History, Amerika Syarikat : Oxford University Press, 1971. Hlm 205.
[33] Ibid.                                       
[34] Ibid.
[35] Latourette, Kenneth Scott, Sejarah China Moden,  hlm. 39.
[36] Ibid., hlm. 40.
[37] Holt, Edgar, The Opium Wars in China, Pennsylvania : Chester Springs, 1964, hlm. 133.
[38] Ibid.
[39] Ibid., hlm. 13.
[40] Ibid.
[41] Kenneth Scott Latourette, Sejarah China Moden,  hlm. 38.
[42] Ibid., hlm. 4.
[43] Ibid.
[44] John King Fairbank, The Great Chinese Revolution: 1800-1985, New York : Harper & Row. 1907,Hlm. 75.
[45]Suffian Mansor, Sejarah China Moden., hlm. 6.
[46] Ibid.
[47] Ibid.
[48] Ibid., hlm. 31.
[49] Immanuel C. Y. Hsu, Modern Chinese Histor., hlm 87.
[50] Latourette, Kenneth Scott, China, hlm. 111.

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...