Thursday, 17 January 2013

PERKEMBANGAN ISLAM DI ALAM MELAYU


PENGENALAN
Alam melayu lebih terkenal dengan nama “Semenanjung Tanah Melayu” iaitu merupakan salah satu daripada beberapa gugusan pulau-pulau di rantau ini, antara lain iaitu Borneo, Sumatera, Kepulauan Riau, Jawa Maluku, Pulau Luzon, dan Pulau Mindanao. Alam Melayu merupakan kawasan strategik yang amat diminati oleh pelbagai kuasa besar di dunia. Hal ini kerana, peranan laut sebagai tempat laluan bagi mereka yang aman lantaran kedudukannya yang terletak antara dua banjaran besar iaitu Tanah Besar Semenjung dan Sumatera. Oleh itu, tidak hairanlah Alam Melayu menjadi rebutan di antara kuasa-kuasa dunia.
Masyarakat Alam Melayu dengan cepat menerima agama islam sebagai pegangan mereka disebabkan keistimewaan yang ada pada islam itu sendiri dan memberi kesan positif kepada masyarakat di Alam Melayu. Teori pengislaman di Alam Melayu telah banyak dibincangkan oleh para sarjana barat dan tempatan. Terdapat beberapa persoalan yang membawa kepada lahirnya beberapa teori sejarah  termasuk persoalan mengenai kedatangan islam ke Alam Melayu. Antara persoalan-persoalan yang timbul adalah seperti siapa yang bertangungjawab membawa islam ke Alam Melayu, bilakah islam sampai ke Alam Melayu dan bagaimana proses pengislaman berlaku.
 Pada umumnya, terdapat tiga teori mengenai kedatangan islam ke Alam Melayu iaitu, islam dikatakan datang dari benua kecil India, Tanah Arab/Parsi, dan China. Namun demikian, polemik yang berlaku lebih tertumpu sama ada datang dari Benua kecil India atau Semenanjung Tanah arab. Teori-teori mengenai pengislaman di Alam Melayu banyak dikemukakan oleh sarjana dan sejarawan barat seperti Pijnappel, Syed Naquib al-Attas,  S.Q.Fatimi, dan lain-lain.


Siapakah yang bertanggungjwab membawa islam ke tanah melayu?
ISLAM DATANG DARI INDIA
Tokoh pertama yang mengemukakan bahawa islam yang dianuti di Alam Melayu datang dari benua kecil India ialah Pijnapple. Pijnapple merupakan sarjana Belanda yang juga merupakan seorang Professor Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda. Dalam teori beliau lebih menekankan wilayah Gujerat dan Malabar sebagai tempat asal islam di Alam Melayu.[1] Menurut beliau, agama islam telah dibawa dan disebarkan oleh pedagang islam  berketurunan arab yang bermaustatin di wilayah berkenaan.
Tambahan pula, kedua wilayah ini mempunyai kaitan dengan Alam Melayu pada masa itu. Walaupun Pijnapple tidak dapat menafikan kemungkinan islam dibawa masuk ke Alam Melayu oleh orang Arab, namun beliau berpendapat bahawa islam tidak dibawa terus dari Semanjung Tanah Arab tetapi mereka membawa agama islam melalui Malabar dan Gujerat, India. Teori ini lalu dikembangkan oleh Snouck Hugronje yang mana beliau telah meletakkan India Selatan sebagai tempat asal agama islam yang dianuti di Alam Melayu tanpa menyebut nama daerah secara khususnya. [2] Teori Snouck Hugronje itu diringkaskan oleh Brian Harrison dengan mengatakan bahawa Alam Melayu sentiasa memandang kepada India tidak kepada Semenanjung Tanah Arab dan China. [3]
Pendapat yang sama juga telah dikemukan oleh Van Ronkel dengan alasan bahawa terdapat bentuk-bentuk islam yang berciri mistik dan roman di Indonesia berasal dari India Selatan bukannya dari tempat lain.[4] Bagi J.P Morquetto, islam berasal dari Gujerat dengan adanya persamaan batu nisan yang ditemui di Pasai  bertarikh 1428 Masihi (831H) dengan batu nisan makam Maulana Malik Ibrahim di Gerisik bertarikh 1419 Masihi yang dipercayai  bahawa batu-batu makam yang digunakan dibawa dari pelabuhan Cambay, Gujerat.[5] Pendapat ini disokong oleh R.A. Kern, R.O. Winstedt, J.B.O. Schrieke, J. Gonda, B.H.M. Vlekke, & D.G.E. Hall.
Namun demikian, teori kedatangan islam dari kedua wilayah ini mendapat sanggahan daripada sejarawan islam iaitu Syed Naquib al-Attas dimana beliau mengatakan bahawa penemuan batu nisan berkenaan tidak boleh dijadikan asas atau bukti bahawa islam datang dari kedua wilayah berkenaan, sebaliknya hasil penemuan dan persamaan batu nisan  tersebut hanya dikaitkan dengan hujah asal usul batu nisan tersebut adalah dari Gujerat.
 S. Q. Fatimi turut menolak dan mengusulkan bahawa islam di Alam Melayu datangnya dari wilayah Bengal, India[6] yang berlandaskan huraian Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental. Menurut beliau sultan Malikul al-Salih menjadi raja di Pasai adalah seorang pedagang India berketurunan Benggali.[7] Oleh sebab itu, wilayah Bengala dikatakan sebagai negeri utama dari mana asalnya islam di Alam Melayu. Tambahan pula batu nisan Malikul Saleh (1297) berbeza daripada batu nisan di Pasai dan di Gerisik. Maka, tidak dapat dikatakan bahawa batu nisan Malikul Saleh juga berasal dari Gujerat. Gujerat hanya memeluk agama islam menjelang akhir abad ke-13, setelah itu barulah hubungan perniagaan dengan Nusantara bertambah rancak. Batu-batu nisan dari Gujerat sememangnya sangat digemari, tetapi hanya dikirim ke Nusantara selepas 200 tahun mangkatnya sultan Malikus-Saleh.  Namun demikian, mengenai salasilah keturun Sultan Malik al-Salih dikatakan dari keturunan Bengali tidak dapat diterima kerana tidak ada bukti yang dapat meyakinkan.
Oleh kerana Pasai  merupakan yang pertama memeluk islam menurut Fatimi, beliau mengandaikan juga bahawa islam dibawa dari Bengal. Menurut beliau, kedatangan islam ke Alam Melayu dibawa oleh pedagang dari wilayah berkenaan. Malahan, wilayah ini merupakan negeri awal yang menerima pengaruh agama islam terlebih dahulu berbanding wilayah Gujerat dan Malabar. Maka boleh disimpulkan pandangan beliau, bahawa wilayah awal yang menerima islam merupakan wilayah yang melakukan proses islamisasi di Alam Melayu. Pandangan beliau ini telah disokong oleh Thomas Arnold. Menurut beliau, amat munasabah sekiranya islam di Nusantara dibawa dari Bengal dan daerah Coromandel atau Malabar India Selatan kerana daerah tersebut lebih dulu menerima islam dari Gujerat. Malah, Bengal dikatakan telah ditakluki sejak awal abad ke-13 Masihi dan menjadi pusat pengkajian dan penyebaran agama islam. Tambahan pula, penduduk Bengal dan Malabar menganuti mazhab syafie sama dengan mazhab  umum yang terdapat di Alam Melayu manakala Gujerat menganuti mazhab hanafi.[8]
Teori islam dari india diperkuatkan lagi dengan catatan sejarah oleh Ibnu Batutah. Menurut Ibnu Batutah semasa beliau di Pasai, beliau melihat bahawa terdapat persamaan budaya khususnya dari segi pakaian di raja dengan kebudayaan di Bengal, india. Dalam catatan beliau juga menjelaskan bahawa Meurah Silu sebenarnya menganut agama Hindu yang kemudiannya memeluk agama islam dan mempunyai hubungan kenegaraan dengan masyarakat islam di Bengal. Namun demikian, hujan-hujah berkenaan dianggap tidak matang oleh sesetengah sejarawan.
Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah, Pasai telah menerima islam lebih awal pada 1042M, dan Malik al-Saleh bukanlah pemerintah pertama yang memeluk agama islam kerana sebelum Malik Al-saleh, Meuru Giri atau dikenali dengan nama Mahmud Shah lebih awal memeluk islam yang akhirnya membawa pasai memeluk islam secara bernegara. G.E. Marrison berpendapat, teori yang lebih tepat adalah datang dari Coromandel, India.[9] G.E. Marrison telah membuat kajian mengenai pengislaman di Pasai dan membuat kesimpulan bahawa islam berasal dari India kerana wujud hubungan rantau ini dengan India sejak pra-islam. Malahan, kajian terhadap Hikayat Raja-raja Pasai didapati wujud unsur-unsur berlatar belakangkan India Selatan di Pasai.
Kesimpulan bagi hujah-hujah berkenaan, dapat kita simpulkan bahawa sarjana-sarjana yang mendukung teori dari india tidak bersependapat tentang dari kawasan manakah di wilayah India yang menjadi tempat asal islam di Alam Melayu. Kebanyakan pendukung-pendukung teori dari India mempunyai tanggapan yang salah, bagi mereka kedatangan Islam ke Alam Melayu telah berlaku pada abad ke-13 Masihi, walhal islam dikatakan telah bertapak di Alam Melayu sejak abad pertama hij1rah atau sejak abad ke-7 Masihi lagi. Namun kita tidak dapat menyangkal peranan yang dimainkan oleh para pendakwah dari india dalam menyebarkan islam di Alam Melayu. 


ISLAM DARI TANAH ARAB
Sebahagian besar Orientalis dan sarjana barat meminggirkan peranan yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses yang membawa kepada pengislaman melayu. Namun, terdapat juga dari kalangan mereka yang secara jujurnya mengakui peranan orang Arab dalam proses pengislaman di Alam Melayu. Antara mereka ini termasukklah seorang Professor yang menjadi perintis kepada bidang pengajian perundangan islam Belanda iaitu Professor Keyzer dari Delft Akademi.[10]
Sarjana-sarjana lain yang mengkaji mengenai hal ini juga tidak dapat menafikan peranan yang dimainkan oleh orang Arab antaranya De Hollander, John crawfurd, William Marsden, dan Diego De Cuoto, dan T.W. Arnold.  Walaupun mereka menyokong agam islam di Nusantara datang dari Selatan India namun mereka tidak dapat menafikan peranan yang dimainkan oleh Orang Arab. Namun demikian,  kepentingan peranan tersebut tidak terlalu menonjol dan semakin tenggelam akibat oleh pandangan yang mengatakan bahawa islam di Alam Melayu datang dari benua India..
Walaupun Sarjana dan Orientalis barat tetap dengan pandangan mereka, namun Sarjana dan penulis tempatan berpendapat bahawa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan bahawa islam di Alam Melayu dibawa terus dari Semenanjung Tanah Arab dengan merujuk sumber yang digunakan oleh Sarjana barat dan  dari sumber tempatan. Karya-karya dalam kesusasteraan melayu tradisional seperti Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu mengandungi huraian yang jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses mengislamkan orang melayu. [11]
Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai ada menceritakan mengenai kisah pengasas kerajaan Pasai iaitu Meurah Silu yang bermimpi bertemu dengan Rasurullah, diislamkan dan dikenali sebagai Sultan Malikul Saleh.  Malah, turut diceritakan mengenai ketibaan Syeikh Ismail di pelabuhan yang dihantar oleh pemerintah Makkah bagi menyebarkan agama islam kepada penduduk Pasai. [12] Dalam Sejarah Melayu pula, terdapat peristiwa Sultan Muhammad Shah Melaka bermimpi berpandangan dengan Rasurullah dan mengajarnya mengucapkan dua kalimah  syahadah dan mendapat pesanan bahawa keesokan harinya datang seorang Makdum yang akan bersembayang di pantai. Di waktu pagi, Raja Kechil Besar mendapati ianya telah dikhatankan dan telah menyebut-nyebut kalimah syahadah dengan fasih. Kebetulan pada masa yang disebutkan itu, ada seorang bernama Sayyid Abdul Aziz bersembayang di pantai. [13]
Tokoh pertama yang dikatakan memainkan peranan utama dalam menyebarkan agama islam di Alam Melayu ialah Syeikh Ismail Al-siddiq yang diutuskan oleh Shariff Makkah. Bersama-sama dengannya fakir Muhammad dari Malabar, Syeikh Ismail menuju ke Sumatera dan khususnya Pasai. [14] Di Nusantara Negeri pertama yang diislamkan ialah Barus atau Fansur kemudian diikuti oleh Lamri, Haru (Aru), perlak akhirnya sampai ke Pasai.[15] Semasa berada di Pasai beliau dikatakan telah mengislamkan Raja Meurah Silu dan menukarkannya kepada nama Sultan Malik Al-salih (1261-1289 Masihi). Ketika Melaka diperintah oleh raja Kechil Besar (1424-1444 Masihi), datang seorang Makhdum dari Jeddah iaitu Sayyid Abdul Aziz lalu mengislamkan Raja Melaka ini. [16]Melalui peranan yang dimainkannya, Raja Melaka telah memeluk agama islam dan mengubah namanya menjadi Sultan Muhammad Syah.[17]
Menurut professor Hamka,  terdapat bukti orang Arab telah berlayar ke Indonesia terlebih dahulu sebelum kelahiran nabi Muhammad untuk membeli rempah ratus dan kapur barus yang hanya terdapat di Sumatera. Pada abad ke-7 masihi, islam dikatakan  telah sampai ke Sumatera setelah Muawiayah bin Abi Sufian mengirim utusan kepada Raja Srivijaya. Begitu juga Umar bin Abd Aziz telah menggiatkan dakwah dan perniagaan di Alam Melayu. Semasa Pemerintahan khalifah Sulaiman bin Malik beliau menghantar 35 buah armada ke Muara Sabak di Jambi. Armada inilah yang dikatakan bertolak dari Ceylon ke Palembang pada 717 Masihi sebelum ke China.  
Tambahan pula, pedagang Arab telah berdagang di Alam Melayu sebelum islam lagi. Bila mereka sudah memeluk islam maka bermulalah pertapakan islam di Alam melayu. Sebahagian besar pedagang dari Yaman, Hadramaut, dan Oman. Pengislaman Yaman adalah atas usaha Ali bin Abi Talib yang membawa implikasi terhadap pengislaman di Alam Melayu, lantaran merekalah yang menyebarkan islam semasa singgah di Alam Melayu.
Di tanah melayu juga terdapat bukti-bukti yang kuat bahawa agama islam itu dibawa terus dari Tanah Arab oleh bangsa Arab. Sebagai contoh, Maharaja Derbar II, raja Kedah telah diislamkan pada tahun 531 Hijrah bersamaan 1136 Masihi oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Ahmad al-Qaumiri al-Yamani seorang ulamak dari Arab yang datang dari Yaman. Setelah memeluk islam, raja tersebut menukar nama kepada Sultan Muzaffar Shah dan negeri Kedah digelar Darul Aman. Dari nama sultan dan gelaran negeri jelas menunjukkan pengaruh dari Arab-Parsi. Justeru itu, dengan berpandukan sumber yang wujud di sekitar Nusantara, jelas terbukti agama islam dibawa dari tanah Arab.
TEORI ISLAM DARI CHINA
Selain dari pada teori melaui India dan semenanjung Tanah Arab, islam juga dikatakan telah datang ke Nusantara melalui China atau Indo China. Teori ini dapat diperkukuhkan dengan hujah yang dikemukakan oleh Syed Naquib al-Attas yang menyebut mengenai pemberontakan di canton yang berlaku pada 878 Masihi. Menurut beliau, dalam pemberontakan itu telah mengorbankan kira-kira 100,000 orang asing dan kebanyakannya terdiri daripada pedagang-pedagang yang beragama islam  iaitu masyarakat Arab-Parsi. Pedagang-pedagang lain yang sempat menyelamatkan diri telah berhijrah ke Kalah yang kini dikenali sebagai Kedah, kemudiannya mengambil alih peranan Canton sebagai pelabuhan utama bagi pedagang-pedagang Arab. Syed Naquib dalam kenyataan beliau “ Ths event seems to have marked the beginning of the coming of islam in the Archipelago” yakin bahawa peristiwa ini menandakan permulaan kedatangan islam ke Alam Melayu.
Begitu juga pada akhir dinasti T’ang (618-905) berlaku satu pemberontakan yang  dipimpinan oleh Tien Shen Kong di wilayah Yang Chow telah mengakibatkan 5,000 orang rakyat asing dibunuh.[18] Sehubungan dengan peristiwa itu, menjadikan orang-orang Arab islam melarikan diri sekali lagi ke Nusantara untuk berlindung.  Kedatangan mereka ke Nusantara bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan perlindungan tetapi juga turut menyebarkan agama islam di kalangan masyarakat tempatan. Berpandu kepada hakikat itulah yang mendorong sesetengah sejarawan mendakwa islam telah datang dari negara China. [19]
Bagi mengukuhkan dakwaan berkenaan, beberapa hasil penemuan batu nisan telah dijadikan sebagai alasan iaitu batu nisan yang terdapat di Nusantara. Antara batu nisan yang dikatan milik seorang wali Allah berketurunan Arab yang bertarikh 419 Hijrah dianggarkan bersamaan tahun 1028 Masihi yang terdapat di Pekan Pahang yang mengandungi tulisan ayat-ayat al-Quran. Selain itu, penemuan batu bersurat kuala Berang Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah dianggarkan bersamaan 1303 Masihi pula mengandungi arahan-arahan tentang kewajiban ke atas orang-orang islam supaya mematuhi hukum-hukum Allah s.w.t. Disamping itu, terdapat catatan tentang  kedatangan islam dalam  catatan Dinasti Sung, bahawa islam dibawa oleh pedagang-pedagang islam dari Tiongkok pada awal tahun 977 Masihi. Laporan ini menjadi pegangan kuat S.Q. Fatimi bagi membuktikan teori kedatangan islam dari china selain dari kedua-dua batu nisan tersebut.[20] 

Bilakah islam  sampai ke alam melayu?
Seperti yang jelas diketahui ahli-ahli sejarah tidak bersependapat mengenai tarikh kedaatngan islam ke Alam Melayu. Rata-rata sejarawan tempatan berpendapat bahawa kedatangannya ke sumatera berlaku sejak abad ke-7 atau ke-8 Masihi lagi manakala di Tanah Melayu berlaku pada abad ke-9 atau ke-10 Masihi. Kebanyakan sejarawan barat pula bersetuju kemasukan islam ke Sumatera berlaku pada abad ke-13 Masihi dan ke Tanah Melayu pada abad ke-15 Masihi iaitu apabila Parameswara, raja Melaka yang pertama menerima islam pada tahun 1414 Masihi.[21]  Menurut Hamka yang pernah membuat kajian mengenai penyebaran islam di Alam Melayu cenderung berpendapat bahawa islam telah diperkenalkan di Nusantara sejak awal abad hijrah (abad ke-7M).
Pendapat beliau ini turut bersandarkan kepada penulisan yang dibuat oleh T.W. Arnorld yang menyebut mengenai peranan penting yang dimainkan oleh pedagang Arab dalam aktiviti perdagangan di rantau ini dan di bahagian timur tengah sejak sebelum abad masihi lagi. Walaupun terdapat pandangan bahawa islam telah disebarkan pada awal abad masihi lagi namun akibat ketiadaan bukti konkrit menyebakan pendapat ini tidak dapat diguna pakai.
Sarjana dan pengkaji termasuk sarjana dan pengkaji tempatan bersetuju dnegan pandangan yang diberikan oleh sumber barat bahawa Samudera-Pasai (abad ke-13 hingga abad ke-14 Masihi) merupakan kerajaan islam yang pertama di wujudkan di rantau ini. Disamping Samudera-Pasai terdapat juga kerajaan lain yang wujud telah dilaporkan oleh Marco Polo yang merupakan pengembara dari Venice. Menurut beliau, semasa beliau melawat Perlak, beliau mendapati bahawa kerajaan tersebut diperintah oleh seorang raja yang beragama islam iaitu Sultan Malikul Saleh.. Tambahnya lagi, semasa beliau melawat kerajaan islam di Sumatra Utara, beliau mendapati hanya di kawasan berkenaan sahaja terdapat orang islam, manakala di bahagian  pergunungan pula, penduduknya hidup dalam keadaan yang liar dan masih terdapat di kalangan mereka yang memakan daging manusia.
Setelah sekian lama kajian mengenai kedatangan dan penyebaran islam di Alam Melayu dijalankan, hasil penemuan-penemuan baru hampir merungkai persoalan mengenai tempoh masa kedatangan islam ke Alam Melayu. Penemuan batu nisan yang mengunakan tulisan Arab bertarikh 419H/1028M di Teluk Cik Munah, Pekan Pahang. Pada batu tersebut ada tertulis ayat-ayat al-quran dan syair arab di samping terdapat tarikh kematian si mati iaitu meninggal dunia pada waktu subuh hari rabu 14hb Rabiul awal 419 Hijrah.[22] Keadaan ini menunjukkan bahawa islam telah tersebar di situ pada abad ke-11. Begitu juga dengan penemuan batu nisan Syeikh Abdul Kadir Ibnu Husayn Shah Alirah bertarikh 290H/902M di Tanjung Inggeris, Alor Setar menunjukkan bahawa islam telah diperkenalkan pada abad ke-10.
Manakala, penemuan wang dinar Kelantan di bekas tapak kota istana kubang labu pada tahun 1914M. Di bahagian muka hadapan wang tersebut terdapat perkataan al-Mutawakkil yang bertarikh 577 Hijrah besamaan 1181 Masihi dengan tulisan angka Arab pula menunjukkan islam telah diamalkan dan berpengaruh menjelang abad ke-12. Walaupun sesetengah ahli sejarah berpandangan bahawa wang tersebut dibawa oleh pedagang-pedagang Arab ke negeri itu, setidak-tidaknya menjadi bukti kehadiran pedagang Islam di  daerah berkenaan.[23] Dengan penemuan-penemuan ini, pendapat yang dikemukakan oleh B. Schrieke yang mngatakan bahawa pengislaman di Alam Melayu hanya berlaku menjelang abad ke-16 tidak dapat diterima pakai.

Bagaimanakah proses pengislaman di Alam Melayu berlaku?
Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada proses pengislaman berlaku. Para sarjana dan Orientalis barat bersetuju bahawa faktor perdaganagn adalah pemangkin utama kepada proses pengislaman di Alam Melayu. Sejarawan yang mula-mula menekankan faktor perdagangan sebagai faktor terpenting ialah Tome Pires. Walaupun  Hamka tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh pedagang arab dalam mengislamkan orang melayu, namun beliau berpendapat bahawa dengan semangat “laba-rugi” sudah tentu bukan penyumbang kepada penyebaran agama islam yang pesat di rantau ini. [24]
Sumber tempatan menunjukkan bahawa, peranan yang dimainkan oleh pendakwah yang datang dari Semenanjung Tanah Arab merupakan permulaan bagi proses penyebaran islam di Alam Melayu secara pesat dimana, para pendakwah telah berperanan mengislamkan pemimpin-pemimpin orang tempatan dan kemudiannya diteladani oleh rakyat jelata.  Para pendakawah ini dikatakan bukanlah seorang pedagang tetapi adalah seorang pendakwah yang datang dari Semenanjung Tanah Arab untuk menyebarkan islam.
 S.Q.Fatimi dalam bukunya islam Comes to Malaysia turut mengemukakan pandangan bahawa sikap keterbukaan yang ditonjolkan oleh para pendakwah Arab telah memangkinkan penyebaran islam secara pesat. Semasa menjalankan aktiviti dakwah islamiah, sifat terbuka dan telus dengan penduduk tempatan telah menarik minat orang tempatan tertarik dan memeluk islam. Malahan, ada dikalangan pendakwah yang berkahwin dengan masyarakat tempatan. Dalam memudahkan aktiviti dakwah mereka, mereka turut mempelajari bahasa dan budaya masyarakat tempatan.


KESIMPULAN
Walaupun pelbagai teori telah dikemukan oleh sejarawan barat mahupun tempatan, namun demikian tidak ada jawapan yang tepat bagi memastikan siapakah yang pertama sekali menyebarkan Islam di Nusantara kerana tiada bukti sahih yang ditemui bagi memastikan bilakah tarikh kedatangan mereka dan golongan manakah yang terlebih dahulu menyebarkan Islam. Apa yang lebih penting ialah bahawa pada abad ke-13 Masihi dan selepasnya proses pengislaman di Nusantara dijalankan oleh para mubaligh dari India. Adapun peranan orang tempatan sendiri, namun hanya berlaku sejak abad ke-16 dan 17M.
            Bagi pendapat saya, agama islam di Alam Melayu adalah agama asli islam yang dibawa dari Semenanjung Tanah Arab. Hal ini kerana, kefahaman yang dibawa adalah bersifat Timur Tengah bukan India. Misalnya mengenai penghuraian akidah-akidah pelbagai mazhab ilmu tasawuf, bentuk-bentuk tulisan jawi, cara melafazkan ayat-ayat al-Quran, dan lain-lain menyatakan cirri-ciri tegas bangsa Arab bukan India sebagai penyebar dan pembawa agama asli di Alam Melayu ini.
            Demikianlah huja-hujah mengenai pengislaman di Alam Melayu. Dari segi pandangan islam, soal siapa atau bangsa apa yang membawa islam itu tidaklah begitu penting asalkan apa yang dibawa itu adalah agama islam. Tetapi dari segi kacamata sejarah, Syed Naquib al-Attas, beliau mengatakan bahawa sangatlah penting bagi para ahli sejarah mengemukakan butir-butir fakta iaitu akan mempengaruhi corak perumusan teori pensejarahan.





[1] Muhammad Redzuan Othman, 2005, Islam Dan Masyarakat Melayu : Peranan Dan Pengaruh Timur, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, hlm 2.
[2] Ibid,. hlm. 4.
[3] Khoo Kay kim, 1980, Tamadun Di Malaysia, Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia, hlm 137.
[4] Abdul Rahman Abdullah, Sejarah dan Tamadun di Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Utusan Publication, 2008, hlm 227.
[5] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu, hlm 4..
[6] Ibid., hlm. 227.
[7] Hj. Abdullah Ishak, 1990, Islam di Nusantara, Kuala Lumpur : Al-Rahmaniah, hlm 63
[8] Ibid., hlm. 63.
[9] Ibid, hlm 227.
[10] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu,hlm 6.
[11] Ibid., hlm. 7.
[12] Ibid.
[13] Yusoff Iskandar dan Abdul Rahman Kaeh, 1978, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur : Heinemann Educational Books Ltd, hlm 87.
[14] Abdul Rahman Hj. Abdullaah, 2007, Sejarah dan Tamadun Islam, Kedah: Pustaka Darussalam Sdn.Bhd., hlm518.
[15] Hj. Abdullah Ishak, 1989, Islam di Nusantara, Kuala Lumpur : Universisti Malaya, hlm 59.
[16] Ibid.
[17] ibid.
[18] Abdul Rahman Hj Abdullah, 1989, Islam dan Masyarakat Asia Tenggara Tradisonal, Kuala Lumpur: Penerbitan Pena Sdn. Bhd., hlm 91.
[19] Hj. Abdullah Ishak, Islam Di Nusantara, hlm 67.
[20] Ibid., hlm. 66.
[21] Ibid., hlm. 53-54.
[22] Hj. Abdullah Ishak, Islam di Nusantara, hlm 41.
[23] Ibid., hlm. 42.
[24] Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu, hlm 10.

BIBLIOGRAFI
1.      Abdul Rahman Abdullah, Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor Sdn.Bhd., 2000.
2.      Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat MelayuPeranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur : Penerbit Universiri Malaya, 2005.
3.      Yusoff iskandar dan Abdul rahman kaeh, Sejarah Melayu , Edisi Shellabear, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Eooks,1978.
4.      Abdul Rahman Hj. Abdullah, Islam Dalam Sejarah Asia Tenggara Tradisinal, Kuala Lumpur:  Penerbitan Pena Sdn.Bhd., 1989.
5.      khoo kay kim, Tamadun di Malaysia, kuala lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1980.
6.      Abdul Rahman Hj. Abdullah Sejarah dan Tamadun Islam, Kedah: Pustaka Darussalam Sdn.Bhd., 2007.
7.      Hj. Abdullah Ishak, Islam di Nusantara, Kuala Lumpur : Universisti Malaya, 1989.



No comments:

Post a Comment

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...