PENGENALAN
Rusuhan
kaum yang berlaku di Tanah Melayu bermula semasa pendudukan British di Tanah
Melayu pada tahun 1786. Pendudukan pihak British bermula melalui pertapakannya
di Pulau Pinang dan sehingga ke negeri-negeri di Tanah Melayu yang lain. Ketika
itu kedudukan ekonomi begitu kukuh menyebabkan berlaku kedatangan imigran atas
galakan daripada pihak British tanpa sekatan dan halangan. Pemerintahan British
telah memperkenalkan dasar pecah dan perintah bagi mengelakkan berlakunya penyatuan
kaum dengan mengasingkan dari segi pekerjaan, tempat tinggal, persekolahan, dan
ekonomi mengikut kaum.[1]
Sehubungan itu, kedatangan Jepun telah merumitkan lagi keadaan hubungan dingin
antara kaum di Tanah Melayu terutama di antara orang Melayu-China. Pihak Jepun
memberikan layanan yang berbeza terhadap kaum etnik di Tanah Melayu iaitu
layanan baik bagi kaum Melayu dan India serta layanan buruk terhadap orang Cina.
Penderitaan
orang Cina terhadap kezaliman Jepun telah menyebabkan ramai dalam kalangan mereka
melibatkan diri dalam MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) atau lebih
dikenali sebagai Bintang Tiga.[2] Hal
ini menyebabkan seluruh kaum di Tanah Melayu tidak mempunyai hubungan yang baik
dan erat. Apabila kekalahan Jepun pada ogos 1945, MPAJA telah keluar dari
tempat persembunyian mereka di hutan dan datang bermaharajalela di bandar-bandar
dan kampung-kampung di merata negeri melayu, terutamanya di negeri Perak,
Pahang, Kedah, dan Selangor untuk membalas dendam.[3] Persembunyian
MPAJA di hutan, mereka mempunyai khemah khas untuk askar-askar anti-Jepun yang
tinggal di Hulubalang. Terdapat 10 buah khemah atau rumah rumah beratap rumbia
tetapi tidak mempunyai dinding.[4] Di
pertapakan khemah mereka terdapat padang latihan , padang bola keranjang dan
sebuah generator serta pusat simpanan senjata. Setiap orang diberi tugas secara
bergilir-gilir seperti memasak, berkawal, berkawad, dan sebagainya.
Gerakan
MPAJA ini telah melakukan penganiayaan dan kekejaman terhadap penduduk yang dikatakan
melakukan jenayah dengan bekerjasama bersama pihak Jepun. MPAJA telah melakukan
serangan gerila kejam. Mereka bukan sahaja menyerang Jepun tetapi meminta
sebarang arahan atau suruhan sebanyak tiga kali kalau tidak diseret ke hutan
dan dibunuh.[5]
Tambahan pula, mereka menyatakan bahawa hanya mereka yang berhak memegang
tampuk kerajaan selepas pengunduran tentera Jepun. Ketika itu Tanah Melayu
berada di Zaman Interregnum iaitu bermaksud kekosongan kuasa menyebabkan MPAJA hendak
mengambil alih kuasa tersebut. Ketika pemerintahan Jepun, orang Melayu dianggap
bekerjasama dengan pihak Jepun dan ini menyebabkan orang Cina ingin membalas
dendam. Selama empat belas hari orang Melayu memendam perasaan dendam terhadap
orang Cina. Terdapat pelbagai punca pencetus kepada pergaduhan Melayu-Cina dan
bagaimana Islam berperanan dalam pergaduhan kaum yang berlaku di beberapa
negeri di Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun.
FAKTOR PENCETUS
PERGADUHAN KAUM
1)
Dasar
Penjajahan Barat Yang Tidak Seragam
Dasar
ini dapat dilihat bermula semasa pendudukan British membawa kemasukan golongan
imigran seterusnya mencetuskan perbalahan kaum tersebut di Tanah Melayu semasa
pendudukan Jepun pula. Dasar penjajahan Barat akibat ketidakseimbangan
komposisi kaum yang sengaja dibina membawa kepada layanan yang berbeza mengikut
etnik.[6]
Hubungan kaum di Tanah Melayu telah dipisahkan oleh faktor ekonomi, tempat
tinggal, sistem pendidikan, pekerjaan, dan latar belakang yang berbeza. Kesan
daripada perbezaan kerjasama inilah menyebabkan orang Cina merasa begitu marah
terhadap orang Melayu. Oleh itu, muncul gerakan yang dinamakan sebagai Bintang
Tiga yang bermaksud mewakili tiga kaum di Tanah Melayu iaitu kaum Melayu, Cina dan
India. Pertelingkahan etnik Melayu-Cina bermula disebabkan oleh sikap anti-Jepun
orang Melayu dan Cina. Dasar Jepun yang gagal mengambil kira kemajmukan Tanah
Melayu ketika itu telah menyebabkan buat pertama kalinya berlaku pergaduhan di
antara orang Melayu-Cina di Batu Pahat, Johor.[7] Oleh
itu, situasi yang sedemikian ini menyebabkan kaum di Tanah Melayu telah berlaku
pertelingkahan.
2)
Pencabulan
Orang Cina Terhadap Kesucian Islam
Faktor
seterusnya ialah isu pencabulan orang Cina terhadap kesucian Islam. Mereka
sering kali menjadikan rumah ibadat sebagai tempat bermesyuarat orang Cina.
Masjid telah dicemari dengan kejadian seperti menyembelih khinzir.[8]
Manakala, ruang masjid dijadikan tempat memasak daging khinzir dan orang Melayu
dipaksa untuk menyertai mereka. Malah, kekejaman dilihat apabila al-Quran turut
dijadikan alat pengesat najis. Kawasan masjid di Air Hitam, Muar juga telah digunakan
bagi menyembelih khinzir dan menyebabkan masyarakat setempat terganggu daripada
menjalankan ibadat.[9]
Pada 18 Julai 1947, Mejar Cock telah menggunakan al-Quran dalam majlis angkat
sumpah kepada semua belia Islam yang menyertai tentera British.[10]
Belia Islam yang direkrut yang beragama Islam harus memegang al-Quran dengan
menggunakan tangan kiri dan mengangkat tangan kanan dalam keadaan melafazkan
ikrar. Tindakan ini menimbulkan perasaan marah dalam kalangan Sultan dan orang Islam
di Tanah Melayu. Melihat kepada perlakuan tersebut jelas bahawa berlaku
pencabulan ke atas kesucian Islam. Oleh itu, masyarakat Melayu mula memikirkan
peranan yang perlu dilakukan terhadap penindasan ini.
3)
Orang
Cina Menaruh Prasangka Buruk Terhadap Orang Melayu
Isu
lain dapat dilihat apabila orang Cina menaruh prasangka buruk terhadap orang Melayu.
Sehinggakan apabila orang Islam berkumpul di surau atau masjid untuk bertahlil
menyebut ‘La Illa Ha Il Allah’ mereka
menyangka orang Melayu menyebut ‘Lai La’
iaitu ‘marilah’.[11]
Orang Cina menyangka bahawa orang Melayu menyeru hantu atau semangat orang Melayu
yang mati dibunuh olehnya datang membalas dendam. British menganggap tindakan
tersebut sebagai ancaman kepada mereka dan mereka berasa takut. Oleh itu,
berlaku pergaduhan antara sesama mereka. Keadaan ini jelas melihat sikap
Bintang Tiga yang melakukan serangan dan penindasan terhadap orang Melayu tanpa
usul periksa tujuan tahlil tersebut diadakan. Buktinya, di Mukim Gajah dalam pertengahan
bulan Disember 1945 berlaku kejadian membakar rumah orang-orang Melayu, 10 buah
rumah dibakar oleh orang Cina pada satu malam ketika penghuni sedang nyenyak
tidur.[12]
4)
Serangan
Gerila
Seterusnya punca berlakunya percetusan kaum
ialah serangan gerila iaitu tentera Bintang Tiga melarang orang Melayu
berkumpul di surau atau masjid. Hal ini terbukti semasa bulan umat Islam sedang
menjalankan ibadah berpuasa iaitu ketika ingin mengerjakan sembahyang terawih
dan beribadat serta berjemaah.[13] Hal
ini telah menganggu orang Islam untuk melakukan ibadah di masjid. Orang Melayu turut
di ancam ketika sedang mengerjakan ibadah sembahyang Jumaat. Peristiwa 6 Mac 1946 telah meninggalkan kesan
yang mendalam khususnya kepada penduduk Melayu di Kampung Bekor. Hal ini
terbukti seramai 80 orang Melayu termasuk kanak-kanak telah dibunuh dan dianggarkan
berlaku selama dua jam. Beberapa buah surau dan masjid yang dahulunya sentiasa
dipenuhi pada waktu Maghrib dan Isyak tidak lagi dikunjungi lantaran jaga keselamatan
rumah tangga dan keluarga di rumah masing-masing.[14]
5)
Orang
Cina Mempersendakan Agama Islam
Punca
selanjutnya, orang Cina telah mempersendakan agama orang Melayu iaitu agama Islam.
Bintang Tiga telah mula menghukum penduduk-penduduk kampung khususnya terhadap orang
Melayu. Misalnya, orang Melayu telah diikat kaki dan tangannya serta dimasukkan
ke dalam guni kemudiannya dicampakkan ke dalam laut hidup-hidup. Orang Cina
juga sering menyampaikan khabar angin yang tidak baik bagi memburukkan orang Melayu.
Selain itu, mereka juga telah dikatakan membawa budaya berjudi dan minum arak. Budaya
ini akan memburukkan imej orang Islam sehingga mereka ini dikatakan telah
mempengaruhi orang Islam untuk terlibat dalam budaya kotor ini. Begitu juga
dengan budaya pelacuran bermula pada abad ke-16, muncul kegiatan pelacuran yang
melibatkan hamba-hamba wanita kepunyaan raja atau pembesar untuk memenuhi
tuntutan yang pelbagai daripada pengunjung Eropah dan Cina.[15] Masjid
juga telah dijadikan sebagai tempat kelab mereka. Bintang Tiga ingin mengubah
waktu sembahyang Jumaat pada hari ahad untuk melaraskan Melayu, Cina dan India mengadakan
upacara sembahyang di hari yang sama.[16]
Bukti tersebut jelas menunjukkan mereka ini telah mempersendakan ajaran Islam.
PERANAN ISLAM DALAM PERGADUHAN KAUM
1)
Peranan
Golongan Ulama Dan Pemimpin Agama
Peranan Islam dalam
membaik pulih pergaduhan kaum jelas dilihat dalam peranan golongan ulama dan
pemimpin agama. Pengaruh Islam dalam konteks perjuangan kemerdekaan di Tanah
Melayu adalah menonjol lebih-lebih lagi kerana perjuangan awal nasionalisme Melayu
adalah dipelopori oleh tokoh-tokoh dan pemimpin agama, atau mereka yang berjiwa
agama.[17]
Mereka ini sanggup berkorban segala-galanya semata-mata untuk melaksanakan
tuntutan Allah S.W.T. Ulama dan pemimpin agama ini berperanan sebagai ejen
perubahan dan role model kepada
masyarakat. Pada abad ke-19, golongan ulama dan pemimpin agama telah muncul di
serata negeri di Tanah Melayu seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Pahang, Perlis,
Perak, dan Pulau Pinang. Antara tokoh ulama yang terkenal ialah Syeikh Haji Fadhil
al-Banteni.[18]
Tokoh paling tersohor misalnya, seorang Muslim iaitu Haji Salleh bin Abdul
Karim yang tinggal di Parit Maimon, Simpang Kiri, Batu Pahat, menjadi panglima Tentera
Sabil Selendang Merah bertujuan untuk menyekat kemaraan tentera Bintang Tiga. Beliau
bekerja keras untuk mempertahankan kehidupan orang Melayu pada ketika itu. Penglibatan
beberapa ulama tempatan seperti Tuan Haji Salleh bin Abd Manaan, Tuan Haji
Abdul Rahman bin Abdul Manan, dan Tuan Haji Shahbuddin bin Lebai Sulaiman Bakul
telah berjaya membawa perubahan baru di Kampung Bekor.[19]
Mereka telah mengubah persepsi penduduk Melayu Bekor terhadap orang Cina dan
berjaya menyatukan penduduk tersebut.
2)
Menyuntik Semangat Jihad
Selain itu, peranan ulama
dan pemimpin agama di negeri-negeri Melayu adalah untuk menyuntik semangat
jihad dalam kalangan penduduk. Pendekatan agama digunakan sebagai paksi utama
dalam gerakan menentang penjajah pada kurun ke-19.[20] Mereka
bertanggungjawab dalam menyalakan api semangat anti-Cina dalam kalangan orang Melayu.
Pengisytiharaan perang jihad setelah berlaku kemarahan orang Melayu melawan
tentera Bintang Tiga. Misalnya, Tuan Haji Ugoh bin Haji Mohd Said mengetuai peperangan
dan bersama penduduk kampung bersiap sedia mempertahankan kampung mereka. Hal
ini disebabkan Masjid di Parit 6 C, Sungai Manik, Perak mahu dijadikan bilik
gerakan dan Dewan Drama oleh Bintang Tiga.[21]
3)
Ilmu
Tarekat Dan Ilmu Halimunan
Ilmu ini menjadi
sebahagian daripada amalan dalam masyarakat melayu. Ilmu tarekat bermaksud
jalan atau cara-cara untuk mempertingkatkan iman, taqwa dan seterusnya mendapat
keredhaan Allah. Tarekat ini dilambangkan sebagai ingatan dan fikiran yang kuat
untuk mengingati Allah dan perjalanan menuju ke sesuatu yang damai. Menurut Syed
Naquib al-Attas, dua tarekat yang terkenal dan di amalkan dalam kalangan
masyarakat Melayu ialah qadariyyah dan naqshabandiyyah. [22] Antara
guru Tarekat Qadiriyyah yang terkenal ialah Syeikh Abdullah bin Mustafa di Kampung Parit Maimun, Mukim Simpang
Kiri, Batu Pahat, Johor.[23] Di
samping itu, pengamalan ilmu halimunan dibawa oleh Tuan Guru Haji Abbas di Sungai
Choh, Hulu Selangor. Oleh itu, kedua-dua ilmu ini begitu penting bagi membantu
orang Melayu mempertahankan kesucian agama Islam.
4)
Elemen
Mempertahankan Diri
Demi kelangsungan untuk
mempertahankan orang Melayu dan kesucian agama Islam, elemen mempertahankan
diri mula mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Melayu. Seni pertahanan
diri seperti silat disertai dengan beberapa amalan kebatinan.[24] Seterusnya
amalan ilmu kebal turut menjadi sebahagian ilmu dalam masyarakat Melayu untuk
mempertahankan diri. Sehingga dikatakan bahawa ilmu kebal di Johor tersebar
luas sehingga ke Pahang. Hal ini dibuktikan apabila Haji Salleh telah berhijrah
ke serata tempat untuk mengajar ilmu kebal dan memberikan ceramah untuk
meningkatkan semangat juang orang melayu. Penduduk kampung mempelajari ilmu
kebal ini atau dikenali ‘ilmu tak lut senjata’ penting apabila menghadapi
situasi cemas. Antara objek yang digunakan
untuk menjadikan seseorang pengamal itu menjadi kebal ialah kain selendang
merah, cincin, potongan ayat daripada al-Quran, dan suntikan jarum emas.[25]
Minuman air jampi iaitu air penebat bertujuan menyuntik semangat perjuangan
orang Melayu kerana air tersebut telah di bacakan dengan ayat-ayat suci al-Quran.
Pada September 1946, Syeikh/Syed Idris yang berketurunan Jawa mula mengajar
ilmu kebal serta mistik Melayu di daerah Kuala Kangsar, Perak.[26] British
juga menganggap pengamalan ilmu kebal ini merupakan satu ancaman kepada mereka. Kedua-dua komuniti Melayu-Cina ini
telah memperluaskan lagi seni mempertahankan diri seperti silat dalam kalangan
orang Melayu dan bermain tembong dalam kalangan orang Cina.[27]
Selain itu, beberapa alim ulama
serta orang tua berhimpun di sesebuah rumah untuk memulakan pengajian dalam
ilmu mempertahankan diri termasuk juga ilmu membunuh musuh serta ilmu kebal. Rumah
yang digunakan untuk berhimpun bagi mempelajari ilmu kebal ialah di rumah Imam
Hj. Bakri Sendiri di Parit 8B Sg Manik.[28]
Ilmu kebal bertujuan untuk menahan diri daripada sebarang tikaman senjata,
peluru atau seumpamanya yang tidak akan memberi bekas dan kesan. Menuntut ilmu
kebal dan ilmu pertahanan lain bukan sahaja mendapat sambutan di satu mukim sahaja
tetapi juga di mukim-mukim lain. Tempoh mempelajari ilmu ini mengambil masa yang
panjang. Oleh itu, persiapan keperluan seperti dijangkakan iaitu pakaian dan senjata.
5)
Pakatan Islam
Antara pakatan yang digerakkan oleh orang Islam
ialah gerakan fisabililllah atau
perang jihad. Cheah Boon Kheng mentafsirkan, gerakan fisabilillah sebagai anti-Cina dan anti-MPAJA.[29] Gerakan
fisabilillah telah berjaya menyatukan
orang Melayu dalam menghadapi konflik Melayu-Cina dan bukannya gerakan
menentang British. Gerakan ini bermatlamat untuk mempertahankan agama Islam
akibat daripada pembunuhan kejam serta penyiksaan ke atas mereka. Tok Janggut
di Kuala Muda, Kedah merupakan ulama tempatan yang turut sama menyemaikan fisabilillah kepada penduduk setempat
menjelang akhir tahun 1943.[30]
Seterusnya adalah Persatuan Tenaga Makatul Musyarrafah yang
telah dibentuk oleh Haji Abdul Samad Noh dan beberapa dengan ulama yang lain.
Pembentukan persatuan ini bersama-sama dengan pelajar-pelajar Melayu dan
Indonesia ketika menuntut di Madrasah al-Saulatiyah al-Hindayah, Mekah.[31] Matlamat pembentukan adalah untuk memerdekakan
Tanah Melayu dan Indonesia. Mereka juga merupakan gerakan yang menentang
Malayan Union.
Hizbul
Muslimin kemudian di tubuhkan pada 14 Mac 1948, bertujuan untuk menuntut
kemerdekaan bangsa melayu, membentuk masyarakat berdasarkan ajaran islam.[32]
Selain itu, penubuhan ini juga bertujuan menjadikan Tanah Melayu sebagai Darul
Islam atau Negara Islam dan menyatukan umat Islam dalam satu ideologi. Pemimpin
Hizbul Muslimin ialah Ustaz Abu Bakar
al-Bakir, Haji Ariffin Haji Alias, dan Daud Jamil. Parti ini hanya bertahan
selama enam bulan sahaja kerana telah diharamkan oleh British tetapi
matlamatnya untuk menyatukan umat Islam berjaya dicapai.[33]
6)
Gerakan
Tentera Sabil Selendang Merah
Gerakan ini dipelopori
oleh Haji Salleh bin Abdul Karim yang tinggal di Parit Maimon, Simpang Kiri,
Batu Pahat. Matlamat penubuhan gerakan tersebut ialah untuk menyekat keganasan
tentera Bintang Tiga. Haji Salleh telah mengabungkan penduduk Tanah Melayu yang
terdiri daripada dua suku yang berlainan iaitu Jawa dan Banjar. Orang Banjar dan
Jawa dari dahulu membenci orang Cina dan tahap sentimen agama mereka amat
tebal.[34] Beliau
telah membahagikan beberapa pasukan yang diberi tugas mengawal kawasan
tertentu, iaitu kawasan Johor selatan, Johor timur, dan Johor utara. Ketua akan
memakai gelaran Kyai yang menjadi pemimpin di kawasan tersebut. Mereka juga digalakkan
menggunakan apa sahaja senjata yang dimiliki seperti parang panjang, senapang
patah, lembing, pedang, keris, sundang dan tombak.[35]
Setiap anggota Tentera Selendang Merah ini di kehendaki patuh dan menunaikan
segala tindakan berteraskan pada kitab suci al-Quran. Ketua wilayah iaitu Kyai
akan memimpin orang-orang di kawasan masing-masing untuk bersembahyang jemaah
di surau.[36]
Selepas sembahyang isyak , mereka diajarkan ayat-ayat al-Quran yang telah di
tentukan bacaannya. Sebaik sahaja mereka ini tamat mempelajari ayat-ayat suci Al-Quran,
barulah mereka akan ditauliahkan dalam satu upacara menyampaikan selendang
merah, iaitu sehelai kain selebar kira-kira empat inci dan panjangnya cukup
untuk diselempangkan dari atas bahu kanan hingga ke bawah ketiak kiri.[37]
Kain ini bertulis ayat-ayat al-Quran dan kepada mereka yang lulus ujian boleh
terus menggunakan selendang merah tersebut tetapi hendaklah patuh kepada aturan
dan menjauhi pantang larang.
Pada keseluruhannya kira-kira 80
peratus tentera ini menggunakan parang panjang sebagai senjata utama, 10
peratus menggunakan senapang patah dan 10 peratus lagi menggunakan lembing,
pedang, keris, tombak dan sundang.[38] Senjata
orang Cina adalah seperti lembing, tat dan serampang manakala orang Melayu
bersenjatakan keris, golok dan parang. Oleh sebab senjata yang di gunakan lebih
tertumpu kepada parang panjang sehingga kini telah menjadi ingatan zaman dikenali
sebagai ‘zaman perang parang panjang’. Ketika ini senjata-senjata tersebut dikatakan
mempunyai kesaktian dan berlaku peristiwa pelik serta aneh. Panglima Kyai
Salleh sendiri telah menggunakan pedang hikmat yang dihadiahkan oleh ibunya
yang dikatakan boleh dilipat dan dililit seperti tali pinggang.[39]
Bukti gerakan Selendang Merah ini adalah semasa panglima Kyai Salleh dan Kyai
Mashhudi telah mengumpulkan tenteranya untuk menyerang Parit Sulong iaitu
sebuah pekan kecil di Batu Pahat yang didiami ramai orang Cina.[40] Serangan
ini memihak kepada Gerakan Selendang Merah memperoleh kemenangan dan memeranjatkan
orang Cina. Panglima Kyai Salleh telah melakukan serangan besar-besaran di Bandar
Panggaram kerana merupakan lokasi kubu terkuat orang Cina.[41]
Kemudian disusuli serangan di Parit Jawa. Serangan demi serangan dilakukan oleh
gerakan ini sehingga Dato, Onn Jaafar masuk campur supaya gerakan membunuh
orang Cina ini tidak diteruskan. Usaha Dato, Onn Jaafar ini berjaya menghentikan
Gerakan Tentera Selendang Merah. Pada 23 ogos 1945, Dato’ onn telah memanggil
semua penghulu bagi mewakili orang Melayu, ketua Bintang Tiga, dan ketua orang
Cina ke Dewan Perniagaan Cina di Bandar Penggaram untuk berbincang.[42] Dalam
rundingan tersebut ketiga-tiga ketua tersebut setuju untuk berdamai.
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
peranan Islam begitu penting dalam pergaduhan orang Melayu-Cina di Tanah Melayu
selepas pendudukan Jepun. Peneguhan Islam begitu penting dalam mempertahankan
survival orang Melayu daripada ditindas dan dicabuli. Malah, pelbagai cara dan
peranan yang dilakukan oleh orang Islam bagi menegakkan kesucian agama Islam
yang dianggap sebagai satu jihad ke jalan Allah. Konflik orang Melayu-China 1945-1948 merupakan jihad pertama orang Melayu.
Implikasi daripada rentetan peristiwa rusuhan kaum ini orang Cina merasa takut
dan bimbang apabila berlaku krisis dan ramai dalam kalangan mereka menjadi
gila, cacat, tempang dan sebagainya. Sehinggakan orang Cina menjadi begitu
sensitif apabila mendengar orang melayu bertakbir kerana suara tersebut mereka
gerun disebabkan hampir-hampir
memusnahkan keturunan mereka.[43] Peristiwa
13 Mei 1969 yang berlaku adalah kesinambungan daripada konflik etnik ini pada tahun
1945-1948. Hal ini melihatkan jihad pertama orang Melayu tersebut ternyata
gagal mempertahankan rusuhan kaum yang berlaku.
[1] Ho Hui Ling, “Masyarakat Majmuk di
Tanah Melayu dan Usaha ke Arah Memupuk Kerjasama Antara Kaum, 1946-1957”, Sejarah, No.
17, 2009, hlm. 64.
[2] Ho Hui Ling, “Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Communities Liaison
Committee/CLC): Satu Penilaian Awal Terhadap Peranannya Dalam Mengurangkan
Ketegangan Hubungan Kaum di Tanah Melayu pada Zaman Darurat, 1948-1960”, Malaysia
dari Segi Sejarah, Bil. 35, 2007, hlm. 86.
[3] Ibrahim
Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan
Pustaka Antara, 1981. hlm. 32.
[4] Kamaruddin
Bin Mohd Piah, 1974/75, “Kampung Bekor Sejak 1900, Satu Kajian Sejarah Tempatan
Dengan Rujukan Khas Kepada Tragedi 6hb Mac 1946”, Latihan Ilmiah, Jabatan
Sejarah, Universiti Malaya, hlm. 62.
[5] Suzani Osman,
Perkembangan Kesedaran Politik Dikalangan Orang Melayu Di Batu Pahat, Latihan
Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1994/1995, hlm. 63.
[6] Mohamed Ali Haniffa, “Konflik Melayu-Cina 1945-1948: Kesedaran ke
Arah Survival Bangsa dan Kemerdekaan Tanah Air”, Kertas Kerja DiBentangkan
Dalam Seminar Wacana Kemerdekaan, 23 September 2011, Anjuran Jabatan Sejarah
Universiti Malaya, hlm. 1.
[8] Mohamed Ali Haniffa dan Mohammad Redzuan Othman, “Islam dan Survival Bangsa: Peranan Pemimpin
Agama dalam Membangkitkan Kesedaran Menghadapi Konflik Melayu-Cina 1945-1948”,
Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV, 25-26 November 2011, Anjuran Jabatan
Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan
Malaysia, hlm. 281.
[9] Mohamed Ali Haniffa dan Mohammad Redzuan Othman, “Islam dan Survival Bangsa: Peranan Pemimpin
Agama dalam Membangkitkan Kesedaran Menghadapi Konflik Melayu-Cina 1945-1948”,
hlm. 281.
[11] Mohamed Ali Haniffa, “Konflik Melayu-Cina 1945-1948: Kesedaran ke
Arah Survival Bangsa dan Kemerdekaan Tanah Air”, hlm. 5.
[12] Ghazali
Bin Basri, Hilir Perak: Sejarah Hubungan Ras Zaman Pendudukan Jepun Sehingga Pemerintahan
Tentera British (BMA), 1942-1946, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti
Malaya, 1974/75, hlm. 38.
[13] Hairi
Abdullah, “Kebangkitan dan gerakan tentera Selendang Merah dalam sejarah
daerah Muar dan Batu Pahat”, Jebat, Bil., 3/4.. 1973/4, 1974/5,
hlm. 8.
[14] Ghazali
Bin Basri, Hilir Perak: Sejarah Hubungan Ras Zaman Pendudukan Jepun Sehingga
Pemerintahan Tentera British (BMA), 1942-1946, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah,
Universiti Malaya, 1974/75, hlm. 34.
[15]
Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan
Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1981, hlm. 200.
[16] Ghazali
Bin Basri, Hilir Perak: Sejarah Hubungan Ras Zaman Pendudukan Jepun Sehingga
Pemerintahan Tentera British (BMA), hlm. 38.
[17] Mohamed Ali Haniffa, “Konflik Melayu-Cina 1945-1948: Kesedaran ke
Arah Survival Bangsa dan Kemerdekaan Tanah Air”, hlm. 5.
[18] Mohd
akhbal Abdullah, “Kiayi Fadhil
Al-Banteni”, dalam Johor Mengenang Sumbangsihmu, (ed.), Abu Bakar A. Hamid,
Md. Ismail Zamzam, Kamdi Kamil, Johor
Bahru: Yayasan Warisan Johor, 2006, hlm. 31.
[19] Mohamed Ali Haniffa dan Mohammad Redzuan Othman, “Islam dan Survival Bangsa: Peranan Pemimpin
Agama dalam Membangkitkan Kesedaran Menghadapi Konflik Melayu-Cina 1945-1948”,
hlm. 287.
[25] Mohamed Ali Haniffa, “Konflik Melayu-Cina 1945-1948: Kesedaran ke
Arah Survival Bangsa dan Kemerdekaan Tanah Air”, hlm. 6.
[27] Hairi
Abdullah, “Kebangkitan dan gerakan tentera Selendang Merah dalam sejarah
daerah Muar dan Batu Pahat,” hlm. 15.
[28]Ghazali
Bin Basri, Hilir Perak: Sejarah Hubungan Ras Zaman Pendudukan Jepun Sehingga
Pemerintahan Tentera British (BMA), hlm. 38.
[29] Mohamed Ali Haniffa dan Mohammad Redzuan Othman, “Islam dan Survival Bangsa: Peranan Pemimpin
Agama dalam Membangkitkan Kesedaran Menghadapi Konflik Melayu-Cina 1945-1948”,
hlm. 285.
[32] Mohamed Ali Haniffa dan Mohammad Redzuan Othman, “Islam dan Survival Bangsa: Peranan Pemimpin
Agama dalam Membangkitkan Kesedaran Menghadapi Konflik Melayu-Cina 1945-1948”,
hlm. 284.
[34] Suzani
Osman, Perkembangan Kesedaran Politik Dikalangan Orang Melayu Di Batu Pahat,
Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1994/1995, hlm. 74.
[35] Hairi
Abdullah, “Kebangkitan dan gerakan tentera Selendang Merah dalam sejarah
daerah Muar dan Batu Pahat.” hlm. 10.
[41] Suzani
Osman, Perkembangan Kesedaran Politik Dikalangan Orang Melayu Di Batu Pahat,
Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1994/1995, hlm. 80.
[42] Suzani
Osman, Perkembangan Kesedaran Politik Dikalangan Orang Melayu Di Batu Pahat,
Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1994/1995, hlm. 82
[43] Hairi
Abdullah, “Kebangkitan dan gerakan tentera Selendang Merah dalam
sejarah daerah Muar dan Batu Pahat,” hlm. 15.
BIBLIOGRAFI
1. Ghazali
Bin Basri, Hilir Perak: Sejarah Hubungan Ras Zaman Pendudukan Jepun Sehingga Pemerintahan Tentera British (BMA),
1942-1946, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1974/75.
2.
Hairi
Abdullah, “Kebangkitan dan Gerakan
Tentera Selendang Merah Dalam Sejarah Daerah Muar Dan Batu Pahat”, Jebat, Bil., 3/4.. 1973/4, 1974/5.
3.
Ho Hui Ling, “Masyarakat Majmuk di Tanah Melayu
dan Usaha ke Arah Memupuk Kerjasama Antara Kaum, 1946-1957”, Sejarah, No. 17, 2009.
4.
Ho
Hui Ling, Darurat 1948-1960: Keadaan
Sosial di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2004.
5.
Ho
Hui Ling, “Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Communities Liaison Committee/CLC): Satu
Penilaian Awal Terhadap Peranannya Dalam Mengurangkan Ketegangan Hubungan Kaum di Tanah Melayu pada Zaman
Darurat, 1948-1960”, Malaysia Dari Segi
Sejarah, Bil. 35, 2007.
6.
Ibrahim
Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka
Antara, 1981.
7.
Kamaruddin
Bin Mohd Piah, “Kampung Bekor Sejak 1900, Satu Kajian Sejarah Tempatan Dengan
Rujukan Khas Kepada Tragedi 6hb Mac 1946”, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, 1974/75.
8. Mohamed Ali Haniffa, “Konflik
Melayu-Cina 1945-1948: Kesedaran ke Arah Survival Bangsa dan Kemerdekaan Tanah
Air”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Wacana Kemerdekaan, 23
September 2011, Anjuran Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
9.
Mohamed
Ali Haniffa dan Mohammad Redzuan Othman, “Islam dan Survival Bangsa: Peranan Pemimpin Agama dalam Membangkitkan
Kesedaran Menghadapi Konflik Melayu-Cina 1945-1948”, Prosiding Nadwah
Ulama Nusantara (NUN) IV, 25-26 November
2011, Anjuran Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia.
10. Mohd
Akhbal Abdullah, “Kiayi Fadhil Al-Banteni”,
dalam Johor Mengenang Sumbangsihmu, (ed.),
Abu Bakar A. Hamid, Md. Ismail Zamzam, KamdiKamil, Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor, 2006.
11. Suzani
Osman, Perkembangan Kesedaran Politik Dikalangan Orang Melayu Di Batu Pahat, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah,
Universiti Malaya, 1994/1995.
bermanfaat dan sangat bagus sebab ada sumber rujukan... thumbs up
ReplyDelete