Thursday, 17 January 2013

PENGARUH MESIR KE ATAS ORANG MELAYU


Sejauhmanakah pengaruh dari Mesir memainkan peranan penting dalam menyemaikan kesedaran politik dan sosial masyarakat Melayu sebelum perang dunia kedua?

PENGENALAN
              Mesir mengalami kebangkitan politik pada tahun 1920-an lagi. Gerakan Pan Islamisme yang dipelopori oleh Sayyid Jamal al- Din al- Afghani telah berjaya mempengaruhi semangat kebangkitan rakyat Mesir menentang penjajah Inggeris dengan membawa konsep Pan- Islamisme telah menyeru umat islam untuk bersatu di bawah pemerintahan khalifah dan berusaha membebaskan diri dari belenggu penjajah[1]. Pengaruh Pan Islamisme (Mesir) telah mula tersebar dalam kalangan masyarakat Melayu sejak awal abad ke- 20 lagi. Namun begitu, pengaruh ini tidak begitu diterima sehinggalah pada tahun 1920-an apabila masyarakat mula menerima idea gerakan Islah yang turut diperjuangkannya. Pemikiran Islah ini mempengaruhi Syeikh Muhammad Abduh (1849 – 1905) dan Rasyid Rida (1865 – 1935) untuk mengembangkan idea gerakan Islah. Kaum Muda merupakan antara golongan yang terawal menerima pengaruh tersebut di Tanah Melayu.Penyebaran pengaruh Mesir dalam masyarakat Melayu di Tanah Melayu pada tahun 1920-an dan 1930-an dikaitkan dengan pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Al- Azhar dan Kota Kaherah. Pelajar – pelajar ini juga yang menyaksikan kebangkitan dan perjuangan rakyat Mesir menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris. Pengaruh Mesir bukan sahaja mempengaruhi kesedaran politik dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu malah dari sudut sosial.

             Dari sudut politik, pengaruh Mesir di Tanah Melayu banyak disebarkan oleh pelajar Melayu yang  menuntut di Kaherah. Kebanyakan pelajar Melayu ini terpengaruh dengan gerakan Islah yang disebarkan Syeikh Muhammad Abduh dan Rasyid Rida. Antaranya, Syeikh Syed al-Hadi dan Syed Muhammad Tahir Jalaludin. Suasana politik terbuka di Mesir telah menggalakkan pelajar Melayu yang sedang menuntut di Universiti al-Azhar untuk bergiat dalam politik dan menimbulkan kesedaran kepada mereka untuk menyebarkan pengaruh tersebut di Tanah Melayu setelah pulang. Mereka mahu melihat Tanah Melayu turut merdeka dan bebas dari belenggu penjajah seperti yang terjadi di Mesir.

                 Sebelum Mesir menjadi tarikan tempat orang Melayu meneruskan pengajian, orang Melayu banyak menghantar anak mereka ke Mekah. Menurut Othman Abdullah, Mekah hanya tempat untuk menimba ilmu sahaja dan jika mahu mempelajari politik mereka perlu ke Mesir[2]. Hal ini menimbulkan kesedaran dalam pelajar untuk mempelajari politik turut menyebabkan peningkatan bilangan anak Melayu yang menyambung pengajian mereka di Mesir tahun 1920-an dan 1930-an. Menurut Othman Abdullah, sewaktu beliau sampai di Mesir pada tahun 1925, tidak kurang 27 orang pelajar Melayu baru turut sama melanjutkan pelajaran di Mesir[3]Kesedaran politik pelajar Melayu dapat dilihat menerusi penerbitan Ittihad pada tahun 1913 yang jelas menyokong penubuhan Sarekat Islam dan Budi Utoemo oleh rakyat Indonesia yang turut mengalami kebangkitan politik ketika itu. Neracha menjadi wadah pemikir umat Islam yang diterbitkan setelah al-Imam dihentikan penerbitannya akibat ketiadaan wang untuk meneruskan penerbitannya.. Neracha mengalakkan orang Melayu berusaha lebih gigih bagi menjamin survival  bangsa, agama, dan tanah air mereka.
            Ketika di Kaherah, penuntut Tanah Melayu telah bergabung dengan penuntut dari Indonesia menubuhkan al- Jam’iyyah al- Khairiyyah pada tahun 1923 di bawah pimpinan Syeikh Ismail. Ahli – ahlinya  kebanyakan terdiri daripada pelajar yang belajar di Universiti Al- Azhar. Al- Jam’iyyah al- Khairiyyah atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai persatuan penuntut-penuntut semenanjong Tanah Melayu dan Indonesia merupakan persatuan yang menjaga kebajikan pelajar Tanah Melayu dan Indonesia sepanjang mereka menuntut di Kaherah[4]. Persatuan ini diadakan untuk memberi bantuan dan perlindungan kepada pelajar Tanah Melayu dan Indonesia serta dapat bertukar – tukar ideologi dalam kalangan ahli persatuan[5]. Al-Jamiyyah al-Khairiyyah tidak dapat mengelak dari turut menyertai krisis politik yang berlaku di Mesir ketika itu. Namun begitu, persatuan ini tidak bertahan lama akibat mengalami krisis kepimpinan apabila persatuan ini tidak dapat menjaga kebajikan dan keselamatan apabila seorang pelajar dari Palembang telah terbunuh akibat pergolakan yang berlaku di Mesir[6].
            Akhbar Seruan Azhar diterbitkan oleh al-Jamiyyah al-Khairiyyah pada Oktober 1925 sebagai lidah rasmi persatuan ini dan penerbitan ini turut dibantu oleh penerbit akhbar di Kaherah. Penerbitan surat khabar ini turut bermatlamat sama seperti akhbar-akhhbar lain. Akhbar ini berperanan untuk menyatukan umat Islam di seluruh semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Melayu. Seruan Azhar mengecam tindakan penjajah yang menyekat kebebasan mereka serta mengeksploitasi Tanah Melayu. Surat khabar ini turut menyeru orang Melayu supaya bersatu bagi membebaskan diri dari cengkaman pelajar dengan mengaitkan Mesir sebagai contoh. Ideologi yang dibawa Seruan Azhar ini turut disokong oleh Pengasoh yang diterbitkan di Kelantan dan Pilehan Timoer[7]. Persatuan ini juga menghantar Djanan Taib sebagai wakil al-Difa’al-Watani (The National Guard) yang merupakan salah satu jawatankuasa dalam al- Jamiyyah al- Khairiyyah bagi menghadiri Muktamar Islami yang diadakan di Mekah pada tahun 1926[8].Selain itu, Abu Bakar Ashaari yang merupakan presiden al- Jamiyyah al-Khaiyyyah bersama Abdul Kahar Muzakir telah ke Palestin bagi menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Buraq al- Shariff yang bertujuan menyelesaikan masalah umat islam yang berlaku ketika itu. Al- Jamiyyah al-Khairyyah turut mengadakan hubungan al-Hizb al-Watani iaitu Parti Kebangsaan yang pernah dipimpin oleh Mustafa Kamil (1874-1908) dan Muhammad Farid (1868-1919) menentang penjajah Barat dalam menuntut kemerdekaan. Kedua- dua tokoh ini sangat disanjungi oleh pelajar Melayu akan perjuangannya.
            Pemimpin dari parti tersebut selalu mengambil berat dan memberi bantuan kepada pelajar melayu dan  sering bertukar-tukar fikiran dalam kalangan mereka. Antara pemimpin al-Hizb al- Watani mempunyai hubungan yang erat dengan persatuan ini seperti Syeikh ‘Abd al-‘Aziz, Sa’ad Zaghlul, Syeikh  Abd al-Majid al-Ban. Contoh hubungan erat ini dapat dibuktikan dengan kematian pemimpin al- Hizb al- Watani,’Ali Fahmi yang mendapat liputan Seruan Azhar dan wakil pelajar melayu turut menghadiri upacara pengebumiannya Hubungan yang erat ini telah mendorong pelajar Melayu di Kaherah agar mengambil berat perkembangan politik di Tanah Melayu khususnya yang melibatkan hak Melayu.

 Selain persatuan ini, pelajar Melayu di Mesir juga turut terlibat dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)[9]. Pengalaman terlibat dengan al- Jam’iyyah al- Khairiyyah dan persatuan lain sewaktu menuntut di Mesir telah digunakan sepenuhnya oleh pelajar Melayu untuk menyebarkan pemikiran Islah di Tanah Melayu. Contohnya, Othman Abdullah yang kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1929 telah dilantik sebagai penulis serta pengurus akhbar Majlis yang ditubuhkan pada tahun 1931. Othman bersama beberapa pelajar Melayu turut menubuhkan Persatuan Melayu Selangor (PMS) yang bermatlamat menjaga kepentingan hak orang Melayu ketika pemerintah British menjajah Tanah Melayu. Beliau juga menjadi bendahari Kesatuan Melayu Muda pada 1939[10]. Pada tahun 1930, Abdul Wahab Abdullah pulang ke Tanah Melayu dan beliau menjadi pengarang akhbar Saudara dan Bumiputera. Abu Bakar Ashaari pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1932, beliau menjadi pengarang surat khabar Bahtra dan Saudara sebelum berhijrah ke Perlis dan menjadi imam besar Masjid Alawiyyah, Kangar[11].    
            Peristiwa yang berlaku di Kaherah turut mempengaruhi masyarakat Melayu. Contohnya, Persidangan Antarabangsa Khalifah yang telah dianjurkan pada 13 sehingga 20 Mei 1926 iaitu 2 tahun selepas jawatan khalifah dibubarkan. Persidangan ini bertujuan untuk menangani permasalahan umat islam yang berlaku ketika itu Raja-raja Melayu turut dijemput oleh Sayyid Hassan bin Ahmad al- Attas untuk menghadiri persidangan tersebut. Sultan Johor, Sultan Ibrahim menunjukkan minat untuk menghadiri persidangan tersebut namun tdak dapat menghadirinya pada saat akhir-akhir. Sultan Pahang juga menunjukkan minat yang sama namun tiada bukti penglibatan sultan Pahang dalam persidangan tersebut[12]. Persidangan tersebut dihadiri oleh 40 orang daripada 14 orang wakil dan telah mendapat liputan luas dari akhbar Melayu seperti Pengasuh dan Idaran Zaman. Misalnya, Idaran Zaman telah menyiarkan senarai nama peserta yang terlibat dalam persidangan tersebut. Namun begitu persidangan tersebut kurang berjaya kerana hanya dihadiri oleh wakil wakil pemimpin dan bukannya pemimpin itu sendiri. Dalam persidangan tersebut, Ali Abd al- Raziq yang berfikiran liberal telah mempertikaikan perlantikan khalifah sebagai pemimpin umat Islam dengan menyatakan Islam tidak menggariskan sebarang panduan dalam menentukan kepimpinan politik Islam. Pemikiran sekular Ali Abd al-Raziq telah dibantah oleh ulama Mesir malahan pelajar Melayu yang menuntut di Kaherah[13]. Persidangan tersebut gagal menjana kesan yang besar terhadap masyarakat tapi menampakkan kesedaran orang Melayu apabila mula berminat mengenai isu berkaitan umat islam ini.
            Dari sudut politik juga, pemikiran Islah juga turut disebarkan oleh Kaum Muda.  Kaum Muda biasanya ialah mereka yang mendapat pendidikan moden dan terdedah dengan pengaruh Mesir sewaktu belajar di sana. Antara tokoh – tokoh yang sinonim dengan Kaum Muda ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha. Matlamat Kaum Muda ialah mengembalikan Islam kepada jalan yang sebenar. Namun begitu, usaha yang dijalankan oleh Kaum Muda ini mendapat tentangan dari Kaum Tua yang berfikiran konservatif  dan ortodok yang khuatir dengan pengaruh Kaum Muda yang kian mendapat tempat dalam masyarakat seterusnya menyebabkan mereka kehilangan pengaruh.

Selaras dengan itu, Kaum Tua yang lebih berpengaruh dalam kalangan masyarakat dan pemerintahan ketika itu telah menyekat kegiatan Kaum Muda dengan mewujudkan undang – undang bahawa penerbitan buku berkaitan Islam perlu mendapatkan keizinan sultan. Ada sesetengah negeri yang mengharamkan penerbitan buku- buku atau edaran buku- buku tersebut. Usaha yang dilakukan oleh Kaum Tua yang menghalang penyebaran tersebut mendapat kerjasama daripada British kerana bimbang pengaruh Kaum Muda ini akan mengancam kekuasaannya. Akibatnya, Kaum Muda terpaksa berpindah ke Negeri- Negeri Selat bagi menyebarkan ideologi mereka kerana Negeri – Negeri Selat tidak mempunyai sultan. Selain itu, Kaum Tua juga menghalang penyebaran akhbar seperti Saudara dan Ikhwan dari memasuki negeri- negeri Melayu seperti Kelantan.
            Dalam bidang pendidikan, hasil daripada pengaruh Mesir, Kaum Muda berjaya membawa pelbagai perubahan. Sebelum ini sistem pendidikan di Tanah Melayu lebih bercorak pondok dan tradisional  bagi memberi pendidikan  kepada masyarakat. Pondok - pondok kediaman pelajar dijadikan tempat pembelajaran. Pendekatan pengajaran yang diamalkan oleh institusi ini lebih berbentuk sehala di mana tiada sesi soal jawab dan pelajar hanya perlu mendengar  dan menghafal setiap ajaran yang diberikan tanpa menghayati isi kandungannya.[14] Amalan sistem pengajian pondok yang mementingkan amalan keakhiratan saja akan menyebabkan orang Melayu ketinggalan dalam sesuatu perkara. Apabila pelajar Melayu yang belajar di Mesir pulang ke Tanah Melayu mereka menukarkan sistem pendidikan pondok kepada sistem pengajian madrasah yang lebih sistematik mengikut acuan pendidikan moden Mesir bagi menyebarkan ideologi mereka. Contohnya, Madrasah al-Iqbal al- Islamiyah di Singapura, Madrasah al- Hadi (1917) di Melaka, Madrasah al- Idrisiyyah (1922) di Kuala Kangsar, Madrasah Zainal Abidin (1925) di Terengganu dan Madrasah al- Mashhor di Pulau Pinang (1914).
            Pendidikan di madrasah ini telah dimodenkan dengan mengekalkan mata pelajaran tradisi seperti Tauhid, Hadis dan lain-lain dan memasukkan matapelajaran moden seperti Geografi, Matemetik, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, agama Islam dan bahasa Arab. Aktiviti luar ilik darjah seperti bersukan, bersyarah, bertukang, menjahit mahupun bernasyid turut diajar di madrasah tersebut[15]. Sistem pengajaran tersebut juga juga berubah apabila mengaplikasikan   penggunaan papan hitam dan kapur selain pengunaan buku teks yang tetap. Mereka juga memperkenalkan kaedah ujian di mana peserta yang gagal dalam ujian terbabit tidak dibenarkan menaiki tahap yang seterusnya[16]. Madrasah tersebut mempunyai cuti yang tersendiri dan diajar oleh guru yang berpengalaman dan biasanya berpendidikan Mesir. Madrasah ini juga bukan sahaja menekankan kaedah menghafal seperti yang diterapkan oleh sistem pondok malah turut menekankan kepentingan pemahaman terhadap sesuatu yang dipelajari. Sistem pendidikan tersebut berjaya menarik ramai masyarakat Melayu menghantar anak mereka ke madrasah dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Kaherah.          
            Peranan surat khabar dan majalah juga dipengaruhi oleh pengaruh Mesir dan dengan adanya kedua- dua media ia membantu menyebarkan pemikiran islah dengan lebih meluas. Contohnya, Akhbar al- Imam diterbitkan oleh Syeikh Tahir Jalaluddin  pada 23 Julai 1906 jelas dipengaruhi akhbar al- Manar di Mesir. Penerbitan ini dibantu oleh Syeikh al- Hadi dan Hj. Abbas Mohd Taha yang kebanyakannya terdedah dangan pemikiran akhbar al-Manar  yang merupakan terbitan Rasyid Rida di Mesir. Akhbar ini dianggap sebagai penyebar pemikiran tokoh-tokoh Islah. Pengaruh pemikiran Islah telah meresapi dalam pemikiran penggerak al-Imam. Al-Imam telah menyeru orang Melayu supaya berusaha mencapai kemajuan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah. Al –Imam telah menyeru ibu bapa untuk memberikan pendidikan yang sempurna di samping menekankan kepentingan ilmu. Orang Melayu juga digalakkan untuk meninggalkan segala adat resam dan kepercayaan yang karut  Akhbar ini telah mengembangkan kesedaran politik orang Melayu dengan memasukkan unsur- unsur politik dalam tulisannya.
Orang Melayu mula sedar akan kepentingan ekonomi dan pendidikan bagi memajukan bangsa. Walaupun akhbar ini dihentikan penerbitan akibat kekurangan kos pada tahun 1908, ia menjadi pencetus kepada akhbar – akhbar lain untuk menyuarakan pandangan mereka. Contoh lain, akhbar  Chahaya Pulau Pinang, Idaran Zaman (Pulau Pinang,1925), Suara Melayu, al- Ikhwan dan Saudara antara akhbar yang sering melaporkan perkembangan politik di Mesir. Akhbar Pengasoh turut melaporkan aktiviti yang berlaku di Mesir seperti penganjuran Persidangan Antarabangsa Khalifah. Walaupun pembentukan madrasah dan penerbitan surat khabar ditentang oleh Kaum Tua, hal ini berjaya menyebarkan pemikiran Islah di Tanah Melayu.
            Dalam bidang penulisan novel, novel Faridah Hanum merupakan novel pertama yang dihasilkan oleh Syeikh Syed al- Hadi di Tanah Melayu. Novel ini banyak dipengaruhi oleh novel Zainab karya Mohd Husin Haikal yang merupakan seorang karyawan dari Mesir. Novel Faridah Hanum dan Zainab ini mempunyai isi kandungan dan jalan cerita yang hampir sama. Latar belakang masyarakat yang digunakan juga sama dengan novel Zainab iaitu masyarakat Mesir. Novel Faridah Hanum ini membangkitkan isu kebebasan terhadap golongan wanita terutamanya dalam menuntut ilmu sebagaimana yang terdapat dalam novel Zainab. Menurut Rosni Samah, novel Faridah Hanum yang ditulis oleh Syeikh Hadi ini selaras dengan usaha Syeikh Hadi menyebarkan pengaruh Islah di Tanah Melayu manakala karya Muhd Hussin Haikal ini ditulis berdasarkan idealogi yang dipelopori oleh Jamaluddin al-Afghani[17]. Novel Faridah Hanum juga menyentuh isu berkenaan memajukan diri tanpa perlu mengikut tradisi lama. Selain itu, terdapat juga buku-buku yang dipengaruhi oleh Mesir dalam menyebarkan ideologi Islah mereka. Antaranya novel Melor Kuala Lumpur karya Harun Aminurrashid, novel Putera Gunung Tahan Ishak Haji Muhamad

KESIMPULAN
          Pengaruh Mesir yang disebarkan oleh pelajar Melayu khususnya pemikiran Islah telah banyak mengubah aspek pemikiran orang Melayu agar bangkit membuat perubahan bagi memajukan diri demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Hal ini turut menyuntik semangat orang melayu untuk menimba ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Orang Melayu juga mula sedar bahawa mereka sudah banyak ketinggalan dalam pelbagai aspek berbanding kaum lain. Pengaruh Mesir juga berjaya memupuk semangat politik dalam kalangan orang Melayu sehinggalah berlaku kebangkitan politik di Tanah Melayu. Orang Melayu mulai sedar agar kepentingan untuk membebaskan diri dari belenggu politik. Kesannya, terdapat beberapa persatuan baru mula ditubuhkan hasil kesedaran tersebut. Hal ini jelas menunjukkan betapa besarnya pengaruh Mesir terhadap perkembangan politik dalam aspek kesedaran berpolitik dan telah mempengaruhi kehidupan masyarakat Tanah Melayu khususnya seperti Syeikh Syed al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir Jamaludin,Dr Burhanuddin al- Helmy dan beberapa tokoh Melayu yang terulung ketika itu.





[1] Prof. Dato Dr.Redzuan Othman, Peranan dan Sumbangan Lulusan Mesir dalam Masyarakat Melayu, Seminar Memperkasakan Belia Islam Serantau,Malaysian Hall, Abbasiah,Kaherah,YADIM, Disember 2004,
[2] William R Roff, The Lifes and Times of Haji Othman Abdullah, Peninjau Sejarah Jilid 1, No 2 ,Universiti Malaya,1966,hlmn 64.
[3] ibid
[4] ibid
[5] Prof.Dato Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur ,Penerbit Universiti Malaya,2005.hlmn 120.
[6] ibid,hlmn 120
[7] ibid,hlmn 123
[8] ibid
[9] William R Roff, The Lifes and Times of Haji Othman Abdullah, Peninjau Sejarah Jilid 1, No 2 ,Universiti Malaya,1966
[10] ibid,hlmn 65
[11] Prof.Dato Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur ,Penerbit Universiti Malaya,2005,hlmn 129
[12] ibid hlmn 117
[13] ibid,hlmn 118
[14] Badlisham Mohd Nasir, Pendidikan dalam Gerakan Islam di Malaysia : Satu Tinjauan, Journal of Islamic and Arabic Education 2(1),2010,hlmn 4
[15] ibid,hlmn 5
[16] ibid
[17] Dr. Rosni Samah, Kertas Penyelidikan, Pengaruh Novel Mesir “Zainab” dalam Novel Malaysia “Faridah Hanum” : Kajian Perbandingan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),2008


Bibliografi
1.      Prof.Dato Mohammad Redzuan Othman, Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, Kuala Lumpur ,Penerbit Universiti Malaya,2005.
2.      Prof. Dato Dr.Redzuan Othman, Peranan dan Sumbangan Lulusan Mesir dalam Masyarakat Melayu, Seminar Memperkasakan Belia Islam Serantau,Malaysian Hall, Abbasiah,Kaherah,YADIM, Disember 2004
3.      Dr. Rosni Samah, Kertas Penyelidikan, Pengaruh Novel Mesir “Zainab” dalam Novel Malaysia “Faridah Hanum” : Kajian Perbandingan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),2008.
4.      William R Roff, The Lifes and Times of Haji Othman Abdullah, Peninjau Sejarah Jilid 1, No 2 ,Universiti Malaya,1966.
5.      Badlisham Mohd Nasir, Pendidikan dalam Gerakan Islam di Malaysia : Satu Tinjauan, Journal of Islamic and Arabic Education 2(1),2010

No comments:

Post a Comment

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...