Thursday, 17 January 2013

PERIODISASI DALAM SEJARAH


PENGENALAN
Sejarah merupakan satu disiplin ilmu yang berasaskan teori, pengertian, falsafah dan kaedah. Menurut Kamus Dewan, sejarah membawa erti sastera lama, asal usul iaitu keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat tambo; tawarikh.[1] Manakala menurut R. O. Winstedt, beliau menyatakan bahawa, sejarah berasal daripada perkataan Arab yang memberi erti, salasilah, tawarikh dan babad. Di dalam bahasa asing pula, khususnya di Barat, perkataan sejarah disamakan dengan perkataan history (bahasa Inggeris) yang pada asasnya berasal daripada perkataan Yunani purba, historia yang bererti penyelidikan.[2] Walau bagaimanapun, secara objektifnya maksud sejarah menunjukkan sebuah kejadian atau peristiwa yang telah berlaku.
            Bidang ilmu sejarah ini pada peringkat awalnya, dikritik hebat oleh sesetengah pihak yang menyatakan bahawa sejarah tidak mempunyai kepentingan dan tidak mempunyai tujuan tertentu. Sebagai contoh, Jacques Derrida[3] merupakan golongan pascamoden yang merasakan sejarah tidak mempunyai makna yang jelas. Apabila wujudnya isu ini maka, keadaan ini membuka peluang kepada beberapa pihak lain terus mempersoalkan sejarah sebagai salah satu bidang ilmu pengetahuan. Misalnya, di Eropah pada tahun 1997, sesetengah universiti di Eropah bercadang untuk menutup Jabatan Sejarah. Hal ini kerana, pihak universiti merasakan Jabatan Sejarah ini kurang mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar. Menurut pandangan Khoo Kay Kim dalam penulisan beliau bertajuk “Trend dan Perkembangan Pensejarahan Malaysia” menyatakan dengan tegas bahawa, sejarah sebagai satu disiplin ilmu yang mengalami krisis pada masa kini. Hal ini kerana, kebanyakan siswazah menyatakan bahawa, ilmu sejarah tidak membawa erti dan tidak relevan digunakan dalam dunia serba moden kini. Oleh itu, subjek sejarah perlu ditegaskan pada peringkat awal dalam institusi pendidikan lagi bagi mengikis pandangan negatif ini. Subjek sejarah juga merupakan satu bidang mengenai kemanusiaan dan sejarah juga boleh dijadikan sebagai pengajaran dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dari zaman sebelumnya.
            Kepentingan sejarah dalam kehidupan amat bermakna kerana melalui sejarah masyarakat mula mengenal erti kehidupan dan melakukan tranformasi untuk memiliki kehidupan yang lebih baik. Mempelajari sejarah juga bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Menurut Lester D. Stephens, sejarah mewujudkan semangat kekitaan kerana sejarah membolehkan kita mengenali siapa diri kita dalam skop individu dan masyarakat. Selain itu, sejarah juga membantu dalam pembangunan bangsa dan negara. Sesebuah bangsa yang menjadikan sejarah sebagai satu keperluan dalam kehidupan, mereka akan lebih menghargai segala keamanan dan kemajuan yang telah dicapai oleh sesebuah negara. Sejarah juga mengingati perkara-perkara yang mendalam yang berlaku ke atas negara seperti kemerdekaan negara dan sebagainya. Kepentingan sejarah ini mendidik masyarakat supaya menghargai peristiwa yang lepas sebagai pengajaran hidup pada masa akan datang.
            Tambahan lagi, melalui ilmu sejarah telah melahirkan ramai sejarawan yang mengkaji lebih mendalam mengenai ilmu sejarah. Misalnya, Herodatus yang digelar ‘bapa sejarah’ merupakan individu yang mula-mula menggunakan perkataan sejarah atau historia dalam karyanya iaitu Histories yang bermaksud penyelidikan atau penyiasatan terhadap segala peristiwa silam mahupun sezaman.[4] Seorang sejarawan mesti mempunyai keperibadian yang tinggi malah kuat dari segi fizikal, mental, rohani dan jasmani. Hal ini kerana, seorang sejarawan akan melakukan pelbagai kajian lapangan dan pembacaan yang banyak bagi mencari dan mengumpul bahan-bahan sejarah. Sejarawan juga berkait rapat dengan kehidupan masyarakat yang merangkumi nilai-nilai dan budaya sesebuah masyarakat. Perkara-perkara ini mendorongnya supaya sejarawan mencari dan menuliskan peristiwa-peristiwa yang berlaku di persekitarannya yang berkait rapat dengan unsur-unsur subjektif.[5]
            Ilmu sejarah telah melahirkan konsep periodisasi atau penzamanan yang membantu pengkaji sejarah khususnya dalam penyelidikan dan penulisan. Kepentingan periodisasi amat jelas bagi menggambarkan sesebuah zaman yang dialami oleh sesebuah kerajaan. Hal ini kerana, setiap peristiwa sejarah yang dilalui tidak sama dengan kerajaan-kerajaan yang lain. Dalam sesebuah kerajaan juga menghadapi periodisasi yang berbeza. Apabila membuat penyelidikan dan penulisan, aspek periodisasi perlu dititikberatkan supaya memudahkan untuk mengumpul hasil kajian mengikut penzamanan yang betul. Faktor ruang dan waktu adalah faktor yang penting dalam melakukan sebuah kajian sejarah. Kedua-dua faktor ini yang perlu dipegang oleh semua pengkaji supaya hasil kajian mereka mudah difahami. Tambahan lagi, kajian akan lebih sistematik dan teratur.
PERIODISASI/PENZAMANAN
Secara umumnya, periodisasi atau pembabakan waktu adalah satu proses struktur waktu dengan pembahagian atas beberapa babak, zaman atau period.[6] Period dianggap sebagai suatu unit waktu yang dibezakan dengan unit yang lain dengan memberikan ciri-ciri yang tertentu. Periodisasi atau penzamanan merujuk kepada usaha ahli sejarawan mengklasifikasi atau mengkategorikan peristiwa-peristiwa sejarah mengikut tahap atau tempoh waktu masa yang sangat penting dalam penyelidikan dan penulisan sejarah. Dalam erti kata lain, periodisasi digunakan dalam pensejarahan agar suatu peristiwa dalam sesebuah zaman atau tamadun itu mudah difahami mengikut susunan atau kronologi yang betul. Dengan adanya konsep periodisasi, sesebuah kajian dan penulisan yang dilakukan dapat mengetahui dengan lebih mendalam dan merangkumi kehidupan dari aspek politik, ekonomi dan sosial secara keseluruhannya.
            Periodisasi dalam sejarah Indonesia kebiasaannya merujuk kepada perbezaan antara Zaman Kuno dan Zaman Baru dengan kedatangan agama Islam di Indonesia. Periodisasi dapat diringkaskan melalui peradaban kuno berbeza dari peradaban baru yang lama di Jawa menggunakan bahasa Jawa Kuno (Kawi), sedangkan peradaban baru menggunakan bahasa Jawa Baru, perubahan agama dari Hinduisme dan Animisme ke Islam, dan jaringan sosial ekonomi menjadi luas.[7] Subperiodisasi diperlukan dalam pembahagian ke atas dua zaman ini, bagi mendapatkan perincian yang lebih jelas. Bagi negara Indonesia yang wilayahnya sangat luas dan sifatnya amat heteroge mengenai kebudayaan, sistem politik dan ekonominya, maka setiap periodisasi akan menunjukkan kelemahan dan kekurangan atau ketidaktepatan.[8] Permasalahan periodisasi, pada awalnya diketengahkan mengenai soal penentuan kriteria. Salah satu alternatif penyusunan periodisasi ialah kriteria darjat integrasi yang telah dicapai pada masa tertentu.[9] Keadaan ini menggambarkan bahawa sejarah Indonesia sebagai sejarah nasional yang mempunyai unit geopolitik sebagai proses perkembangan sejarah Indonesia.
            Selain itu, periodisasi juga boleh dilihat dalam Sejarah Eropah yang mempunyai penzamanan yang menarik untuk dikaji. Hal ini kerana, Sejarah Eropah menyaksikan turun naik sebuah kerajaan dan setiap zaman yang dilalui berbeza dengan zaman yang lain. Misalnya, Empayar Yunani yang berlaku di antara tahun 800-500 S.M. Pada zaman ini, berlakunya kolonisasi bertujuan untuk menguasai pelabuhan perdagangan, memiliki tanah dan memindahkan penduduk yang ramai di satu-satu kawasan.[10] Zaman berikutnya ialah berlangsung Empayar Graeco-Rom. Zaman ini bermula dari pemerintah Iskandar Zulkarnain dari tahun 300 S.M, satu jangka masa di mana idea dan kebudayaan Yunani berkembang di seluruh dunia yang bertamadun hingga ke timur.[11] Empayar Rom merupakan tahap ketiga dalam Sejarah Eropah yang bermula pada tahunn 27 S.M. Zaman ini merupakan permulaan era empayar. Berikutnya, Empayar Rom Suci yang merupakan usaha untuk menghidupkan semula Zaman Pax Romana yang telah musnah akibat serangan orang gasar. Zaman yang terakhir ialah Empayar Zaman Awal Moden bermula pada 15 M sehingga 19 M. Yang juga dikenali sebagai empayar perdagangan.
CIRI-CIRI PERIODISASI
Terdapat empat ciri-ciri periodisasi yang dapat menggambarkan dengan lebih jelas berkaitan dengan konsep periodisasi. Ciri pertama ialah melalui periodisasi, pengkaji dapat mengetahui perkembangan sesebuah peristiwa sejarah dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Dalam sesebuah kajian yang dilakukan, pengkaji akan meneliti ketiga-tiga aspek ini bagi melengkapkan kajian tersebut. Sebuah kerajaan berbeza dengan kerajaan yang lain dalam pembentukan politik, ekonomi dan sosial. Ciri yang kedua ialah faktor geografi dimana faktor ruang ini memainkan peranan yang penting dalam membuat sesuatu kajian sejarah. Sebagai contoh, apabila mengkaji sejarah dunia, maka pembahagian geografi perlu dikecilkan bagi memudahkan skop kajian yang ingin dilakukan.
            Berikutnya ciri ketiga, kewujudan zaman iaitu zaman arkeologi, zaman kerajaan dan zaman moden. Kewujudan zaman ini merupakan satu periodisasi yang berbeza dari satu zaman dengan zaman yang lain. Ciri terakhir ialah kewujudan dinasti atau pemerintahan beraja. Setiap negara mempunyai corak pemerintahan yang berlainan dan keadaan ini juga menunjukkan peranan periodisasi setiap pemerintahan tersebut. Sebagai contoh, China merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan bercorak dinasti. Setiap dinasti ini mempunyai periodisasi yang berbeza dari faktor ruang dan waktu. Kedua-dua faktor ini yang menunjukkan sesebuah peristiwa sejarah berlaku yang dikaitkan dengan konsep periodisasi.
KEPERLUAN PERIODISASI DALAM PENYELIDIKAN DAN PENULISAN
Penyelidikan bermaksud mencari maklumat mengenai sesuatu perkara, menyelami lebih lanjut, menjalankan kajian menyeluruh atau menyiasat dengan lebih mendalam. Penyelidikan juga dapat didefinasikan sebagai penyiasatan yang penuh berhati-hati, mendalam, secara bijak dan meluas mengenai sesuatu perkara atau subjek spesifik, dengan tujuan meningkatkan dan meluaskan ilmu pengetahuan manusia sejagat. (Manheim, 1977). Penyelidikan adalah suatu penyiasatan atau ujikaji yang bertujuan menemukan dan mengintrepretasikan fakta-fakta, mengulang semula teori yang diterima di dalam penemuan baru atau amalan penggunaan teori atau undang undang dan peraturan baru atau yang digunapakai semula. (Woolf, 1975).
            Manakala penulisan merupakan satu proses yang melibatkan penyusunan dan pembentangan idea-idea oleh penulis tentang sesuatu perkara atau isu untuk dipersembahkan kepada pembaca. Setiap idea yang disampaikan itu hendaklah jelas maksudnya iaitu penulis mampu menyalurkan idea kepada pembaca, menerusi penggunaan bahasa yang tepat dan berupaya menggunakan teknik penulisan yang sesuai. Seorang penulis yang baik mampu menarik pembaca untuk membaca dan memahami penulisan tersebut. Ciri-ciri penulisan ialah mengemukakan persoalan yang menjadi isu besar pada satu masa atau zaman. Selain itu, sesebuah penulisan juga dapat menyentuh pemikiran, perasaan, dan membuka minda pembaca atau khalayaknya dan mengandungi pengajaran. Ciri yang berikutnya, mendatangkan reaksi tertentu dalam masyarakat, sesebuah organisasi atau pemerintah. Sesebuah penulisan juga perlu menggunakan bahasa sebagai medium yang bernas dan mempunyai nilai-nilai estetika. (Hamzah Ismail, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI, 2004)

1.         MERANCANG PENYELIDIKAN DAN PENULISAN SEJARAH
            Sebelum membuat satu penyelidikan dan penulisan, perancangan yang cukup teliti dan rapi perlu dilakukan supaya segala kajian yang bakal dijalankan akan berjalan dengan lancar. Hal ini kerana, sesebuah kajian yang bakal dilakukan perlu menititkberatkan faktor-faktor seperti ruang dan waktu. Tambahan lagi, melalui perancangan juga pemilihan tajuk kajian dapat dilakukan. Faktor ruang dan waktu juga memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan tajuk yang sesuai. Sebagai contoh, Perisikan Jepun di Tanah Melayu, 1930-1941 merupakan tajuk yang menitikberatkan faktor ruang dan waktu. Para calon pascasiswazah, misalnya tidak akan memilih tajuk yang terlalu luas kerana penanganan subjek yang terhasil daripada pemilihan yang sedemikian rupa tentulah akan menjadi amat sukar sekali, lebih-lebih lagi dalam masa yang singkat, yakni di antara dua ke empat tahun.[12] Lagipun, pemerihan perkara yang terlalu luas akan cakupannya akan memaksa pengkaji mengurangkan aspek penilaian dan penganalisisan dalam tulisan atau penyampiannya.[13] Menurut Richard Marius:
            “Keupayaan mengenal pasti topik anda sendiri mencerminkan berapa banyak anda mempunyai pengetahuan tentang material berkenaan dan bagaimana cekapnya anda dapat berfikir tentangnya. Usaha mengkhususkan topik anda merupakan suatu disiplin yang bagus. Suatu pendidilan liberal - termasuk pendidikan sejarah - sepatutnya mengajar anda untuk menimbulkan soalan dan memikirkan makna di sebalik setiap teks yang anda temui dalam hidup. Pemikiran yang sedemikian itu dalam kursus sejarah merupakan suatu amalan yang baik”. [14]
            Kajian dilakukan untuk mencari jawapan mengenai pelbagai persoalan yang timbul. Kajian juga dijalankan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku. Selain itu, melalui kajian juga pengkaji dapat menyokong pendapat dan kajian yang sebelum ini malahan, boleh menindas tentang pendapat dan kajian yang telah dilakukan sebelum ini. Sebagai contoh, kajian yang dilakukan oleh Abdul Rahman Ismail, Abdullah Zakaria Ghazali dan Zulkanain Abdul Rahman mengenai tarikh baru Kerajaan Melaka telah membuktikan bahawa sesebuah kajian amat penting. Hal ini kerana, melalui kajian ini, para pengkaji dapat mencari jawapan mengenai tarikh sebenar Kerajaan Melaka mula diasaskan iaitu 1262. Di samping itu, melalui kajian juga, para pengkaji tidak menyokong pendapat dan kajian yang dilakukan sebelum ini mengenai tarikh sebenar pengasasan Kerajaan Melaka. Para pengkaji juga tidak pernah sepakat bilakah sebenarnya kerajaan Kesultanan Melayu Melaka bermula.[15] Tarikh 1400 Masihi diterima oleh ramai sarjana hanyalah sebagai landasan pemudah perbincangan tetapi bukanlah tarikh muktamad permulaan kerajaan tersebut. [16]

2.         MENGENAL PASTI LOKASI BAHAN/SUMBER
            Sebagai pengkaji sejarah, mereka perlu mengetahui lokasi-lokasi yang menempatkan segala sumber-sumber yang berkaitan dengan kajian yang dilakukan. Kebanyakan bahan-bahan boleh didapati di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, para pengkaji sejarah perlu mengenalpasti bahan-bahan atau sumber yang ingin dirujuk terlebih dahulu. Hal ini kerana, Arkib Negara juga mempunyai banyak cawangan dimana bahan tersebut tiada di Arkib Negara Malaysia tetapi ada di arkib cawangan negeri. Selain Arkib Negara Malaysia, Perpustakaan Universiti Malaya juga merupakan lokasi yang mempunyai koleksi bahan-bahan sejarah yang banyak. Tambahan lagi, Perpustakaan Universiti Malaya juga merupakan perpustakaan yang terlengkap di Asia Tenggara.  Segala bahan-bahan seperti buku, jurnal, koleksi persidangan, tesis, keratan akhbar dan sebagainya boleh didapati di perpustakaan ini. Selain itu, Perpustakaan Negara juga boleh dijadikan sebagai lokasi pilihan untuk mencari bahan mengenai kajian yang dilakukan. Namun demikian, pengkaji perlu mahir dalam penguasaan bahasa dan pembacaan. Hal ini kerana, terdapat bahan-bahan sejarah dalam tulisan jawi, tulisan Melayu Klasik, Sanskrit dan sebagainya.  Sebagai contoh, Hikayat Hang Tuah menggunakan bahasa Melayu Klasik yang agak sukar untuk difahami. Selain itu, pengkaji yang baik juga perlu mempelbagaikan sumber sejarah dalam kajian mereka. Misalnya, dalam mengkaji Sejarah Tanah Melayu, banyak dokumen dan bahan-bahan yang lain boleh dirujuk yang terdapat di England, Singapura, India dan Belanda yang menjadikan kajian yang dilakukan mempunyai sumber yang pelbagai.
            Sebagai contoh, satu kajian yang dilakukan oleh Ho Hui Ling mengenai sejarah Darurat di Tanah Melayu pada tahun 1948-1960. Kajian beliau banyak menggunakan dokumen yang banyak terdapat di Arkib Negara Kuala Lumpur. Menurut beliau, sumber mengenai kajian sejarah Darurat berkaitan dengan negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ada dalam koleksi Arkib Negara Malaysia. Namun, sejarah Darurat di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor tidak beberapa lengkap di Arkib Negara. Sebagai contohnya, fail Setiausaha Kerajaan Persekutuan/ Pusat, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang agak lengkap ada dalam koleksi Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur.[17] Manakala, fail Setiausaha Kerajaan Negeri Johor tidak ada dalam simpanan Arkib Negara Kuala Lumpur dan perlu dirujuk di Arkib Negara Malaysia Cawangan Johor/Melaka.[18]
3.         MENGENAL PASTI JENIS BAHAN/SUMBER
            Sumber ialah bahan kajian yang sangat penting dalam penyelidikan sejarah yang boleh diertikan sebagai mencari dan mentafsirkan sumber. Secara asasnya, sumber sejarah bererti “punca” ataupun “bahan” ataupun “rujukan” yang mesti dicari dan diguna atau ditafsir oleh sejarawan untuk mendapatkan bukti ataupun maklumat bagi sesuatu peristiwa yang dikajinya.[19] Sumber sejarah terdiri daripada pelbagai bahan seperti dokumen, surat khabar, batu bersurat, artifak dan sebagainya. Terdapat empat jenis sumber iaitu sumber pertama/primer, sumber kedua/sekunder, sumber lisan dan sumber arkeologi. Sumber pertama ialah pengesahan daripada dokumen rasmi dan dokumen tidak rasmi.[20] Sumber pertama terdiri daripada, surat rasmi, diari, catatan, dokumen, laporan harian dan sebagainya. Berikutnya, sumber kedua atau sumber sekunder terdiri daripada bahan atau dokumen yang dikaji melalui pembacaan bahan bertulis, iaitu maklumat yang telah dicatatkan di tempat lain.[21] Misalnya, buku, majalah, akhbar, jurnal dan ensiklopedia. Sumber lisan ialah maklumat yang diperoleh daripada penceritaan mereka yang terlibat dengan sesuatu peristiwa tertentu. Manakala, sumber arkeologi terdiri daripada artifak, ekofak dan feature. Arkeologi merupakan kajian yang melibatkan dua aspek, iaitu pertama, dari sudut material kebudayaan dan kedua, kemanusiaan dan lingkungan.[22]
            Dalam sesebuah kajian yang dilakukan tidak semua bahan boleh digunakan dalam kajian tersebut. Sumber-sumber ditentukan oleh tajuk kajian yang ingin dikaji. Sebagai contoh, artikel yang dihasilkan oleh Shakila Yacob bertajuk Sejarah Malaysia Dari Kaca Mata Amerika Syarikat. Artikel ini membincangkan dua sumber utama terbitan Jabatan Negara Amerika, iaitu “Despatches from the United States Consuls in Singapore, Straits Settlements, 1833-1906 (selepas ini disebut sebagai Perutusan Singapura) dan juga “Records of The Departments of State Relating to Internal Affairs of British Asia, 1910-1929 (selepas ini disebut sebagai Rekod Jabatan Negara).[23] Artikel ini hanya menggunakan sumber kedua. Antara contoh yang lain, Darus Ahmad menulis karya Raja Haji Pahlawan Terbilang berdasarkan sumber lisan yang diperoleh daripada orang tua-tua di Riau semasa beliau melawat tempat tersebut dan juga sumber bertulis dari karya lain.[24] Walau bagaimanapun, Darus Ahmad tidak menerima sumber atau maklumat lisan yang diberikan itu bulat-bulat. Sebaliknya, beliau memadankannya dengan sumber lain seperti Tuhfat al-Nafis dan Kitab Alam Melayu.[25]
4.         MENGENAL PASTI KAEDAH PENYELIDIKAN
            Dalam membuat kajian, para pengkaji akan menyenaraikan beberapa kaedah penyelidikan yang sesuai dengan kajian yang dilakukan. Kaedah kajian merupakan kaedah atau teknik penyelidikan yang digunakan bagi mengumpulkan data dan maklumat dengan secara terperinci. Menurut Sekaran, metodologi bermaksud “The method section includes all the research design issues, suck as the population and sample, variables and measurues used, data collection methods and the data analysis techniques to be used in the study. Terdapat dua kaedah yang sering digunakan oleh para pengkaji. Pertama kaedah kuanlitatif yang meliputi sumber primer, sekunder dan lisan. Manakala, kaedah kedua ialah kaedah kuantitatif yang meliputi soalan soal selidik dan uji kaji. Kebiasaannya, para sejarawan menggunakan kaedah kuanlitatif dalam kajian mereka. Namun begitu, para pengkaji juga perlu memilih kaedah penyelidikan dengan tepat bersesuaian dengan tajuk yang dipilih. Kaedah yang digunakan juga perlu menggunakan pendekatan kronologi dan analisis.
            Sebagai contoh, latihan ilmiah hasil kajian Noor Syamimi Ishak pada sesi 20120/2011 yang bertajuk Sosial dan Ekonomi di Kubang Pasu pada Tahun 1957 hingga Tahun 2007.[26] Penulis menggunakan kaedah kajian perpustakaan bagi mencari dan mengumpul bahan-bahan kajian dan membuat penilaian terhadap bahan-bahan tersebut untuk digunapakai dalam menyiapkan latihan ilmiah ini. Penulis banyak menggunakan kaedah kuantitatif iaitu dengan menjadikan sumber sekunder seperti buku-buku, koleksi persidangan, surat khabar, majalah dan sebagainya. Penulis juga menggunakan kaedah temubual yang dilakukan kepada penduduk di dearah Kubang Pasu. Semua data-data yang diperoleh akan digunakan dalam kajian ini.
5.         MERANCANG BILANGAN BAB/PEMBAHAGIAN BAB
            Perancangan bilangan bab atau pembahagian bab perlu dititiberatkan dalam hasil penulisan. Melalui pembahagian bab, memudahkan pengkaji mengklasifikasikan kajian yang dilakukan di bab-bab yang tertentu. Selain memudahkan pengkaji, kaedah pembahagian bab ini juga memudahkan pembaca untuk memahami skop penulisan pengkaji. Bagi pelajar yang membuat latihan ilmiah, bilangan bab hanya antara 5 hingga 7 bab sahaja. Pembahagian bab antara 5 hingga 7 adalah bilangan bab yang paling sesuai digunakan dalam membuat latihan ilmiah.
            Sebagai contoh, latihan ilmiah hasil kajian Siti Hawa Zainon pada sesi 2010/2011 yang bertajuk Sejarah Wanita Cina Di Malaysia: Kajian Dari Aspek Ekonomi, Sosial dan Politik (1900-1980).[27] Beliau telah membuat pembahagian bab kepada lima bahagian. Bab satu merupakan bab pengenalan yang memaparkan dengan terperinci mengenai latar belakang kedatangan orang-orang Cina ke Tanah Melayu. Bab yang kedua, memfokuskan penglibatan wanita Cina dalam aspek ekonomi. Pada bab ketiga pula, wanita Cina terheret di dalam kancah pelacuran bagi aspek sosial. Manakala bab keempat, menghuraikan bagaimana penglibatan wanita Cina dalam aspek politik. Bab kelima merupakan bab penutup yang merumuskan data-data yang diperolehi.
6.         PERBINCANGAN LEBIH FOKUS DAN TERARAH
            Dalam penyelidikan dan penulisan yang dilakukan perlu membincangkan dengan lebih fokus dan terarah mengenai perkara yang ingin dikaji. Oleh itu, dalam bab pengenalan perlu menerangkan dengan secara ringkas namun padat yang menggambarkan keseluruhan hasil kajian yang dilakukan.
            Sebagai contoh, latihan ilmiah bertajuk Sosial dan Ekonomi di Kubang Pasu pada Tahun 1957 hingga Tahun 2007. Penulis memilih tahun 1957 hingga 2007 untuk melihat perkembangan yang berlaku pada tempat yang dikaji iaitu daerah Kubang Pasu. Penulis memberi fokus ke atas keadaan ekonomi dan sosial serta menilai tahap pencapaian yang berlaku setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Latihan ilmiah ini, memberikan fokus dan terarah kepada skop kajian yang penulis ingin kaji. Pemilihan aspek ekonomi dan sosial di dearah Kubang Pasu juga telah menunjukkan bahawa penulis akan memperincikan ke atas dua faktor ini sahaja.
7.         MEMBANDINGKAN PERISTIWA-PERISTIWA TERTENTU DALAM SEJARAH
            Periodisasi yang ingin dikaji adalah dikaitkan dengan sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku. Peristiwa-peristiwa ini begitu bersejarah dan mempunyai pelbagai cerita di sebalik peristiwa tersebut. Faktor ruang, masa, tokoh dan peristiwa yang telah berlaku tidak akan berulang kembali. Tema utama sesuatu peristiwa sejarah itu sahaja yang berulang. Perbandingan yang dibuat untuk mengaitkan beberapa peristiwa untuk mencari satu fakta yang tepat dan benar dengan berpandukan sumber-sumber yang diperolehi. Tambahan lagi, periodisasi adalah sangat berguna dalam pengkajian sejarah kerana ianya membantu untuk sejarawan memperoleh dan mencapai hasil sejarah yang lebih baik. Hal ini kerana pembabakan yang dilakukan dapat memisahkan ruang sejarah yang luas kepada bahagian waktu yang lebih kecil untuk meneliti suatu kejadian lebih mendalam. Hal ini juga membolehkan sejarawan membuat perbandingan jangka masa yang ingin dikaji.  
            Sebagai contoh, Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua merupakan satu tema iaitu perang sejarah yang berlaku. Perang Dunia Pertama berlangsung antara tahun 1914-1918 dan hanya berlaku dalam kalangan negara-negara Eropah sahaja. Manakala, Perang Dunia Kedua pula berlaku pada tahun 1942-1945 dan berlaku dalam kalangan negara Jepun Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, kesan kedua-dua peperangan ini juga dirasai di Tanah Melayu. Kedua-dua peristiwa sejarah ini berbeza dari faktor pencetus, ruang, masa, tokoh dan kesan. Berbanding kedua-dua peristiwa ini telah membantu pengkaji untuk membuat kajian yang lebih mendalam.

8.         MEMBERI MAKNA KEPADA PEMILIHAN TEMPOH TERTENTU DALAM SEJARAH
            Sesuatu kajian yang ingin dilakukan, pengkaji perlu menitikberatkan sebab-sebab pemilihan sesuatu tempoh tertentu yang dipilih bagi kajian mereka. Sebagai contoh kajian mengenai pendudukan Jepun di Tanah Melayu yang bermula pada tahun 1941 sehingga pada tahun 1945. Pengkaji membuat kajian bermula pada tahun 1941 kerana kejayaan tentera Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu. Manakala kajian yang dilakukan ini berakhir pada tahun 1945 dimana tentera Jepun menyerah kalah di tangan British di Tanah Melayu. Dalam tempoh periodisasi tersebut, para pengkaji hanya menumpukan perhatian kepada skop tahun yang dipilih sahaja. Pendekatan ini memudahkan pengkaji untuk mencari bahan berkaitan dengan tajuk kajian. Selain itu, pemilihan tempoh tertentu dalam sejarah memberi makna yang berbeza dalam sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, tarikh 31 Ogos 1957 merupakan tarikh bersejarah bagi penduduk di Tanah Melayu kerana tarikh tersebut merupakan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu selepas 300 tahun dijajah. Namun begitu, bagi masyarakat lain, tarikh ini tidak memberi makna sejarah bagi mereka. Oleh itu, peristiwa sejarah yang berlaku antara sesebuah masyarakat adalah berlainan.

CONTOH PERIODISASI DALAM PENYELIDIKAN
Periodisasi atau penzamanan dapat dilihat melalui penyelidikan sejarah. Sumber-sumber yang dijumpai membolehkan para sejarawan dan para arkeologis mentafsir sumber-sumber yang dijumpai dan mengaitkan dengan zaman yang dilalui oleh sumber tersebut. Sebagai contoh bagi menunjukkan periodisasi dalam penyelidikan, hasil kajian Ho Hui Ling yang mengkaji sejarah Darurat di Tanah Melayu pada 1948. Kajian beliau, hanya pada tahun 1948 hingga 1960. Keadaan ini menunjukkan bahawa, kajian ini hanya melibatkan satu periodisasi atau satu penzamanan sahaja.
            Dalam mengkaji sejarah Darurat di Tanah Melayu di antara tahun 1948 hingga 1960, kaedah menganalisis berbagai-bagai jenis dokumen dari akrib dan perpustakaan boleh digunakan.[28] Secara umumnya, dalam mengkaji sejarah Darurat di Tanah Melayu pada tahun 1948 hinggan 1960 menggunakan sumber primer dan sumber sekunder.. Kedua-dua sumber ini penting dan memainkan peranan masing-masing dalam memperkemas kini tulisan dan kajian para penyelidik yang mengkaji tajuk ini. Dari sumber-sumber yang digunakan, beliau menggunakan kaedah kualitatif dalam penyelidikan ini
            Antara sumber pertama yang digunakan ialah fail-fail rasmi kerajaan, rekod-rekod kerajaan persekutuan dan negeri, minit-minit mesyuarat, surat-menyurat, telegram yang diterima serta laporan-laporan kerajaan.[29] Melalui sumber tersebut, maka pelbagai maklumat diperoleh mengenai zaman Darurat di Tanah Melayu. Antara maklumat tersebut ialah langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani komunis seperti kad pengenalan, perintah berkurung, Home Guard dan sebagainya. Sementara itu, terdapat juga pelbagai jenis laporan yang digunakan dalam mengkaji sejarah Darurat di Tanah Melayu. Antaranya ialah Federation on Malaya Annual Report.
            Manakala sumber sekunder terdiri daripada buku, majalah, kertas seminar, artikel dan kajian ilmiah. Sumber-sumber ini diperolehi dari Arkib Negara Malaysia dan perpustakaan Universiti Malaya. Antara tulisan penting yang berkaitan dengan zaman Darurat di Tanah Melayu yang harus dirujuk oleh pengkaji yang meneliti sejarah Darurat di Tanah Melayu ialah tulisan Anthony Short, Richard Clutterbuck, Richard Stubbs, Harry Miller, Victory Purcell, Noel Barber, Edgar O’Ballance, Gene Z. Hanrahan, Mohd Reduan Haji Asli, Karl Hack dan Kumar Ramakrishna.[30]   
           
CONTOH PERIODISASI DALAM PENULISAN
Dalam penulisan juga, konsep periodisasi amat penting bagi menghasilkan sesebuah karya. Penulisan yang baik akan mempamerkan periodisasi bagi memudahkan bahan yang ditulis dipahami oleh pembaca. Hal ini kerana, pembaca akan lebih memahami sesebuah perjalanan cerita melalui periodisasi atau penzamanan yang teratur dan mengikut kronologi yang tepat. Pembaca juga mampu membuat perbandingan dan menilai perubahan yang berlaku antara zaman dahulu dan zaman kini.
Hasil karya penulisan mengalami perubahan dari segi bentuk penulisannya. Sebagai contoh, buku-buku Sejarah Malaysia mengalami perubahan tersebut terutamanya dalam bentuk pembahagian sesebuah zaman yang dialami. Penulisan pada peringkat awal, di antara buku-buku Sejarah Malaysia mula-mula diterbitkan ialah karya Frank Swettenham iaitu British Malaya An Account of the Origin and Progress of British Influence in Malaya. Buku ini diciapkan pada tahun 1906. Antara kandungan buku ini ialah:[31]
              I.     The Outward Apperance of the British Possessions in the Straits of Mallaca
           II.     Mallaca – Early History
        III.     Pinang – Early History – Lord Minto’s Expedition to Java
        IV.     Singapore - Early History – Sir Stamford Raffles
           V.     The Straits from 1825-67- The Arragement made to Settle the Claims of the Sultan     dan Temenggong in Regard to Johore
        VI.     The Straits from 1867-73 – Sir Harry Ord’s Administration – Anarchy in the Malay States
     VII.     The Malay; His Customs, Prejudices, Arts, Language, and Literature
  VIII.     1874 – Sir Andrew Clarke – British Intervention in the Affairs of the Western Malay States
        IX.     1875 – Sir William Jervois – British Resident of Perak Assassinated- Punitive Expedition
           X.     The Evolution of the Residential System – Tin Mining – What the Malay States owe to Chinese Labour and Enterprise – Roads – Railways
        XI.     The Continued Evolution of the Residentail System – Revenue Farms- Education – Land Settlement – Irriagtion – Rubber Cultivation – Currency – Pahang
     XII.     1895 – 1907 – Federation and its Results
  XIII.     Concerning the Malay States which are not included in the Federation
  XIV.     How the Development of the Malay States has Affected the neighbouring British Colony, and the Relations of Both with Colonial Office – The Singapore Harbour and Docks – The Civil Service – The Malay Administrator – The Future of British Malaya
     XV.     Twenty-five Years After

Kini, penulisan Sejarah Malaysia yang mempunyai struktur yang baru dapat dilihat hasil penulisan Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya. Antara isi kandungan di dalam buku ini ialah:[32]
1.      WARISAN MASA LALU
                        Penyusunan Semula Sejarah Malaysia Awal: Pertimbangan Histriografi
                        Perdagangan Awal dan Hasil-hasil Gugusan Pulau Melayu
                        Pengaruh India di ‘Bumi Emas’
                        Perdagangan dengan China dan Terdidrinya Entrepot Melayu-Indonesia yang                    awal
                        Srivijaya dan Saingan-saingannya
                        Asas Kuasa Kerajaan Srivijaya
                        Kemerosotan Kekuasaan Srivijaya
                        Dari Srivijaya ke Melaka: Dua Kisah yang Berlainan
                        Warisan Melaka
2.      MELAKA DAN ZURIATNYA
            Kurun ke-15 dan ke-17: Pertimbangan Histriografi
            Mengikut Tradisi Srivijaya
            Sebab-sebab Kerajaan Melaka
            Bentuk Sifat Kerajaan Melaka
            Peluasan Wilayah Melaka
            Islam dan Perkembangan Kebudayaan Melaka
            Penaklukan Melaka oleh Portugis
            Brunei dan Perak: Dua Tanggapan yang Khusus Mengenai Kejatuhan Melayu        Melaka
            Pengaruh Thai di Negeri-negeri Melayu
            Belanda dan Naiknya Kerajaan Johor
3.      BERAKHIRNYA NEGERI ENTREPOT MELAYU, 1699-1819
4.      ZAHIRNYA SEBUHA DUNIA BARU 1819-74
5.      PEMBENTUKAN ‘BRITISH’ MALAYA, 1874-1919
6.      HIDUPNYA SEBUAH MASYARAKAT KOLONIAL 1919-57
7.      PENEMPATAN SEBUAH NEGARA 1957-80.











KESIMPULAN
Bagi pelajar-pelajar yang bakal membuat latihan ilmiah dan tesis, mereka perlu membuat satu perancangan awal dengan teliti dan rapi mengenai kajian yang ingin mereka lakukan. Dalam perancangan tersebut, pelajar perlu memilih tajuk yang sesuai. Malahan sumber-sumber yang perlu dikaji juga perlu berdasarkan tajuk dan pelajar perlu mengenalpasti lokasi untuk mendapat sumber dengan tepat. Seterusnya, pelajar juga perlu memilih kaedah penyelidikan dengan betul juga berdasarkan tajuk yang dipilih. Sehubungan dengan itu, kajian yang dilakukan akan memberikan hasil yang baik. Walau bagaimanapun, konsep periodisasi perlu dititikberatkan dalam segala kajian yang dilakukan. Periodisasi juga boleh dijadikan sebagai landasan yang memandu pengkaji dalam membuat sesebuah kajian.
             Secara keseluruhannya, periodisasi merupakan salah satu elemen yang penting dalam melakukan penyelidikan dan menghasilkan sesebuah penulisan. Bagi mendapatkan sebuah kajian yang baik maka, konsep periodisasi perlu dititikberatkan. Faktor ruang dan masa merupakan faktor yang diperlukan dalam membuat sesuatu kajian. Pendek kata periodosasi ini adalah pemudahcara dan sangat penting untuk seseorang memahami sejarah dengan lebih jelas, tahap demi tahap, perkembangan demi perkembangan sehingga membolehkan pembaca sejarah dapat menghubungkaitkan sejarah itu dengan baik melalui satu zaman kepada zaman yang seterusnya. 










[1] Tengku Iskandar, (ed.), Kamus Dewan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970, hlm. 1033.
[2] Muhd, Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 7.
[3] Jacques Derrida merupakan antara pemikir pascamoden iaitu satu kumpulan aliran falsafah yang lahir selepas zaman moden. Antara pendukung-pendukung yang lain ialah Michel Foucault, Jean Francois Lyotard dan Jean Baudrillard.
[4] R. Suntharalingam, Pensejarah Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1993, hlm. 1.
[5] Muhd, Yusof Ibarahim, Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah, hlm. 133.
[6] Sartono Kartodirjo, Pendekatan Ilmu Sosial Dalam Metodologi Sejarah, Jakarta: Gramedia, 1993, hlm. 36.
[7] Ibid., hlm. 84.
[8] Ibid., hlm. 38.
[9] Ibid., hlm. 84.
[10] Sivachandralingam Sundara Raja & Ayadurai Letchumanan, Tamadun Dunia edisi ke-2, Fajar Bakti Sdn. Bhd, 2001. Hlm. 158-159.
[11] Ibid., hlm. 159.
[12] Qasim Ahmad, Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan edisi ke-2, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004, hlm. 32.
[13] Ibid.
[14] R. Marius, A Short Guide to Writing About History, New York: Harper Collins, 1995. Dalam
[15] Abdul Rahman Ismail, Abdullah Zakaria Ghazali & Zulkanain Abdul Rahman, 1262 Penemuan Tarikh Baru Pengasasan Empayar Kerajaan Melayu Melaka, Institusi Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), 2012, hlm. 16.
[16] Ibid,
[17] Ho Hui Ling, “Kaedah dan Sumber dalam Pengkajian Sejarah Darurat di Tanah Melayu, 1948-1960”, Danny, Wong, Tze-Ken, Joseph M. Fernando, Mardiana Nordin & Sivachandralingam Sundara Raja (ed.), Sejarah, Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006, hlm. 188.
[18] Ibid.
[19]Ishak Saat, Penulisan sejarah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2010, hlm. 7.
[20] Ibid,
[21] Ibid., hlm. 15.
[22] Muhd Supian Sabtu, “Data Arkeologi dan Sumbangannya Sebagai Data Sejarah: Satu Tinjauan Terhadap Kronologi Zaman”, Danny, Wong, Tze-Ken, Joseph M. Fernando, Mardiana Nordin & Sivachandralingam Sundara Raja (ed.), Sejarah, Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006, hlm. 23.
[23] Shakila Yacob, “Sejarah Malaysia Dari Kaca Mata Amerika Syarikat”, Danny, Wong, Tze-Ken, Joseph M. Fernando, Mardiana Nordin & Sivachandralingam Sundara Raja (ed.), Sejarah, Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006,  hlm. 171.
[24] Muhd. Yusuf Ibrahim, Sejarawan dan Persejarawan Melayu: Tradisi & Transformasi, Kuala lUmpur: Tinta Publishers, 2011, hlm. 120.
[25] Ibid,
[26] Noor Syamimi Ishak, Sosial dan Ekonomi di Kubang Pasu pada Tahun 1957 hingga Tahun 2007, Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2010/2011.
[27] Setiap bab akan menerangkan tentang tajuk-tajuk kajian dalam mencapai matlamat penulisan. Lihat, Siti Hawa Zainon, Sejarah Wanita Cina Di Malaysia: “Kajian Dari Aspek Ekonomi, Sosial dan Politik (1900-1980)”, Tesis Jabatan Sejarah, Fakuli Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2010/2011.
[28] Ho Hui Ling, “Kaedah dan Sumber dalam Pengkajian Sejarah Darurat di Tanah Melayu, 1948-1960”, hlm. 188.
[29] Ibid, hlm. 189.
[30] Ibid., hlm. 194.
[31] Khoo, Kay Kim, “Penyelidikan, penulisan dan Pengajaran Sejarah Tanah Air Untuk Memupuk Keperibadian Kebangsaan Malaysia, Tumpuan: Penzamanan (Periodisasi) dalam Sejarah Malaysia”, Kongres Kebudayaan Kebangsaan, Seminar Dasar, 16-20 Ogos 1971, hlm. 138.
[32] Isi kandungan ini merujuk buku Sejarah Malaysia. Lihat Andaya, Barbara Watson & Andaya, Leonard Y., Sejarah Malaysia, Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd, 1988.


BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Ismail, Abdullah Zakaria Ghazali & Zulkanain Abdul Rahman, 1262 Penemuan Tarikh Baru Pengasasan Empayar Kerajaan Melayu Melaka, Institusi Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), 2012.
Ho Hui Ling, “Kaedah dan Sumber dalam Pengkajian Sejarah Darurat di Tanah Melayu, 1948-1960”, Danny, Wong, Tze-Ken, Joseph M. Fernando, Mardiana Nordin & Sivachandralingam Sundara Raja (ed.), Sejarah, Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006.
Ishak Saat, Penulisan sejarah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2010.
Muhd Supian Sabtu, “Data Arkeologi dan Sumbangannya Sebagai Data Sejarah: Satu Tinjauan Terhadap Kronologi Zaman”, Danny, Wong, Tze-Ken, Joseph M. Fernando, Mardiana Nordin & Sivachandralingam Sundara Raja (ed.), Sejarah, Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006.
Muhd, Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997.
Muhd. Yusuf Ibrahim, Sejarawan dan Persejarawan Melayu: Tradisi & Transformasi, Kuala Lumpur: Tinta Publishers, 2011.
Qasim Ahmad, Karya Sejarah: Pendekatandan Persoalan edisi ke-2, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004.
R. Marius, A Short Guide to Writing About History, New York: Harper Collins, 1995.
R. Suntharalingam, Pensejarah Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1993.
Sartono Kartodirjo, Pendekatan Ilmu Sosial Dalam Metodologi Sejarah, Jakarta:Gramedia, 1993.
Shakila Yacob, “Sejarah Malaysia Dari Kaca Mata Amerika Syarikat”, Danny, Wong, Tze-Ken, Joseph M. Fernando, Mardiana Nordin & Sivachandralingam Sundara Raja (ed.), Sejarah, Sumber dan Pendekatan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006.
Siti Hawa Zainon, Sejarah Wanita Cina Di Malaysia: “Kajian Dari Aspek Ekonomi, Sosial dan Politik (1900-1980)”, Tesis Jabatan Sejarah, Fakuli Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, 2010/2011. 
Sivachandralingam Sundara Raja & Ayadurai Letchumanan, Tamadun Dunia edisi ke-2, Fajar Bakti Sdn. Bhd, 2001.
Tengku Iskandar, (ed.), Kamus Dewan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970.

No comments:

Post a Comment

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...