PENDAHULUAN
Kerajaan
Melayu Melaka adalah kesinambungan daripada kerajaan Sriwijaya yang gemilang.
Kerajaan Melayu Melaka berjaya mewujudkan satu bentuk pemerintahan serta gaya
hidup yang turut menjadi contoh kepada kerajaan-kerajaan melayu kemudiannya. Walaupun
tidak ada kerajaan melayu yang dapat mengambil alih kegemilangan Melaka, namun
demikian Melaka tetap menjadi sumber inspirasi dan perangsang kepada
kerajaan-kerajaan yang menjadi warisnya. Menurut Tome Pires, manusia tidak
dapat mentafsirkan nilai Melaka, kerana kebesaran dan keberuntungan yang ada
pada melaka. Begitu juga, Duarte Barbosa, “sesiapa yang menguasai Melaka, dia
akan menguasai perdagangan dunia”. Kenyataan kedua-dua sejarawan ini
menunjukkan bahawa kerajaan melayu Melaka sangat penting pada masa itu.
Pada
peringkat awal pengasasan kerajaan melayu Melaka telah memperlihatkan
kebijaksanaan pemerintah Melaka dalam memanfaatkan kelebihan yang terdapat di
Melaka, melakukan hubungan diplomatik dengan kerajaan luar dan lain-lain.
Pengukuhan pada peringkat awal ini adalah pemangkin kepada kegemilangan empayar
melayu Melaka dibawah pemerintahan sultan-sultan Melaka yang seterusnya selepas
Parameswara (Raja Iskandar Syah). Kerajaan melayu Melaka boleh dibahagikan
kepada beberapa tahap perkembangan iaitu tahap pembukaan (1400-1424), tahap
pengukuhan (1424-1446), tahap kegemilangan (1446-1488) dan tahap kejatuhan
(1488-1511).
Terdapat
pelbagai pandangan mengenai penubuhan kerajaan melayu Melaka baik dari segi
tarikh, pengasas dan proses pengasasan. Pandangan-pandangan yang dikemukakan
oleh para sejarawan adalah berasaskan
beberapa sumber seperti sumber Sejarah Melayu, catatan Ming Shih dan Portugis.
Namun demikian, tidak terdapat sumber
yang asli atau sezaman dengan kerajaan melayu Melaka yang boleh
dijadikan rujukan dalam mengesahkan tarikh dan pengasas sebenar kerajaan melayu Melaka. Tarikh 1400 Masihi
diterima pakai oleh kebanyakan sejarawan sebagai landasan pemudah perbincangan.
Namun demikian, ia bukanlah tarikh muktamad permulaan kerajaan melayu Melaka.
PENGASASAN KERAJAAN MELAYU MELAKA
Pandangan konvensional
a) Tarikh
pengasasan kerajaan melayu melaka
Menurut
pandangan konvensional, Melaka hanya dibuka pada awal abad ke-15 Masihi, iaitu
antara 1400-1402 Masihi kerana tidak
terdapat apa-apa catatan yang dapat menunjukkan kewujudannya dalam dalam
tulisan-tulisan pengembara ini sebelum
abad ke-15 Masihi seperti Marco Polo (1292 Masihi), Odoric of Pordenone
(1232 Masihi), dan Ibn Batutah (1345-1346 Masihi). Dalam catatan cina, masa itu
juga tidak terdapat nama Melaka, begitu juga dalam Negarakartagama yang disusun
oleh Prapanca sekitar 1365 Masihi. Namun demkian, tidak dapat dinafikan bahawa
Melaka telah wujud sebagai pelabuhan yang agak besar sekitar 1403 Masihi,
kerana pada tahun itu terdapat catatan Cina tentang kerajaan dan pelabuhan
Melaka.
R.O.
Winstedt pula mengambil tarikh yang dikemukakan oleh Godinho de Eridia, seorang
pengembara berbangsa Portugis yang menyatakan Melaka telah dibuka pada sekitar
1398 Masihi. Manakala R.J. Wilkinson yang merupakan seorang penulis/ pentadbir
berbangsa inggeris yang tajam lidahnya, tidaklah menyatakan tarikh yang tepat
tentang pembukaan Melaka, kecuali mengatakan bahawa “perkampungan nelayan kecil orang asli kurun ke-13 itu telah menjadi
sebuah pusat pelabuhan yang kosmopolitan menjelang abad ke-15”. O.W.
Wolters, mengatakan Melaka telah dibuka atau dijadikan negeri oleh Raja
Iskandar Syah pada sekitar tahun 1399/1400 Masihi iaitu berdasarkan kronologi
pergerakan beliau sejak dari Palembang lagi.[1]
Di
samping itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan Melaka telah wujud sejak
kurun ke-8 Masihi lagi. Pendapat ini dikemukakan oleh G. Ferrand dalam
artikelnya “Melaka. Le Melayu et malayur”
dalam journal “Asiatique Mai-Juin et
Juilet-Aout, 1918” . Beliau juga menyatakan bahawa kerjaaan Malayur
(Malayu) yang disebut oleh Marco polo dan Ma-il-yu-el (Mo-lo-yo) dalam catatan
china itu adalah sebenarnya Melaka. Namun, pandangan beliau ditentang oleh
ramai sejarawan hari ini. Wang Gungwu misalnya berpendapat bahawa, masih
mustahil untuk menyatakan suatu tarikh yang tepat, tetapi beberapa peristiwa
yang berlaku sebelumnya, iaitu peristiwa yang berkaitan dengan pergerakan raja
iskandar syah sejak baginda melarikan diri dari Palembang lagi telah
menunjukkan bahawa pembukaan ini berlaku pada akhir abad kurun keempat belas.
a) Pengasas
dan proses pengasasan kerajaan melayu Melaka
Menurut sumber melayu iaitu sulalatus salatin karya Tun Seri Lanang,
pengasas kerajaan melayu Melaka yang pertama adalah parameswara atau dikenali
dengan gelaran Raja Iskandar Syah iaitu putera dari Palembang dan merupakan
raja melayu yang terakhir memerintah di Singapura sebelum baginda mengasaskan Melaka.
Manakala, dalam sumber Cina iaitu catatan Ming shih ada menyebut bahawa raja
Melayu yang pertama mengasaskan negeri Melaka adalah Pa-li-su-la atau
Bai-li-mi-su-la yang mangkat pada tahun
1414. Baginda dikatakan telah pun berkerajaan di Singapura hingga ke Melaka
dengan hanya mengambil masa 25 tahun yang akhirnya mangkat pada tahun 1414. Dalam
sumber Portugis pula menyebut raja yang mula-mula membuka Melaka berasal dari
kerajaan Singapura ialah Parameswara atau Paramicura, atau Permicura atau
Permicuri yang disebut mengikut pelat dan cara sebutan tersendiri.
Dalam
catatan Sejarah Melayu, Melaka telah
ditubuhkan setelah pemerintah singapura yang berundur ke Melaka akibat mengelak
dari serangan Majapahit. Pemerintah Singapura, Iskandar Syah dikatakan telah
berundur ke Muar, kemudian ke Bertam dan akhirnya membuka negeri di situ yang
dinamakan Melaka. Namun demikian, Wolters mempertikaikan akan kewujudan
kerajaan singapura. Bagi wolters, sejarah Singapura itu adalah rekaan
semata-mata oleh penulis sejarah melayu demi menyembunyikan zaman yang
memalukan itu, iaitu zaman kejatuhan Sriwijaya Palembang yang digantikan oleh
kerajaan Melayu Jambi (1990:92).
Mengikut
catatan Cina dan Portugis, Melaka telah dibuka oleh seorang putera dari
Palembang di Sumatera yang bernama Parameswara yang dikatakan telah berundur
dari palembang akibat kekalahannya dalam pertempuran menentang Majapahit kerana
Parameswara cuba untuk membebaskan Palembang dari kekuasaan Majapahit. Keadaan
huru hara yang berlaku di Majapahit akibat perebutan kuasa setelah kemangkatan
Patih Gajah Madah (1364M) dan Hayam Wuruk (1389M) telah menyebabkan tanah
jajahan Majapahit mengambil kesempatan
membebaskan diri dari kekuasaan Majapahit. Kesempatan inilah yang digunakan
oleh Parameswara untuk membebaskan Palembang dari majapahit agar dapat bernaung
di bawah kekuasaan China.
Mengikut
Tome Pires, Parameswara telah mengisytiharkan dirinya sebagai Mjucra (yang
bebas). Tindakan baginda ini telah menimbulkan kemarahan Batara Tamarill, iaitu
abang iparnya dan pemerintah Majapahit kerana Parameswara dianggap telah
mencabar kekuasaan dan kedaulatannya. Majapahit kemudiannya telah menyerang
Palembang dan akhirnya Parameswara
melarikan diri ke Singapura. Mengikut catatan Ming Shih, Palembang telah
diserang oleh Majapahit sekitar 1390/91 Masihi. Sebelum ke Temasik, baginda
dikatakan telah singgah di Bentan. Semasa di Bentan, Parameswara diterima baik
oleh Ratu Bentan. Parameswara telah dibantu oleh orang Bentan menguasai Singapura.
Mengikut Tome Pires, pada masa itu Temasik diperintah oleh Gabenor Siam iaitu
Sang Aji (Sam Agy). Selepas lapan hari di Singapura, Parameswara telah
bertindak membunuh Sang Agy lalu merampas tahkta dan memerintah Singapura
selama 8 tahun akibat diserang oleh Siam.
Selepas berundur dari Singapura, baginda telah ke Muar dan kemudian ke
Bertam lalu membuka Melaka.
Mengikut
Tome Pires, Parameswara telah menetap di
Muar selama 6 tahun dan dikatakan telah membuka petempatan di Bertam setelah
dijemput oleh pengikutnya yang menetap di kuala Sungai Melaka. Tome Pires
berpendapat bahawa pengasas kerajaan Melaka adalah Xaquem Darxa (Iskandar Syah)
iaitu anak kepada Parameswara yang telah membuka petempatan di sebuah bukit di
pinggir pantai berhampiran Kuala Sungai Melaka yang kemudiannya dinamakan
Melaka. Nama Melaka dikatakan berasal dari perkataan Malayo yang bermaksud “persembunyian pelarian”.
Cerita
yang dikemukakan oleh Pires ini berbeza daripada apa yang dikisahkan dalam Sulalatus Salatin dan Sejarah Melayu. Dalam kedua-dua kitab
ini menceritakan bahawa pelarian dari Singapura itu bernama Iskandar Syah yang
dikatakan telah membuka Melaka. Mengikut Sulalatus
Salatin, nama Melaka diambil sempena nama pokok tempat baginda bersandar
semasa berburu.[2]
Antara lain dalam Sejarah Melayu
menceritakan:
“…maka
Raja Iskandar Syah pun berjalan berbalik dari sana ke tepi pantai, pada suatu
sungai di tepi laut; dan nama sungai itu bertam. Maka raja iskandar syah pun
berdiri di bawah sepohon kayu, terlalu rendang. Maka baginda pun berburu, maka
anjing pemburuan itu pun diterajangkan oleh pelanduk putih, jatuh ke air. Maka
titah raja iskandar syah, “baik tempat ini, sedang pelanduknya lagi gagah; baik
kita berbuat negeri di sini”.
…maka
raka iskandar syah bertanya,’apa nama kayu ini tempat, tempat kita bersandar?’
maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, Tuanku.”
Maka
titah baginda, “jika demikian, melakalah nama negeri ini.” (W.G.Shelleabear
(ed); 1982:53-54).
Mengikut
kitab-kitab Sejarah Melayu ini, kita
boleh simpulkan bahawa Bertam dan Melaka adalah tempat yang sama. Namun mengikut
sumber Portugis dalam catatan Tome Pires mengatakan bahawa Melaka dan Bertam
adalah tempat yang berlainan.
Ming
Shih menyatakan bahawa, pada 5 oktober 1414, waris Raja Iskanar Shah telah
melaporkan mengenai kematian Parameswara kepada Maharaja Yung Lo. Namun
demikian, sir Richard Winsted menegaskan bahawa, sehingga 1414 paramesawara
masih lagi hidup. Parameswara dikatakan
telah menukar nama kepada Raja Iskandar Syah setelah memeluk islam. Hal ini
mengelirukan pihak China yang menyangka mereka telah berurusan dengan raja
baru. Menurut sir Richard, pengasas kesultanan melayu Melaka telah mangkat pada
tahun 1424 dan diganti oleh raja Sri Maharaja. Kenyataan beliau ini selaras
dengan pemerintahan Raja Iskandar Shah yang bermula pada 1404 pada masa duta Ming
yang bernama Yin Ch’ing menghadap Raja Iskandar Shah berakhir kira-kira pada
tahun 1424.
Mengikut
catatan cina yang dikaji oleh Wang Gungwu, menyatakan bahawa pada sekitar 1414
Masihi, satu rombongan di raja dari Melaka telah datang ke istana Ming di
Peking. Yung Lo Shih-Lu (Tai Zhong Shi Lu) mencatatkan:
Putera
raja Melaka, Mu-ka-sa-yu-ti-er-sha, telah menghadap ke istana, dan menjelaskan
tentang kemangkatan ayahandanya Pai-li-mi-su-la. Satu perintah telah
dikeluarkan yang mengatakan Mu-kan-sa-yu-er-sha akan menggantikan ayahandanya
sebagai raja dan hadiah-hadiah berupa emas, perak, kain bersulam emas, sutera
halus, tengkolok, pinggang dan jubah yang disulam dengan benang emas
diberikan. (W. Gungwu; 1968:48).
Menurut
Winsted, Pai-li-mi-sula dan Mu-kan-sa-yu-er-sha adalah orang yang sama yang
mengasaskan kerajaan melayu Melaka Sekitar tahun 1413/14
Masihi.[3] Baginda
dikatakan memeluk agama islam hasil desakan ulama-ulama Pasai. Baginda juga
dikatakan telah mengahwini seorang puteri islam Pasai. Akan tetapi, dalam
catatan sumber cina dan portugis tidak dapat membenarkan dakwaan beliau. Tome
Pires menyatakan dalam Suma Orientalnya:
Pada ketika itu
raja Xaquem Darxa (Iskandar Syah) sudah lanjut usianya dan negeri Melaka
menjalankan pelabagai hasil perdagangan; dan terdapat ramai orang islam dan
ulama yang berusaha dengan gigih untuk mengislamkan raja (Melaka) itu, dan
sultan Pasai begitu ghairah tentang pengislaman itu. Dengan nasihat para ulama
yang telah dikirimkan oleh sultan pasai ke Melaka , raja Xaquem Darxa yang
dikatakan itu telah berkeinginan untuk mewujudkan hubungan dengan sultan Pasai.
Sultan Pasai dengan senyap-senyap mengirimkan ulama-ulama yang lebih alim untuk
mendesak baginda dan memalingkannya daripada bangsanya dan kekafiran dan
mengislamkannya. Dan perkara ini dilakukan dengan senyap-senyap dan tidak
secara terbuka…. (1944;33)
Oleh
itu, jika mengikut catatan cina dan portugis, raja pertama yang memeluk islam
bukanlah Parameswara tetapi puteranya Iskandar Syah atau Megat Iskandar Syah. Namun
ada juga kemungkinan yang Parameswara telah memeluk agama islam pada tahun 1413
Masihi iaitu beberapa ketika selepas baginda mangkat (1414M) namun ditukar
kepada Iskandar Syah. Perkara ini sama dengan Ceritera Asal Raja-raja Melayu Punya Keturunan yang mengatakan
bahawa nama raja Melaka itu adalah Seri Iskandar Syah.[4]
Setelah Parameswara mangkat 1414 Masihi, baginda (Iskandar syah) telah
digantikan oleh puteranya Sultan Megat. Megat inilah yang dikatakan pergi ke China
sekitar 1414 Masihi utuk memberitahu tentang kematian ayahandanya dan meminta
kerajaan China mengiktirafnya sebagai pengganti Parameswara.
Dapat
kita simpulkan, hasil catatan Cina dan Portugis menunjukkan bahawa raja pertama
yang mengasaskan Melaka adalah Parameswara dan raja kedua adalah Megat Iskandar
Syah yang memakai gelaran Iskandar Syah setelah memeluk agama islam. Bersandarkan
catatan Ming Shih iaitu putera baginda yang dipanggil oleh orang Cina Mu-ka-sa-yu-ti-er-sha
(megat iskandar syah) selari dengan catatan Tome Pires iaitu Xaquem Darxa
(Iskandar Syah) iaitu raja kedua Melaka yang mula-mula memeluk agama islam. Akan
tetapi, mengikut keterangan daripada sumber melayu, khususnya Sejarah Melayu, raja pertama yang mempunyai
nama islam ialah ialah Iskandar Syah. Salasilah raja Melaka yang dicatatkan
dalam naskah yang berjudul Ceritera Asal
Raja-Raja Melayu Punya Keturunan, pemerintah yang pertama ialah Iskandar Syah
manakala yang kedua disebut Sultan Megat.
Pandangan Mutakhir
Tarikh
pengasasan kerajaan melayu Melaka yang dikatakan diasaskan sekitar 1400 Masihi
adalah tidak selaras dengan sumber-sumber yang masih belum dirujuk. Dari segi
pandangan mutakhir, sejarawan berpendapat bahawa kerajaan melayu Melaka telah
diasaskan dalam kurun ke-13. Terdapat sejarawan barat yang juga bersetuju
bahawa kerajaan melayu Melaka didirikan dalam sekitar tahun 1240 Masihi iaitu
de Barros, manakala Francois Valentijn (Valentyn) pula berpendapat kerajaan
tersebut telah bermula sama ada pada tahun 1252 atau 1253 Masihi. [5]
Dalam
naskah berjudul “ Ini Dari Sejarah Melayu
Asal Raja-Raja” (IDSMAR) yang terdapat di perpustakaan barat dikenali
sebagai Maxwell 9, misalnya dengan jelas menyatakan bahawa kerajaan melayu
Melaka telah diasaskan pada 1260-an. Menurut dokumen ini, selepas tiga tahun
memerintah bermula sannat (tahun) 663 Haijrah, Singapura diserang oleh
majapahit, lalu raja Singapuara yang kelima iaitu Seri Iskandar Syah telah
“menyeberang ke tanah besar” dan “ diperbuatnya pula kota namanya Melaka”. Naskah
ini dikatakan tidak menyebut akan tempoh yang perjalanan oleh Raja Seri
Iskandar untuk sampai ke Melaka. Sebaliknya menyatakan dengan jelas berapa lama
Raja Seri Iskandar memegang tampuk pemerintahan dari Singgapura hingga ke
Melaka iaitu selama 25 tahun. Raja Seri Iskandar Syah dikatakan memerintah di Singapura
selama 3 tahun dan seterusnya memerintah Melaka selama 22 tahun. Berdasarkan
jalan cerita dalam sumber ini, kerajaan melayu Melaka telah dimulai oleh Seri
Iskandar Syah pada tahun 666 Hijrah yang bersamaan 1268 Masihi.[6]
Selain
itu, dalam catatan sumber Belanda “Lyst der Koningen van Malakka” telah
menunjukkan perselisihan tarikh-tarikh yang dikemukakan. Menurut sumber belanda
ini, Melaka diasaskan sekitar 1252 Masihi. Tarikh-tarikh yang dicatatkan dalam
“Lyst der Koningen van Malakka” kelihatan teratur berdasarkan tempoh
pemerintahana setiap raja Singapura, Melaka, dan Johor sehingga 1708 Masihi.
Namun demikian, terdapat tarikh yang dinyatakan nyata salahnya. Antaranya
pemerintahan sultan Mansur Shah dicatatkan berakhir pada 1447 Masihi tetapi
pemerintah penggantinya Sultan Alauddin Riayat Syah pula ditulis sebagai
bermula lebih awal iaitu 1337 Masihi. Selain itu, Sultan Ahmad Syah Melaka
dicatatkan naik tahta pada 1513 Masihi dan meninggal dunia pada 1540 Masihi,
sedangkan umum mengetahui bahawa baginda naik takhta pada sekitar tahun 1510
atau 1511 yang terlibat dalam peperangan mempertahankan Melaka daipada serangan
Portugis dan meninggal dunia di Bentan sekitar 1516 Masihi.[7]
Tarikh yang diguna pakai
Pelbagai
hujah dan pendapat telah dikemukakan oleh sejarawan mengenai pengasasan
kerajaan melayu Melaka. Jika sebelum ini kita menggunakan 1400 Masihi sebagai
garis masa permulaan pengasasan kerajaan melayu Melaka, kini hasil kajian yang
dilakukan oleh pakar sejarah tempatan telah menyangkal tarikh berkenaan dan
menyatakan tahun 1262 sebagai tahun bermulanya pengasasan kerajaan melayu
Melaka yang diasakan oleh Raja Iskandar Syah iaitu putera raja dari Palembang. Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai
tarikh pengasasan Melaka diputuskan hasil kesepakatan menerima pendapat kajian
setahun yang dilakukan oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan
negeri Melaka menerusi Institusi Kajian Sejarah dan Patriotism Malaysia
(IKSEP).
Beberapa sumber atau dokumen lain yang
mencatatkan bahawa kerajaan melayu Melaka telah diasaskan pada sekitar
pertengahan kurun ke-13 Masihi yang telah ditemui oleh pakar sejarah tempatan
iaitu Prof. Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Zulkarnain Abdul Rahman semasa menjalankan kerja lapang mereka.
Sumber-sumber berkenaan adalah berupa empat dokumen yang dinamakan salasilah ANM, S/P 75”,
“Salasilah Singkep (Lingga)”, “Salasilah Pulau Penyengat” dan “Salasilah Bintan
(Tengku Husin)”. Menurut dokumen-dokumen ini, kerajaan melayu telah didirikan sama ada pada 1249 atau 1251 atau 1254
Masihi.[8]
Sumber/Dokumen
|
Tahun (Masihi) pengasasan kerajaan Melayu
Melaka
|
Salasilah ANM, SP/75
Salasilah Singkep (Lingga)
Salasilah Pulau Penyengat
Sumber belanda (
beschrivinge)
Francois valentijn
Salasilah Bintan (Tengku
Husin)
Ini dari sejarah melayu asal
raja-raja (IDSMAR)
Ceritera Asal Raja-raja
Melayu punya keturunan (CARMPK)
|
1249M
1251M
1251M
1252M
1252/3
1254M
1268M
1268M
|
Rajah 1. Tarikh permulaan kerajaan melayu
Melaka menurut sumber-sumber berikut.[9]
kajian
yang dilakukan adalah berdasarkan daripada sumber-sumber bertulis, artifak, dan
lisan serta penyelidikan yang dijalankan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga
di Indonesia seperti kepulauan Riau, Pulau Penyengat, Pulau Singkep, Pulau
Lingga, Wilayah Sumatera Barat di Padang dan Batu Sungkar. Sebab-sebab
penetapan tahun 1262 sebagai tahun muktamad pengasasan Melaka adalah kerana
tarikh asal 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai sandaran fakta yang
kukuh sebgai tahun sebenarnya penubuhan kerajaan melayu Melaka kerana tahun itu
diperolehi daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang
ada.
Berdasarkan
tulisan sejarah melayu, Sulalatus Salatin
versi Raja Bongsu (m/s 18 Stamford Rafless), Kerajaan Melayu Melaka telah
diasaskan pada 660 Hijrah bersamaan 1262 Masihi. Tahun 1262 ini diperolehi
melalui kiraan tahun kebelakang atau mengundur terhadap tempoh pemerintahan
sultan-sultan Melaka dalam naskah Sulalatus
Salatin Versi Raja Bungsu. Tambahan pula, dalam naskah ini turut dicatatkan
tarikh serangan Portugis iaitu pada tahun 1511.
Rumusan penyelidik ini telah menolak tahun 1400 dan 1278 sebagai tahun
pengasasan kerajaan melayu Melaka kerana kesepakatan sarjana barat (Portugis)
bukan berdasarkan fakta sejarah. Hal ini juga termasuk Suma Oriental yang diitulis oleh Tome Pires pada tahun 1512 – 1515
dikatakan hanya berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar dan
cakap. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa, hasil kajian yang dilakukan berdasarkan
naskah-naskah tempatan dan sezaman yang pelbagai mengisahkan tentang Kesultanan
Melayu Melaka dan sebelumnya dapatlah dirumuskan bahawa kerajaan Kesultanan
Melayu Melaka telah diasaskan pada 660 Hijrah bersamaan 1262 Masihi oleh Raja
Iskandar Syah (Seri Iskandar Syah).
Rajah
2. Nama dan tempoh pemerintahan sultan-sultan Kerajaan Melayu Melaka menurut Sulalatus Salatin Raj
a Bungsu
a Bungsu
SEJARAH
AWAL PENGUKUHAN MELAKA
a)
Salasilah
Keturunan Kesultanan Melayu Melaka
Pengukuhan
kerajaan Melayu Melaka adalah berkait rapat dengan faktor keturunan pemerintah
yang memerintah ketika itu. Misalnya, pemerintah melaka yang pertama iaitu
parameswara, yang merupakan keturunan Raja Palembang dan pewaris kepada
kerajaan Sriwijaya dikaitkan dengan salasilah keturunan Raja Iskandar
Zulkarnain yang muncul di Bukit Siguntang, Palembang. Walau bagaimanapun
kenyataan ini tidak dapat dibuktikan oleh para sejarawan sama ada Raja Iskandar Zulkarnain itu ada hubung-kait
dengan Alexzander The Great yang agung dan terkenal itu atau tidak. Di sebabkan
pemerintah selalunya dikaitkan dengan keturunan yang mulia dan terkenal, maka
telah lahirlah satu konsep yang dikenali sebagai, “Daulat dan Derhaka”. Berpandu dan berdasarkan kepada konsep inilah
ianya telah menjadi satu elemen penting bagi membantu mengukuhkan kedudukan dan
seterusnya meninggikan kedudukan seseorang sultan atau pemerintah.
Konsep ini dilihat amat bersebati dalam jiwa
masyarakat melayu sejak zaman berzaman sehinggalah ke hari ini. Menurut Wan
Hashim Wan Teh dan Ismail Hamid dalam buku mereka “Nilai Budaya Masyarakat Desa”, mereka menyatakan bahawa seorang
pemimpin atau pemerintah negeri dianggap mempunyai”daulat”,iaitu kuasa luar
biasa yang tidak ada pada rakyat biasa dan pembesar negeri yang lain[10].
Mana-mana individu yang ingkar dan melawan sebarang titah sultan, maka ianya
akan terkena ‘tulah’ raja yang
merupakan balasan buruk atau bencana. Hal ini menyebabkan rakyat melaka
memberikan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada pemerintah agar mereka
tidak terkena tulah raja dan menjadi faktor penting terhadap kewibawaan rakyat
untuk mentaatinya dalam mengukuhkan kerajaan.
b)
Hubungan Melaka Dengan China
Hubungan
Melaka dengan China sudah sekian lama terjalin iaitu sejak daripada zaman
pemerintahan Parameswara lagi yang mahukan perlindungan dan mengukuhkan
kedudukan melaka. Selain itu, keadaan ini dilihat amat berkait rapat dengan
ancaman pihak Siam terhadap Melaka ekoran daripada peristiwa pembunuhan Temagi
di Temasik oleh Parameswara sebelum pembukaan Melaka lagi. Hal ini dapat dibuktikan
melalui kedatangan perutusan daripada kerajaan China pada tahun 1403 yang di
ketuai oleh Laksamana Yin Ching dan pada tahun 1405 oleh Laksamana Cheng Ho ke
Melaka. Menurut catatan Sejarah Dinasti Ming, sejak daripada tahun 1407 Masihi
lagi raja Melaka mulai mengirim utusan untuk mempersembahkan ufti dan tahun
berikutnya Laksamana Zheng He pun diutuskan ke Melaka oleh Kaisar Ming untuk
menghantarkan bingkisan yang berupa pelbagai jenis sutera dewangga kepada Raja
Melaka[11].
Disebabkan
kedudukan Melaka yang strategik sebagai pengkalan luar bagi kapal-kapal maka
China cuba mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka dengan menganugerahkan
anaknya, “Puteri Hang Li Po” dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan
Mansur Shah. Untuk menyambut Puteri Hang Li Po, Sultan Mansur Shah menghantar
Tun Perpatih Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk
mengiringinya. Hang Li Po tiba ke Melaka pada tahun 1458 dengan 500 orang
pengiring dan selepas itu di kahwinkan dengan Sultan Mansur Syah.
c)
Kedudukan
Geografi
Kedudukan
Selat Melaka amat strategik dari segi geografi dan alam semulajadinya telah
membantu sultan-sultan melaka dalam mengukuhkan kerajaan melayu melaka. Selat
Melaka terletak di persimpangan laluan pedagang Timur dan Barat. Tambahan pula,
Selat Melaka amat sesuai sebagai tempat persinggahan bagi saudagar dan pedagang
kerana terletak dikawasan yang terlindung daripada tiupan angin monsun Barat
Daya dan monsun Timur Laut. Keadaan
bukit bukau dan laut yang dalam memudahkan kepada kapal untuk keluar masuk. Keadaan
selat Melaka yang selamat mendorong para pedang berlabuh untuk singgah di
Melaka sementara menunggu perubahan tiupan angin monsun. Kenyataan Ini disokong
oleh K.R. Hall yang menyatakan bahawa saudagar dan pelaut berhenti seketika
menanti angin monsun yang berlawanan untuk meneruskan perjalanan atau terus
pulang.[12]
Selain
itu, selat Melaka mempunyai sumber atau hasil tempatan yang mendapat permintaan
daripada pedagang luar. Alam melayu
merupakan kawasan tropika yang kaya dengan hasil bumi. Sehingga pernah
digelar sebagai bumi emas dan suvarnabumi. Alam melayu memiliki hasil hutan
yang mendapat permintaan dari negara luar antaranya adalah kayu kayan, rempah
dan lain-lain. Hasil hutan ini diperoleh daripada orang asli dan dibawa ke
pelabuhan Melaka melalui orang perantara untuk dikomersialkan.
d)
Peranan Orang Laut
Orang
laut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan empayar kesultanan melayu
Melaka. Orang laut merupakan salah satu daripada kumpulan penduduk yang paling
terawal yang mendiami melaka sejak zaman pembukaan melaka lagi dan kebanyakkan
kehidupan mereka di habiskan di lautan. Orang laut merupakan kumpulan
masyarakat yang berasal dari palembang yang menjadi pengikut setia kepada Parameswara
yang turut sama-sama mengiringi Parameswara berundur dari Palembang dan Temasik
untuk mengelakkan dari ancaman pihak
musuh. Orang laut memiliki pelbagai kemahiran berkaitan dengan asas kalautan,
misalnya kemahiran dalam membuat bot, belayar, menangkap ikan, ilmu tentang
perjalan laut sehingga mereka dianggap sebagai masyarakat yang hebat dan
berani.
Di
melaka, orang laut ini telah diberikan tugas yang khusus sejak zaman Parameswara
lagi di mana kumpulan ini bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan perairan
di Selat Melaka dari segala bentuk ancaman dan menjadi tonggak pertahanan
kerajaan melaka bagi kawasan lautan. Bahkan orang laut juga turut berperanan
dalam memastikan setiap pedagang-pedagang yang memasuki selat melaka untuk
berdagang di melaka terjamin keselamatannya. Keadaan ini telah menjadikan orang
laut lebih ke depan berbanding rakyat lain. [13]
e)
Pusat
perdagangan
Sebelum
kemangkatan Parameswara sekitar 1414, Parameswara telah berjaya menjadikan
Melaka sebagai pusat perdagangan rempah ratus dan bahan-bahan logam.
Barang-barang ini kemudiannya ditukarkan dengan pelbagai jenis hasil lain terutamanya
kain yang dibawa dari Coromendal dan Gangga. Dalam usaha menjadikan Melaka
sebagai pusat pelabuhan yang terkenal dikalangan para pedagang timur-barat,
parameswara telah memperkenalkan kembali teknik paksaan yang digunakan oleh
kerajaan Srivijaya sebelumnya. P. Wheatley menyatakan:
“Kewibawaan
Melaka ke atas selat (Melaka) dipastikan apabila Iskandar Syah (parameswara)
menghantar perahu peronda yang dikendalikan oleh Celates (orang laut) untuk
memaksa kapal-kapal singgah di melakka seperti dalam zaman Sriwijaya, selat itu
menjadi laut persendirian kembali”[14]
Kedudukan
Melaka sebagai pusat perdagangan menjadi tambah penting setelah pemerintahannya
menerima islam sekitar 1414 Masihi. Dalam Sulalatus
Salatin mencatatkan bahawa zaman inilah Melaka telah berkembang pesat dan
makmur dan didatangi oleh ramai pedagang.[15]
Kebanyakan pedagang yang datang ke Melaka ketika itu adalah pedagang islam dari
Timur Tengah dan India, terutama Gujerat. Mengikut Tome Pires, terdapat juga
pedagang dari Parsi, Turki, Turkomans, dan Armenia bersama mereka.[16]
Sebelum islamnya Melaka, pedagang-pedagang ini dikatakan tertumpu di Pasai,
Pedir, Aru, dan Jambi.[17]
Pada
ketika itu juga, Melaka turut menjalankan aktiviti perdagngan tukar barang di
antara barang China dan Asia Tenggara. Tome Pires mecatatkan bahawa dari barat
dibawa empat puluh jenis barangan. Dari Melaka misalnya, pedagang barat akan
membawa balik cengkih, pala bunga pala, mutiara, kayu cendana, kasturi serta
tembikar. Mereka juga turut membeli emas,
sutera putih, dan lain-lain. Sebahagian besar barangan tersebut adalah dari
kepulauan melayu dan ada yang dibawa juga dari negeri China.
f)
Undang-undang
melaka
Sejak
era pengukuhan, kerajaan melayu Melaka mempunyai pentadbiran yang tersusun
rapi. Melaka mempunyai dua undang-undang dasar yang mewakili pentadbirannya
iaitu, hukum kanun Melaka dan undang-undang laut. Kedua dua undang ini tidaklah disusun sekali
gus, tetapi peringkat demi peringkat. Malah, ada kemungkinan berlaku
perubahan-perubahan sendiri mengikut zaman. Pembentukan undang-undang ini berkemungkinan
bermula sejak zaman Megat Iskandar Syah lagi, kemudian diikuti dalam zaman
pemerintahan Muhammad Syah dan Muzaffar Syah. Dalam Sulalatus Salatin ada mencatatkan, bahawa Muhammad Syah merupakan
pemerintah yang mula-mula menyusun peraturan tentang pakaian dan adat tertib
diraja. Akan tetapi hanya dalam zaman Muzaffar Syah undang-undang itu ditulis
supaya hukuman yang dijatuhkan ke atas menteri tidak berbeza-beza. Sebelum itu,
undang - undang hanya dihafal dan dihayati. Melalui undang-undang inilah pemerintah
Melaka mengukuhkan kerajaan melayu Melaka.[18]
Hukum
kanun Melaka juga dikenali sebagai undang-undang darat melaka atau risalat
hukum kanun yang mempunyai 44 fasal yang berkuat kuasa di kerajaan pusat dan
jajahan. Antara kandungannya adalah berkaitan tanggungjawab raja serta
pembesar, pantang larang dalam kalangan anggota masyarakat, perhukuman
kesalahan jenayah dan awam, undang-undang keluarga, permasalahan ibadah dan
muamalat, dan hukum perhumaan. Dalam hukum kanun Melaka ini juga terdapat
perbezaan hukum antara kelas, kelas bangsawan (raja), orang merdeka, dan hamba.
Manakala,
dalam undang-undang laut Melaka pula meliputi pelabagai perkara yang berkaitan
dengan kegiatan dalam perahu dan pelayaran. Sebahagian besar adalah ditumpukan
kepada kesalahan jenayah dalam perkapalan. Namun demikian perhukumannya adalah
tidak mengikut hukum syarak. Tujuh daripada 25 fasal tertumpu mengenai perkara
tersebut dan sebahagiannya mengenai peraturan pelayaran, perniagaan, dan adab
dalam kapal. Undang-undang ini juga menyatakan dengan jelas tentang tugas-tugas
seorang pegawai dalam perahu yang meliputi nakhoda, jurumudi (malim), juru
batu, senawi, dan muda-muda (mata-mata). Setiap pegawai-pegawai ini dipertanggungjawabkan
dengan tugas mereka sendiri. Jika lalai akan diberi hukuman. Sebagai contoh,
seorang malim yang lalai sehingga perahu atau jong terlanggar karang atau
rosak, malim itu boleh dikenakan hukuman mati. Akan tetapi jika ia berpunca
dari kemalangan yang tidak disengajakan, dia akan terlepas dari hukuman
(R.O.Winstedt & P.E de J.de Jong 1956:38). [19]
KESIMPULAN
Secara
kesimpulannya, pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh penulis dan sejarawan
mengenai pengasasan kerajaan melayu Melaka. Masing-masing mendukung idea
tersendiri. Jika dahulu tarikh 1400 dipersetujui dan diguna pakai, kini tahun
1262 telah disahkan sebagai tahun pengasasan kerajaan melayu Melaka yang
sebenar. Tarikh 1400 Masihi adalah tidak muktamad tetapi sekadar landasan pemudah perbincangan. Namun, satu
kajian yang dilakukan oleh pakar sejarah tempatan telah melahirkan satu tarikh
baru iaitu tahun 1262 sebagai tahun pengasasan kerajaan melayu Melaka oleh
parameswara (Raja Iskandar Syah).
Kerajaan
melayu Melaka sebagai empayar yang gemilang di Alam Melayu pada abad ke-15
adalah didukung oleh sejarah awal pengukuhan yang bermula dengan pengasasan
kerajaan melayu Melaka oleh Paramesawara yang telah berjaya mengukuhkan
kerajaan melayu Melaka sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan mancapai
kegemilangan semasa pemerintahan sultan Mansur Syah. Parameswara telah
meninggalkan pengganti-pengganti yang tidak kurang hebatnya juga, seperti
Sultan Mahkota Iskandar Syah dan Seri Maharaja atau bergelar Sultan Muhammad
Syah.
[1]
Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah,
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm 118.
[2] A,
Samad Ahmad (ed), Sulaltus Salatin
(Sejarah Melayu), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm 71.
[3]
Haji Tajuddin Haji Hussein, Malaysia
Negara kita, ed 9, Kuala Lumpur : MCD Publisher Sdn Bhd, 2009, hlm 97-98.
[4]
Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun
Bangsa Melayu, Kuala Lumpur : Utusan Publication Sdn.Bhd, 2008, hlm 227.
[5]
Abdul Rahman bin Ismail, Abdullah Zakaria bin Ghazali, dan Zulkarnain bin Abdul
Rahman, Penemuan Tarikh Baru Pengasasan
Empayar Kerajaan Melayu Melaka, Melaka : IKSEP, 2012, hlm 7.
[6]
Ibid.
[7]
Ibid., hlm. 9.
[8]
Ibid.
[9]
Ibid., hlm. 8.
[10]
Wan Hashim Wan The dan Ismail Hamid, “Nilai
Budaya Masyarakat Desa”, Jilid 1, 1998, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka, hlm 2.
[11]
Liang Liji, Hubungan Empayar
Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia, 1996, hlm 46.
[12]
K.R.Hall, MaritimTrade and State
Development In Early South-East Asi, Sydney : George Allen and Unwin, 1985,
hlm 29.
[13]
David E. Sopher, The Sea Nomads: A Study
of Maritime Boat People Sea, National Museum of Singapore, 1968, hlm 47.
[14]
P.Wheatley, The Golden Khersonese,
Kuala Lumpur : Penerbitan University Malaya, 1980 , hlm 308.
[15]
A. Samad Ahmad (ed), Sulalatus Salatin,
Kula Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm 72.
[16]
Corteso A. (ed), The Suma Oriental of
Tome Pires and theBook of Francisoo Rodrigues, The Hakluyt society, 1967,
hlm 269.
[17]
Slamet Muljana, Runtuhnya Kerajaan Hindu
di Jawa dan Timbulnya Negara-negara Islam di Nusantara, Jakarta :
Bharatara, 1968, hlm 144.
[18]
Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun
Bangsa Melayu, hlm 249-251.
[19]
Ibid., hlm, 252.
Bibliografi
1) Abdul Rahman bin Ismail, Abdullah Zakaria bin Ghazali, dan Zulkarnain bin Abdul Rahman, Penemuan Tarikh Baru Pengasasan Empayar Kerajaan Melayu Melaka, Melaka : IKSEP, 2012.
2) Haji Tajuddin Haji Hussein, Malaysia Negara Kita, ed 9, Kuala Lumpur:MDC Publisher Sdn Bhd, 2009.
3) Muhammad Yusof Hashim, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.
4) Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn.Bhd, 2008.
5) David E. Sopher, The Sea Nomads: A Study of Maritime Boat People Sea, National Museum of Singapore, 1968.
6) P.Wheatley, The Golden Khersonese, Kuala Lumpur : Penerbitan Universiti Malaya, 1980.
7) A. Samad Ahmad (ed), Sulalatus Salatin, Kula Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.
8) Corteso A. (ed), The Suma Oriental of Tome Pires and the Book of Francisoo Rodrigues, The Hakluyt society, 1967.
9) Slamet Muljana, Runtuhnya Kerajaan Hindu di Jawa dan Timbulnya Negara-negara Islam di Nusantara, Jakarta : Bharatara, 1968.
10) K.R.Hall, MaritimTrade and State Development In Early South-East Asia, Sydney : George Allen and Unwin, 1985.
11) Wan Hashim Wan The dan Ismail Hamid, “Nilai Budaya Masyarakat Desa”, Jilid 1, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998.
12) Liang Liji, Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15, Bangi: Penerbit Universiti kebangsaan Malaysia, 1996.
13) Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.