Thursday, 12 June 2014

Sejauhmanakah penubuhan Persekutuan 1896 telah membantu pengaliran modal di negeri-negeri Melayu?

Pengenalan
British telah menjalankan sistem ekonomi berasaskan kapitalisme yang memberi ruang kepada pengumpulan kekayaan dan keuntungan yang maksimum oleh individu atau pihak tertentu dengan menguasai emapt kepentingan seperti modal, tanah, buruh dan teknologi. Pengenalan sistem ekonomi kapitalisme di NNM telah membawa perubahan dalam terhadap ekonomi masyarakat Melayu sebelum kedatangan British. Penguasaan British ke atas NNM didesak oleh kepentingan ekonomi. Persaingan antara beberapa Eropah seperti Belanda, Amerika Syarikat, Perancis dan lain-lain untuk mendapatkan kekayaan bijih timah, emas dan sebagainya di Asia Tenggara ini menyebabkan British berasa tergugat seterusnya mendorong untuk campur tangan secara langsung NNM pada tahun 1874.
 Sehubungan dengan itu, pergolakan politik yang berlaku antara pembesar di NNM mewujudkan keadaan yang tidak aman. Selain itu, masalah dan kelemahan yang berlaku dalam sistem Residen turut menyumbang kepada penubuhan Persekutuan 1896.[1] Hal ini kerana tidak ada kesepakatan dalam pentadbiran. Residen memerintah secara bebas dan setiap negeri mempunyai undang-undang yang berbeza. Penubuhan persekutuan NNMB dikuatkuasakan pada 1 Julai 1896 telah mengambungkan negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di bawah satu unit pentadbiran dan dikenali sebagai Persekutuan 1896.[2] Keempat-empat negeri Melayu ini berada di bawah bidang kuasa Residen Jeneral di Kuala Lumpur yang bertanggungjawab kepada Gabenor (Pesuruhjaya Tinggi British di Singapura).[3] Penggabungan negeri dibawah satu pentadbiran yang seragam telah merancakan pengaliran modal dan ekonomi British di Tanah Melayu.

Penubuhan NNMB/ Persekutuan 1896
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) atau Persekutuan 1896 telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Julai 1896  yang mengambungkan Perak, Selangor, Pahang dan negeri Sembilan dibawah satu pemerintahan pusat yang efektif. Frank Swettenham merupakan individu yang bertanggungjawab mengemukakan idea penubuhan persekutuan sejak 1893, iaitu semasa beliau masih lagi menjadi Residen British di Perak. Beliau menghantar satu memorandum mengenai idea persekutuan kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir Cecil Clementi Smith pada 1893. Cadangan tersebut kemudiannya beri kepada Joseph Chamberlain, iaitu Setiausaha Tanah Jajahan dan Gabenor baru C. B. H. Mitchell untuk mempertimbangkan cadangan tersebut.[4] Rancangan Persekutuan telah mendapat persetujuan Chamberlain dan telah dilaksanakan oleh Swettenham yang telah mendapat persetujuan raja-raja Melayu. Sultan Idris di Perak dan raja-raja negeri Melayu telah bersetujuan menerima rancangan ini atas jaminan yang diberikan oleh Swettenham bahawa perjanjian ini akan mengawal kuasa Residen di negeri masing-masing.[5]
Perjanjian atau dokumen yang mengikat Negeri-negeri Melayu di bawah Persekutuan amat ringkas dan ia hanya mempunyai lima artikel, namun begitu perjanjian ini yang menentukan nasib NNMB sehingga 1909. Perjanjian ini dilaksanakan melalui Skim Perkhidmatan Persekutuan yang menggariskan tugas pegawai-pegawai Persekutuan. Skim Persekutuan ini mempunyai 20 perkara dan ia menyentuh kuasa Persuruhjaya Tinggi, Residen Jeneral, Residen, Raja-Raja Melayu, Pegawai Persekutuan, Peguam Negara, Cuti Pegawai Kerajaan, pencen dan hieraki hubungan pegawai Persekutuan dan negeri dengan Residen dan Residen Jeneral.[6] Melalui persekutuan, seorang Residen akan dilantik untuk menguruskan pentadbiran termasuklah hal-hal berkaitan dengan kewangan keempat-empat negeri tersebut. Sultan hanya berkuasa dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu. Kuasa residen tidak lagi bebas seperti sebelumnya kerana tertakluk di bawah Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) hanya berkuasa meluluskan undang-undang yang dipersetujui dan tiada kuasa pembatal undang-undang.[7] Undang-undang akan digubal oleh Penasihat Undang-Undang yang telah dilantik. Keadaan ini menjadikan Residen Jeneral muncul sebagai orang paling berkuasa dalam persekutuan kerana semua hal pentadbiran dijalankan atas arahan beliau. Sultan, Residen dan MMN tidak dapat mengawal kuasa Residen Jeneral kerana mereka semua tertakluk dibawah arahan Residen dalam menjalankan pentadbiran negeri.

Penubuhan Persekutuan 1896 telah membantu pengaliran modal
1. Faedah persekutuan
Di bawah pentadbiran Persekutuan ini, British telah mewujudkan Persidangan Residen NNMB yang dimulakan pada tahun 1986 dan ia bersidang hampir setiap tahun. Persidangan ini dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi, Residen Jeneral, keempat-empat residen, penasihat Pulau Pinang, beberapa ketua jabatan Persekutuan dan beberapa dari ahli MMN. Persidangan ini bertujuan untuk menyelaras pentadbiran dan juga membincangkan isu berkaitan NNMB seperti kesihatan, imigrasi, tanah, lombong dan pengangkutan kereta api. Faedah langsung kaedah ini ialah memungkinkan pentadbir Inggeris dan orang Melayu dari NNM bertemu dan bertukar pendapat. Persidangan Raja-raja Melayu (DURBAR) telah ditubuhkan selepas pembentukan persekutuan. Ia berlangsung di Kuala Kangsar dalam tahun 1897. Persidangan ini merupakan satu persidangan yang penting dan bersejarah kerana pada masa itu empat raja Melayu berjumpa dan bertukar pendapat serta berkongsi masalah.[8] Ini secara tidak langsung membantu dalam pengaliran modal British di Tanah Melayu.
2. Penubuhan Jabatan Persekutuan
Persekutuan telah membuka jalan kepada penubuhan beberapa jabatan persekutuan bagi membolehkan pengagihan kekayaan negeri kaya kepada negeri yang miskin.[9] Antara jabatan persekutuan ini seperti Majistret, Peguam Negara, Ketua Jentera, Ketua Auditor, Ketua Juru Ukur, Ketua Pesuruhjaya Tanah dan Galian, Persuruhanjaya Polis dan Penjara, Inspektor Sekolah serta Inspektor Pos dan Telegraf. Penubuhan Jabatan Persekutuan ini telah membawa kepada penubuhan perkhidmatan awam dan para pegawai kini mempunyai pengangan yang sama bagi memajukan NNMB. Sekiranya pegawai persekutuan hanya bertugas dengan semangat kenegerian, ia menyebabkan mereka hanya bekerja untuk negeri asal mereka sahaja. Keadaan ini dilihat sebagai salah satu faktor NNMB tidak mencapai kemajuan. Oleh sebab itu, pegawai-pegawai Persekutuan ini telah direkrut untuk kesemua NNM dan mereka telah memberi sumbangan untuk memajukan NNM.

3. Kewangan Persekutuan
Penubuhan Persekutuan telah membuka kepada pembahagian perbelanjaan Persekutuan dan negeri. Dalam Perkara 2 Skim Persekutuan telah memperuntukkan bahawa kesemua NNM perlu mengkhaskan keuntungan negeri bagi gaji Residen Jeneral, pegawai-pegawai kategori C dan D dalam perbendaharaan persekutuan. Pendapatan negeri selebihnya untuk keperluan negeri masing-masing.[10] Pembahagian perbelanjaan ini bertujuan membantu kerajaan persekutuan mengetuai rancangan bagi memajukan aktiviti pembangunan seperti jalan raya, jalan kereta api serta kemudahan asas yang lain.
Sehubungan dengan itu, persekutuan mempunyai kewangan yang cukup untuk membantu negeri yang mempunyai kekurangan upaya seperti Pahang dan Negeri Sembilan. Artikel 20 Skim Persekutuan mengandungi peruntukan bahawa Perak perlu memperuntukkan 53% daripada pendapatan untuk perbelanjaan Persekutuan, Selangor 42%, Negeri Sembilan 4% dan Pahang 1%.[11] Peruntukan ini membolehkan Persekutuan membiayai penubuhan jabatan-jabatan Persekutuan seperti Jabatan Pertanian, Hutan, Polis, Kerja Raya dan lain-lain bagi menggerakkan rancangan ekonomi untuk kemajuan NNMB.[12] Dengan adanya kewangan Persekutuan, ia membolehkan kerajaan Persekutuan memberi pinjaman kewangan kepada Kerajaan Siam bagi membina landasan kereta api yang menghubungkan Bangkok dengan Kelantan dibawah Perjanjian Bangkok 1909.

4. Undang-undang Lombong yang SeragamSebelum penubuhan persekutuan setiap negeri mempunyai undang-undang lombong yang tersendiri. Undang-undang lombong yang berasingan ini hanya dinyatakan sebagai pajakan untuk perlombongan dan peraturan berkaitan hak melombong. Misalnya, Perak memperkenalkan undang-undang lombong yang berasingan dikenali Kod Perlombongan 1895. Pada 1899 keempat-empat negeri Melayu mula memiliki satu kod perlombongan yang seragam diperkenalkan secara berasingan di kesemua negeri-negeri Melayu Bersekutu sejak 1899 dan ia memberi sumbangan terutama kepada pelombong bijih timah.
Pengenalan undang-undang lombong diseragamkan supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati bagi pelabur yang mendapat faedah kurang dari negeri-negeri yang mengamalkan dasar perlombongan liberal. Hasrat ini telah dinyatakan dalam Laporan Tahunan Residen Jeneral kepada Pesuruhjaya Tinggi pada tahun 1896. Menurutnya :
One of the objective of the Federation was gives Governor (now appointed High Commissioner for the Malay State) an adviser who would speak in sympathy with the interests and aspirations of the Malay State and those enjoyed in developing them, Whether as officials, planters, mines or traders.[13]
Keseragaman dalam undang-undang ini membawa kepada keperluan diwujudkan suatu dasar yang menyokong kegiatan ekonomi British. Kini berlaku peningkatan kemasukan buruh Cina ke NNMB  dan lebih banyak kawasan perlombongan bijih timah dan ladang getah dibuka. Akibatnya banyak kampung dan bandar berkembang di kawasan-kawasan tersebut. Pemodal Eropah telah memperkenalkan kaedah baru dalam perlombongan bijih timah seperti pam hidrol dan lombonh bawah tanah.

5. Meningkatkan Aktiviti Pertanian British di NNMB
Persekutuan 1896 telah menyeragamkan undang-undang yang berkaitan tanah, lombong dan aspek-aspek lain. Sistem tanah di NNM sebelum pentadbiran British adalah sistem Tanah Tradisi (Malay Customary Tenure), iaitu semua tanah adalah hak milik sultan. Dasar tanah Inggeris mula diperkenalkan pertama kali di daerah Krian, Perak pada 1875. Misalnya, pada 31 Januari 1885, suatu kod Undang-Undang Umum dilaksanakan di Perak di bawah Peraturan Majlis no. 20 yang menyediakan peruntukan untuk pajakan selama 999 tahun bagi tanah pertanian dan disyaratkan sesiapa sahaja yang menduduki tanah selepas tarikh ini dianggap sebagai menyewa di tanah kerajaan dan setiap pemilikan tanah perlu membayar cukai sebanyak 30 sen seekar. Pada 1897 di keempat-empat NNMB diperkenalkan Undang-Undang Tanah Umum yang seragam, iaitu di Perak di bawah peraturan (No. 17), di Selangor (No. 15), Pahang (No. 28) dan Negeri Sembilan (No. 22). Di bawah undang-undang ini semua tanah dibahagikan kepada tiga kelas iaitu tanah bandar, tanah luar bandar sebanyak 100 ekar atau kurang dan tanah luar bandar melebihi 100 ekar. Undang-undang tanah ini telah dipinda pada 1903 di setiap negeri dan pindaan seterusnya pada 1909.
Di bawah persekutuan sektor pertanian mengalami pertumbuhan yang pesat hasil galakan kerajaan. Galakan ini termasuklah pemberian tanah yang liberal dengan pengenalan undang-undang tanah yang khusus. Contohnya, undang-undang tanah pada tahun 1900 menetapkan sewa bagi tanah-tanah pertanian melebihi 10 hektar dikenakan cukai sebanyak 1 dolar setiap tahun. Selain itu, negeri mempunyai kuasa memiliki tanah terbiar milik orang Cina serta menubuhkan tabung pertanian penanaman yang menyediakan jumlah peruntukan jumlah peruntukan besar dengan mudah dan murah. Hal ini jelas menampakan aktiviti ekonomi ini menyumbang kepada pengaliran modal.
Banyak undang-undang menyokong sektor pertanian digubal antaranya ialah dasar tanah dan percukaian yang lebih liberal, penubuhan stesyen-stesyen penyelidikan pertanian dan penubuhan tabung pinjaman penanaman pada 1904. Malah, buku panduan untuk memberi maklumat tentang faedah tanaman getah kepada bakal pengusaha juga diterbitkan. Antaranya ialah Federated Malay State : General Informations for Intending Settlers pada 1900.[14] Kepesatan dalam pengeluaran pertanian membawa kepada penubuhan Jabatan Pertanian pada 1905. Pada masa yang sama pihak British turut menyediakan pengetahuan teknikal dan nasihat kepada pengusaha sektor pertanian. Malah, ladang-ladang yang besar telah dibuka dengan menggunakan kaedah-kaedah saintifik untuk pelbagai tanaman komersial ketika itu. Sehubungan dengan itu, mereka juga membawa masuk ramai buruh India yang murah untuk bekerja di ladang, lombong bijih timah dan kerja-kerja awam.[15] Pada tahun 1897 Kesatuan Peladang telah ditubuhkan.[16] Persatuan ini bertanggungjawab dalam merangsang pengeluaran pertanian ketika itu. Kesatuan Peladang juga memperjuangkan hak pekerja ladang dan membantu pemilik ladang membuat pinjaman untuk mengusahakan pertanian.

6. Kemunculan Institusi Pendidikan
Pengaliran modal asing di NNMB juga disebabkan faktor perkembangan institusi pendidikan seperti institusi pendidikan getah, institusi pendidikan perubatan dan lain-lain. Kesemua institusi ini berperanan menjalankan penyelidikan bagi mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan pengeluaran. Malahan institusi pendidikan perubatan ditubuhkan pada tahun 1971 adalah bertujuan untuk mengawal penyakit dengan melakukan penyelidikan  mengenai penyakit malaria dan beri-beri. Institusi pendidikan getah ditubuhkan pada tahun 1926 untuk memajukan perusahaan getah, manakala pada tahun 1905, British menubuhkan Jabatan Pertanian, Jabatan Hutan, Jabatan Parit dan Tali Air dan Lembaga Pinjaman Pertanian. Hal ini telah menggalakkan kesatuan bagi mempromosikan sektor pertanian dan perlombongan di NNM.

7. Kemajuan Kemudahan Infrastruktur
Kemajuan kemudahan-kemudahan asas seperti telegraf, pos, jalan raya, jalan kereta api, sekolah, hospital dan telekomunikasi mula disediakan dengan lebih pesat setelah penubuhan Persekutuan 1896. Pada awalnya, jalan raya dibina bagi menghubungkan kawasan bijih timah dengan pelabuhan, seterusnya diluaskan pembinaan jalan raya keseluruh semenanjung bagi tujuan mengintergrasikan Tanah Melayu. Fungsi jalan kereta api pada asalnya untuk tujuan menghubungkan kawasan perlombongan dengan pelabuhan. Contohnya, Kuala Lumpur dengan Pelabuhan Kelang,[17] manakala jalan kereta api pertama dibina pada tahun 1885 pula menghubungkan Taiping dengan Port Weld.  Atas inisiatif Swettenham, kereta api Persekutuan telah bermula pada 1898. Menjelang 1903, sudah terdapat landasan kereta api yang terus menyambung Prai dengan Seremban. Sultan Perak bersama-sama pembesar-pembesar Melayu telah menaiki kereta api terus dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Durbar kedua di Kuala Lumpur pada 1903. Sesungguhnya perkembangan kereta api dari 1897 hingga 1909 mengalami kerancakkan selepas penubuhan Persekutuan dan ia telah berjaya menghubungkan bahagian utara dan selatan semenanjung.[18]
Selain itu, kesan kewujudan perkhidmatan kapal stim telah menggalakkan golongan buruh imigran berhijrah ke Tanah Melayu kerana jarak perjalanan yang murah dan cepat menggunakan Terusan Suez. Kemampuan Persekutuan 1896 melaksanakan rancangan-rancangan pembangunan sosial ini adalah bertitik tolak dari Skim Persekutuan. Ia menetapkan bahawa setiap negeri Melayu harus memperuntukan sebahagian pendapatan negeri untuk perbelanjaan Persekutuan. Melalui peruntukan ini pentadbiran Persekutuan dapat menyediakan pelbagai kemudahan asas di NNMB.

Kelemahan Sistem Persekutuan 1896
1) Ketiadaan Pembahagian Kuasa Antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaaan Negeri
Berdasarkan artikel 18 Skim Persekutuan tidak menentukan bidang kuasa dengan jelas antara jabatan-jabatan persekutuan, kuasa residen dan jabatan-jabatan di peringkat negeri. Residen masih mempunyai kuasa mutlak diperingkat negeri dan kuasa residen mengatasi kuasa jabatan persekutuan. Ketua jabatan persekutuan menuntut kecekapan dan tindakan segera dalam sesuatu keputusan. Hal ini kerana sesuatu keputusan yang hendak dibuat perlu melalui jabatan negeri atau residen. Keadaan ini melambatkan pembangunan dan dikatakan membuang masa. Pegawai Persekutuan mendesak supaya kuasa residen ini dihapuskan secara beransur-ansur. Tindakan ini jelas menunjukkan campurtangan pegawai persekutuan dalam bidang kuasa residen.

2) Kuasa Residen Diketepikan
Residen tidak mempunyai kuasa eksekutif dibawah skim persekutuan kerana segala tindakan residen boleh dibatalkan oleh setiausaha persekutuan, residen jeneral dan persuruhjaya tinggi.[19] Apabila pelabur memohon tanah keputusan pemohonan dibuat oleh pegawai persekutuan yang tidak mengetahui tentang hal ehwal tempatan. Beliau bertindak sedemikian kerana alasan residen mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan keatas permohonan tersebut. Keadaan ini menunjukkan pegawai persekutuan lebih berpengaruh dan berkuasa dari residen. Hakikatnya ia bertentangan dengan tugas pegawai persekutuan sebagai penasihat kepada pegawai tempatan berdasarkan skim persekutuan. Menurut sarjana yang mengkaji pembangunan NNMB pada awal abad ke-20 menyatakan bahawa residen dan sultan menjadi individu yang dilupakan dalam proses penguatkuasaan yang berlebihan di Kuala Lumpur.
Sehubungan dengan itu, berlaku situasi apabila ketua jabatan persekutuan melawat pegawai-pegawai rendah diperingkat negeri tetapi tidak mengambil inisiatif menghubungi sultan atau residen atau langsung tidak memaklumkan tentang lawatan tersebut. Sistem persekutuan ini tidak menyediakan satu mekanisme yang jelas dalam usaha untuk membolehkan kerajaan pusat membantu NNMB. Kelemahan ini dikritik oleh pegawai Inggeris di dalam majalah ‘British Malaya’. Masalah ini berterusan apabila banyak keputusan dibuat oleh residen tetapi telah dibatalkan oleh pegawai persekutuan diperingkat pusat.
3) Ketiadaan Perundangan Persekutuan
Ketiadaan perundangan persekutuan untuk meluluskan undang-undang di NNMB membuktikan kelemahan sistem pentadbiran ini. Persekutuan mengekalkan kuasa perundangan diperingkat Majlis Mesyuarat Negeri yang berperanan sebagai badan perundangan dan penasihat.[20] Kebanyakan undang-undang yang melibatkan NNMB digubal oleh Penasihat Undang-undang, kemudiannya dimajukan di setiap Majlis Mesyuarat Negeri untuk kelulusan. Namun peruntukkan ini bertentangan dengan hasrat penubuhan persekutuan yang bersetuju mengadakan sebuah kerajaan pusat untuk menyelaras undang-undang di NNMB.

4) Kuasa Residen Jeneral Mengatasi Kuasa Persuruhjaya Tinggi dan Residen
Persuruhjaya tinggi bertanggungjawab kepada Residen Jeneral. Residen pula berkuasa diperingkat negeri. Dalam perlaksanaan sistem ini terdapat perbezaan dari segi teori dan praktikel apabila kuasa residen jeneral mengatasi persuruhjaya tinggi dan raja-raja Melayu. Residen Jeneral tidak berunding dengan sultan sebelum sesuatu keputusan dibuat. Perkara ini turut ditegaskan oleh seorang pegawai Inggeris di dalam majalah ‘British Malaya’ yang menyatakan bahawa tidak diketahui oleh orang ramai undang-undang telah digubal selepas penubuhan persekutuan tanpa merujuk kepada sultan.
Selepas penubuhan persekutuan kebanyakan perundangan atau bil-bil dirangka di Kuala Lumpur dan dihantar melalui pejabat residen jeneral kepada residen-residen dengan disertakan kertas minit untuk diberi komen. Kertas minit ini dinyatakan untuk diluluskan dalam mesyuarat akan datang di MMN. Dalam banyak kes bil-bil ini tidak dilihat langsung oleh sultan tetap diluluskan sebagai telah diperkenan oleh duli sultan dalam MMN. Kuasa Residen Jeneral ini dapat dilihat dalam kebanyakan kes yang melibatkan pemohonan tanah untuk tujuan pertanian dan perlombongan di NNM. Residen Jeneral mempunyai kuasa pemutus untuk menolak nasihat residen dan persuruhjaya tinggi.

5) Konflik antara Pegawai Diperingkat Negeri dengan Jabatan Persekutuan
Pembahagian kuasa yang tidak jelas antara pentadbir dalam sistem persekutuan ini telah menyebabkan berlakunya konflik antara pegawai diperingkat negeri dengan jabatan persekutuan.[21] Misalnya, Jabatan Tanah dan Galian membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada pegawai daerah merangkap pengutip hasil. Beliau adalah individu yang mengetahui keadaan yang berlaku di lokasi. Masalah menjadi serius apabila terdapat peraturan semua urusan diperingkat jabatan negeri harus melalui residen sebelum dimajukan kepada jabatan persekutuan. Halangan Birokrasi ini melewatkan kelulusan sesuatu pemohonan yang dibuat oleh pelabur. Oleh itu jelas menunjukkan bahawa pembahagian kuasa yang tidak jelas ini telah menyumbang kepada konflik antara pentadbir persekutuan.

Kegagalan Persekutuan dalam Menarik Pelaburan di NNMB
Para pelabur tempatan dan asing tidak akan tertarik untuk melabur di NNMB, jika sering terdapat perubahan dalam undang-undang dan pentadbiran yang tidak memihak kepada mereka. Dalam perlaksanaan persekutuan terdapat pelbagai halangan yang tidak disenangi oleh pelabur. Antaranya adalah seperti Pejabat Tanah Jajahan tidak tahu tentang perkembangan di NNMB, Pejabat Tanah Jajahan membatalkan keputusan yang dibuat oleh Persuruhjaya Tinggi, Residen Jeneral dan Residen. Malahan adakalanya Pejabat Tanah Jajahan memihak kepada para pelabur yang merujuk kes-kes mereka secara peribadi ke Pejabat Tanah Jajahan walaupun dianggao tidak adil.[22] Antara kes-kes yang menunjukkan Persekutuan 1896 tidak membantu dalam pengaliran modal seperti :
A. Halangan Pemberian Tanah kepada Puan Maxwell
Dasar tidak bersimpati Pesuruhjaya Tinggi dan Pejabat Tanah Jajahan terhadap pelabur dapat dilihat dalam kes pemohonan tanah lombong sebanyak 500 ekar di daerah Kinta oleh Puan Maxwell (janda William Edward Maxwell bekas Timbalan Residen Perak) pada 27 Jun 1900 atas pihak anaknya Eric Maxwell. Pemohonan tersebut telah dipertimbangkan oleh pemangku Residen Perak, A. R. Venning. Menurut beliau adalah wajar untuk mempertimbangkan permohonan Puan Maxwell kerana kerajaan pada waktu yang sama telah meluluskan permohonan pemohon lain (pemohon China dan Eropah). Namun apabila ia dirujuk kepada Residen Jeneral, Frank Swettenham pemohonan tersebut telah ditolak tanpa memberi alasan yang konkrit. Kemudian kes ini dirujuk kepada Pejabat Tanah Jajahan, pegawai tetap C. P. Lucas tidak dapat membuat keputusan dan menegaskan ia hal tempatan. Akhirnya beliau menerima keputusanyang dibuat oleh Residen Jeneral. Dalam hal ini jelas menunjukkan keputusan yang dibuat oleh Pejabat Tanah Jajahan adalah berdasarkan suatu andaian dan ia tidak menyokong pelabur yang layak di NNMB.[23]
B. Kes antara Pelabur New Zeland dengan Residen Jeneral
Seorang pelabur New Zeland, Charles Alma Barker ingin memperkenalkan sistem perlombongan kapal korek pada awal abad ke-20. Barker telah membuat pemohonan pada 10 April 1901 untuk dapat konsesi tanah lombong tetapi beliau menghadapi masalah dari residen. Pada awalnya beliau memohon tanah seluas 400 ekar dan ia mendapat kelulusan tetapi pemohonan untuk tambahan 800 ekar tanah lombong tidak diluluskan. Walau bagaimanapun, beliau diminta untuk menunggu lebih dari setahun.[24] Pemohonan untuk 800 ekar tambahan mendapat sokongan daripada residen, pakar geologi, warden lombong dan jurutera negeri. Akhirnya pemohonan ini dibatalkan atas alasan tuntutan tanah tersebut di dalam daerah orang Sakai dan perlu dikembalikan kepada mereka. Barker hampa kerana beliau telah membelanjakan banyak wang untuk memjalankan kerja-kerja pospek dan beliau mengalami kerugian besar. Kes ini menunjukkan Barker telah dipermainkan oleh British dan beliau diminta menunggu untuk jangka masa yang lama.
C. Pemberian Tanah Dihadkan kepada 320 Ekar
Di Selangor pemberian tanah dihadkan 320 ekar (320 acre System) kepada bakal pengusaha pertanian. Peraturan ini ditentang oleh Residen dan Residen Jeneral tetapi Pesuruhjaya Tinggi bertegas mahu meneruskan sistem ini. Apabila dirujuk kepada Pejabat Tanah Jajahan mereka mahu dasar yang menyokong pelabur. Malah, undang-undang yang menghadkan pemberian tanah ini tidak dilaksanakan di NNM lain. Di Perak, tanah yang ditawarkan kepada pengusaha dihadkan kepada 640 ekar.[25] Dengan ini jelas menunjukkan sikap Pesuruhjaya Tinggi ini tidak menguntung atau menarik para pelabur yang berpotensi. Berdasarkan kes ini dapat diperhatikan terdapat ketidakselarasan dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan pelaburan di NNMB.
D. Halangan ke atas pengusaha Chan Seek Peng
Kes ini memperlihatkan halangan yang diadakan oleh Pegawai Daerah Tampin terhadap penghantar ubi kayu dari kilang pengusaha Chan Seek Peng ke Melaka pada Ogos 1900. Alasan beliau Chan Seek Peng perlu membayar yuran perubatan kepada kerajaan negeri dan menyatakan bahawa Melaka bukan dalam wilayah negeri Sembilan. Daripada pemeriksaan mendapati Seek Peng telah membayar yuran perubatan dan tindakan Pegawai Daerah yang menahan ubi kayu telah membawa kerugian kepada beliau. Malahan Seek Peng terpaksa menggunakan pendapatannya sendiri untuk menyelesaikan gaji pekerja. Apabila isu ini dibawa kepada Residen, Residen Jeneral dan Pesuruhjaya Tinggi mereka bersetuju bahawa pegawai daerah telah bertindak tanpa usul periksa dan tindakan beliau tidak menguntungkan pelabur.

E. Halangan ke atas Syarikat Raub (Raub Company)
Tindakan kurang bijak Residen telah meletakkan pelabur dalam keadaan yang merugikan. Misalnya dalam kes Residen Pahang mengambil tanah milik Syarikat Raub dengan alasan Raub mengalami pertambahan penduduk dan ia memerlukan tanah untuk memajukan kawasan perbandaran baru. Residen Jeneral meminta Residen memberi penjelasan atas perkara tersebut. Penjelasan Residen ialah beliau bertindak berasaskan arkitel 3 perjanjian pemberian tanah yang peruntukkan kepada residen untuk mengambil tanah pada bila-bila masa diperlukan oleh kerajaan. Namun dalam kes ini adalah perlu untuk residen bertimbang rasa terhadap para pelabur. Sesungguhnya dasar residen ini tidak memihak kepada pelabur.[26] Oleh itu, jelas membuktikan persekutuan gagal untuk mencipta suasana yang idea bagi pengaliran kapital ke NNMB.


Kesimpulan
Pembentukkan NNMB telah menggalakkan pengaliran modal dengan adanya pelbagai kemajuan dan kemudahan asas sehingga membawa kepada perkembangan social seperti kewujudan pos, telegraf, jalan raya, hospital dan lain-lain di NNMB. Kemampuan Persekutuan mengimbangi pengaliran modal di NNM telah berjaya membantu negeri-negeri yang miskin bagi mengecapi kemajuan seiring dengan perkembangan pembangunan. Penubuhan jabatan-jabatan Persekutuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri-negeri Melayu dan keseragaman pentadbiran untuk menarik para pelabur menjadi pertimbangan utama bagi mengadakan rancangan Persekutuan. Walau bagaimanapun, kelemahan yang terdapat dalam sistem pentadbiran ini seperti pembahagian kuasa yang tidak jelas antara petadbir, halangan dan konflik pentadbir kepada pelabur serta perlaksanaan pentadbiran tidak seperti yang termaktub dalam Skim Persekutuan ini sememangnya menjadi penghalang kepada pengaliran modal di NNMB.




[1] Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu (1400-1959), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, hlm. 308.
[2] Ibid.
[3] Lotfi Ismail, Sejarah Malaysia 1400-1963, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distibutiors, 1975, hlm. 177.
[4] H. S. Barlow, Swettenham, Kuala Lumpur: Southdene Sdn. Bhd.,1995, hlm. 458.
[5] Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Persekutuan 1896 : Antara Impian dan Kenyataan,’ Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Jil. 10, 2002, hlm. 54.
[6] Sivachandralingam Sundara Raja, The Federation Scheme of 1895 as an Obstacle to Capital Penetration in Federated Malay State, International Association of Historians of Asia Conference, 17th : 18-22 December 2002: Dhaka, Bangladesh, 2002, hlm. 1.
[7] Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu (1400-1959), hlm. 310.
[8] Ibid.
[9] Ibid.
[10] Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Persekutuan 1896 : Antara Impian dan Kenyataan,’ Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Jil. 10, 2002, hlm.58.
[11] Ibid.
[12] Ibid.
[13] Ibid., hlm.57.
[14] Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Persekutuan 1896 : Antara Impian dan Kenyataan,’ hlm.60.
[15] Hasrom Haron, Sejarah Tanah Melayu 1400-1965, Kuala Lumpur: Penerbit Preston-Times Sdn. Bhd., 1975, hlm. 171.
[16] Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Persekutuan 1896 : Antara Impian dan Kenyataan,’ hlm.61.
[17] Lotfi Ismail, Sejarah Malaysia 1400-1963, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distibutiors, 1975, hlm. 168.
[18] Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Persekutuan 1896 : Antara Impian dan Kenyataan,’ hlm.52.
[19] Hasrom Haron, Sejarah Tanah Melayu 1400-1965,  hlm. 172.
[20] Hasrom Haron, Sejarah Tanah Melayu 1400-1965, hlm. 171.
[21] Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Persekutuan 1896 : Antara Impian dan Kenyataan,’ hlm. 64.
[22] Sivachandralingam Sundara Raja, “Konflik Pentadbir dan Pelabur Melayu Bersekutu 1896-1909”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Kebangsaan Sosio-ekonomi dan IT Ke-2, 11-12 Ogos 2004, Anjuran Pusat Penyelidikan dan Perundingan Universiti Utara Malaysia, 2004, hlm. 4.
[23] Sivachandralingam Sundara Raja, “Konflik Pentadbir dan Pelabur Melayu Bersekutu 1896-1909”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Kebangsaan Sosio-ekonomi dan IT Ke-2, 11-12 Ogos 2004, Anjuran Pusat Penyelidikan dan Perundingan Universiti Utara Malaysia, 2004, hlm. 4-5.
[24] Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Charles Alma Baker : Penglibatan dalam Perluasaan Ekonomi Tanah Melayu dan Konflik dengan Pentadbir British,’ Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Jil. 15, 2007, hlm. 34-38.
[25] Sivachandralingam Sundara Raja, “Konflik Pentadbir dan Pelabur Melayu Bersekutu 1896-1909”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Kebangsaan Sosio-ekonomi dan IT Ke-2, 11-12 Ogos 2004, Anjuran Pusat Penyelidikan dan Perundingan Universiti Utara Malaysia, 2004, hlm. 5.
[26] Sivachandralingam Sundara Raja, “Konflik Pentadbir dan Pelabur Melayu Bersekutu 1896-1909”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Kebangsaan Sosio-ekonomi dan IT Ke-2, 11-12 Ogos 2004, Anjuran Pusat Penyelidikan dan Perundingan Universiti Utara Malaysia, 2004, hlm. 6.

SENARAI RUJUKAN
1.      Hasrom Haron, Sejarah Tanah Melayu 1400-1965, Kuala Lumpur: Penerbit Preston-Times Sdn. Bhd., 1975.
2.      H. S. Barlow, Swettenham, Kuala Lumpur: Southdene Sdn. Bhd.,1995.
3.      Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu (1400-1959), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.
4.      Lotfi Ismail, Sejarah Malaysia 1400-1963, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distibutiors, 1975.
5.      Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Charles Alma Baker : Penglibatan dalam Perluasaan Ekonomi Tanah Melayu dan Konflik dengan Pentadbir British,’ Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Jil. 15, 2007.
6.      Sivachandralingam Sundara Raja, ‘Persekutuan 1896 : Antara Impian dan Kenyataan,’ Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Jil. 10, 2002.
7.      Sivachandralingam Sundara Raja, The Federation Scheme of 1895 as an Obstacle to Capital Penetration in Federated Malay State, International Association of Historians of Asia Conference, 17th : 18-22 December 2002 :Dhaka, Bangladesh, 2002.
8.      Sivachandralingam Sundara Raja, “Konflik Pentadbir dan Pelabur Melayu Bersekutu 1896-1909”, Kertas Kerja Dibentangkan Dalam Seminar Kebangsaan Sosio-ekonomi dan IT Ke-2, 11-12 Ogos 2004, Anjuran Pusat Penyelidikan dan Perundingan Universiti Utara Malaysia, 2004.

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Adakah Anda Memerlukan kewangan pinjaman segera?
    * Pemindahan Sangat cepat dan cepat ke akaun bank anda
    * Bayaran balik bermula lapan bulan selepas anda mendapatkan wang
    akaun bank
    * Kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
    * Pembayaran balik jangka panjang (1-30 tahun) Panjang
    * Syarat-syarat pinjaman adalah bayaran fleksibel dan bulanan
    *. Berapa lama masa yang diambil untuk membiayai? Selepas mengemukakan permohonan pinjaman
    Kami menawarkan balasan awal kurang dari 24 jam
    pembiayaan dalam 72-96 jam selepas menerima maklumat yang mereka perlukan
    dari awak.

    Hubungi syarikat amanah berlesen yang dibenarkan dan dibenarkan
    bahawa bantuan kewangan kepada negara-negara lain.
    Untuk maklumat lanjut Soalan dan borang permohonan pinjaman Hubungi kami melalui

    e-mail: matildablakeloanfirm@gmail.com
    Dr Matilda Blake
    Pemilik dan Pengasas
    Matilda Blake Firma Pinjaman

    ReplyDelete
  4. Adakah Anda Memerlukan kewangan pinjaman segera?
    * Pemindahan Sangat cepat dan cepat ke akaun bank anda
    * Bayaran balik bermula lapan bulan selepas anda mendapatkan wang
    akaun bank
    * Kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
    * Pembayaran balik jangka panjang (1-30 tahun) Panjang
    * Syarat-syarat pinjaman adalah bayaran fleksibel dan bulanan
    *. Berapa lama masa yang diambil untuk membiayai? Selepas mengemukakan permohonan pinjaman
    Kami menawarkan balasan awal kurang dari 24 jam
    pembiayaan dalam 72-96 jam selepas menerima maklumat yang mereka perlukan
    dari awak.

    Hubungi syarikat amanah berlesen yang dibenarkan dan dibenarkan
    bahawa bantuan kewangan kepada negara-negara lain.
    Untuk maklumat lanjut Soalan dan borang permohonan pinjaman Hubungi kami melalui

    e-mail: matildablakeloanfirm@gmail.com
    Dr Matilda Blake
    Pemilik dan Pengasas
    Matilda Blake Firma Pinjaman

    ReplyDelete

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...