Thursday, 12 June 2014

Sejauhmanakah penglibatan British di Tanah Melayu di negeri-negeri Melayu 1824-1867 bermotifkan ekonomi?

PENGENALAN
Keadaan di Negeri-negeri Melayu pada abad ke- 19 dalam lingkungan konteks kebudayaan Melayu, menunjukkan amalan tradisi telah berubah sedikit sebanyak dalam mempengaruhi institusi politik. Pada awalnya British mengamalkan dasar tidak campur tangan, namun perkara tersebut mulai berubah apabila terdapat beberapa peristiwa iaitu penglibatan British dalam hal ehwal negeri Melayu. Namun penglibatan tersebut dianggap sebagai campur tangan secara tidak langsung dan tidak mempunyai tujuan penjajahan. Oleh yang demikian, daripada beberapa faktor, British telah mengubah polisinya terhadap negeri-negeri Melayu daripada dasar tidak campur tangan kepada dasar campur tangan. Dasar campur tangan ini telah memperlihatkan penglibatan British sendiri dan beberapa faktor yang mendorong mereka untuk terus berkuasa di negeri melayu.
Kedudukan di negeri-negeri Melayu yang strategik iaitu di tengah-tengah laluan perdagangan antara Timur dan Barat telah menjadi faktor terpenting bagi campur tangan dan penguasaan British ke atas negeri-negeri Melayu. Malah, pergolakan politik dan keadaan hura-hara yang berlaku di dalam negeri-negeri melayu itu sendiri juga turut menyumbang kepada campur tangan Inggeris. Terdapat beberapa faktor yang mendorong campur tangan pihak British di dalam pemerintahan negeri-negeri di Tanah Melayu pada pertengahan abad ke 19.[1] Namun, faktor yang paling penting adalah berkaitan dengan faktor ekonomi. Hal ini adalah kerana kekayaan hasil bumi semulajadi di Negeri-Negeri Melayu serta kedudukannya yang strategik sebagai pusat perdagangan telah menarik perhatian British. Negeri-negeri Melayu begitu kaya dengan sumber-sumber semula jadi seperti bijih timah, emas, arang batu dan bijih besi. Disebabkan oleh hal itu, pihak British ingin menguasai negeri-negeri Melayu ini sebelum ianya dikuasai oleh orang lain.[2] Jelaslah faktor ekonomi yang mendorong British untuk terus bertapak di negeri-negeri Melayu.

1)      PENGLIBATAN BRITISH
Ahli-ahli sejarah seperti Khoo Kay Kim, menegaskan tujuan ekonomi adalah faktor yang terpenting di mana menyebabkan British mulai campur tangan di Negeri-negeri Melayu iaitu dalam mendapatkan keperluan bahan mentah dan juga pasaran baru. Hal ini bertitik tolak oleh perkembangan Revolusi Perusahaan, British memerlukan tanah jajahan untuk mendapatkan bahan serta pasaran barang-barang industri mereka. Misalnya perkembangan industri mengetin terutamanya selepas terciptanya teknologi mengetin oleh Peter Durar & Nicholas Appot pada tahun 1810 telah menyebabkan permintaan terhadap bijih timah meningkat. Negeri-negeri Melayu terutamanya di Perak, Selangor dan Sungai Ujong sememangnya diketahui oleh British iaitu kaya dengan bijih timah. British menganggap penguasaan ke atas negeri-negeri tersebut akan menguntungkan British kerana mereka akan mendapat bijih timah dari negeri-negeri berkenaan.
Campur tangan British kerana faktor ekonomi terbukti kerana British telah memulakan dasar campur tangan di negeri-negeri yang telah disebutkan. Malah syarikat Ker Rawson & Co dikatakan mempunyai urusan yang langung dengan negeri-negeri pengeluar bijih timah tetapi besar kemungkinannya syarikat ini merupakan salah sebuah pusat agensi utama dan melalui agensi inilah bijih timah negeri-negeri selat dieksport ke negara China dan India. Pada tahun 1836, syarikat Ker Rawson & Co telah membeli 158 ketul bijih timah daripada sebuah syarikat Cina di Pulau Pinang dan pembelian ini menjadi bukti bahawa syarikat tersebut beminat terhadap perdagangan bijih timah.[3] Selain itu, pada tahun 1850-an, Raja Jumaat telah digesa supaya membuat peraturan-peraturan baru dan pada ketika itu, beliau telah meminta nasihat Kolonel Macpherson.[4]
Semua pengeluar terpaksa menjual bijih timah pada kada $30 sebahara. Hal tersebut telah menyebabkan saudagar-saudagar Negeri-negeri Selat lebih suka berdagang secara langsung dengan pelombong-pelombong dan oleh sebab mereka mempunyai pengaruh dalam kalangan raja-raja serta pembesar-pembesar Melayu, maka amalan tradisi itu akhirnya dipinda. Selain itu, pedagang dan pelabur British juga telah mula mendesak kerajaan British segera campur tangan di Negeri-negeri Melayu untuk menamatkan huru-hara yang menyebabkan kegiatan perdagangan mereka terjejas. Penglibatan British turut terlihat apabila berlakunya kekacauan di Perak. Sekitar tahun 1848, Long Jaafar telah membawa masuk orang Cina secara besar-besaran bagi mengusahakan lombong bijih timah dan hasilnya meningkat berkali ganda.[5] Malangnya orang Cina yang datang itu telah terlibat dengan kumpulan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin yang telah menimbulkan hura hara di Perak sehinggalah berlaku Perang Larut.[6] Perang Larut yang pertama telah berlaku pada tahun 1861 apabila puak Hai San menyekat laluan air ke lombong puak Ghee Hin yang kaya dengan bijih timah.
Selepas serangan tersebut, puak Hai San sekali lagi telah menyerang puak Ghee Hin pada waktu malam sehingga memaksa puak Ghee Hin berundur ke Permatang di pinggir laut. Pada ketika itu, kira-kira seramai 1000 puak Ghee Hin pergi ke Pulau Pinang dan ketua puak Ghee Hin telah meminta bantuan British untuk menyiasat perkara tersebut. Manakala Gabenor British telah meminta Sultan Perak menyiasat dan juga membayar ganti rugi kepada puak Ghee Hin yang berjumlah 17, 500 dolar namun Sultan tidak dapat membayarnya. Maka, Sultan Perak telah menghantar Laksamana Muhammad Amin untuk berunding dengan Ngah Ibrahim mengenai masalah tersebut. Jumlah yang sebegitu besar ini tidak mampu dibayar oleh Sultan dan Ngah Ibrahim telah bertindak membayarnya.[7] Campur tangan yang seterusnya pada1860, apabila syarikat Paterson, Simons & Co telah bertapak di Pahang di samping memberikan pinjaman modal untuk mengerjakan lombong-lombong di Pahang. Perjanjian telah termeterai di antara William Peterson dengan Tun Koris dalam bulan November tahun 1861.[8]
Selain itu, penglibatan British turut dipamerkan melalui penglibatan mereka terhadap peristiwa di Naning. Lewis dan juga Gabenor Fullerton berpendapat bahawa penduduk Naning perlu membayar satu per sepuluh daripada hasil mereka kepada pentadbiran Melaka.[9] Di samping itu, pihak Inggeris menegaskan bahawa undang-undang Negeri-negeri Selat hendaklah juga dijalankan di Naning. Mereka juga bercadang untuk melantik pembesar-pembesar Naning sebagai pengutip cukai atau membayar pencen mereka melalui pampasan. Cadangan-cadangan tersebut ditentang oleh Dol Said iaitu Penghulu Naning. Perang Naning metetus apabila British menghantar sebuah pasukan tentera untuk memaksa Dol Said menerima cadangan-cadangan British. Malah British pada ketika itu turut memenangi Perang Naning yang melibatkan bala tentera antara 1200-1400 orang dan perbelanjaan perang ini ialah sebanyak 100, 000 pound sterling.[10] Pada Januari 1832, Gabenor Ibbetson menemui Raja Ali, Syed Saban, dan ketua-ketua kecil di Sungai Linggi dan suatu perjanjian dimeterai di mana Rembau dan Syarikat Hindia Timur Inggeris tidak akan isytiharkan perang sesama mereka dan British mengiktiraf kemerdekaan Rembau. Manakala Dol Said akhirnya menyerah diri pada tahun 1834 dan beliau diberikan pencen, sebuah rumah dan dusun buah-buahan.

2)      KEPENTINGAN PELABURAN BRITISH
Walaupun sebelum 1824, British mengamalkan polisi tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu, tetapi sudah terdapat ramai pedagang British yang telah terlibat dalam kegiatan ekonomi di Negeri-negeri Melayu. Kebanyakan daripada mereka melabur secara langsung dalam lombong bijih timah di Larut, Kelang, Kuala Lumpur, Sungai Ujong, Kuantan dan yang lain. Di samping itu, terdapat beberapa syarikat British yang telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk mendapatkan pajakan perlombongan di negeri-negeri Melayu. Misalnya, Syarikat Patterson & Simons pada tahun 1861 telah mengeluarkan sebanyak 33 ribu ringgit untuk mendapatkan konsesi perdagangan di Kuantan dan Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong telah membayar kepada Dato’ Kelana sebanyak $30 Ribu untuk mendapatkan pajakan perlombongan di Sungai Ujong. Sementara itu, W. Mansfield & Rakan-rakan mempunyai kepentingan terhadap perkapalan di Singapura khususnya untuk mengangkut bijih timah ke Eropah. Selain itu, pada tahun 1835-1836 bijih timah merupakan barangan yang paling bernilai bagi Singapura dari segi perdagangan selain daripada barangan Eropah dan India. Pada 1835-1837, Singapura mengimport 4,616 pikul bijih timah secara langsung dari negeri-negeri Melayu pantai barat.[11]

3)      KEBIMBANGAN TERHADAP KUASA ASING YANG LAIN
Menurut ahli-ahli sejarah seperti C.D. Cowan dan K.G. Tregonning, Hanny Miller, Emily, Kennedy dan Gullick telah menegaskan bahawa kebimbangan terhadap bertapaknya kuasa-kuasa asing di negeri-negeri Melayu menjadi faktor yang mempercepat campur tangan British. Pada tahun 1824, British mula menguasai Melaka ekoran Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang memecahkan kepulauan Melayu kepada kawasan taklukan British dan Belanda.[12]Kemudiannya pada 1826, British menguasai Pulau Pinang, Melaka, Singapura dan Labuan untuk dijadikan wilayah jajahan mahkota Negeri-Negeri Selat. Malah fasa yang lebih penting dalam perdagangan semenanjung bermula apabila Singapura dijadikan sebagai pusat urusniaga dan pengunduran orang Belanda dari Melaka.[13] Sehingga pada awal abad setengah abad ke-19 lagi, Singapura menduduki tempat kelima dari segi kepentingan perdagangan, setelah negeri China, India (terutamanya dari Calcutta, Madras, Bombay dan Ujung Salang), Great Britian dan Pulau Jawa.[14] Dalam tempoh selepas tahun 1855, persaingan perdagangan semakin bertambah di antara syarikat-syarikat British dengan Jerman. Akibatnya, ‘perbuatan mengaut untung dengan cepat telah berubah kepada kerja keras dengan hasil yang sederhana. Menurut pendapat umum, kerajaan Negeri-negeri Selat telah terpaksa mencari kawasan-kawasan baru. Gabenornya pada masa itu telah menyatakan "semakin hari sumber-sumber di negeri-negeri jiran semakin perlu untuk dimajukan bagi dan dengan demikian akan meningkatkan usaha dagang. Meskipun perhubungan kita dengan kebanyakan negeri di kawasan pedalaman ini tidak meluas, namun nilai eksport pada tahun lepas adalah sebanyak Rs. 4, 961, 717 dan import kita dari daerah yang sama ialah Rs. 4, 245, 294 atau pun pada keseluruhannya hampir satu juta sterling, maka perdagangan ini nyatalah dapat dipertingkatkan lagi. Dalam tahun-tahun 1860-an industri membuat kepingan tin berkembang dengan pesat di Britain. Perkembangan tersebut telah menimbulkan keperluan yang mendesak terhadap bijih timah".[15]

4)      KESELAMATAN NEGERI-NEGERI SELAT
Timbulnya perasaan tidak puas hati bagi para penduduk dan saudagar tempatan yang mahukan pentadbiran Inggeris di India dipindahkan terus kepada Kerajaan Inggeris di London. Hal ini adalah beberapa sebab antaranya ialah pentadbir Inggeris yang berpusat di India tidak mempunyai pengalaman, mengenakan cukai pelabuhan, mengambil masa yang lama untuk menjalankan dasar atau melaksanakan sebarang tindakan dan pelbagai sebab lain.[16] Misalnya mengenai sistem kehakiman yang tidak pernah cukup dengan pegawai-pegawai pada 1824-1867, namun kerajaan India tidak menitikberatkan kesukaran ini. Malah satu bantahan kecil berkaitan dengan sistem kehakiman itu ialah pembuangan orang salah dari India ke Negeri-negeri Selat.
Di samping itu, turut membiarkan kongsi-kongsi gelap Cina dengan mengancam keamanan di Singapura dan di Pulau Pinang serta tidak mempedulikan langsung kegiatan-kegiatan mereka. Selain itu, pada 1860-an  berlakunya kekacauan di negeri-negeri Melayu akibat daripada perebutan takhta, pergaduhan pembesar, pergaduhan pelombong-pelombong dan sebagainya. Antara kekacauan tersebut ialah Perang Kelang pada 1867, Perang Larut (1861), Perang Saudara Pahang (1857-1863). Di negeri-negeri Melayu, kongsi gelap mula-mula muncul di pusat-pusat perlombongan di Sungai Ujong, Lukut dan Linggi dalam tahun-tahun 1820-an. Disebabkan kekacauan yang berlaku di negeri-negeri Melayu ini, terutamanya pelombong Cina telah menjejaskan Negeri-negeri Selat kerana kekacauan-kekacauan tersebut berlarutan ke Negeri-negeri Selat. Misalnya pertelingkahan yang berlaku di Negeri Sembilan ekoran pembesar-pembesar Melayu yang cuba mengenakan cukai ke atas bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Ujong.[17]
Peperangan yang berlaku di antara dua orang pembesar iaitu Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar adalah disebabkan punca perbalahan antara mereka ialah ke atas hak memungut cukai di kawasan perlombongan bijih timah.[18] Kedua-dua pembesar tersebut telah mendirikan rumah tol untuk memungut cukai di sepanjang Sungai Linggi. Tindakan mereka telah menyebabkan saudagar-saudagar yang membawa bijih timah dari Sungai Linggi ke Melaka terpaksa membayar cukai terhadap setiap umah tol. Melalui permusuhan di antara Dato’ Kelana dan juga Dato’ Bandar telah membawa kepada perlombongan terhadap bijih timah terhenti dan perdagangan Negeri-negeri Selat dengan Sungai Ujong terancam. Malah, kedudukan Dato’ Kelana dilihat terancam oleh Dato’ Bandar yang lebih berpengaruh di Sungai Ujong.[19] Oleh disebabkan itu, Dato’ Kelana telah meminta bantuan Inggeris untuk mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong.
Kennedy pada bukunya ‘History of Malaya’ telah menegaskan faktor keselamatan Negeri-negeri Selat yang terjejas akibat kekacauan yang berlaku di negeri-negeri Melayu menjadi faktor paling penting menyebabkan British campur tangan di negeri-negeri Melayu. Malah pendapat ini turut disokong oleh C.D. Cowan dalam bukunya ‘Nineteen Century Malaya’. Pada tahun 1859 merupakan tahun yang penuh dengan rusuhan di Pulau Pinang. Pada akhir bulan Februari tahun yang sama, berlakulah pergaduhan yang besar di antara Ghee Hin dan Toa Peh Kong di Jelutong, lebih kurang tiga kilometer di sebelah selatan bandar. Malah untuk beberapa hari, kebanyakan kedai ditutup. Malah untuk beberapa hari, kebanyakan kedai ditutup. Konflik ini dilihat berpunca daripada “pertengkaran mengenai seorang wanita” namun kesan pengaruh persatuan-persatuan ini begitu mendalam sehingga seluruh masyarakat terlibat dengan pergaduhan-pergaduhan mereka.[20]

5)      PERUBAHAN PEGAWAI
Pada 1826, Syarikat Hindia Timur Inggeris telah bertindak menyatukan ketiga-tiga buah negeri tersebut di dalam satu pentadbiran dan menamakan sebagai Negeri-negeri Selat. Negeri-negeri tersebut ditadbir di bawah sebuah kerajaan pusat yang berpengkalan di Calcutta, India.[21] Pada awalnya, Pulau Pinang telah dijadikan sebagai ibu negeri bagi Negeri-negeri Selat itu, tetapi kemudiaannya pada tahun 1832 ianya telah dipindahkan ke Singapura kerana pihak Inggeris berpendapat bahawa pelabuhannya lebih besar serta maju dan kedudukannya juga lebih strategik.[22]Selepas tahun 1833, monopoli perdagangan  China bagi kompeni mulai hilang, dan sikap tidak berminat terhadap Negeri-negeri Selat itu diutarakan oleh pegawai kerja yang bersikap acuh tidak acuh. Walaupun sementara itu Singapura menunjukkan perkembangan yang amat luar biasa sekali, namun ketiga-tiga Negeri Selat itu menyalahkan India kerana menggalakkan kemerosotan perkembangan negeri-negeri tersebut keseluruhannya. Hal ini turut ditambah dengan penyataan Kompeni bahawa tidak ada lagi sebab politik atau ekonomi yang mengikatkan kerajaan dengan jajahannya. Singapura atau pun Pulau Pinang atau Melaka tidak mendatangkan faedah kepada Kompeni dan ketiga-tiganya tidak mempunyai kepentingan perdagangan selepas tahun 1833.[23]
Menjelang 1851, Negeri-negeri Selat telah berasa agak kecewa dan telah berputus asa akan bantuan yang membina dari Kompeni. Sikap mereka tertumpu di India dan tidak begitu mengindahkan kehendak Negeri-negeri Selat itu. Kompeni tidak mengindahkan kumpulan perniagaan yang meminta supaya menubuhkan sebuah majlis Undang-undang. Menolak permintaan mereka bererti yang pihak berkuasa tidak mempedulikan sumber penghidupan negeri-negeri tersebut. Sejak 1826, Kompeni telah membuat beberapa cubaan untuk mengenakan cukai pelabuhan di Singapura, tetapi suatu langkah yang tidak adil dalam tahun 1855 tidak lagi dapat dipikul. Menjelang 1855, dalam usaha Kompeni itu untuk menambahkan hasil, ia telah bercadang untuk mengenakan cukai pelabuhan bagi maksud menolong membayar harga rumah api-api, jeti dan lain-lain kemudahan pelabuhan di Singapura.[24] Mereka langsung tidak tahu yang asas kemakmuran Singapura ialah kerana taraf pelabuhan yang bebas. Akhirnya Syarikat Hindia Timur Inggeris dimansuhkan dan semua hak kompeni di India dikawal secara langsung oleh kerajaan British di London pada 1 April 1867.[25] Sebuah badan undang-undang juga turut ditubuhkan dalam tahun 1867, badan ini terdiri hampir-hampir daripada pegawai yang duduk di dalam Majlis Jawatankuasa Tertinggi dan enam ahli tidak rasmi yang seorang darinya ialah China.[26]

KESIMPULAN
Perluasan yang berlaku di Negeri-negeri Melayu ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi dasar ekonomi di negeri melayu. Hal ini adalah disebabkan untuk menjaga kedudukan british dan juga menjaga kepentingan ekonomi mereka. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui penglibatan British di tanah-tanah melayu. Sekali gus memperlihatkan tindak tanduk mereka dalam menguasai ekonomi tanah melayu lantaran beberapa masalah yang dihadapi di tanah melayu pada ketika itu. Selain itu, British juga turut menjaga kedudukan mereka dengan mempertahankan dan melindungi hak-hak pelaburan British untuk mereka terus kekal di tanah melayu. Perkara ini sedikit sebanyak telah membawa kepada penguasaan para pelabur luar dalam menggerakkan ekonomi yang berbentuk bijih timah.
Malah, tidak dapat dinafikan bahawa kepesatan dan peningkatan ekonomi yang berlaku di Negeri-negeri Melayu pada awal abad ke- 19 mempunyai hubungan dan kaitan yang rapat dengan perkembangan perdagangan di negeri-negeri Selat. Negeri-negeri Selat yang dibentuk pada 1826 yang merangkumi Melaka, Pulau Pinang dan Singapura dilihat telah berjaya menarik minat, terutamanya pemodal Eropah dan orang Cina untuk terus membangunkan kepesatan perdagangan di situ. Maka jelaslah British yang pada awalnya tidak campur tangan di tanah Melayu, telah bertindak dengan campur tangan di tanah melayu sedikit sebanyak dan pada akhirnya telah membawa keuntungan kepada mereka.





[1] Suhaiza binti Ibrahim, Malaysia Negara Kita, Kuala Lumpur, MDC Publishers Sdn Bhd, 2007, hlm 188.
[2] Suhaiza binti Ibrahim, Malaysia Negara Kita, hlm 188.
[3] Khoo Kay Kim, Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873 : Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu, Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1984, hlm 86.
[4] Khoo Kay Kim, Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873 : Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu, hlm 80.
[5] Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu (1400 – 1959), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, hlm 152-153.
[6] Hussein Ahmad, Sejarah Tanah Melayu 1400 – 1963, Kuala Lumpur, Pustaka Aman Press, 1964, hlm 158-159.
[7] Hussein Ahmad, Sejarah Tanah Melayu 1400 – 1963, hlm 164.
[8] Khoo Kay Kim, Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873 : Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu, Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1984, hlm 98.
[9] Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Perdagangan Bebas, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, 2005, hlm 136.
[10] C. M. Turnbull, The Straits Settlements 1826-1867, Oxford University Press, Western Printing Services Ltd, 1972, hlm 270.

[11] Khoo Kay Kim, Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873 : Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu, hlm 62.
[12] Hussein Ahmad, Sejarah Tanah Melayu 1400 – 1963, Kuala Lumpur, Pustaka Aman Press, 1964, hlm 142.
[13] Hussein Ahmad, Sejarah Tanah Melayu 1400 – 1963, hlm 142-143.
[14] Wong Lin Ken, The Trade Of Singapore 1819-1869, Selangor, Academe Art & Printing Services Sdn. Bhd, 2003, hlm 163.

[15] Khoo Kay Kim, Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873 : Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu, hlm 84.
[16] Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu (1400 – 1959), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, hlm 125.

[17] C. Mary Turbull, A Short History of Malaysia, Singapore and Brunei, Hong Kong, Graham Brash Singapore, 1981, hlm 125-127.
[18] Mohammad Redzuan Othman, Jendela Masa, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, 2001, hlm 176.
[19] Mohammad Redzuan Othman, Jendela Masa, hlm 176-177.
[20] Khoo Kay Kim, Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873 : Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu, Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1984, hlm 128.
[21] C. Mary Turbull, A Short History of Malaysia, Singapore and Brunei, Hong Kong, Graham Brash Singapore, 1981, hlm 102.
[22] Suhaiza binti Ibrahim, Malaysia Negara Kita, Kuala Lumpur, MDC Publishers Sdn Bhd, 2007, hlm 191-192.
[23] C.D Cowan, Tanah Melayu Kurun Kesembilan Belas : Asal Usul Penguasaan Politik British, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970, hlm 26-27.
[24] C.D Cowan, Tanah Melayu Kurun Kesembilan Belas : Asal Usul Penguasaan Politik British, hlm 34-35.
[25] Ibid, Hlm 35.
[26] Suhaiza binti Ibrahim, Malaysia Negara Kita, Kuala Lumpur, MDC Publishers Sdn Bhd, 2007, hlm 192.

RUJUKAN
Suhaiza binti Ibrahim, Malaysia Negara Kita, Kuala Lumpur, MDC Publishers Sdn Bhd, 2007.
C. Mary Turbull, A Short History of Malaysia, Singapore and Brunei, Hong Kong, Graham Brash Singapore, 1981.
C. M. Turnbull, The Straits Settlements 1826-1867, Oxford University Press, Western Printing Services Ltd, 1972.
Wong Lin Ken, The Trade Of Singapore 1819-1869, Selangor, Academe Art & Printing Services Sdn. Bhd, 2003.
Khoo Kay Kim, Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873 : Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu, Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1984.
Mohammad Redzuan Othman, Jendela Masa, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, 2001.
C.D Cowan, Tanah Melayu Kurun Kesembilan Belas : Asal Usul Penguasaan Politik British, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970.
Hussein Ahmad, Sejarah Tanah Melayu 1400 – 1963, Kuala Lumpur, Pustaka Aman Press, 1964.
Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu (1400 – 1959), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.
Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Perdagangan Bebas, Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, 2005.

No comments:

Post a Comment

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...