Friday, 13 June 2014

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan



PENGENALAN
Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis yang menyatakan bahawa wilayah Timur mempunyai potensi yang baik untuk perkembangan revolusi dunia. Melihat kepada perkembangan komunisme di Eropah telah menunjukkan satu kegagalan apabila kekalahan Parti Bolsheviks di Jerman dan Hungary pada tahun 1919.[1] Hal ini sejajar dengan penubuhan Third International atau comintern pada bulan Mac 1919.[2] Comintern menerusi Biro Wilayah Asia Tenggara dan Australia, berusaha mengembangkan ideologi komunis di Asia Tenggara yang ketika itu masih dijajah. Pada tahap ini iaitu awal abad kedua puluh, ketika itu kesedaran politik di Asia Tenggara baru mula menjelma.
Sikap anti penjajahan juga belum ketara terutamanya di Tanah Melayu. khususnya di kalangan penduduk peribumi.[3] Pengaruh komunis telah mula dikesan di Tanah Melayu sejak awal tahun 1920-an, dimana pada ketika ini tiada satu pun pergerakan atau pertubuhan bercorak politik oleh orang melayu. Penyebaran ideologi komunis ini terbukti apabila terdapat penemuan beberapa penerbitan komunis dalam bahasa Cina yang disebarkan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada ketika itu, antaranya ialah surat berita terbitan Rosta & Delta News Agency yang mengandungi berita dari Negara China dan Rusia yang dikirim dari Canton, terdapat juga risalah tentang kaedah mengajar ideologi komunis di Rusia, maklumat tentang Negara China dengan pemberontakan Rusia 1917, Manifesto Parti komunis Amerika dan sebuah buku yang bertajuk Komunis dan Negara China karya Tsz- Yan. Buku ini menganalisa tentang komunis dalam konteks Negeri China.[4] Imigran Cina yang masuk ke Tanah Mealyu telah membawa buku-buku dan risalah-risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. Hasil daripada kegiatan mereka, guru-guru dan murid-murid sekolah Cina telah menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada tahun 1926. Komunis yang bergerak masuk ke tanah melayu melalui pelbagai saluran termasuklah pergerakkan dibawah cawangan Kuomintang (KMT) yang mempunyai kerjasaama antara Parti Komunis China (PKC) dan KMT di China. Komunis juga menggunakan saluran seperti sekolah,  pertubuhan-pertubuhan sekerja, dan penerbitan untuk menyebarkan ideologi komunis ini kepada seluruh penduduk Tanah Melayu samaada penduduk awam, pekerja, belia, dan pelajar. Namun pada tahun 1927 berlaku pepecahan antara KMT dan  PKC di China yang telah menyebabkan PKC menghantar lima wakilnya ke Tanah Melayu. Akibat daripada pepecahan itu, dengan bantuan wakil Comintern telah ditubuhkan sebuah parti komunis iaitu Nanyang Kung Chan Tang (South Seas Communist Party) pada 1928. Agen-agen daripada Comintern atau komunis antarabangsa yang tiba di Tanah Melayu telah memberi cadangan supaya Parti Komunis Nanyang disusun semula. Sehingga akhirnya pada 6 April 1930, satu persidangan komunis telah diadakan di Singapura telah membawa kepada lahirnya Parti Komunis Malaya (PKM) yang beribu pejabat di Singapura.
Pergerakan komunis menjadi lebih rancak apabila pembentukan Parti Komunis Malaya (PKM) pada April 1930 dengan organisasi yang lebih baik serta tersusun.[5] Matlamat utama pembentukan sebuah parti komunis PKM ini adalah untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Republik Rakyat Malaya.[6]  Dasar dan strategi gerakkan komunis boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama dari tahun 1945 sehingga 1948 dimana gerakan lebih sederhana dan kedua dari tahun 1948 sehingga 1954 dimana pada ketika ini perubahan dasar kepada pemberontakan bersenjata.
            Tertubuhnya PKM, gerakan komunis di Tanah Melayu tidak di bawah kawalan PKC tetapi terus dibawah Biro Timur Jauh Comintern. PKM juga diberi arahan supaya jangan mengehadkan kegiatannya di kalangan orang Cina sahaja. Untuk menjayakan revolusi di sini, kaum-kaum lain juga, terutamanya orang Melayu (kaum tani) harus dipujuk supaya menerima fahaman komunis. PKM semasa pendudukan Jepun telah bekerjasama dengan British dalam menentang Jepun di Tanah Melayu melalui perjanjian kerjasama. Namun selepas Perang Dunia Kedua dan Jepun menyerah kalah,  gerila MPAJA keluar dari hutan dan melakukan serangan balas dendam. Sekembalinya pentadbiran tentera British (BMA), pihak PKM telah memperkuatkan tenteranya dan menentang British. PKM tidak berhasrat untuk tunduk atas pentadbiran British. Oleh sebab beberapa faktor yang berlaku telah menyebabkan dasar komunis berubah menjadi gerakan yang radikal dan mengangkat senjata. Sehingga kegiatan mereka telah membawa kepada pengisytiharan  Darurat pada 16 Jun 1948 oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent kerana telah mengancam keamanan dan keselamatan negara.

FAKTOR-FAKTOR YANG TELAH MENDORONG PKM MELANCARKAN GERAKAN BERSENJATA DI TANAH MELAYU
Faktor ini boleh dibahagikan kepada dua faktor iaitu tekanan dari sudut dalaman dan dari sudut luaran.

Faktor Luaran PKM
Persidangan di Calcutta

Pada Februari 1948, telah diaturkan satu perjumpaan yang membawa kepada Persidangan Calcutta pada Februari 1948, Keputusan untuk melaksanakan pemberontakan bersenjata PKM, telah dikaitkan dengan tekanan faktor luaran daripada pihak komunis. Hal ini merupakan salah satu sebab PKM melakukan gerakan bersenjata, peristiwa tersebut turut dikaitkan dengan dua perjumpaan iaitu Persidangan Kongres Belia Asia yang berlangsung pada 19 sehingga 25 Februari 1948 dan Persidangan Parti Komunis India pada Mac 1948 yang diadakan di Calcutta. Persidangan ini dianjurkan oleh ‘World Federation of Democratic Youth’ (WFDY) dan ‘International Union of Students’ (IUS), kedua-dua badan ini telah dikuasai oleh komunis sejak dari awal tahun 1948 lagi.[7] Dikatakan bahawa pemberontakan berlaku kerana arahan yang diterima semasa persidangan ini. Persidangan ini juga menjadi punca di kebanyakkan pemerhati politik barat menyatakan kesan daripadanya menyebabkan konflik diantara ketua angkatan komunis dengan kerajaan Burma pada bulan Mac, di Tanah Melayu pada Jun dan di Indonesia pada bulan September.[8] Pada 27 Mac, kumpulan WFDY yang dijemput perwakilan muda untuk mesyuarat antara Asia untuk mengambil bahagian dalam sidang belia kecil, yang ia mencadangkan diadakan di New Delhi pada awal April. Wakil yang dijemput dan menghadirinya ialah tiga wakil dari Burma, lapan rakyat Indonesia, satu Malaya, seorang vietnam, beberapa delegasi dari india, dan dua dari filipina.[9] Persidangan ini yang dianjurkan oleh Pertubuhan Komunis Antarabangsa ataupun Comintern yang telah diadakan pada Februari 1948, Sumber rasmi British memetik sebagai; 
“The result of the Calcutta Conference was that violence directly organized by the Communists broke out throughout South East Asia. In Viet Nam, where French opposition to legitimate nationalist aims still provides a particularly favourable fi eld for Communist penetration of the whole nationalist movement, armed rebellion has continued since 1945 under Communist leadership. Now irruptions took place elsewhere…. And most spectacular of the Communist outbreaks, of course took place in British Malaya (Communist Strategy in S.E. Asia; FO1110/143).[10]

            Disiarkan dasar komunis antarabangsa, dengan membuat sesi pembentangan oleh seorang ahli teori Soviet Union. Dalam ucapan ini mengandungi pengumuman yang menyatakan bahawa dunia kini telah terbahagi kepada dua blok iaitu penjajahan serta anti-penjajahan. Pihak Komintern (Communist International) menyeru supaya menentang penjajahan serta meluaskan pengaruh komunis. Wakil-wakil yang datang ialah dari seluruh dunia dan dari Tanah Melayu ialah Lee Soong (presiden New Democratic Youth League (NDYL)). Lee Soong dihantar kerana dia seorang yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi beliau tidak memegang sebarang jawatan penting dalam jawatan Kuasa Pusat PKM.[11] Wakil PKM yang kembali selepas persidangan itu telah membawa arahan tersebut kepada organisasi. Tetapi disini tidak dapat dibuktikan arahan mengadakan gerakan secara militant dikeluarkan oleh pihak Soviet Union di dalam persidangan   Calcutta. Malahan mengikut Ruth McVey walaupun di dalam persidangan ini telah mengecam kolonialisme dan imperialisme tetapi ramai yang hadir dari pelbagai pegangan ideologi dan bukannya komunis professional semasa persidangan ini berlangsung. Namun yang paling menonjol dalam perubahan gerakan komunis ialah semasa persinggahan Lawrence Sharkey ke Singapura dan menghadiri Sidang Pleno keempat Jawatan Kuasa  Eksekutif  Pusat PKM.[12] Tiga resolusi telah dibincangkan iaitu pertama PKM mesti memberikan kepimpinan melalui People’s Revolutionary War, kedua mengubah strategi politik daripada Surrenderism kepada yang lebih militant. Resolusi ketiga ialah  disiplin  dalam PKM sendiri perlulah diperketat. Namun, lebih membawa kepada perubahan dasar gerakan ini adalah melihat kepada perubahan keadaan politik di Tanah Melayu itu sendiri. Disebabkan galakkan dari pihak Soviet Union untuk memperjuangkan kebebasan dari penjajah sehingga mengubah dasar PKM untuk menggerakkan gerakan bersenjata pada awal Jun 1948.
Nyatalah PKM semakin menuju kearah pergolakan yang lebih hebat mulai tahun 1948.[13] Kongres itu dikatakan mengambil ketetapan dengan arahan Rusia, supaya dicetuskan revolusi untuk melawan kekejaman imperialis dan golongan reaksioner dalam tiap-tiap negeri di Asia.[14] Mereka juga bersetujuan untuk mengkoordinasikan pemberontakan yang dicetuskan di Tanah Melayu, Burma, Indonesia dan Filipina. Hal ini jelas menunjukkan faktor dokongan luar menjadi pemangkin secara drastik bagi pihak PKM untuk semakin mempergiatkan usaha-usaha dalam gerakan bersenjata untuk mencetuskan kacau bilau di Tanah Melayu. Apa yang ingin ditunjukkan oleh pengkaji melalui penulisan mengenai darurat dan faktor PKM melakukan pemberontakan bersenjata ialah dasar ini pertama kalinya diperkatakan di Calcutta. Walhal jika diperhatikan secara mendalam, PKM telah membuat rancangan untuk melancarkan pemberontakan seawal 1945 lagi. Pergerakan PKM boleh dibahagikan kepada dua bahagian semenjak dia ditubuhkan iaitu yang melibatkan pasukan penggempur dan satu lagi dikenali sebagai Min Yuen (gerakan massa). Dalam satu mesyuarat Politburo PKM di hutan Pahang pada awal tahun 1948 telah memutuskan bahawa penentangan bersenjata terhadap pemerintah dalam usaha mewujudkan Republik Komunis Malaya perlu dilakukan.[15]
Gerakan Komunis dibahagikan gerakan kepada tiga peringkat, iaitu yang pertama askar-askar PKM yang mahir ditugaskan menyerang ladang-ladang getah dan lombong bijih timah serta pondok-pondok polis dan kampung-kampung terpencil.[16] Langkah ini dipercayai untuk memaksa penduduk kampung untuk berpindah ke kawasan bandar dan kawasan yang ditinggalkan itu akan dijadikan liberated area atau kawasan yang dibebaskan oleh PKM.[17] Hal ini bersangkutan dengan strategi ketiga iaitu dikawasan yang dibebaskan ini akan dibuat tempat perlindungan PKM dimana mereka akan menjalankan pentadbiran dan latihan ke atas pasukan-pasukan komunis. Peringkat ketiga rekrut PKM ini akan menyerang tempat yang dikuasai British malahan melakukan segala bentuk sabotaj terhadap kemudahan awam serta melakukan keganasan keatas penduduk. Gerakan ini merupakan satu cara untuk menjatuhkan ekonomi kapitalis dan sistem pertahanan pihak British.[18] Keadaan keselamatan Semakin serius dan didalam satu sidang akhbar pada 13 Jun 1948, Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent menjelaskan sekurang-kurangnya berlaku 13 kejadian serius telah tercetus di beberapa tempat di seluruh negara, termasuk 10 kes pembunuh dan 3 kejadian serangan ke atas pengurus-pengurus estet getah. Jenayah kekerasan ini tercetus hasil agitasi anasir ekstremis yang mencabar kekuasaan kerajaan.

Faktor dalaman PKM
Kegagalan dasar Barisan Bersatu (United Front)

            Terdapat kesangsian terhadap teori pemberontakan komunis pada 1948 kerana pada dasarnya telah dimanipulasi dengan peristiwa luar. Mungkin faktor dalaman lebih bertanggungjawab mencetuskan revolusi. Manakala, faktor persidangan di Calcutta itu merupakan faktor yang mencetuskan secara meledak atau secara tiba-tiba. Hal ini kerana perancangan strategi untuk melakukan ‘pemberontakan bersenjata’ telah lama di dalam perancangan mereka tetapi telah ditunda kerana beberapa faktor yang menjadi halangan termasuk faktor dalaman organisasi serta maklumat yang diterima daripada organisasi komunis antarabangsa. Selepas perang dunia kedua, PKM telah menubuhkan ‘General Labour Unions’ (GLU) di seluruh negeri dimana menyediakan pemimpin untuk golongan pekerja. Polisi GLU ialah membina kekuatan dikalangan pekerja yang akan menjadi penggerak revolusi. PKM mempunyai ahli yang ramai  dan mendapat sambutan terutamanya selepas mereka menyertai gerakan Malayan People Anti-Japenese Army (MPAJA) dalam menghadapi tentera Jepun semasa pendudukan Jepun.
Pada peringkat ini PKM telah berkerjasama dengan pihak British untuk menentang Jepun. Pihak British telah menyalurkan segala bantuan yang ada dari segi kelengkapan perang, kewangan, perubatan dan pelbagai bentuk latihan ketenteraan dalam mengukuhkan lagi pertahanan.[19] Waktu ini, arahan dari Komunis Antarabangsa yang ketika itu masih mengamalkan dasar barisan bersatu. Malah dikatakan Lai Teck yang merupakan Setiausaha Umum PKM, adalah penyokong dan mengunakan dasar barisan bersatu. Beliau turut dikatakan oleh A. Short dan C. R. Mclane sebagai seorang agen British dan menyebabkan mereka tidak menentang British. Walaupun kerjasama ini adalah sebagai satu strategi untuk mereka mencapai objektif mereka untuk menubuhkan Soviet Republic di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat apabila jepun menyerah kalah dan mereka mulai menuntut hak untuk mentadbir dan menubuhkan kerajaan. Tetapi sokongan ini menjadi kebencian oleh penduduk setelah pihak PKM mula gerakan revolusi bersenjata yang menyebabkan huru-hara dan keadaan tidak aman dalam masyarakat.




            Barisan Bersatu merupakan satu dasar strategi yang dipengang dan dilaksanakan semasa pimpinan awal PKM. Namun, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PKM pada Mac 1948, telah mengakui kegagalan dasar Barisan Bersatu (United Front), kemudian PKM mengeluarkan tiga arahan baru yang menjurus kearah mengatur persiapan untuk melancarkan pemberontakan atau apa yang disifatkan sebagai ‘perjuangan bersenjata’.[20] Hal ini menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pusat PKM mengarahkan supaya dimulai gerakan pembunuhan, kekerasan, dan pelancaran perang bersenjata menentang golongan reaksioner.[21] Pada bulan April dan Mei (1948) bermulah pemogokan di Singapura yang turut merebak ke seluruh persekutuan. Komunis turut menggunakan ekonomi sebagai target  seperti perusahaan dimana buruh estet dan lombong bijih diugut, kilang getah dibakar, kontraktor dan pengurus serta buruh yang enggan akan dibunuh. Bagaimanapun, MPAJA kemudian telah dibubarkan pada 1 Disember 1945 dengan persetujuan PKM setelah BMA berkuasa di Tanah Melayu. Namun demikian, kegiatan komunis masih diteruskan dengan tujuan untuk menghalau penjajah British dan membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu. Untuk itu, PKM telah bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan kiri atau radikal seperti All Malayan Council of Joint Action Pusat Tenaga Rakyat (AMCJA-PUTERA), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Malayan Democratic Union (MDU) dan New Democratic Youth League (NDYL). Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)  yang ditubuhkan oleh Boestamam pada tahun 1945, telah mengeluarkan lapan resolusi yang dianggap oleh pihak kerajaan British sebagai diinspirasikan oleh rancangan ‘Sembilan Perkara’ Parti Komunis Malaya pada 30 November 1945. PKMM pada mulanya tidak condong kepada komunisme tetapi apabila Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai presidennya yang pertama pada bulan Oktober 1946, parti ini dipengaruhi oleh komunis. Mereka berusaha untuk menggagalkan rancangan politik yang diwujudkan oleh pihak British Pada 10 Mei 1948, dimana pemimpin-pemimpin PKM mula merancang gerakan yang lebih radikal.
           
Kegagalan mencapai matlamat melalui perlembagaan

Sejak tahun 1945, PKM berusaha mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya melalui perlembagaan. Oleh itu PKM telah menganjurkan ‘Gerakan Massa’ untuk memaksa British memberikan Tanah Melayu berkerajaan sendiri serta merdeka tetapi kerajaan British telah menolak dan terus mentadbir Tanah Melayu. Pada awalnya, PKM cuba menarik kesatuan sekerja serta penduduk dalam menyokong aktiviti mereka sehingga berlaku pemogokan besar-besaran. Ini merupakan propaganda PKM dalam mendapatkan sokongan dan memperlihatkan kelemahan British sebagai pentadbir Tanah Melayu ketika itu. PKM menggunakan golongan pekerja sebagai sasaran dalam gerakan mereka melalui menubuhkan Kesatuan Buruh Am serta Liga Belia Demokratik Baru untuk sokongan perkerja dan golongan belia. PKM telah menubuhkan Pan-Malaya Federation of Trade Union (PMFTU) yang menguasai semua kesatuan sekerja yang bergabung dibawahnya. Tetapi rancangan ini menjadi gagal apabila British menyedari Gerakan PKM ini dan sebagai langkah menyekat dengan menguatkuasakan undang-undang kesatuan sekerja serta melarang pemimpin parti politik menjadi pemimpin kesatuan sekerja.
PKM juga gagal menggunakan pertubuhan-pertubuhan kiri  atau radikal seperti All Malayan Council of Joint Action – Pusat Tenaga Rakyat (AMCJA-PUTERA), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Malayan democratic Union (MDU) dan New Democratic Youth League (NDYL).[22] Hal ini, telah melemahkan pergerakan komunis dalam kesatuan sekerja dan gerakan dalam mencapai matlamat, Oleh itu gerakan kekerasan dilakukan untuk menggulingkan kerajaan Brtish di Tanah Melayu. Kegagalan Parti Komunis Tanah Melayu untuk mencapai tujuannya melalui cara perlembagaan yang mendorongnya menggunakan kekerasan dengan itu bermulalah Darurat pada bulan Jun 1948.

Perubahan pucuk pimpinan PKM
PKM semasa pimpinan Lai Teik menjalankan gerakan agak lambat dan kurang sesuai malahan ramai ahli tidak berpuas hati terhadap dasar pimpinannya. Lai Teik memimpin PKM dengan pendekatan agitasi secara aman (peaceful agitation) dan berpelembagaan.[23] Walaupun PKM berjaya mempengaruhi kesatuan sekerja, namun ramai pemimpin dan anggota ahli parti strategi yang dilakukan Lai Teik iaitu Strategi model bandar Rusia tidak begitu berkesan dan lambat. Hal ini, Turut menyebabkan berlaku perselisihan antara ahli yang terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan sederhana dan radikal. Sementara itu, apabila dilihat revolusi China pimpinan Mao Zedong yang menggunakan pendekatan pemberontakan bersenjata semakin berjaya. Hal ini mendorong ramai ahli untuk mengikuti model China serta menimbulkan percanggahan pendapat dalam PKM.
Akibatnya PKM semakin berpecah-belah dan menghadapi kesulitan yang serius dalam organisainya. Selain itu, dibuktikan pada bulan Mac 1947, Lai Teik telah menghilangkan diri bersama dengan wang parti, diperlihatkan bahawa Lai Tek telah melakukan penggelapan wang parti sebelum tercetusnya Darurat. Hal ini menunjukkan kegagalan Lai Teik dalam pucuk pimpinan organisasi. Pada September 1942, pernah dicurigai bahawa Lai Teik merupakan agen Jepun kerana dalam satu perjumpaan ahli PKM & MPAJA yang diadakan di Batu Caves telah diserang oleh tentera Jepun dan ramai ahli PKM terbunuh. Tetapi pada ketika ini Lai Teik tidak hadir kerana kenderaannya yang rosak dalam perjalanan. Keburukan sikap pemimpin tertinggi PKM itu menyebabkan ahli-ahlinya hilang kepercayaan kepada perjuangan mereka. Di dalam organisasi PKM yang kompleks dengan pembahagian yang merangkumi bahagian-bahagian yang berbeza  serta pemimpin diperingkat atasan telah menyebabkan berlaku hubungan yang kurang berkesan. Hal ini telah melambatkan gerakan dalam menerima dan melaksanakan arahan dari pihak atasan malahan perlu menunggu beberapa bahagian untuk memastikan arahan yang diterima, kelemahan komunikasi ini menjadikan gerakan ini lambat dan tidak berkesan.
 Disebabkan gerakan dipusatkan kepada tiga kawasan di utara, tengah dan selatan Tanah Melayu yang masing-masing mempunyai Jawatankuasa Negeri, Cawangan dan Daerah telah melambatkan penyampaian berita kerana keadaan yang jauh. Ditambah lagi apabila pihak British mula mengetatkan langkah keselamatan sehingga penghantaran maklumat mereka terjejas malahan penghantaran maklumat melalui Radio transmitter pula boleh dikesan oleh cawangan khas (Special Branch).[24] Jika dilihat bahawa tiap-tiap Jawatan Kuasa Negeri bertanggungjawab terhadap kawasan politik dan aktivitinya yang dikawal oleh satu atau dua regimen penggempur. Implikasinya timbul apabila keadaan ini telah merenggangkan hubungan antara ahli dalam strata yang ada. Malahan hubungan yang terlalu berprotokol terhadap ketua-ketua mereka menyebabkan kelicinan dalam organisasi terganggu.
Selepas Lai Teik menghilang, Chin Peng mengantikan tempat Lai Teik menjadi Setiausaha Agung PKM yang baru.[25] Ching Peng sebelumnya merupakan Pengerusi PKM negeri Perak. Ching Peng membawa aliran pemikiran yang berbeza daripada Lai Teik dimana mendirikan republik komunis dengan cara keganasan dan kekerasan serta revolusi perlu dilakukan. Pada pendapat Chin Peng, dasar yang lebih aktif perlu untuk memulihkan semangat perjuangan komunis pada ketika itu. Pada ketika ini rancangan untuk melakukan pemberontakkan di perbincangkan dan atas matlamat yang di ingin dicapai menyebabkan gerakkan bersenjata merupakan satu pilihan.


Dasar undang-undang baru yang dijalankan oleh British
            Pada masa yang sarna, pihak komunis telah cuba mempergunakan golongan pekerja dalam gerakan mereka di Tanah Melayu. Pihak British menyedari akan perkara ini dan mengadakan usaha dalam menyekat kemaraan mereka. Oleh itu, pada tahun 1948, beberapa undang-undang telah diluluskan oleh kerajaan Singapura dan Tanah Melayu untuk menyekat kesatuan sekerja daripada dipergunakan oleh komunis. Antaranya, Trade Unions Ordinance No.9 of 1948 yang diluluskan pada 31 Mei 1948 dan Trade Unions (Amendments No.2) Ordinance. 1948 yang dikuatkuasakan pada 12 lun 1948.[26] Trade Unions Ordinance No.9 of 1948 menghadkan persekutuan kesatuan sekerja kepada persekutuan kesatuan berdasarkan pemiagaan, pekerjaan dan industri dalam masa yang sama memastikan pemimpin dalam kesatuan sekerja tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah seperti pernah terlibat dalam pemerasan dan ugutan. Manakala, Trade Unions (Amendments No.2) Ordinance, 1948 dikuatkuasakan untuk menjamin pemimpin kesatuan sekerja adalah terdiri daripada mereka yang samaada pekerja bergaji di industri berkaitan atau sekurang-kurangnya orang yang mempunyai tiga tahun pengalaman dalam industri berkenaan.[27]
            Langkah kerajaan dalam memperkenalkan undang-undang ini adalah untuk membendung pergerakan PKM dan penularan ideologi komunis dalam kesatuan sekerja. British sedar bahawa PKM menggunakan kesatuan sekerja dalam menggerakkan agenda mereka dalam menghuru harakan keadaan di Tanah Melayu. Oleh itu sangat penting untuk mengawal kesatuan sekerja ini dengan pengenalan kepada ordinan untuk menyekat gerakan PKM. Terdapat sepuluh buah kesatuan sekerja di negeri-negeri Melayu yang tidak layak didaftarkan di bawah undang-undang yang telah dikuatkuasakan, kesatuan itu merangkumi Kesatuan Sekerja Negeri Kelantan, Kesatuan Sekerja Am Terengganu, Persekutuan Kesatuan Sekerja Negeri Johor, Persekutuan Kesatuan Sekerja Negeri Melaka, Persekutuan Kesatuan Sekerja Negeri Perak, Persekutuan Kesatuan Sekerja Negeri Selangor, Persekutuan Kesatuan Sekerja Negeri Kedah, Persekutuan Kesatuan Sekerja Pahang Timur, Persekutuan Kesatuan Sekerja Pahang Barat dan Persekutuan Kesatuan Sekerja Negeri Sembilan.[28] Sekatan undang-undang oleh kerajaan ini telah menyebabkan komunis gagal dalam mempergunakan kesatuan sekerja untuk gerakan mereka di negeri-negeri Melayu.
            Pihak komunis telah bertindak dengan lebih agresif lagi di Tanah Melayu. Komunis  melakukan keganasan dan pembunuhan ke atas peladang dan pengusaha berbangsa Eropah di Tanah Melayu. Pada 16 Jun 1948, tiga orang peladang Eropah di Sungai Siput, Perak telah menjadi mangsa pembunuhan pihak komunis. Mereka adalah Arthur Walker, pen gurus Ladang Elphil; John Allison dan pembantunya, Ian Christian dari Estet Phin Soon di Sungai Siput. Berikutnya, Sir Edward Gent selaku Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan Undang-undang Darurat menerusi kuatkuasa Undang-undang BMA (Essential Regulation Proclamation) pada 16 Jun 1948. Undang-undang itu kemudiannya dimansuhkan dan digantikan dengan Undang-undang Darurat (Emergency Regulation Ordinance), 1948 yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 5 lulai 1948.17 Pada 16 Jun 1948, Undang-undang Darurat yang diisytiharkan hanya merangkumi kawasan Jpoh dan Sungai Siput di negeri Perak serta daerah Kluang, Muar, Kulai dan Plentong di negeri Johor. Pada 17 Jun 1948, undang-undang itu diperluaskan meliputi seluruh negeri Perak dan Johor. Seterusnya, Undang-undang Darurat dikuatkuasakan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.[29]

KESIMPULAN
            Sebagai kesimpulannya, Pada 16 Jun darurat telah diistiharkan akibat daripada keganasan dan kekacauan yang dilakukan oleh pihak komunis. Pertama darurat diistiharkan hanya melibatkan bahagian Ipoh, Sungai Siput, Kluang, Muar, Kulai dan Plentong. Tetapi undang-undang darurat ini telah dilanjutkan kepada seluruh kawasan tanah Melayu tanpa terkecuali pada 18 Jun 1948. Pergerakan PKM melalui gerakan bersenjata ini akhirnya menunjukkan satu kegagalan dalam aspek penerimaan masyarakat kepada ideologi serta gerakan yang mereka laksanakan di Tanah Melayu. Pengistiharaan darurat ini telah memberikan kerajaan iaitu pentadbir British untuk melaksanakan dasar undang-undang yang menyekat sebarang pengaruh komunis kepada masyarakat Tanah Melayu ada ketika itu. Kerajaan juga boleh mengenakan hukuman kepada mereka yang membantu pihak komunis termasuk kepada mereka yang membawa senjata tanpa sebab musabab yang dibenarkan. Sejurus dengan pengistiharaan darurat ini, kerajaan Tanah Melayu telah mengharamkan PKM pada 23 Julai 1948, malah Parti politik berhaluan kiri juga turut diharamkan seperti MPAJESCA, New Democratic Youth league (NDYL), Pembela Tanah Air (PETA), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), PKMM, PUTERA serta Indian New Democratic Youth league.


BIBLIOGRAFI SERTA RUJUKAN
Darurat, 1948-1960: Satu Tinjauan Umum”, Purba, Bil. 24, 2005.

Gwee Hock Aun, The Emergency in Malaya, Pulau Pinang: Sinaran, 1966.

Ho Hui Ling, “Pengaruh Komunis Indonesia Dalam Pergerakan Awal Komunis di Tanah Melayu”, 1920-1930”, Purba, Bil. 30, 2011.

Ho Hui Ling, “Suasana di Tanah Melayu Pada Zaman Darurat, 1948-1960: Satu Tinjauan”, Sejarah Pembinaan Negara Bangsa, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006.

Ho Hui Ling, “Kekejaman Komunis Terhadap Penduduk Cina di Tanah Melayu pada Zaman Darurat, 1948-1960: Satu Tinjauan Umum”, Purba, Bil. 24, 2005.

Ho Hui Ling, “Kegagalan Gerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM), 1948-1960  : Satu Analisis”, Malaysia dari Segi Sejarah.

Ismail Saad, Pemberontakan PKM: Mengapa gagal, dalam Khoo Kay Kim & Adnan Hj. Nawang, (edt), Darurat 1948-1960, kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera 91 Lorong Kubu Padang Tembak, 1984.

Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and The Struggle For Independence in Malaya, 1945-1957, Petaling Jaya: INSAN, 1984.

McVey, Ruth T., The Calcutta Conference and The Southeast Asian Uprising, Ithaca, New York: Cornell University, 1958.

Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, 1993.

Sejarah Pembinaan Negara Bangsa, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006.

Tan Cheng Keang, Pemberontakan PKM: Mengapa berlaku?, dalam Khoo Kay Kim & Adnan Hj. Nawang, (edt), Darurat 1948-1960, kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera 91 Lorong Kubu Padang Tembak, 1984.

Zulhilmi bin Paidi dan Rohani Hj. Ab Ghani, Darurat di Tanah Melayu: Peristiwa dan Pengajaran untuk Generasi Masakini dalam Konteks Ketahanan Nasional, Political Manageement and policies in Malaysia.






[1] Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, 1993. Hlm, 1.
[2] Ibid.
[3] Ibid., hlm 4.
[4] Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, hlm 5.
[5] Ho Hui Ling, “Kegagalan Gerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM), 1948-1960: Satu Analisis”, Malaysia dari Segi Sejarah, hlm., 79.
[6] Ibid.
[7] McVey, Ruth T., The Calcutta Conference and The Southeast Asian Uprising, Ithaca, New York: Cornell University, 1958, hlm., 1.
[8] Ibid.
[9] Ibid, hlm., 2.
[10] Zulhilmi bin Paidi dan Rohani Hj. Ab Ghani, Darurat di Tanah Melayu: Peristiwa dan Pengajaran untuk Generasi Masakini dalam Konteks Ketahanan Nasional, Political Management and policies in Malaysia, hlm, 20.
[11] Ismail Saad, Pemberontakan PKM: Mengapa gagal, dalam Khoo Kay Kim & Adnan Hj. Nawang, (edt),   Darurat 1948-1960, hlm, 33.
[12] Ibid.
[13] Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, hlm 18.
[14] Ibid.
[15] Ismail Saad, Pemberontakan PKM: Mengapa gagal, dalam Khoo Kay Kim & Adnan Hj. Nawang, (edt),   Darurat 1948-1960, kuala Lumpur: Muzium Angkatan Tentera 91 Lorong Kubu Padang Tembak, 1984, hlm., 73.
[16] Ibid.
[17] Ibid.
[18] Ibid., hlm, 74.
[19] Ho Hui Ling, “Kegagalan Gerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM), 1948-1960: Satu Analisis”, Malaysia dari Segi Sejarah, hlm, 82.

[20] Ibid., hlm, 22.
[21] Ibid.
[22] Ho Hui Ling, “Suasana di Tanah Melayu Pada Zaman Darurat, 1948-1960: Satu Tinjauan”, Sejarah Pembinaan Negara Bangsa, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2006, hlm, 197.
[23] Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, hlm, 20.
[24] Ismail Saad, Pemberontakan PKM: Mengapa gagal, dalam Khoo Kay Kim & Adnan Hj. Nawang, (edt),   Darurat 1948-1960, hlm., 81-82.
[25] Mohd. Reduan Haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, hlm., 20.
[26] Ho Hui Ling, “Kegagalan Gerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM), 1948-1960: Satu Analisis”,
   Malaysia dari Segi Sejarah, hlm, 83.
[27] Ibid.
[28] Ho Hui Ling, “Kegagalan Gerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM), 1948-1960: Satu Analisis”,
   Malaysia dari Segi Sejarah, hlm, 83.
[29] Ibid.

2 comments:

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...