Monday, 13 January 2014

Kajian Numismatik

BINCANGKAN SEJARAH KAJIAN NUMISMATIK KESULTANAN MELAYU DI SEMENANJUNG MALAYSIA.

PENGENALAN
Pada permulaan sejarah awal manusia, mata wang tidak diperlukan untuk memenuhi keperluan hidup semata. Hal ini kerana, mereka mendapatkan keperluan mereka melalui kegiatan berburu dan berdagang secara ‘barter’. Namun demikian, lama kelamaan apabila masa semakin berubah, cara hidup menjadi semakin kompleks sehingga sistem barter dilihat tidak lagi sesuai digunakan. Logam berharga bertukar menjadi media pertukaran atau boleh dikatakan sebagai alat ganti dalam mendapatkan barangan yang diinginkan. Selain logam, ada juga mata wang yang berunsurkan emas, gangsa dan lain-lain yang dilihat mempunyai nilainya yang tersendiri.  Untuk mengetahui lebih lanjut  mengenai sistem mata wang, kita boleh melihat sejarah kajian numismatik yang telah dilakukan oleh pakar arkeologi dalam usaha melihat perkembangan mata wang kesultanan Melayu di Semenanjung Malaysia.
            Kajian  numismatik adalah satu kajian mengenai mata wang dalam usaha melihat sejarah perkembangan mata wang mengikut kronologinya. Numismatik dapat diperluaskan maksudnya kepada perkembangan mata wang yang mempunyai nilai sejarah secara tidak langsung dapat mewakili perkembangan semasa, lingkungan dan konteksual dengan data sejarah.[1] Kajian numismatik melibatkan pengamatan terhadap bentuk, nama pengeluar syiling (zaman pemerintahan), gelaran yang diguna pakai dan angka tahun.[2] Data numismatik Kesultanan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu diperolehi melalui kajian yang pernah dijalankan oleh ahli arkeologi dan kajian ini telah berjaya membahagikan periodisasi perkembangan mata wang kepada enam tempoh masa.
            Pertama, perkembangan mata wang pada abad ke-15 dan diwakili Kesultanan Melayu Kelantan. Antara mata wang yang beredar dalam kategori ini adalah terdiri daripada duit dinar emas, duit kijang dan mengandungi tulisan arab pada kedua-dua bahagian. Kedua, perkembangan mata wang pertengahan abad ke-15 sehingga abad ke-16 dan periodisasi ini diwakili oleh Kesultanan Melayu Melaka. Ketiga, perkembangan mata wang pada awal abad ke 16 sehingga abad ke-17 yang diwakili oleh Kesultanan Melayu Johor, termasuk Keturunan Kesultanan Melayu Melaka. Keempat, perkembangan mata wang pada awal abad ke-17 sehingga pertengahan abad ke-19 yang diwakili Kesultanan Melayu Kedah. Kelima, perkembangan mata wang pada abad ke 18 sehingga pertengahan abad ke-18 yang diwakili tahap kedua kesultanan Melayu Johor (berketurunnan bendahara). Bahagian yang terakhir, perkembangan mata wang pada abad ke-18 sehingga pertengahan abad ke-18 sehingga pertengahan abad ke-19. Pada tahap ini mata wang boleh dibahagikan kepada dua tahap iaitu pertama adalah berasakan kepada bentuk syiling, dan kedua berasakan kepada unsur/bentuk binatang, alam (termasuk tumbuhan) dan simbol. Mata wang ini diwakili oleh Kesultanan Melayu Terengganu, duit tampang, duit binatang, mata wang Kesultanan Melayu Kedah (perlis) dan pokok pitis (Terengganu, Kelantan, dan perlis).
           
KAJIAN NUMISMATIK KeSULTANAN MELAYU BERBENTUK SYILING
A) NUMISMATIK KESULTANAN MELAYU MELAKA
Dalam sejarah dicatatkan bahawa negeri Melaka merupakan negeri pertama yang mengeluarkan wang syilingnya iaitu semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah yang merupakan Sultan Melaka yang kelima.[3] Namun demikian, menurut Anker, sebenarnya bukan Melaka yang mula-mula mengeluarkan wang syiling kerana negeri Kelantan iaitu pada tahun 1187 atau pada tahun Hijrah 577 dan Petani yang mana wang dinar sudah ada ditemui. Penemuan ini menunjukkan bahawa wang syiling sudah dikeluarkan oleh negeri-negeri di kawasan Utara. [4]Kajian numistatik dilakukan ke atas mata wang Kesultanan Melaka dengan membanding bezakannya dari pelbagai sudut sama ada dari segi bentuk, unsur dan sebagainya. Kajian terhadap perkembangan mata wang Kesultanan Melayu Melaka telah dilakukan oleh Hanitach sekitar 1903. Beliau mengkaji perkembangan mata wang Kesultanan Melayu Melaka dengan hanya melibatkan empat orang sultan sahaja. Antara sultan tersebut iaitu Sultan Muzaffar Shah (1445-1459), Sultan Mansur Shah (1459-1477), Sultan Ahmad Shah (1510), dan Sultan Mahmud Shah (1488-1511).[5]
            Kajian yang dilakukan terhadap syiling Kesultanan Melayu Melaka menunjukkan bentuk yang seragam iaitu bulat dan mempunyai tulisan pada bahagian hadapan dan belakangnya. Mata wang yang digunakan oleh Kesultanan Melayu Melaka dikatakan mempunyai pengaruh agama Islam. Hal ini kerana, gaya tulisan yang digunakan adalah bercirikan jawi sementara bahasanya pula bercampur aduk antara Melayu dan Arab.[6] Maka, pengaruh Islam sememangnya tidak dapat dinafikan wujud dalam perkembangan sistem mata wang era Kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman Kesultanan Melaka, para saudagar menggunakan emas urai, perak, dan timah jongkong sebagai duit. Manakala di pasar-pasar, rakyat jelata pula menggunakan siput gerus, beras, dan biji saga sebagai alat jual beli barang keperluan.[7]
            Duit Kesultanan Melayu Melaka yang pertama yang sah diketahui sehingga kini ialah mata wang yang dikeluarkan oleh Sultan Muzaffar Shah (1445-1459) iaitu sultan Melaka yang kelima. Duit syiling pertama yang mula-mula dibentuk menggunakan logam tanah iaitu wang bermaterialkan timah yang dikenali sebagai pitis atau caxas atau cashas [8] yang mempunyai dua nilaian iaitu satu pitis dan setengah pitis.[9] Syiling nilaian satu pitis adalah lebih besar sekitar 19.5-21.5 mm berbanding syiling nilaian setengah pitis sekitar 15 mm. Syiling baginda menggunakan gaya yang sama iaitu pada bahagian hadapan kedua-dua syiling ini menggunakan nama baginda Muzaffar Shah-al-Sultan yang bermaksud Sultan Muzafar Shah yang disusun dalam dua baris. Manakala, pada bahagian belakang pula tercatat Nasir al- Dunia wa’l Din yang bermaksud penyelamat dunia dan agama Islam yang disusun dalam tiga baris.[10]Gaya tulisan syiling baginda adalah jenis tulisan timbul dan cara pemotongan melebihi garisan bulatan syiling.[11] Selain itu, pada masa yang sama juga baginda telah mengeluarkan syiling dalam nilain ¼ pitis dan 1/8 pitis. Nilaian kedua-dua syiling ini adalah berdasarkan saiz dan berat iaitu nilaian ¼ pitis berukuran sekitar 13 mm dengan berat 1.3 gm manakala nialaian bagi 1/8 pitis pula mempunyai ukuran diameter sekitar 7 mm dengan berat 0.4 gm.[12] Bagi gaya tulisan, gelaran dan betuk syiling ini adalah sama dengan nilaian satu pitis dan dan setengah pitis.
            Kepelbagaian penggunaan gelaran pada syiling dapat dilihat dibawah Sultan Mansur Shah (1459-1477) kerana baginda mula menggunakan kepelbagaian dalam penggunaan nama. Berdasarkan kajian numismatik, kepelbagaian penggunaan gelaran yang digunakan oleh baginda dapat dibahagikan kepada dua dan ia bergantung kepada nilaian syiling berkenaan. Misalnya, untuk nilaian syiling satu pitis menggunakan nama Mansur Shah bin Muzaffar Shah al-Sultan iaitu Mansur Shah yang berbapakan Muzaffar Shah pada bahagian hadapan syiling yang dicetak empat baris manakala bahagian belakang mengekalkan gelaran yang dipakai oleh bapanya Nasir al-Dunia Wa’l Din yang diletak tiga baris.[13] Bagi nilaian syiling setengah pitis pula pada bahagian hadapan menggunakan gelaran Mansur Shah Ibnu Muzaffar Shah al-Adil iaitu membawa maksud Mansur Shah berbapakan Muzaffar Shah yang adil dan bahagian belakang masih mengekalkan gelaran yang sama. Gaya tulisan nilaian setengah pitis masing-masing pada bahagian hadapan dan belakang syiling dicetak dalam tiga baris sahaja yang beukuran diameter 12-7 mm.[14] selain itu, nilaian syiling baginda juga mempunyai nialain ¼ pitis yang mempunyai bentuk dan saiz yang kecil dengan ukuran diameter sekitar 8-12 mm[15].
            Seterusnya syiling yang dikeluarkan oleh Sultan Mahmud shah (1488-1511) yang dapat dibahagikan kepada dua nilaian iaitu satu pitis dan setengah pitis. Nilaian syiling satu pitis bersaiz besar sekitar 21-22 mm manakala setengah pitis bersaiz 13 mm. Syiling baginda agak ringkas dalam penggunaan perkataan, terdapat penggunaan titik dot mengelilingi permukaan syiling, gaya tulisan yang agak kasar dan permukaan syiling yang terhakis.[16] Perkataan yang digunakan pada permukaan syiling satu pitis hampir memenuhi permukaan syiling manakala nilaian setengah pitis memenuhi keseluruhan permukaan. [17]Nama yang digunakan agak ringkas yang keseluruhannya hanya menggunakan dua baris sahaja misalnya, seperti al-Sultan Mahmud pada nilaian satu pitis dengan gelaran al-Adil (pemerintah yang adil). Manakala syiling nilaian setengah pitis  menggunakan nama Mahmud Shah dengan gelaran al-Sultan al-Adil (sultan yang adil). [18]
            Sejarah kajian numismatik ke atas mata wang Sultan Ahmad Shah (1510) sangat menarik kerana mempunyai lebih kepelbagaian dengan syiling yang pernah dikeluarkan oleh sultan yang yang sebelumnya walaupun baginda memerintah dalam jangka masa yang pendek. Kepelbagaian tersebut termasuk penggunaan nama, gelaran, dan susunan perkataan antara bahagian hadapan dan belakang syiling.[19] Baginda masih mengekalkan nilaian utama iaitu satu dan setengah pitis. Antara tiga nama yang digunakan oleh baginda pada permukaan syiling ialah Ahmad Ibnu Mahmud Shah (Ahmad berbapakan Sultan Mahmud Shah), Ahmad (Ibnu) Abu Mahmud Shah dan gelaran sahaja iaitu al-Sultan al-Adil.[20] Syiling ini berukuran sekitara 11 mm dengan berat 0.6 gm. Kajian numismatik mendapati syiling keluaran baginda terdapat beberapa pembaharuan dibandingkan dengan syiling sebelum baginda. Pembahruan yang dapat dilihat iaitu, nama ditulis bersambung antara bahagian hadapan dan belakang seperti Sultan Ahmad dibahagian hadapan dan disambung pula dengan perkataan Ibnu Mahmud Shah di bahagian belakang.[21] Selain itu pada syiling nilaian setengah pitis terdapat penggunaan gelaran yang berbeza antara bahagian hadapan iaitu al-Sultan al-Adil dan belakang seperti Malik al-Adil pada syiling yang sama.[22] Kesemua nama dan gelaran ditulis dalam dua baris sahaja sama seperti duit syiling yang dikeluarkan oleh ayahanda baginda.
B) NUMISMATIK KESUTANAN MELAYU JOHOR
Penggunaan mata wang di johor berkait rapat dengan perdagangan di negeri tersebut. Mata wang dengan tulisan arab dan gelaran kehormat menunjukkan pengaruh mata wang Islam seperti yang dibawa masuk dari India dan Timur tengah oleh pedagang Islam[23]. Mata wang syiling Johor boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu syiling yang diperbuat daripada emas, perak dan timah. Syiling emas, nilainya adalah kupang, perak dengan nilaian penjuru dan tima dengan nilaian katun.[24] Hasil kajian terhadap mata wang kesultanan Johor, syiling dikatakan semasa ditemui keadaan mata wang yang ditemui tidak mempunyai tarikh bila ia dikeluarkan di samping keadaan syiling yang ditemui dikatakan berada dalam keadaaan yang dhaif. [25]
            Menurut A. Hamilton yang melawat Negeri Johor,  Sultan Alauddin Riayat Shah II (1527/1564) telah mengeluarkan mata wang yang diperbuat dari logam emas yang digunakan dalam urusan perdagangan. Selain itu, menurut Saran Singh, Sultan Alauddin Riayat Shah II juga pernah mengeluarkan syiling kupang dalam bentuk bulat.[26] Syiling emas pertama yang dikeluarkan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II mempunyai nilaian mas dan kupang yang menggunakan dua  gelaran yang berbeza pada material yang sama.[27] Contoh, Khalifatul Mukminin dan Khalifatul Mukminin Shah dengan nilaian kupang. Nilaian untuk 4 kupang adalah bersamaan dengan 1 mas.  Nilaian seemas dinilaikan bersamaan dengan setengah dolar sepanyol, manakala jenis kupang hanya bernilai satu perpuluhan lapan dari sepanyol.[28] Bagi syiling yang diperbuat dari perak dan timah dikeluarkan untuk kegunaan pertukaran tempatan. Pada umumnya, syiling timah tidak mengandungi tulisan nama pemerintah yang mengeluarkannya kecuali syiling timah yang dikeluarkan semasa pemeritahan Sultan Alauddin. Hanya tulisan seperti Malaik Al Adil atau Dar Al Johorah sahaja yang boleh ditemui pada syiling timah.[29]
            Kesultanan Johor mula mengeluarkan syiling berbentuk persegi lapan dan persegi lapan bertangkai. Syiling berbentuk bulat masih diteruskan seperti syiling Kesultanan Melaka tetapi mengalami penambahan dengan titik dot yang mengelilingi syiling berkenaan.  Nilaian syiling material timah  Johor dikenali dengan nama katun manakala Melaka iaitu pitis. Duit timah ditempah dalam pelbagai bentuk seperti bulat, heksagon (segi enam) dan oktagon (segi lapan). Tidak seperti duit emas, duit timah selalunya tidak bertulis nama sultan yang memerintah. Selalunya ia bertulis gelaran. Gelaran yang dicetak pada permukaan syiling lebih menjurus kepada sistem pemerintahan dan perdagangan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan penggunaan nama Khalifatul Mukminin (syiling emas) dan gelaran Malik Al-Adi (Raja yang Adil), Al Adil atau Sultan Al Adil, Haza Al Masruf, dan Dal Al Johorah (syiling timah).[30] Syiling dengan nilaian mas memiliki lebih besar ukur lilitnya berbanding dengan syiling nilaian kupang. Dari segi ukuran diameter syiling, nilaian mas adalah sekitar 16-17  mm sementara syiling nilaian kupang sekitar 11-12 mm.[31] begitu juga beratnya, nilaian mas lebih berat berbanding dengan syiling nilaian kupang. Secara umumnya syiling nilaian mas mempunyai berat sekitar 2.46 g – 2.6 g berbanding dengan syiling kupang yang mempunyai berat sekitar 0.59 g – 0.64 g. Justeru syiling mas lebih tinggi nilaiannya berbanding nilain kupang. [32]
C) NUMISMATIK KESULTANAN MELAYU KELANTAN
Mata wang yang dihasilkan sebahagiannya dikatakan mempunyai pengaruh dari Patani. Mata wang syiling Kelantan mempunyai beberapa ciri antaranya, mata wang Kesultanan Melayu Kelantan mempunyai bentuk bulat dan titik yang mengelilingi bahagian permukaan hadapan dan belakang.[33] Salah satu wang syiling yang dimaksudkan mempunyai perkataan Al-Julus Kelantan Shah pada permukaan hadapan yang dtulis dalam empat baris.  Manakala pada permukaan belakang terdapat tulisan al-Mutawakkil a’ma Billa yang ditulis tiga baris.  Ia diperbuat daripada material emas dengan nilaian kupang. Mempunyai ukuran diameter sekitar 8.5 mm dan berat 0.5 gm. [34] Tulisan yang terdapat pada kedua-dua bahagian permukaan tidak berada dalam jajaran yang tepat. Contoh lain syiling emas yang menggunakan gelaran Julus Kelantan Shah pada bahagian permukaan dan belakang masih mengekalkan gelaran al-Mutawakkil Ali Alalh yang berukuran diameter sekitar 10.5 mm dengan berat 0.6 gm. Contoh lain, tidak menggunakan perkataan Shah tetapi bahagian belakang mengekalkan al-Mutawakkil Ali Alalh yang mempunyai ukuran diameter 11.5 dengan berat 0.7 gm. [35] Semua duit Kelantan keluaran tempatan telah dihentikan sekitar tahun 1909 apabila duit negeri-negeri selat dihentikan.[36]
D) KESULTANAN MELAYU TERENGGANU
Sebelum duit syiling pertama di Terengganu dikeluarkan, Terengganu mneggunakan pelbagai jenis mata wang asing seperti dolar perak Sepanyol, Mexico, Indochina, serta mata wang kesultanan Johor, duit Acheh dan mata wang Kelantan dan Pahang.[37] Namun yang paling kerap digunakan ialah dolar perak. memandangkan Terengganu ialah sebahagian daripada empayar Johor lama, duit syiling yang digunakan sama dengan Johor seperti katun, mas, dan kupang. Mas dan kupang Terengganu diperbuat daripada emas dan keping atau pitis yang diperbuat daripada timah seperti katun di Johor. [38] Bentuknya juga sama seperti yang digunakan di johor, termasuklah bentuk oktagon (segi lapan) untuk mas dan kupang. Emas sukar didapati di Terengganu dan disebabkan ini tidak banyak duit syiling emas yang ditempa. Hanya dua sultan sahaja yang diketahui mengeuarkan duit syiling emas. Manakala duit perak juga tidak dikeluarkan.
            Syiling yang pernah dikeluarkan di Terengganu mempunyai nilai arkeologi dan numismatik yang diperbuat daripada emas dan timah atau ‘pewter’ dengan nilaiannya dikenali mas, kupang, keping, dan pitis.[39] Perkembangan bentuk wang syiling Terengganu dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu berbentuk syiling, duit pokok dan juga duit sinar matahari.[40] Kajian arkeologi numismatik menunjukkan terdapat enam orang pemerintah Kesultanan Terengganu yang mengeluarkan syiling. Namun daripada jumlah tersebut, hanya dua orang sultan sahaja yang pernah mengeluarkan syiling emas dan timah iaitu Sultan Zainal Abidin Shah I dan sultan ketiga iaitu Sultan Zainal Abidin Shah II. Nilaian yang dikeluarkan adalah mas, kupang (material emas) dan pitis (material timah).[41] Sementara empat sultan lain hanya mengeluarkan syiling yang diperbuat daripada timah dengan nilain keping atau pitis.[42]
            Misalnya, Sultan Zainal Abidin Shah II (1793-1808), pernah mengeluarkan syiling material emas dengan nilaian mas lebih menonjol berbanding dengan nilaian kupang. Syiling baginda boleh dibahagikan kepada tiga iaitu, nilaian mas dan kupang yang berbentuk persegi lapan dengan berat 2.5 gram, berdiameter 15 mm.            Kedua, syiling Terengganu dalam bentuk untaian yang bertujuan untuk memudahkan syiling berkenaan diikat dan dibawa ke mana-mana. Ketiga, mempunyai nilaian kupang secara fizikal dapat dibahagikan kepada tiga iaitu berbentuk persegi lapan, bulat dengan lengkungan lapan (seperti kelopak bunga) yang menghampiri bentuk bulat dan mempunyai bentuk persegi lapan yang dengan terdapat kesan garis pada bahagian dalam (menghampiri bentuk bulat). Dari segi berat, nilaian kupang lebih ringan iaitu sekitar 0.45 g-0.58 g dengan ketebalan 11.0 – 12.1 mm. Dari segi pembuatan menunjukkan pada bahagian sekeliling syiling diberikan titik dot dan menjalani pemotongan untuk mendapatkan bentuk.[43]

E) NUMISMATIK KESULTANAN MELAYU KEDAH
Kedah dipercayai mula mengeluarkan duit syilingnya  sendiri pada kurun ke-17. Kedah sudah mengeluarkan tunai timah untuk kegunaan pasaran dan mula mengimport syiling emas dari Johor, Patani dan Acheh untuk kegunaan perdagangan.[44] Duit syiling kedah terawal yang diketahui diperbuat daripada timah dan dikenali sebagai Tra. Ia dikeluarkan oleh Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1625-1651).[45] Berdasarkan kajian Numismatik, Sultan Kedah pernah mengeluarkan mata wang syiling dengan menggunakan material emas, perak, tembaga dan timah. Setiap syiling mempunyai nilaian kupang, real, tarra dan tra.[46] Ciri khusus wang syiling Kedah iaitu mempunyai bentuk fizikal sama ada bulat atau persegi lapan. Syiling kedah mempunyai dot yang mengelilingi tepi syiling dan mempunyai tulisan pada bahagian hadapan dan belakang. Syiling bermaterial emas biasanya mempunyai ukur litit sekitar 9 mm hingga 12 mm, manakala perak mempunyai ukur lilit sekitar 12 mm hingga 23 mm.
            Sultan Dziauddin Mukarram Shah (1661-1687) misalnya pernah mengeluarkan syiling dengan menggunakan tiga jenis material utama iaitu emas (kupang), perak (suku read) dan tembaga (tarra). [47] Syiling nilaian kupang berbentuk bulat dan persegi lapan. Syiling. Muka depan syiling Tarra tembaga yang dikeluarkan oleh baginda mempunyai tulisan Arab yang menyerupai duit syiling emas dan duit syiling perak kupang. Tetapi muka depan duit tarra yang dikeluarkan oleh Sultan Zainal Rashid mempunyai gambar bunga dengan lapan kelopak.[48] Baginda juga mempunyai kepelbagaian gaya tulisan antaranya pada bahagian hadapan nama Dhiauddin ditulis dalam dua baris, belakang pula Sultan Shah bertarikh 1077 H ditulis dalam tiga baris.[49] Angka tahun terdapat pada bahagian tengah syiling. Tulisan hanya menjelaskan nama negeri dan gelaran sahaja antaranya perkataan Darul Aman / Darul Amin (hadapan) dua baris dan Jil al-Quds/ Qads bahagian belakang dalam tiga baris.[50]

NUMISMATIK BERKONSEP PERLAMBANGAN
Kategori seterusnya adalah perkembangan mata wang berunsur perlambangan yang berkaitan dengan pola hias binatang, tumbuhan dan simbol. Berkembang sekitar abad ke 15-19 Masihi. Mata wang berunsur binatang paling menonjol misalnya oleh Kesultanan Kelantan iaitu duit kijang yang berkembang kepada bentuk haiwan lain seperti ayam, buaya, belalang, lembu, kura-kura, gajah, kambing, & ikan (abad ke-18-19 M). Namun demikian, penggunaan tidak meluas. Berkembang di kawasan yang menghasilkan biji timah, seperti Perak, Selangor & Kedah. Pengaruh luar, membawa kepada penyesuaian dalam hiasan bunga pada permukaan syiling seperti hiasan berupa kelopak bunga, hiasan teratai bertindih dan hiasan teratai berkembang.
            Mata wang berunsur tumbuhan pula dapat dilihat terhadap bentuk pokok pitis yang berkembang di negeri-negeri  seperti Kelantan, Perlis, dan Terengganu. Di kelantan, mata wang ini terdapat perkataan Melayu-Islam seperti Thuriba fi Zul (zil)-hijjah Sanat 1321 di bahagian belakang. Perkara yang amat menarik, pokok pitis ini mempunyai perbezaan mengikut negeri terutama dari sudut jumlah ranting dan daun serta kedudukan tunggal daun dan ranting di bahagian tengah atas pokok pitis. Perbezaan ini masih belum deberikan satu kajian khusus sehingga kini dalam menentukan negeri yang pernah menggunakannnya.
            Unsur simbol, menjurus kepada penggunaan tandaan titik dan geometris contoh pada syiling Kesultanan Johor. Material timah (nilaian katun). Mata wang berunsur simbol di Johor, ada 32 kategori misalnya mata wang bertangkai dan simbol garis memanjang, mata wang bulat, bertangkai dan simbol garis memanjang dgn kesan tulisan, mata wang bulat,  bertangkai dan simbol garis memanjang dengan sebahagian kesan tulisan dan lain-lain.

KAJIAN NUMISMATIK KESULTANAN MELAYU BUKAN BERBENTUK SYILING
NUMISMATIK BERKONSEP TAMPANG
Pada awal kurun ke-16 Masihi, pedagang telah mencatatkan bahawa biji timah yang hendak diperdagangkan dijadikan bongkah yang mempunyai berat piawai. Ia digunakan sebagai medium pertukaran untuk kesemua jenis perdagangan utama di pasar. Nilai bagi steiap bongkah diselaraskan mengikut timbangan berat, manakala saiznya pula mengikut piawai berat yang ditetapkan dalam peradgangan. Dalam catatan tulisan Cina yang ditulis oleh Ma Huan pada tahun 1413 Masihi, beliau mencatatkan bahawa biji timah dijumpai di kawasan pergunungan negeri Melaka dan sultan telah memerintahkan pegawai baginda mengawal lombong berkenaan.[51] Orang kampung dihantar untuk mendulang dan kemudian timah tersebut dileburkan dengan dimasukkan ke dalam acuan  untuk dijadikan ketulan kecil seberat 1 kati 8 tahil atau 1 kati 4 tahil. Kebanyakan transaksi perdagangan di pelabuhan Melaka menggunakan jongkong timah yang bukan berbentuk duit.[52] Bongkah ini tersebar luas di seluruh negeri Perak, Selangor, negeri smebilan, dan Pahang. Mata wang tampang ini diguna pakai secara meluas sekitar abad ke-19 M. Ia digunakan agak lama dan juga diterima di negeri-negeri Melayu yang berjiran termasuklah Sumatera untuk membuat pembayaran.
            Berdasarkan bongkah timah yang ditemui, ia didapati menggunakan acuan mudah yang dipercayai diperbuat daripada campuran pasir dan tanah liat. Ahli numismatik berpendapat bahawa bentuk bongkah timah ini boleh dikelaskan mengikut evolusi. Ia dapat dibahagikan kepada enam jenis bentuk yang pertama iaitu kon berbentuk bulat atau bukit, kon yang dihiasi dengan bahagian-bahagian bergerigi, berbentuk kerucut (coronial/cylinder), bentuk gunung atau candi, bentuk roti manis (sugar-loaf), bentuk piramid atau pagoda dan yang terakhir bentuk piramid dengan corak tampuk manggis.[53] Dapat disimpulkan bahawa, evolusi yang berlaku menunjukkan mata wang berkondeskan tampang  ini dilihat mengalami perubahan daripada bentuk yang agak ringkas dan kasar kepada bentuk yang lagi kemas dan halus.[54]
            Mata wang ini dianalisis mengikut kategori berdasarkan empat bahagian, iaitu puncak, badan, kaki, dan dasar. Bahagian penting adalah puncak, sama ada bulat atau datar untuk dikategorikan sebagai bentuk gunungan atau piramid. Dalam nilaian pertukaran, nilaian mata wang tampang bergantung kepada kandungan dan kuantiti timah pada tampang tersebut.[55] Misalnya, di Perak, berat mata wang tampang sekitar 10 kati bersamaan dengan satu dolar perak Sepanyol (bersamaan dengan 8 reales). Perkembangan duit tampang ini agak terbatas kepada negeri-negeri tertentu sahaja yang mempunyai hasil timah, sebagai contoh di Pahang, Selangor, Perak, dan negeri Sembilan. Sesuai dengan peredaran masa, tampang kemudiannya ada yang dilengkapi dengan tarikh dan tempat pengeluarannya,
            Di Pahang misalnya, tampang telah wujud dari jenis mata wang yang berupa jongkong timah. Tampang terawaal dinilai bersamaan dengan 6 ¼ sen dolar Sepanyol. Satu jenis tampang yang dibaharui, dikeluarkan dalam tahun 1846 yang mempunyai niali 4 sen. Tampang-tampang rasmi telah dicetak oleh pihak negeri dan dikeluarkan oleh kongsi-kongsi Cina yang disebarkan untuk kegunaan di kawasan lombong biji timah di sekitar Kuantan. Tampang satu sen telah ditambah dalam tahun 1847. Contonya kajian numismatik mata wang tampang yang dijumpai di Pahang. Mata wang ini dilengkapi dengan perkataan sarafi Pahang sanat 1264 yang bermaksud dicetak di Pahang bertarikh 1264. Mata wang tampang telah dikeluarkan sehingga tahun 1889 dan tetap menjadi mata wang yang sah sehingga dibatalkan penggunaannya oleh Negeri-negeri Selat. [56]
NUMISMATIK BERKONSEP BENTUK BINATANG
Mata wang berbentuk binatang turut berkembang di Semenanjung Tanah Melayu. Mata wang berbentuk binatang dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, binatang yang hidup di daratan yang diwakili ayam jantan, kambing dan belalang. Kedua, binatang yang hidup dalam dua alam seperti kura-kura dan buaya. Ketiga binatang yang hidup di dalam air seperti ikan. Mata wang berbentuk binatang tersebut dikatakan berkait dengan kepercayaan spiritual berhubung dengan semangat binatang. Pelbagai hipotesis telah dikemukakan berkaitan penggunaan jongkong berbentuk binatang. Misalnya, berkemungkinan mata wang berbentuk binatang dijadikan sebagai barang azimat dalam upacara penjampian yang mempunyai kaitan dengan perlombongan biji timah dan pembuatannya dikawal selia oleh pawang.  Selain itu, sesetengah berpendapat bahawa model berbentuk binatang ini dijadikan barang permainan atau perhiasan.[57] Tetapi terdapat bukti menunjukkan bahawa ia diterima (sekurang-kurangnya secara terhad) sebagai mata wang.
            Pelbagai hipotesis yang dikemukakan yang menunjukkan bahawa mata wang berbentuk binatang bukan sahaja digunakan sebagai alat pertukaran tetapi dikaitkan dengan peranannya dalam unsur spiritual. Mata wang berbentuk buaya misalnya, ia sering dikaitkan dengan air dan dikatakan dapat menarik biji timah ke lombong baharu. Kekuatan dan kekuasaannya dalam air dikatakan dapat mengalirkan biji timah ke lombong berkenaan.[58] Mata wang berbentuk binatang hanya berkembang di negeri-negeri pengeluar biji timah seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang. Berkembang secara meluas pada abad ke-18.
            Misalnya, Mata wang ayam jantan digunakan secara meluas oleh Kesultanan Melayu kedah, pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin, Mu’adzam Shah II (1710-1733). Mata wang ini hanya dikeluarkan bagi kegunaan tempatan sahaja yang diperbuat daripada timah. Ayam jantan digambarkan dalam keadaan bertenggek di atas lingkaran bulatan yang disusun mengarah ke bawah. Lingkaran ini semakin kecil apabila semakin menjauhi ayam berkenaan. Mata wang ayam jantan ini mempunyai balong, ekornya kembang yang digambarkan melalui empat garisan. Manakala bulatan iaitu tempat ayam bertenggek yang pernah direkodkan mempunyai jumlah yang berbeza iaitu ada dua, tiga, lima dan emam. Mata wang ayam jantan  ini menggunakan lingkaran bulatan yg akan dipatahkan untuk kadar pertukaran. Sementara ayam jantan mempunyai nilainya tersendiri. Setiap bulatan dinilaikan sebanyak satu sen manakala ayam janyan dinilaikan sebanyak lima sen.[59]
            Kepelbagaian bentuk mata wang ini mempunyai impak terhadap asas asas penggunaannya selain berperanan sebagai mata wang. Data kajian yang sedia ada juga menunjukkan ia pernah digunakan sebagai perantaraan piawaian timbangan, kadar pencukaian dan magis. Bahkan perkembangan duit berbentuk binatang ini juga mempunyai hubungan dengan pengenalan duit tampang. Mata wang ini diedarkan secara terhad di Perak, Selangor, Pahang, dan Negeri Sembilan. Ia juga mungkin dterima sebagai medium pertukaran di negeri-negeri Melayu yang berdekatan dan juga di Sumatera. Dalam kurun ke-18, mata wang ini dibuat dengan pelbagai bentuk bintang. Mata wang ini diterima sebagai token dengan harga nominal yang lebih tinggi berbanding niali intrinsik kandungan timahnya. Jenis mata wang jongkong ini berdasarkan kuantiti timahnya boleh ditukarkan dengan satu dolar Sepanyol bernilai lapan real.[60] Jongkong berbetuk binatang wujud lebih awal iaitu sejak bermulanya perlombongan biji timah kerana ia dipengaruhi oleh adat serta upaca pemujaan dan dijadikan korban untuk roh-roh. Oleh itu, ada kemungkinan bahawa model binatang ini diedarkan dikalangan orang melayu dan hanya diperoleh daripda pawang yang membuatnya.[61]

KESIMPULAN
Kesimpulannya, kajian numismatik menunjukkan kesultanan di Semenanjung Tanah Melayu telah mempunyai sistem mata wang yang berkembang mengikut periodisasi zaman.  Kedudukan Semenanjung Malaysia terletak di antara laluan pelayaran utama timur dan barat turut berpernanan menerima unsur luaran dan menyerap serta mengubah suai sehingga menghasilkan unsur baru  yang dapat diberikan pentafsiran kesinambungan antara “local genius” dan pemikiran luar. Perkembangan syiling Kesultanan Melayu awal di Semenanjung Malaysia turut di pengaruhi oleh syiling sesama Kesultanan Melayu-Islam yang terletak pada laluan perdagangan di Selat yang terletak pada laluan perdagangan di selat Melaka. Kajian perkembangan mata wang kesultanan di Semenanjung Tanah Melayu dikesan bermula pada tahun 1903 oleh Hanitach dengan laporan temuan syiling Kesultanan Melayu Melaka.
            Kebanyakan kajian yang pernah diterbitkan menjurus kepada data deskriptif dengan tumpuan terhadap satu kesultanan sahaja. Mata wang kesultanan Melayu adalah berteraskan kepada penggunaan tulisan jawi sementara bahasa yang digunakan pula berunsur Melayu Arab. Terdapat sumber yang menyatakan bahawa orang Melayu membnetuk mata wang syilingnya pada peringkata awal dengan menadapat pengaruh dari pedagang arab. Hal ini berdasarkan penemuan mata wang tertua yang pernah dijumpai di negeri-negeri Melayu iaiatu wang dirham dan wang dinar mengikut nama mata wang perak dan wang emas orang Arab zaman dahulu.[62] Justeru, perkembangan mata wang awal ini dianggap kategori Melayu-Islam. Perihal ini juga merujuk kepada maksud perkataan Arab yang digunakan antaranya Khalifatul Mukminin, Malik al-Adil  dan Khalifatul Rahman, turut merujuk kepada konsep atau dasar  ekonomi, keadilan dan pemerintahan. Penggunaan mata wang ini dianggap mewakili dasar dan pegangan agama sesuatu kesultanan tersebut. Penggunaan tulisan jawi dalam sejarah tulisan berdasarkan data arkeologi Islam di Tanah Melayu bukanlah sesuatu yang baru, bahkan perkembangan dapat dilihat pada batu bersurat Terengganu (702 H/ 1303 M) , batu bersurat Pangkalan Kempas (mempunyai dua tarikh iaitu (1463/64 M) dalam tulisan kawi sementara 1467/68 dalam tulisan jawi dan pada batu nisan Acheh. 
           

BIBLIOGRAFI
TESIS PHD
Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M :        Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’,  Tesis Ph.D, Universiti Malaya, Kuala           Lumpur, 2010.
LATIHAN ILMIAH
Suryati Imran, ‘Sejarah dan Perkembangan Mata Wang Johor  pada abad ke-16 hingga abad ke-19’,             Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2002-2003.
BUKU
Mohd. Kassim Ali., Muzium Numismatik Maybank, Kuala Lumpur : Malayan Banking Berhad, 1984-          1988.
Warisan Numismatik Malaysia, Kuala Lumpur : Unit Muzium Matawang, Bank Negara, 2003.
William Shaw & Mohd. Kassim Ali, Coins of North Malaya, Kuala Lumpur : Muzium Negara, 1971.




[1]Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’,  Tesis Ph.D, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2010, hlm. 90.
[2] Ibid.
[3]Suryati Imran, ‘Sejarah dan Perkembangan Mata Wang Johor  pada abad ke-16 hingga abad ke-19’, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2002-2003, hlm. 29.
[4]Ibid., hlm. 29.
[5] Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’, hlm. 38.
[6] Ibid.  
[7]Mohd  Kassim Ali., Muzium Numismatik Maybank, Kuala Lumpur : Malayan Banking Berhad, 1984-1988, hlm. 5.
[8] Suryati Imran, Sejarah dan Perkembangan Mata Wang Johor  pada abad ke-16 hingga abad ke-19, hlm. 29.
[9] Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’, hlm. 44.
[10]Ibid. .
[11]Ibid.
[12] Ibid., hlm. 46.
[13] Ibid., hlm. 48.
[14] Ibid.
[15] Ibid.
[16] Ibid., hlm. 50.
[17] Ibid.
[18]Ibid., hlm. 51.
[19] Ibid., hlm. 52.
[20] Ibid.
[21] Ibid., hlm. 53.
[22] Ibid.
[23] Warisan Numismatik Malaysia, Kuala Lumpur : Unit Muzium Matawang, Bank Negara, 2003. hlm. 89.
[24] Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’,hlm. 59-60.
[25] Suryati Imran, Sejarah dan Perkembangan Mata Wang Johor  pada abad ke-16 hingga abad ke-19, hlm., 41.
[26] Ibid.
[27] Ibid., hlm. 59.
[28] Malayan Banking Berhad, Muzium Numismatik Maybank, hlm., 6.
[29] Suryati Imran, Sejarah dan Perkembangan Mata Wang Johor  pada abad ke-16 hingga abad ke-19, hlm.,.31.
[30] Warisan Numismatik Malaysia,. hlm., 97.
[31] Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’, hlm. 61.
[32] Ibid.
[33] Ibid., hlm. 83.
[34] Ibid., hlm. 84.
[35] Ibid., hlm. 85.
[36] Malayan Banking Berhad, Muzium Numismatik Maybank, hlm. 7
[37] Warisan Numismatik Malaysia, hlm., 117.
[38] Ibid.
[39] Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’, hlm. 90.
[40] Ibid., hlm. 91.
[41] Ibid.
[42] Ibid., hlm. 92.
[43] Ibid., hlm. 94.
[44] William Shaw & Mohd. Kassim Ali, Coins of North Malaya, Kuala Lumpur : Muzium Negara, 1971, hlm., 9.
[45] Warisan Numismatik Malaysia, hlm., 172.
[46] Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’, hlm. 113.
[47] Ibid., hlm. 118.
[48] Warisan Numismatik Malaysia, hlm., 173.
[49] Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’, hlm. 118.
[50] Ibid.
[51] Warisan Numismatik Malaysia, hlm., 61.
[52] Ibid.
[53] Warisan Numismatik Malaysia, hlm. 64-65.
[54] Mohd Supian Sabtu, ‘Bentuk Mata Wang Kesultanan Di Tanah Melayu Abad Ke-15 Hingga Ke-15 M : Kajian dari Perspektif Numismatik dan Arkeologi’, hlm. 236.
[55] Ibid., hlm. 237.
[56] Malayan Banking Berhad, Muzium Numismatik Maybank, hlm. 5.
[57] Warisan Numismatik Malaysia , hlm. 55.
[58]Ibid., hlm. 56.
[59] Malayan Banking Berhad, Muzium Numismatik Maybank, hlm. 5.
[60] Warisan Numismatik Malaysia,  hlm. 60.
[61] Ibid.
[62] Suryati Imran, Sejarah dan Perkembangan Mata Wang Johor  pada abad ke-16 hingga abad ke-19, hlm. 29.

Persidangan di Calcultta telah mendorong PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata di Tanah Melayu pada Jun 1948. Jelaskan

PENGENALAN Komunisme berkembang dan melebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu dan di seluruh Asia kerana pandangan para pemikir komunis ...